Ilmu Kebatinan Diragui

Soalan: Cuti panjang yang lalu saya mempelajari ilmu kebatinan mempertahankan diri yang membolehkan saya bersilat biarpun saya tidak pernah mempelajarinya sebelum itu. Kalimah-kalimah yang diamalkan terdiri daripada ayat-ayat Al-Quran dan doa-doa lain yang jelas tidak bertentangan. Saya rasa sangsi tentang ilmu yang saya pelajari itu setelah beberapa orang teman menasihati supaya tidak mengamalkannya lagi. Saya amat berterima kasih sekiranya ustaz dapat menjelaskan keraguan saya itu.

- SULAIMAN MANSOR,Sungai Buloh, Selangor.

Jawapan: Ilmu yang saudara pelajari, yang saudara anggap sebagai ilmu kebatinan itu masih ada dipelajari oleh masyarakat kita, malah namanya juga berbeza, menurut sebutan tempatan. Tetapi unsur-unsur yang wujud dalam amalan itu adalah sama.

Memang benar amalan ilmu yang saudara pelajari itu melibatkan bacaan Al-Fatihah, zikir-zikir, seperti perkataan subhanallah, Allahu akbar, kalimah syahadah dan sebagainya, yang perlu dibaca dalam hati dengan penuh khusyuk dan tawaduk ketika pengijazahan diturunkan.

Nama-nama tertentu, terutamanya nama-nama panglima, seperti Hang Tuah, Hang Jebat, Panglima Hitam dan sebagainya, termasuk nama-nama yang tidak pernah didengar atau diketahui perlu disebut, atau diniat dalam hati ketika hendak melakukan latihan. Setelah pengijazahan diberi, orang yang terlibat akan merasai adanya satu kuasa di luar kehendak/ikhtiar manusia dalam tubuh orang yang menuntut ilmu tadi. Pada kebiasaannya orang yang menurunkan ijazah ini akan menyuruh muridnya membiarkan pergerakan itu terus terjadi tanpa ditahan atau disekat. Dengan itu maka tangan dan kaki akan bergerak sendiri, seperti menggenggam, menepis, melakukan kekuda, tusukan, dan sebagainya, tidak ubahnya seperti orang yang bersilat. Segala gerak-geri ini akan menjadi lebih rancak sekiranya murid tersebut pernah mempelajari ilmu persilatan secara fizikal. Walaupun demikian, seseorang yang arif akan dapat melihat kejanggalan langkah, tumbukan dan sebagainya yang terjadi pada mereka yang tidak pernah mempelajari ilmu persilatan.

Orang yang sedang beraksi sedemikian rupa ada kalanya berada dalam keadaan sedar seperti biasa, tetapi ia tetap merasa tentang adanya satu kekuatan dalam diri,membolehkan dia bersilat di luar kehendaknya. Ada juga yang bersilat ketika itu dalam keadaan separuh tidak sedar. Segala perlakuan yang berlaku juga adalah di luar kawalan.

Sesetengah orang akan mendengar desiran angin, deruan ombak dan sebagainya sebelum kedatangan kuasa yang membolehkan dia bersilat sendiri. Ada pula mereka yang menggigil hujung-hujung tangannya dan terasa seram sejuk lalu akhirnya akan terjadi apa yang dijelaskan tadi. Ini biasanya terjadi pada mereka yang berada dalam keadaan separuh tidak sedar ketika bersilat.

Mereka yang mempelajari ilmu seperti ini pada hakikatnya tidak memahami apakah yang sebenarnya terjadi, dan kekuatan jenis apa yang meresap dalam tubuh yang membolehkan seseorang itu bersilat. Kekuatan bertambah dan berupaya melakukan pergerakan yang tidak boleh dilakukan dalam keadaan biasa. Sesetengah orang beranggapan bahawa hal demikian terjadi hasil daripada resapan roh syeikh-syeikh atau roh panglima-panglima yang diseru pada permulaan persilatan.

Amalan seperti ini memang menarik kerana ia melibatkan natijah yang menakjubkan. Paling meyakinkan ialah zikir-zikir yang perlu diamalkan pada masa-masa tertentu, yang melibatkan sebutan kalimah syahadah, kalimah-kalimah Allahu akbar, subhanallah, selawat dan sebagainya, yang melibatkan bilangan yang banyak yang perlu dibaca sehingga enam puluh ribu kali setiap satu. Ia mesti dihabiskan dalam tempoh tertentu dan berturutan. Sekiranya seseorang itu lupa melakukan pada hari-hari tertentu, dia perlu mengulanginya dan mengira dari zero semula.

Selain itu mereka yang menuntut itu dinasihatkan supaya jangan meninggalkan sembahyang, perbanyakkan puasa sunat, jangan mengamalkan ilmu yang dituntut untuk kepentingan diri, bukan untuk ditunjuk-tunjuk dan sebagainya. Hal seumpama ini menjadikan seseorang itu merasakan bahawa ilmu yang dituntut itu tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Ada orang yang bersyukur mempelajari ilmu seperti ini kerana dengan mempelajarinya dia mula berjinak-jinak dengan sembahyang, mula sembahyang sunat, puasa sunat dan sebagainya. Allah telah memberi hidayah kepadanya dengan menemukan ilmu seperti itu.

