Make your own free website on Tripod.com
Berita Eropah
Bersama Master Mufti Ansari
(Bahagian II)

Antara pesilat yang sering mengikut saya pulang ke tanah air ialah Mr. Philippe (Adagio Philippe) yang kini telah diiktiraf sebagai pembantu jurulatih dan pemegang bengkung Pelangi Kuning Cula 5. Beliau telah saya tugaskan untuk mengendalikan kelab silat di selatan Perancis. Beliau telah berjaya membuka sebanyak empat buah kelab Silat Seni Gayong Malaysia, sedangkan saya sewaktu menetap di kota Paris berjaya membuka empat buah kelab silat.

Kelab KIJI kota Paris

Kelab Kiji Kota Paris merupakan sebuah kelab yang terbesar dan termoden di Eropah, terletak di zon Paris 3. Kelab ini dimiliki oleh seorang berbangsa Jepun bernama Master Sato San yang berketurunan wira Samurai dan terdapat juga pelbagai seni bela diri dunia seperti karate, taekwando, hapkido, kendo dan judo ditempatkan di kelab tersebut. Latihan di kelab tersebut dikendalikan oleh Master bertaraf antarabangsa. Setiap kali selepas mengajar silat saya sering ke kelab tersebut untuk meninjau sejauh mana sambutan aktiviti seni bela diri di Paris. Hasrat saya sungguh menebal dan saya bercita-cita tinggi untuk membuka Jurusan Gayong di kelab tersebut. Walaupun kos pengurusannya mahal, kerana melibatkan kos pengiklanan di media cetak seperti di majalah Karate Bushido dan di rangkaian TV, saya sering singgah di kelab tersebut untuk mencari ruang dan kesempatan untuk bertemu dengan pemilik kelab tersebut. Bagaimanapun, usaha saya setiap kali untuk berjumpa beliau menemui kegagalan. Hasrat saya itu tidak saya maklumkan kepada sahabat-sahabat saya. Walau bagaimanapun, Qaudi telah menghidu sejak awal segala pergerakan saya dan beliau sanggup membantu saya dengan sedaya upaya beliau sehinggakan sanggup untuk menjual kafenya sebagai modal pengurusan sambil menyatakan alasan yang beliau tidak berkesanggupan untuk menguruskan kafe tersebut kerana tidak berpengalaman dalam bidang perniagaan. Hasrat untuk membuka kelab di Kiji terpaksa saya tangguhkan dahulu kerana saya sendiri sayangkan perniagaan kafe tersebut kerana di kafe inilah bermulanya kami mentadbir urusan kami dan Gayong terutamanya sebelum dan selepas latihan silat kami akan berkumpul semula di kafe, bekerja dan berehat sehinggalah larut malam dan kadangkala disebabkan suhu malam yang terlalu dingin kami beramai-ramai tidur sahaja di kafe ini dan meneruskan aktiviti masing-masing pada siang esoknya.

Qince Cafe de Paris

Qince Cafe de Paris terletak di Rue de Duoi Paris, tidak jauh dari Opera Centre. Di sinilah berlakunya peristiwa amuk si pemabuk dan saya bertemu Mr Handison dan anak tunggalnya Qaudi yang berketurunan Jerman. Ibu Qaudi telah berpisah dengan bapanya dan kini tinggal dengan keluarga barunya di Rom, Itali. Mr Handison seorang yang baik, peramah dan sangat murah hati. Saya amat senang berkomunikasi dengan beliau. Meskipun beliau seorang penganut Kristian yang taat, beliau amat menghormati agama Islam. Kadangkala kami banyak berbual tentang soal agama dan beliau banyak mendapat maklumat tentang agama Islam hasil daripada perbualan kami dan beliau tiada halangan membenarkan saya menggunakan bilik rehat di kafe sebagai ruang sembahyang. Malah, kadangkala beliau sendiri yang mengingatkan saya tentang waktu sembahyang.


