Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman dari kaca mata Datin Paridah, isteri keduanya
Datin Paridah binti Yusof ialah isteri kedua Mahaguru Dato'Meor Abdul Rahman. Beliau mempunyai tali persaudaraan dengan Dato'Meor Abdul Rahman. Ibunya, Nuteh binti Alang Abdul Rahman ialah kanda sepupu kepada Dato'Meor Abdul Rahman.Mengenang kembali detik-detik pertemuannya dengan Dato' Meor Abdul Rahman, beliau menyatakan, ketika beliau pulang dari sekolah(umur belasan tahun) pada tahun 1941, beliau terlihat seorang tetamu lelaki berada di rumahnya. Tetamu lelaki tersebut telah terlihat kelibat Datin Paridah. Datin Paridah memasuki rumahnya melalui pintu dapur. Dato' Meor Abdul Rahman kemudian bertanyakan bonda Datin Paridah, siapa dia anak gadis yang beliau lihat masuk ke dalam rumah. Lalu dijawab oleh bonda Datin Paridah, "Itulah dia Anin(nama manja Datin Paridah)…" "Ohh…dah besar panjang rupanya." balas Dato' Meor Abdul Rahman.
Bonda Datin Paridah pun memanggil Datin Paridah untuk diperkenalkan dengan saudaranya(Dato' Meor Abdul Rahman). Dato' Meor Abdul Rahman kemudian melukis bentuk tapak kaki Datin Paridah(dengan tujuan untuk mengukur saiz kasut) sambil memicit-micit kaki Datin Paridah. Kemudian, Dato' Meor Abdul Rahman pun menyatakan hasrat hatinya ingin menyunting Paridah untuk dijadikan isteri keduanya. Hajatnya direstui oleh bonda Datin Paridah tetapi ditentang oleh saudara-mara Datin Paridah yang lain kerana memikirkan Dato' Meor Abdul Rahman diketahui telah pun beristeri, iaitu Che Kalsom. Sewaktu majlis pernikahan berlangsung, berlaku bermacam-macam kekecohan kerana halangan daripada saudara-mara Datin Paridah yang lain sehingga memaksa Tuan Kadi pulang ke rumah. Kemudian kira-kira jam 3.00 pagi, seisi rumah Datin Paridah menjadi gempar apabila Dato' Meor Abdul Rahman datang bersenjatakan badik, bersama-sama dengan Tuan Kadi dan meminta agar majlis pernikahannya dilangsungkan segera. Melihat kepada tindakan Dato' Meor Abdul Rahman yang begitu nekad dan dikhuatiri akan mengamuk jika tuntutannya tidak diikuti, maka pada malam tersebut Dato' Meor Abdul Rahman akhirnya selamat diijabkabulkan dengan Datin Paridah.
Selepas berkahwin, Datin Paridah telah dibawa tinggal bersama di Singapura. Datin Paridah mengakui bahawa beliau sebenarnya tidak berapa pandai memasak kerana sewaktu di rumahnya dahulu segala aktiviti masak-memasak diserahkan oleh bondanya kepada kekandanya. Tugas Datin Paridah hanyalah tekun belajar di sekolah dan bila lulus nanti diminta menjadi guru. Di Singapura, apabila diminta menanak nasi, banyak nasi yang mentah terpaksa dibuang ke dalam longkang. Lama kelamaan beras di rumah mereka telah kehabisan. Apabila berita ini sampai ke pengetahuan Dato' Meor Abdul Rahman, Datin Paridah telah dipanggil dan dipukul dengan ranting kayu.
Di Singapura, Datin Paridah bergiat cergas dalam aktiviti belia dengan mengadakan kelas menjahit(embroidery school). Datin Paridah amat sukakan suasana di Singapura kerana mempunyai ramai kenalan.
