Berita Eropah
Bersama Master Mufti Ansari

Saya mula berhijrah ke Eropah pada 1978. Tujuan asalnya hanyalah untuk melancong sambil mencari tempat belajar. Selama sebulan di Paris, saya gunakan dengan sebaik mungkin mencari informasi tentang kolej pengajian dan secara tidak langsung mencari kelab seni bela diri dan ruang dewan sukan untuk disewa di samping melihat-lihat aktiviti sukan di kota Paris.

Saya berkesempatan bertemu dengan master seni bela diri seperti Master karate, taekwondo, judo, tinju siam, dan pelbagai seni bela diri dan berbincang tentang sukan seni bela diri seperti silat di Paris dan dari sinilah saya telah diperkenalkan dengan seorang master silat Indonesia jurusan Setia Hati Teratai, Mr. Raban(Tuan Raban) yang berketurunan Sri Lanka tetapi telah menjadi rakyat Perancis. Beliau mempunyai kelab Pencak Silat Indonesia dan beliau merupakan presiden organisasi tersebut.

Setelah berbincang, beliau menawarkan saya berkhidmat dengan organisasi beliau sebagai jurulatih pro seni bela diri untuk mengajar di kelab beliau atas alasan beliau sudah tua dan tidak larat dan ingin bersara daripada mengajar silat. Saya bertanya kepada beliau mengapa tiada pembantu? Beliau memberi alasan bahawa silat kita sukar dipelajari dengan mendalam dan hendak mengiktirafkan seorang jurulatih adalah sukar kerana setiap jurulatih di Eropah sentiasa terdedah kepada rintangan terutamanya sentiasa diuji oleh penuntut baru yang telah mahir dalam seni bela diri lain. Beliau menyatakan bahawa sikap dan budaya masyarakat di sini adalah berlainan daripada di Indonesia atau di Malaysia. Di sini mereka mahukan yang logik dari segi penggunaan teknik dan taktik, yang boleh diguna pakai dalam konteks seni bela diri dalam kehidupan sehari-hari yang sentiasa terdedah dengan pelbagai risiko di jalanan. Kadangkala mereka amat takut untuk menjadi jurulatih kelab seni bela diri.

"Dan sebab itulah saya tidak mempunyai pembantu walaupun telah sekian lama membuka kelab silat di Paris ini," ujar Tuan Raban.


Berdiri barisan belakang, dari kiri: Merci, Olivier(Oli), Master Mufti, Tuan Raban, Marco, Johnson, Philippe.
Duduk barisan depan, dari kanan: Adagio Philippe, Bruno, dan tiga orang penuntut karate yang mempelajari silat.

Penjelasan beliau merupakan suatu tamparan hebat kepada saya, apatah lagi saya yang baru ingin mencuba nasib untuk membuka kelab Silat Seni Gayong di Paris. Saya dipelawa mengikuti latihan pencak silat yang dikendalikan oleh beliau sendiri. Apa yang dapat saya rumuskan bahawa permainan beliau terlalu "nipis" dan kurang penguasaan teknik tempur jika dibandingkan dengan Silat Setia Hati Teratai yang pernah saya lihat semasa saya berada di Indonesia dahulu. Dan kebanyakan ahli kelab tersebut terdiri daripada golongan kanak-kanak, bukannya golongan orang dewasa. Dari pengamatan saya, barulah saya ketahui bahawa beliau tidak menerima ahli dewasa. Walau bagaimanapun, saya amat menyanjung tinggi usaha beliau selama ini dalam memperjuangkan sesuatu walaupun tidak berkemampuan dalam penguasaan teknik silat yang baik di samping beliau menghidapi sakit dalaman.

Saya dipelawa untuk tinggal bersama beliau di sebuah pangsapuri(apartment) di Chartres, Paris kerana tinggal di hotel kosnya terlalu tinggi. Saya tinggal bersama beliau hampir tiga minggu sebelum saya pulang ke Kuala Lumpur. Sepanjang tinggal bersama beliau, saya telah mendapat banyak informasi tentang kewujudan pencak silat yang bertapak di Eropah, seperti di Holland(Belanda) dan di Jerman yang kebanyakannya dikuasai oleh aliran pencak silat Indonesia yang telah sekian lama bertapak, terutamanya di Holland.