Qince Cafe de Paris

Hampir setiap masa selepas habis kuliah saya akan berkunjung ke kafe beliau, sehinggalah saya ditawarkan bekerja dengan beliau sebagai pelayan di bar kafe dengan bayaran gaji yang berpatutan. Di kafe beliau terdapat ramai juga pekerja - seorang mengendalikan bar liquor (minuman keras), seorang mengendalikan bar kopi, tukang masak sarapan, beberapa pelayan dan seorang pekerja am. Bagi saya hendak menguruskan sebuah kafe di kota Paris yang banyak kerenah bukanlah suatu perkara yang mudah. Itulah perkara yang sering dirungutkan oleh Qaudi saban hari setelah ketiadaan ayahnya.

Semenjak ayahnya meninggal dunia Qaudi terpaksa menguruskan sendiri kafe tersebut kerana syarat pajakan dengan pemilik bangunan yang terlalu lama serta terpaksa melangsaikan pinjaman bank. Saya tiada pilihan lain selain terpaksa membantu beliau menguruskan kafenya walaupun saya kesuntukan waktu serta tidak mempunyai pengalaman. Pernah suatu ketika dahulu kami memajakkan kafe tersebut kepada seorang usahawan dan kami juga pernah serahkan kafe itu kepada seorang pengurus yang berpengalaman untuk mengambil alih tetapi semuanya mengalami kerugian kerana kami sering ditipu dalam jumlah kutipan wang tunai harian dengan pelbagai alasan. Hal ini membuatkan kami serik dan bertekad untuk menguruskan sendiri kafe tersebut dengan dibantu kawan-kawan daripada kalangan murid-murid silat.

Saya daripada tidak tahu memasak telah agak pandai memasak dan banyak jugalah menu masakan Malaysia telah saya perkenalkan di Paris seperti nasi goreng, mi spageti bandung dan sate johor sehinggakan kafe kami dikenali kerana masakannya yang terpedas di kota Paris dan timbullah perkataan "pedas bagus" oleh pelanggan tetap kami, dan Qaudilah pelanggan tetap setia saya yang pandai makan masakan pedas sehinggakan kalau Qaudi sendiri yang memasak, saya sendiri pun tidak tahan pedas kerana masakannya yang terlalu pedas.

Kafe ini telah meninggalkan banyak kenangan pahit manis buat saya, Qaudi dan kawan-kawan kerana di sini telah diadakan majlis perkahwinan pasangan Oli dan Cerol, dua orang pesilat Gayong Perancis. Di sini juga berlakunya peristiwa kenangan pahit di mana Qaudi meninggal dunia kerana sakit kanser. Di sini saya bertemu Qaudi dan mengenali beliau sepanjang hampir lima tahun saya berada di kota Paris. Di sinilah beliau mengenali Islam dan memeluk agama Islam dengan nama Q'tijah Abdullah dan di sinilah bermula dan berakhirnya penguasaan Silat Seni Gayong kita di bumi Eropah dan dari sini jugalah saya melangkah pulang ke tanah air Malaysia yang tercinta.

Kafe ini terpaksa ditutup juga akhirnya kerana menurutkan wasiat Qaudi. Qaudi meminta agar kafe ini dijual untuk melangsaikan segala hutang pajakan dan pinjaman bank, manakala bakinya sebahagian didermakan sebagai sedekah jariah dan sebahagian lagi diserahkan kepada ibunya.

Kesatuan Pencak Silat Perancis

Tuan Raban telah mencadangkan agar Silat Seni Gayong Malaysia Paris bergabung dengan Kesatuan Pencak Silat Perancis apabila beliau mendapat tahu kami akan menubuhkan Pertubuhan Silat Seni Gayong Perancis. Ini bermakna seluruh kelab Silat Seni Gayong di Paris dan di selatan Perancis akan bernaung di bawah satu pertubuhan iaitu Gayong Perancis yang bertaraf nasional dan akan bergabung dengan Kesatuan Pencak Silat Eropah yang berpusat di Holland(Belanda).