Mengimbas kembali kenangan hidupnya bersama Dato' Meor Abdul Rahman, menurut beliau Dato' Meor Abdul Rahman ini berkulit agak gelap dan disayangi oleh bondanya, Sharifah Aluyah manakala kekandanya Meor Abdul Aziz berkulit cerah dan disayangi oleh ayahandanya Uda Mohd.Hashim. Dato' Meor Abdul Rahman ini, menurut Datin Paridah tidak boleh digerakkan daripada tidur dengan sebarangan. Padah akibatnya kerana Dato' Meor Abdul Rahman kuat melatah apabila terkejut daripada tidur. "Pantang terkejut, penumbuklah sampai…" jelas Datin Paridah. Biasanya Dato' Meor Abdul Rahman akan bangun dengan sendiri daripada tidur. Beliau selalunya bangun awal pagi dan akan menghabiskan banyak masa di dalam bilik air dengan mandi sambil mengamalkan bacaan-bacaan doa untuk mempertingkatkan ilmu silatnya. Masalah yang timbul ialah apabila Dato' Meor Abdul Rahman, yang ketika itu bertugas sebagai CID, meminta Datin Paridah membangunkannya pada awal pagi jika beliau mempunyai tugas-tugas polisnya pada waktu itu. Datin Paridah terpaksa mengambil sebatang kayu panjang untuk menggerakkan Dato' Meor Abdul Rahman daripada tidurnya. "Kena duduk jauh-jauh, ambil kayu dan jolok. Takut penumbuk sampai dan hidung pecah baru ditanya apa hal kejutkan dia…" kata Datin Paridah sambil ketawa apabila mengingatkan peristiwa tersebut.
Menurut Datin Paridah, Dato' Meor Abdul Rahman ini memang garang orangnya, tetapi jika kita berlembut dengannya beliau akan berlembut dengan kita. Tetapi jika seseorang berkeras dengannya, beliau akan turut berkeras sama. Semasa kecilnya beliau pernah melawan cakap ayahnya, Uda Mohd.Hashim yang terkenal garang dan bengis. Beliau terpaksa melarikan diri akibat dikejar oleh ayahandanya dan terpaksa terjun ke dalam perigi untuk menyelamatkan diri.
Menurut Datin Paridah lagi, Dato' Meor Abdul Rahman jika hendak marah tidak dapat dijangkakan. Walau bagaimanapun, Dato' Meor Abdul Rahman tidak marah dengan tidak bertempat. Biasanya ada punca yang menimbulkan kemarahannya. Datin Paridah biasanya suka berlembut dengan Dato' Meor Abdul Rahman. Datin Che Kalsom, isteri Dato' Meor Abdul Rahman yang pertama pula sangat tegas dan gemar melawan apabila dimarahi oleh Dato' Meor Abdul Rahman. Pernah suatu ketika, Meor Abdul Rahman telah memarahi anak-anaknya kerana selalu pulang lewat daripada sekolah. Lalu beliau ditegur oleh Datin Che Kalsom. Dato' Meor Abdul Rahman telah memberi amaran agar Datin Che Kalsom jangan campur tangan dalam urusannya. Oleh kerana masih berdegil, Meor Abdul Rahman mengugut akan menembak Datin Che Kalsom jika terus berdegil melawan cakapnya. Lalu Datin Che Kalsom mencabar Dato' Meor Abdul Rahman supaya menembaknya jika beliau mempunyai keberanian. Dato' Meor Abdul Rahman telah menembak hujung kepala Datin Che Kalsom dengan pistolnya dan mengenai hujung rambutnya. Datin Kalsom terus mencabar agar dirinya ditembak sahaja sehingga mati. Lalu Dato' Meor Abdul Rahman terus melepaskan beberapa das tembakan lagi tetapi dilencongkan daripada sasaran sebenar. Begitulah sikap Dato' Meor Abdul Rahman yang pantang dicabar.
Dato' Meor Abdul Rahman sangat suka melayan anak-anak muridnya yang datang mengunjungi beliau di Taiping. Kadang-kadang suatu rombongan boleh terdiri daripada 50-60 orang pelawat. Biasanya Datin Paridah akan ditugaskan menyediakan air minuman. Air terpaksa dijerang dalam cerek besar. Dato' Meor Abdul Rahman pula akan duduk melayan tetamu yang datang.
Dato' Meor Abdul Rahman mempunyai dua orang anak kandung daripada isteri pertamanya iaitu Siti Fadzillah dan Siti Noraisyah. Kedua-dua beradik ini sering menyertai pertandingan ratu kebaya di Singapura, dan sering bertukar-tukar tempat pertama dan kedua.