Dengan bantuan Tuan Raban, saya telah diterima masuk ke sebuah institusi pengajian tinggi di Perancis, iaitu University of Art di Opera Paris pada semester berikutnya. Dan saya terpaksa pulang ke Malaysia bagi membuat persiapan sebelum datang kembali ke Paris dengan visa pelajar dan dalam masa yang sama saya terpaksa membantu dan menerima tawaran Tuan Raban untuk menjadi jurulatih pencak silat di kelab beliau di Opera Paris bagi menampung kos pengajian saya sepanjang berada di Paris.

Pada awal Ogos 1978, saya kembali ke Paris dengan lebih bersedia dan bertekad untuk menjayakan cita-cita saya sebagai seorang penghuni kota Paris yang sungguh mencabar dari segi fizikal dan mental terutamanya terpaksa menerima hakikat tinggal dalam kota metropolitan yang termahal dari segi kos hidup. Kos hidup di kota Paris adalah antara yang paling tinggi di dunia. Hal ini bermakna setiap hari saya perlu menyediakan RM100.00 untuk menampung makan minum dan perbelanjaan tambang Metro sahaja, tidak termasuk kos tempat tinggal.

Habis kuliah sekitar jam 2.00 petang saya terpaksa menunggu sambil melepak di kota Paris kerana hendak pulang ke rumah terlalu jauh dan melibatkan kos pengangkutan. Jadi saya gunakan peluang itu untuk duduk melepak dan merayau di kota sambil membuat rujukan di perpustakaan seni, sehinggalah pukul 5.00 petang. Jam lima, saya bergegas ke kelab Pencak Silat untuk mengajar kepada sebahagian golongan kanak-kanak seramai hampir 30 orang.

Masa berlalu begitu pantas. Tanpa disedari saya telah berada di Paris hampir enam bulan. Saya pun telah mempunyai ramai kawan dan entah mengapa mereka amat suka berkawan dengan saya. Ini mungkin kerana sikap falsafah orang silat yang suka merendah diri dan mungkin kebiasaan budaya orang Melayu yang senang didampingi oleh semua orang, dan antara sahabat karib saya sehingga kini ialah Olivier(Oli). Saya dan Oli akhirnya berkongsi menyewa sebuah pangsapuri(apartment) yang agak selesa yang kini telah menjadi milik kami berdua. Kami berkongsi membelinya setelah hampir lima tahun kami menyewanya. (Oli saya anggap seperti blood brother kepada saya).

Perkembangan Silat Seni Gayong Malaysia berpunca daripada satu persembahan Seni di bawah penganjuran sebuah universiti di City of Paris. Saya telah diberi tugas untuk melaksanakan suatu pergerakan badan berpandukan kepada muzik. Saya telah menerima tawaran tersebut dengan membuat persembahan Silat Tari Solo dengan pakaian lengkap silat daripada songket dan bertengkolok serta berkeris sambil diiringi muzik silat Pak Din Kedah. Pada akhir persembahan tersebut saya telah mendapat tepukan gemuruh dan ratusan ucapan tahniah dan syabas daripada para penuntut dan Dekan pengajian serta VIP termasuklah Y. Bhg. Dato' Ismail Ambia, Ketua Duta Malaysia di Paris.

Berpunca dari situlah kebanyakan mahasiswa dan mahasiswi menunjukkan minat yang tinggi untuk mempelajari Seni Silat Tari (Silat Pulut) Malaysia. Nasib baiklah suatu ketika dahulu saya ada mempelajari seni silat pulut ketika di kampung. Kelab Silat Malaysia telah wujud di University of Art Paris dan dari sinilah saya telah membuka kelas tambahan untuk mengajar Silat Kombat Gayong kepada pelajar yang berminat kepada seni bela diri. Pendapatan menjadi jurulatih profesional kepada dua buah kelab silat termasuk kelab Tuan Raban telah banyak membantu saya dalam mendapatkan biaya tambahan bagi menampung kos hidup dan kos pengajian saya sebagai warga kota di Paris.

 

Penubuhan kelab silat - dari kampus ke kelab profesional Paris

Sebagaimana kebiasaan, apabila pulang dari kuliah, saya akan singgah di sebuah kafe(cafe) di Bastille, Paris. Saya mengambil kesempatan berehat di kafe tersebut sambil menghirup secawan kopi. Tiba-tiba keadaan di dalam kafe tersebut menjadi kelam kabut dan tidak terkawal. Banyak barang yang telah dipecahkan dan ramai pengunjungnya bertempiaran lari menyelamatkan diri. Saya telah diserang dengan tiba-tiba. Dan secara spontan, saya mengelak daripada serangan liar tersebut dan melakukan tindakan balas kepada penyerang tersebut, iaitu seorang yang mengamuk kerana mabuk sambil memegang botol kaca pecah yang dijadikan sebagai senjata untuk menikam sesiapa sahaja. Saya dapat memberkas orang tersebut dan mengikatnya dengan kain cadar alas meja, sehinggalah anggota polis datang untuk memberkasnya dan saya terpaksa meninggalkan tempat kejadian tersebut dengan pantas kerana tidak mahu terlibat dalam urusan selanjutnya.