Kebanyakan ahli jawatankuasa Silat Seni Gayong tidak bersetuju dengan cadangan penggabungan tersebut kerana mereka telah dapat menghidu pergerakan dan perancangan yang tidak baik oleh Tuan Raban, terutamanya Marco dan isterinya, Salleve yang telah lama mengenali Tuan Raban. Pasangan Marco menguruskan kelas Gayong di Coulommes, sebuah bandar di luar kota Paris.

Tuan Raban telah saya kenali sejak awal lagi dan beliau banyak menasihati saya dalam banyak perkara semasa saya mula-mula menjejakkan kaki di kota Paris. Saya seolah-olah telah terhutang budi dengan beliau. Sebagai ketua, saya tetap dengan keputusan saya untuk bergabung dengan Kesatuan Pencak Silat Perancis. Dan saya telah dilantik sebagai Pengarah Teknik Persilatan Kesatuan yang di bawahnya tergabung beberapa jenis pencak silat dari jurusan Setia Hati Teratai, Bandung Betawi, Helang Putih Jawa, Silat Bangau Putih dan Silat Seni Gayong Malaysia. Mesyuarat gabungan Kesatuan telah diadakan pada 1989 di Arken, Jerman, dan Perancis telah diterima dalam gabungan Pencak Silat Eropah.

Silat Seni Gayong Denmark

Setelah melihat pengurusan Gayong Perancis dapat dilaksanakan dengan baik, maka saya pun menghubungi Kesatuan Melayu Champa untuk menyambung kembali aktiviti silat. Saya telah berkunjung ke negara Denmark bersama dengan satu rombongan pertunjukan dari Paris. Saya berada di Denmark selama enam bulan sambil mengajar sekumpulan 50 orang pesilat di pusat sukan daerah di Hasleu dan sering berulang-alik ke Paris kerana menziarahi Qaudi yang sering menghadapi masalah kesihatan.


Bersama wakil Kesatuan Melayu Champa di Denmark.

Perkembangan silat di negara Denmark disambut dengan baik oleh masyarakat pelajar. Dalam waktu yang singkat sebuah kolej sukan yang berpusat di Ringsted dan berada di bawah program kebudayaan, melalui ketuanya Dr.Anton telah mempelawa saya mengajar Silat Seni Gayong Malaysia di kolej berkenaan di bawah sukatan pelajaran ko-kurikulum. Saya berkhidmat di kolej tersebut sebagai pensyarah sambilan selama setahun dan telah disambung oleh seorang pembantu saya bernama Mr.Thomas buat beberapa tahun berikutnya.

Visa

Pada satu hari semasa saya sedang mengajar seperti biasa di kelab Bastille, sekumpulan penguatkuasa telah datang untuk menangkap saya kerana telah menyalahgunakan visa pelajar untuk mencari pendapatan melalui kerjaya sebagai jurulatih silat profesional. Saya berasa bingung ketika itu dan saya telah ditahan di pusat tahanan sebelum proses penghantaran pulang ke Malaysia dapat dilakukan. Ketika itu barulah saya tahu bahawa segala rancangan ini telah dilakukan oleh Tuan Raban yang berasa tidak senang hati dengan perkembangan Silat Seni Gayong Malaysia di Paris, yang telah berkembang dengan begitu cepat sehingga mengatasi dan menggugat pengaruh beliau sebagai Master Silat di Perancis. Perkara ini berlaku setelah beliau mendapat khabar angin daripada setiap perguruan silat di Perancis bahawa mereka akan melantik saya sebagai Presiden Pencak Silat Perancis pada tahun berikutnya walaupun saya telah menegaskan bahawa saya tidak berhasrat untuk menyandang jawatan tersebut. Perkara ini sering saya tegaskan kepada beliau.