Siti Noraisyah meninggal dunia dalam usia yang masih muda iaitu 19 tahun, setelah menderita sakit-sakit secara tiba-tiba selama dua minggu. Beliau dipercayai telah terlangkah suatu benda ketika melalui kawasan kuil Hindu. Kematian Siti Noraisyah amat menyedihkan Dato' Meor Abdul Rahman kerana Siti Noraisyah adalah anak kesayangan beliau(raut wajahnya mempunyai iras wajah bapanya, Dato' Meor Abdul Rahman). Siti Noraisyah mahir dalam permainan Seni Cindai dan diharapkan oleh bapanya untuk membantu beliau mengembangkan Silat Seni Gayong kelak. Pemergian Siti Noraisyah telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada hidup Dato' Meor Abdul Rahman. Berikutan dengan pemergian Siti Noraisyah, fikiran Dato' Meor Abdul Rahman telah mengalami sedikit gangguan. Buat beberapa ketika beliau kelihatan seolah-olah telah kehilangan akal. Dirinya dibiarkan tidak terurus dengan janggutnya dibiarkan tumbuh panjang seperti janggut benggali. Siti Fadzillah pula tidak berapa suka bersilat dan sering merungut apabila diarah berlatih silat.
Dari segi mendidik anak, Dato' Meor Abdul Rahman adalah seorang yang tegas, lebih-lebih terhadap anak perempuan. Pernah suatu masa ketika di Taiping, anakandanya Sera dan cucunya Matun telah disuruh oleh Datin Paridah agar membeli seekor ayam apabila pulang daripada sekolah. Datin Paridah telah terlupa untuk memaklumkan kepada Dato' Meor Abdul Rahman berkenaan hal tersebut.Oleh kerana Sera dan Matun belum kembali ke rumah pada masa yang sepatutnya, maka Dato' Meor Abdul Rahman telah mengambil sebatang ranting kayu dan menunggu mereka di hadapan rumah. Sebaik sahaja kedua-dua mereka sampai ke rumah sambil membawa ayam yang dipesan, Dato' Meor Abdul Rahman tanpa bertanya mengapa mereka lewat sampai ke rumah telah memanggil mereka seorang demi seorang lalu terus dirotan berkali-kali. Mereka telah dimarahi kerana pulang lewat dari sekolah. Setelah diterangkan oleh Datin Paridah sebab-sebab mengapa mereka lewat pulang daripada sekolah, barulah kemarahan Dato' Meor Abdul Rahman reda. Beliau berkata mengapa tidak memberitahunya awal-awal lagi.
Dari segi penampilan diri pula, Dato' Meor Abdul Rahman ini sentiasa segak dan berpakaian kemas. Anakandanya, Siti Kalsom ditugaskan menjaga urusan pakaian Dato' Meor Abdul Rahman. Beliau dikehendaki menggosok pakaian Dato' Meor Abdul Rahman sehingga betul-betul tajam sisi pakaian yang digosoknya. Jika Dato' Meor Abdul Rahman hendak pergi ke mana-mana, semua kelengkapannya perlu disiapkan. Kot, tali leher, pantelon, stokin dan sebagainya. Kasut beliau juga perlu sentiasa dikilatkan. Jika terdapat satu-satu kekurangan, Siti Kalsom akan dihukum ketuk ketampi.
Datin Paridah juga pernah mengikuti Dato' Meor Abdul Rahman bermotosikal dari Singapura ke Perak. Dengan berpakaian seperti orang muda, iaitu berpakaian jeans, mereka akan mengikuti konvoi 50 motosikal Triumph. Di Perak, mereka telah singgah di Pokok Assam, iaitu di rumah ayahandanya, Uda Mohd. Hashim. Isteri pertama beliau, Datin Che Kalsom tidak begitu minat untuk berjalan jauh kerana telah mempunyai anak.
Satu pengalaman menarik yang tidak dapat dilupakan oleh Datin Paridah ialah ketika diarahkan berjalan di atas bara api di Singapura. Ketika itu beliau bersama-sama Kasma Booty, pelakon filem Malay Film Production, Studio Jalan Ampas serta murid-murid Gayong yang lain telah diminta berjalan di atas bara api untuk diuji tekad dan keberanian masing-masing. Kasma Booty, menurut Datin Paridah adalah seorang yang sangat patuh terhadap suruhan guru. Apabila disuruh berjalan di atas bara api, beliau tanpa banyak soal telah berjalan di atas bara api tersebut. Pada awalnya, suami beliau Booty amat bimbangkan tentang keselamatan isterinya, Kasma. Maklumlah, Kasma Booty adalah bintang filem yang tengah naik namanya ketika itu. Jadi, jika berlaku sesuatu hal yang tidak diingini terhadapnya, tentulah masa depannya dalam dunia perfileman akan turut malap. Tetapi apabila Booty berjaya diyakinkan oleh Dato' Meor Abdul Rahman, barulah beliau berasa sedikit lega. Semua murid Dato' Meor Abdul Rahman tanpa mengira jantina dikehendaki melalui ujian berjalan di atas bara api tersebut. Menurut Datin Paridah, untuk berjalan di atas bara api, hati kita perlulah bersih dan jangan ada sebarang perasaan yang tidak baik seperti dendam dan sebagainya.