Pada keesokan harinya, saya telah dipanggil oleh pensyarah semasa saya berada di dalam kelas. Saya berasa amat cemas. Walau bagaimanapun, sebagai anak rantau saya telah bersedia untuk menghadapinya. Rupa-rupanya baru saya tahu bahawa seorang gadis remaja bersama ayahnya ingin mengucapkan terima kasih kepada saya atas peristiwa semalam dan mempelawa saya hadir jemputan makan malam bersama mereka. (Rupa-rupanya mereka dapat mengesan saya berdasarkan kad pelajar saya yang tercicir semasa peristiwa di kafe tersebut).

Dari sinilah Qaudi anak pemilik kafe tersebut telah banyak membantu saya dari segi kewangan dan membantu usaha saya membuka sebuah kelab Silat Seni Gayong Malaysia yang pertama di Bastille, Paris dan beliau sendiri telah menjadi setiausahanya dan kelab tersebut telah didaftarkan secara sah.


Duduk barisan depan, dari kiri: Susan, Qaudi, Master Mufti, Salleve.
Duduk barisan belakang, dari kiri: Mr. Lam (master kungfu), Thomas, Marco.

Saya, Qaudi, Oli dan Cerol menjadi sahabat yang akrab sekali dan kami sama-sama berusaha mempromosikan Silat Seni Gayong di beberapa tempat di kota Paris sehingga saya mendapat tawaran untuk mengajar di sebuah kelab seni bela diri di selatan Perancis, iaitu di Tallone dan Bandol. Pada cuti musim panas kami bertolak ke Marseille, sebuah bandar besar yang terletak di selatan Perancis. Saya telah bertemu dengan Philippe, tuan punya Kelab Karate France yang sedia menerima jurusan Gayong Malaysia. Setelah berbincang soal teknik Silat Seni Gayong, Mr. Philippe sangat berpuas hati dan mempelawa saya mengajar di kelab beliau dan beliau turut menyatakan kesanggupannya untuk menjadi murid Gayong. Ini bermakna saya telah memiliki dua buah kelab di selatan Perancis dengan mempunyai murid seramai hampir 80 orang.

Tidak sampai dua tahun saya berada di Perancis, saya telah membuka sebanyak 4 buah kelab Silat Seni Gayong. Disebabkan terlalu sibuk dengan aktiviti silat, saya telah gagal dalam peperiksaan semester akhir dan saya terpaksa mengulang selama setahun lagi. Aktiviti saya bertambah kelam-kabut apabila mendapat tawaran daripada sebuah Kelab Melayu Champa di negara Denmark. Saya telah pergi ke Denmark walaupun tidak dipersetujui oleh sahabat saya terutamanya Qaudi, yang sentiasa menasihati saya agar menamatkan pengajian saya terlebih dahulu.

Saya berada di Denmark selama seminggu dan terpaksa bergegas pulang ke Paris kerana kematian ayah Qaudi. Segala program di Denmark terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu kerana saya terpaksa membantu Qaudi dalam menguruskan kafenya. Kesemua sahabat Qaudi terpaksa melibatkan diri dalam pengurusan kafe tersebut, dengan bertugas secara bergilir-gilir. Walaupun pendapatannya agak lumayan tetapi kami terlalu sibuk sehinggakan tiga tahun saya tidak pulang ke Malaysia.

Pada tahun keempat, iaitu 1982 saya sering pulang ke Malaysia sehinggakan setiap empat bulan sekali saya sering berulang-alik ke Malaysia terutamanya membawa pakaian silat untuk dijual di Paris. Setiap kali pulang ke Malaysia, saya sentiasa membawa pesilat Perancis untuk mendalami ilmu Silat Seni Gayong dan untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai Jurulatih Muda daripada Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia dan jurulatih tersebut bersedia melaksanakan tanggungjawab mengambil alih tugas sebagai pembantu jurulatih di Perancis.

KE BAHAGIAN 2