Sebagai Presiden, beliau tidak mahu terlibat untuk menyelesaikan masalah saya di tempat tahanan. Selama tiga hari saya tidak dibenarkan berjumpa sesiapa pun bagi menyelesaikan masalah saya itu, walaupun untuk diikat jamin. Di sinilah saya telah diuji oleh Allah S.W.T. Saya tidak makan selama tiga hari kerana berpuasa. Saya sekadar berbuka puasa dengan segelas air sejuk sahaja. Lagipun makanan yang disediakan adalah tidak halal (daging babi sahaja). Ini menyebabkan kebanyakan penguatkuasa di pusat tahanan menjadi risau dan hairan serta takut kemungkinan kalau-kalau saya akan mati dalam tahanan. Saya telah dipaksa untuk makan tetapi saya menyatakan bahawa saya berpuasa dan pada hari keempat mereka memberikan tawaran kepada saya untuk membenarkan saya berjumpa sesiapa asalkan saya bersetuju untuk makan. Jadi saya menerima tawaran tersebut dan meminta pegawai tersebut membenarkan saya berjumpa Qaudi, Cerol dan Oli serta membenarkan mereka membawa makanan untuk saya.

Pada lewat tengah malam, Qaudi dan Oli datang untuk melawat saya di pusat tahanan. Keadaan Qaudi yang agak tenat sentiasa dibantu bergerak oleh Oli dan Cerol. Kami telah berbual panjang dalam waktu yang terhad. Pada keesokan harinya saya dibenarkan keluar dengan bersyarat setelah dijamin oleh pegawai Kedutaan Malaysia, Encik Shahril (orang Gombak), yang telah bertugas hampir tiga tahun di Paris. Saya terpaksa meninggalkan Perancis dalam tempoh 48 jam. Dan setelah berbincang dengan kawan-kawan, destinasi saya seterusnya adalah kota London kerana di sana terdapat Pejabat Duta Besar Malaysia di Eropah.

Di London saya sentiasa dilawati oleh sebahagian besar murid saya dari seluruh Eropah setelah berita itu tersebar di kalangan ahli Silat Seni Gayong di sana, lebih-lebih lagi cerita saya berpuasa tanpa makan selama tiga hari walaupun ada dihidangkan banyak makanan di pusat tahanan. Dan natijah daripada peristiwa tersebut, semakin banyak perguruan silat menghormati dan mengagumi saya dan mereka berpendapat bahawa saya telah dapat menguasai tenaga dalam yang hebat.

Saya berada di London selama tiga minggu. Pada hari berikutnya saya telah didatangi oleh seorang insan yang sering saya nantikan kehadirannya bersama beberapa orang penting dalam hidup saya dan atas hajat dan permintaan serta pertolongan yang terakhir serta kerelaan daripada kami sendiri demi persahabatan yang ikhlas, saya memohon visa PR(penduduk tetap) melalui negara Denmark kerana antara ahli keluarga murid saya, ada yang mempunyai hubungan dengan orang dalam di negara tersebut. Saya amat terharu atas pengorbanan demi pengorbanan yang beliau berikan... (perkara ini tidak dapat saya ceritakan kerana ia akan terus menjadi rahsia abadi kami dunia dan akhirat). Dan setelah semuanya selesai, dengan dokumen yang sah saya pun memasuki kembali negara Perancis melalui negara Denmark dan kira-kira enam bulan berikutnya, saya berjaya mendapatkan visa PR serta kebebasan hidup sebagai warga Kota Paris yang penuh dengan misteri.

Setelah berada di Paris dan atas nasihat semua cawangan Silat Seni Gayong Perancis, kami pun mengambil keputusan untuk keluar daripada Kesatuan Pencak Silat Perancis. Walau bagaimanapun, kami masih mempunyai hubungan rasmi dengan Kesatuan Pencak Silat Eropah atas kehendak Kesatuan Pencak Silat Eropah sendiri kerana saya adalah antara master silat yang dihormati dan terkenal dengan gelaran "Master Black Tiger" di kalangan mereka terutamanya murid-murid saya di Eropah. (Sayugia diingatkan bahawa suatu ketika dahulu sewaktu saya mula-mula memasuki Silat Seni Gayong pada 1970, Dato' Meor Abdul Rahman telah digelar Black Tiger of Malaysia).