Menurut Datin Paridah lagi, Dato' Meor Abdul Rahman tidak mengamalkan pilih kasih dalam menurunkan pelajaran silatnya. Semua anak-anak muridnya, termasuk ahli keluarganya sendiri(isteri dan anak-anak) dimestikan bersilat dan akan dihukum jika melakukan kesalahan. Biasanya hukumannya adalah dalam bentuk ketuk ketampi. Siti Kalsom, menurut Datin Paridah pernah dihukum membuat ketuk ketampi sebanyak 500 kali. Beliau telah dihukum bersama-sama dengan empat orang rakan sepelatihnya(antaranya Faridah, isteri Ahmad Lazim). Mereka dikehendaki melakukan ketuk ketampi secara serentak iaitu dengan memegang tangan antara satu dengan lain. Dato' Meor Abdul Rahman menurut Datin Paridah akan berkeliling sambil memegang rotan. Jika dirasakan hukuman tersebut dibuat sambil lewa, rotan tersebutlah akan singgah ke belakang badan Siti Kalsom dan rakan-rakannya. Kerana terlalu kerap dihukum ketuk ketampi, paha Siti Kalsom dikatakan telah menjadi keras seperti besi. Menurut Datin Paridah, kuda-kuda kita adalah seperti tiang rumah. Jika tiang tidak kukuh, maka rumah akan runtuh. Apabila Siti Noraisyah meninggal dunia, Siti Kalsom mengambil alih tugas membantu ayahandanya mengembangkan Silat Seni Gayong.
Menurut Datin Paridah, Siti Kalsom pernah dilamar oleh Raja Muda Perak. Kekanda Raja Muda Perak telah membawa hantaran serba kuning tetapi Dato' Meor Abdul Rahman tidak bersetuju dengan perkahwinan tersebut kerana Siti Kalsom diperlukan untuk mengembangkan Silat Seni Gayong. Menurut Dato' Meor Abdul Rahman, tiada Siti Kalsom, bermakna tiadalah Seni Gayong. Dato' Meor Abdul Rahman dan Datin Paridah juga kerap pergi ke istana Perak, kerana menghadap Sultan Perak, yang ketika itu menjadi Penaung Agung Silat Seni Gayong Malaysia dan Serantau. Menurut Datin Paridah, Dato' Meor Abdul Rahman akan duduk di atas kerusi yang dikhaskan untuk kerabat diraja walaupun cuba dihalang oleh Datin Paridah. Datin Paridah pernah terdengar cerita berkenaan jin-jin kerajaan negeri Perak yang menghuni istana tersebut, dan puteri-puteri jin akan turun jika terdapat anak raja yang sakit. Dato' Meor Abdul Rahman apabila mengenangkan bahawa beliau pun daripada keturunan Raja Bugis, maka beliau pun buat endah tidak endah sahaja berkenaan cerita jin-jin istana tersebut. Sultan Perak sekarang dikatakan telah membina istana baru kerana tidak mahu diganggu jin-jin kerajaan.
Menurut Datin Paridah, Dato' Meor Abdul Rahman gemar memakan gulai ikan bawal dimasak kari(tanpa tulang). Sewaktu Dato' Meor Abdul Rahman sedang sakit, Siti Kalsom sering kelihatan bersama ayahandanya untuk menerima amanat dan wasiat. Pada waktu begini, biasanya Datin Paridah akan ke dapur untuk memasak.
Datin Paridah pernah meminta cincin bermata hijau yang dipakai oleh Dato' Meor Abdul Rahman sebagai tanda kenang-kenangan. Tetapi apabila diberitahu bahawa cincin tersebut adalah lambang tanggungjawab kepada Gayong, Datin Paridah terpaksa membatalkan niatnya ingin memiliki cincin tersebut. Pada masa sekarang, cincin bermata hijau tersebut dipakai oleh Siti Kalsom sebagai Pemegang Amanah Silat Seni Gayong Malaysia.