Dakwaan adanya resapan roh-roh panglima seperti yang disebut di atas adalah meragukan. Roh orang mati akan menerima dua nasib. Roh orang yang beriman menerima nikmat dan ditempatkan di Illiyyin, manakala roh orang kafir akan menerima seksa terpenjara di Sijjin. Roh-roh ini tidak akan turun ke dunia kecuali dengan izin Allah. Roh orang mati syahid hidup di sisi Allah dan diberi rezeki (Ali-Imran:169).

Roh-roh ini tidak boleh turun ke dunia kecuali dengan izin Allah (Al-Qadr:4). Roh orang kafir kalau ditakdirkan turun ke dunia tidak mahu balik ke alam barzakh kerana hidup di dunia lebih baik, tidak diseksa dan tidak diperlihatkan neraka pagi dan petang. Roh ini akan memohon kepada Allah agar dihidupkan semula untuk beriman kepada-Nya (AL-Mukminun:99-100).

Di antara alam dunia dan alam arwah terdapat batasan yang tidak dapat ditembusi, iaitu alam barzakh, kecuali dengan izin Allah. Kalaulah ditakdirkan roh itu turun ke dunia, ia kan hanya berupaya menyaksikan kelakuan manusia, tidak meresap dalam tubuh membolehkan seseorang itu bersilat, atau menyebabkan kekuatan seseorang itu berganda.

Sekiranya dalam satu gelanggang itu terdapat dua orang yang berniat supaya roh seseorang, seperti roh Hang Tuah datang misalnya, kedua-dua orang ini akan didatangi oleh apa yang dipanggil sebagai roh Hang Tuah membolehkan kedua-duanya bersilat dalam satu masa. Allah S.W.T. menjadikan manusia itu mempunyai satu roh. Dalam hal ini, roh kepunyaan siapakah yang meresap pada salah seorang daripada mereka berdua?

Ilmu ini bukan merupakan amalan atau sunnah Rasulullah S.A.W. ikutan Khulafaur Rasyidin, para tabiin atau ulama salaf. Syarat-syarat untuk mematuhi ajaran Islam dan menjauhi segala larangan yang dijelaskan sebenarnya tidak perlu dimasukkan dalam syarat mempelajari ilmu seperti ini. Syarat-syarat tersebut merupakan sesuatu yang wajib dilakukan oleh setiap orang Islam, bukan hanya setelah mempelajari ilmu kebatinan yang disebutkan tadi. Terbukti bahawa orang yang mempelajari ilmu seperti ini, tetapi tidak patuh kepada syarat-syarat yang dikenakan, seperti tidak sembahyang, melakukannya untuk pertunjukan dengan rasa menonjolkan diri tetap memperolehi sesuatu seperti yang diperolehi oleh mereka yang patuh pada syarat-syarat yang dikenakan. Amalan ini tidak semestinya terjadi pada setiap waktu yang dikehendaki, terutamanya ketika dalam keadaan darurat.

Kalaulah ilmu ini merupakan satu cabang ilmu yang memberi manfaat kenapa tidak dihantar sahaja mereka yang mempelajarinya ke mana-mana negara untuk berperang atau bertempur dengan mereka yang memusuhi Islam.

Andainya amalan ini sesuatu yang hakikat tentunya Rasulullah S.A.W. ad mengajarkannya kepada para sahabat ataupun tabiin yang terkemudian daripadanya. Amalan ilmu kebatinan ini hakikatnya ada kaitannya dengan amalan menurun, yang didakwa sebagai diresapi oleh roh-roh datuk nenek, roh syeikh-syeikh, rijalul ghaib dan sebagainya. Bezanya, amalan ini membolehkan seseorang itu bersilat dan sebagainya, manakala menurun melibatkan amalan rawatan, menilik nasib dan sebagainya, tetapi konsep atau ciri-ciri yang wujud dalam kedua amalan itu tetap sama, di mana tubuh manusia ketika itu hanya merupakan rangka yang dikuasai oleh makhluk yang meresap dalam tubuh manusia.

Ilmu kebatinan yang saudara sangsikan ini boleh dipelajari dalam masa yang singkat. Saudara boleh bersilat setelah pemberian ijazah dan menyempurnakan syarat-syarat tertentu yang dikenakan, seperti pembayaran wang dalam jumlah tertentu, mandi limau, kain dan sebagainya. Akal kita sendiri pun sukar hendak menerima bagaimana dengan pengijazahan seperti ini seseorang itu boleh bersilat, berlawan dalam tempoh masa yang panjang atau berupaya mengelak serangan dari belakang dan tidak dat dilihat dengan mata kasar.

Terlalu banyak bukti yang boleh dikemukakan untuk menyatakan bahawa amalan kebatinan yang saudara tuntut dan amalkan itu adalah sesuatu yang terlalu meragukan dan tidak wajar dilakukan.

- DR.AMRAN KASIMIN, Universiti Kebangsaan Malaysia