Tempur di Jalanan

Saya pulang ke rumah agak lewat kerana mengajar di kelab Marco di Coulommes, di luar Paris. Kebetulan perkhidmatan kereta api (Metro) ke bandar Paris menghadapi gangguan kelewatan. Apabila sampai di bandar, saya terus berjalan kaki mengikut jalan pintas dan cuba memotong melalui lorong di celah-celah bangunan yang agak gelap. Dengan tidak disangka-sangka saya telah dihalang oleh sekumpulan enam orang pemuda liar jalanan. Mereka cuba menyamun saya dengan menggunakan senjata pisau dan kayu. Seorang daripada mereka berkata bahawa jika saya hendak melalui kawasan itu maka saya perlu membayar tol. Saya mengambil keputusan untuk tidak akan mengunakan laluan itu, maka saya tidak perlu membayar apa-apa tol. Saya bercadang untuk berpatah balik menggunakan jalan lain. Mendengar penjelasan saya, salah seorang daripada mereka naik berang lalu terus menyerang saya menggunakan pisau sehingga menembusi jaket kulit yang saya pakai. Pisau tersebut seolah-olah melekat di perut saya dan saya dapat rasakan bahawa pisau tersebut direntap kembali oleh penyerangnya untuk mengulangi tikaman buat kali yang kedua. Ketika itulah seperti kilat saya menyambutnya dan melakukan gerak berselindung di antara celah-celah kumpulan tersebut sehinggakan mereka sesama sendiri menyerang satu sama lain dan ramai yang terkena serangan rakan sendiri. Saya berasa hairan mengapa serangan-serangan padu dan kuat tersebut tidak ditujukan kepada saya, yang telah bersedia menanti segala bentuk serangan. Dalam keadaan kelam-kabut tersebut ada penyerang yang rebah ke tanah dan mendapat cedera parah sedangkan saya cuma berdiri sebagai penonton sahaja. Saya melihat mereka rebah satu demi satu dan ada yang sampai tidak sedarkan diri, menjerit ketakutan dan ada yang lari dalam keadaan kesakitan macam dirasuk syaitan, walhal saya tidak bertindak apa-apa pun sekadar bertindak "langkah hindar diri" di celah-celah kumpulan tersebut. Saya melangkah pulang dengan langkah longlai sambil membalut luka di perut saya dengan baju silat, yang saya anggap luka akibat ditembusi pisau tersebut. Sepanjang perjalanan saya tidak sanggup melihat perut saya yang mungkin telah robek. Apabila sampai di rumah saya berasa diri saya diperhatikan dan kawan-kawan saya bertanya cemas,

"Kenapa dengan you ni, apa yang dah berlaku, kenapa dengan perut you?"

Saya tidak menjawab soalan-soalan tersebut. Saya terus bergegas ke bilik air. Saya membuka pakaian satu per satu dan kemudian barulah saya tahu bahawa saya tidak mengalami apa-apa luka mahupun calar. Pada masa yang sama di luar kedengaran suara-suara cemas. Mereka mengetuk-ngetuk pintu untuk mengetahui apakah sebenarnya yang telah berlaku. Lalu dengan suara selamba saya menjawab,

"You tadi masak pedas sangat dan sekarang ini saya kena cirit-birit dan tolong jangan ganggu saya. Saya sedang memerut ni."

Dari kejadian ini, saya bersembahyang hajat dan memanjatkan rasa syukur kerana telah dilindungi Allah atas peristiwa tadi.

Dicabar

Aktiviti harian saya berjalan seperti biasa. Selepas membantu di kafe, saya bergegas ke kelab di Bastille. Oli yang saya tugaskan membantu di kelab tersebut menghadapi masalah besar apabila dia dicabar oleh salah seorang tetamu yang tidak diundang. Kebetulan saya sampai di situ dan cuba meredakan pertengkaran tersebut. Saya memperkenalkan diri saya sebagai Master di situ. Dengan pantas lelaki tersebut mencabar saya di hadapan murid saya yang telah lama mengikuti latihan di kelab itu. Tampaknya di hadapan saya berdiri seorang tetamu yang ingin mencabar saya dengan pertaruhan bahawa beliau akan mengambil alih kelab itu jika saya tewas. Pada firasat saya beliau bukanlah orang sebarangan kerana dari segi susuk tubuhnya yang mantap beliau tentunya ahli seni bela diri yang mahir. Demi maruah, saya dengan tenang menerima cabarannya. Pemuda itu bertanya kepada saya apakah tawaran saya jika dia tewas. Dengan tenang saya menyatakan bahawa beliau tidak akan rugi apa-apa cuma saya berharap pemuda itu akan memaafkan saya dan dia tidak perlu datang ke sini lagi.

Saya mengarahkan anak murid saya supaya beredar dan jika hendak menonton boleh tetapi jangan membantu walau apa pun yang terjadi. Dengan kata-kata tersebut hampir semuanya ingin melihat kesudahan ceritanya. Saya menjemput orang tersebut ke tengah gelanggang. Dengan pantas beliau melompat ke tengah gelanggang dan membuat gerakan asas untuk memanaskan badan. Melihatkan kepada pergerakan tersebut, maka benarlah seperti sangkaan awal saya bahawa pemuda itu adalah seorang ahli bela diri yang mahir. Seperti biasa sebelum memulakan sesi latihan saya membuka gelanggang dan berdoa. Saya tidak diberi kesempatan untuk melakukan gerakan asas dan pemanasan badan. Saya berjabat tangan dengannya tanda pertarungan itu adalah perlawanan persahabatan. Beliau menyambut salam saya, dan ketika itulah saya menyatakan bahawa dia bertubuh tegap dan kuat, dan saya berkata lagi, saya hanya akan memegang salah satu daripada jari-jarinya sahaja dan membuat cabaran bahawa dengan pegangan tersebut dia tidak akan mampu bangun. Mendengar kata-kata saya tersebut beliau menjadi berang dan dengan pantas menghulurkan salah satu jarinya. Saya berkata lagi, "tuan harus baring". Ia pun baring dengan pantas tetapi secara menelentang. Saya menyuruh dia meniarap. Sebaliknya dia mengiring. Dia tidak faham arahan saya, lalu saya pun membetulkan kedudukannya satu persatu. Tanpa disedari saya pun melakukan pergerakan Buah Kunci Mati 18 Gayong serta gabungan Buah Silat Cucu Tok Kiyai (amat sesuai untuk orang yang sombong) sekadar memegang salah satu dari jarinya dengan lembut. Saya lalu mengarahkan dia bangun jika boleh. Sebaliknya apa yang berlaku kedengaran dia meraung kesakitan dan tidak berdaya kerana semakin kuat dia meronta semakin lemah dirinya sehinggakan dia menjadi tidak bermaya dan kehabisan banyak tenaga. Dengan suara yang terlalu perlahan beliau merayu agar saya melepaskannya dengan segera. Dengan perlahan saya pun melepaskan kuncian tersebut dan membantu pemuda itu bangun kerana dia berkeadaan terlalu lemah dan hampir tidak sedarkan diri. Saya segera mengarahkan Oli agar mengambil segelas air dan memberikan orang itu minum supaya segala sarafnya dapat berfungsi seperti sediakala. Saya segera meminta maaf dan membantu pemuda itu pergi ke bilik persalinan. Apabila saya kembali semula ke gelanggang, saya disambut dengan sorakan gembira oleh murid setia saya, sehinggakan ada yang menangis terharu sambil memeluk saya tanda gembira bercampur cemas takut-takut jika saya tewas kerana saya akan kehilangan kelab ini. Sesi latihan kali ini kami habiskan dengan duduk bercerita dan bersembang-sembang sambil diri saya diurut manja oleh anak-anak murid saya secara bergilir-gilir. Antara mereka ada yang bertanya mengapa mereka tidak pernah melihat atau diajar buah kunci mati dan saya menerangkan bahawa buah kunci mati adalah pelajaran yang paling tinggi dan saya tidak dibenarkan oleh Mahaguru (Dato' Meor Abdul Rahman) untuk mengajar buah tersebut kepada mereka di sini dan kalau mereka hendak mempelajarinya juga haruslah di gelanggang Malaysia. Itu pun kalau diizinkan oleh Mahaguru. Ini adalah janji saya sebelum dibenarkan mengajar di Eropah. Walau bagaimanapun, selepas mereka semua tamat dalam latihan kombat, saya akan mengajar mereka buah kombat pisau, tetapi mereka diingatkan supaya mestilah rajin datang latihan walaupun tanpa kehadiran saya.

"Kamu mestilah menghormati guru yang berada di hadapan walaupun bukan saya yang mengajar. Oli adalah wakil saya dan juga pembantu saya. Orang silat haruslah berbudi bahasa dan jangan sombong dan kita semua adalah bersaudara bukannya bermusuh. Kita bukan kuat. Kita bersilat kerana kita tidak kuat. Yang menjadikan kita kuat adalah ilmu silat. Hendak mendapat ilmu silat hanyalah menerusi latihan. Lebih kerap kita berlatih, lebih banyak kita menguasai ilmu silat." terang saya.

Sejak daripada peristiwa tersebut dan hasil nasihat yang diberikan, kedatangan dan sambutan murid kelab Bastille sungguh menggalakkan dan perhubungan kami menjadi terlalu rapat dan kumpulan inilah yang sering datang sebagai sahabat dan pelanggan di kafe Qaudi terutamanya pada malam minggu. Keadaan kafe menjadi penuh sesak dan riuh rendah dengan gelagat orang-orang Eropah.

Tawaran

Sedang Saya, Qaudi, Oli dan Cerol bersiap-siap berkemas untuk menutup kafe dan kebetulan keesokannya kami cuti, tiba-tiba muncul sebuah kereta limusin panjang berwarna hitam berhenti di hadapan kami dan Batrik, anak murid saya keluar sambil mempelawa kami menaiki keretanya. Beliau menyatakan bahawa abangnya ingin berjumpa dengan saya. Kami agak bingung kerana tidak menyangka Batrik yang pendiam serta pemalu itu mempunyai kemewahan yang sukar dimiliki oleh kebanyakan warga kota Paris. Batrik yang kami kenali berketurunan kacukan Latin jarang sekali mengikuti kumpulan kami. Malah, setiap kali selepas habis latihan, beliau segera pulang sambil ditemani oleh beberapa orang pemuda. Kini barulah kami tahu bahawa pemuda-pemuda tersebut adalah pengawal peribadinya.

Kami menerima pelawaannya. Kereta yang kami naik terlalu besar sehinggakan walaupun kami berlima menaikinya masih banyak lagi ruang di dalamnya. Kereta limo tersebut dilengkapi televisyen, telefon dan bar mini. Sepanjang perjalanan, kereta yang kami naiki diiringi oleh beberapa kereta pengiring yang dipandu oleh pengawal peribadi Batrik. Sepanjang perjalanan tersebut kami rasakan kami benar-benar seperti orang yang terkaya di kota Paris. Perjalanan kami mengambil masa hampir dua jam. Kami sampai di sebuah rumah yang besar dan mewah. Di dalam rumah tersebut terdapat beberapa orang yang berpakaian kemas dan segak dengan pakaian seragam. Mereka memberi hormat kepada kami. Batrik mengiringi kami ke ruang makan yang telah tersedia dengan hidangan makanan yang terlalu banyak. Batrik menyatakan bahawa semua makanan itu adalah tempahan khas buat kami dan adalah halal dan beliau meyakinkan saya bahawa tukang masaknya beragama Islam dan berbangsa Arab sambil memperkenalkan tukang masaknya kepada saya. Tukang masak tersebut memberi salam kepada saya dan saya pun menjawab salamnya. Tidak lama kemudian muncul seorang yang agak lanjut usia dan berpakaian kemas serta diperkenalkan bahawa beliau adalah Mr Asusta, abang kepada Batrik orang yang ingin berjumpa saya. Beliau memanggil saya Master Mufti dan menyebut nama Qaudi, Oli dan Cerol seolah-olah beliau telah lama mengenali kami. Mungkin kami telah dikenalkan oleh Batrik sebelum ini. Kami dijemput menikmati hidangan sehinggakan kami tidak larat makan. Perbualan kami bertambah rancak dan mesra dan beliau banyak mengucapkan rasa terima kasih beliau kepada saya kerana sudi menerima adiknya belajar silat.

Di tengah-tengah perbualan kami, tiba-tiba Mr Asusta ingin berbincang secara dua pasang mata dengan saya. Saya agak tersentak lalu memandang Qaudi untuk meminta isyarat izin. Isyarat itu difahami oleh Qaudi. Saya dan Mr Asusta pun beredar ke sebuah bilik bacaan dan kami telah berbincang tentang perkara "tawaran". Beliau menawarkan saya agar menjadi ketua dalam sebuah kumpulan Kuasa (...) yang saya anggap salah di sisi undang-undang dan tawaran kedua bersedia untuk melindungi adiknya manakala tawaran ketiga tinggal di rumah itu dengan segala bentuk kemewahan. Saya tidak memberi sebarang jawapan malah saya berharap dapat diberikan sedikit waktu untuk saya menimbangkannya. Saya berkata saya akan memberikan jawapannya kepada Batrik dan saya meminta beliau menerima dengan hati terbuka walau apa pun jawapan saya kepada Batrik kerana itu adalah muktamad.

Kami dihantar pulang hampir larut malam, walaupun dipelawa supaya bermalam sahaja di rumah itu. Sepanjang malam saya tidak bercakap langsung tentang tawaran tersebut walaupun didesak berkali-kali oleh Qaudi, Oli dan Cerol. Walau apa pun saya harus berjumpa sendiri dengan Batrik untuk memberikan jawapan sama ada "ya atau tidak" dalam masa yang terdekat. Setelah dua hari berfikir, saya membuat keputusan untuk berjumpa Batrik di sebuah restoran. Hanya kami berdua sahaja yang hadir dalam pertemuan itu. Kini barulah saya tahu isi hati sebenar Batrik apabila dia menyatakan harapan peribadinya kepada saya dan harapan itu tidak dapat saya penuhi termasuklah tawaran daripada abangnya. Saya juga menyatakan bahawa tujuan saya ke Eropah adalah murni dan walaupun menghadapi pelbagai halangan dan cabaran akan saya hadapinya sendiri sambil menyebut peribahasa "Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri". Dan saya lebih rela hujan batu di tempat sendiri, dan saya akan pulang ke tanah air pada suatu masa dan ketika nanti, tapi bukanlah sekarang. Yang pastinya saya tetap akan pulang. Pada akhir pertemuan beliau meminta izin untuk memeluk erat saya buat kali pertama dan terakhir kerana beliau tidak akan bertemu saya lagi dan tidak akan meneruskan latihan silat kerana adalah lebih baik bagi kami berpisah demi menyelesaikan masalah ini. Saya pun pulang dengan perasaan lega dan sememangnya kepulangan saya telah ditunggu oleh sahabat karib saya. Cuma apa yang dapat saya katakan kepada mereka bahawa semuanya telah selesai.

KE BAHAGIAN 3