SENI SILAT DI ZAMAN KEMAJUAN - di mana tempatnya

Wawancara Abdul Ahmad dengan Dato' Meor Abdul Rahman(Dewan Masyarakat, Oktober 1975)

Dato' Meor Abdul Rahman bin Daeng Uda Hashim (60 tahun), yang mempelajari ilmu silat dari datuknya Allahyarham Syed Zainal bin Syed Idris Al-Attas, mula memperkembangkan Silat Seni Gayongnya di Pulau Sudong dalam tahun 1942. Tahun berikutnya (1943) beliau dipenjara di Taiping kerana aktivitinya itu. Beliau dihukum gantung oleh pemerintah Jepun ketika itu kerana dianggap menderhaka tapi campurtangan datuknya ia dibebaskan. Sebelum menjadi Mahaguru silat kepada 100,000 murid pernah berkhidmat sebagai mata-mata gelap dan penghulu di Pulau Sudung. Hingga saat ini ramai pembesar negeri belajar ilmu silat dengannya, antaranya Tengku Laksamana Kedah, Tengku Kassim - orang pertama memperkenalkan Silat Seni Gayong di Kedah.

Cita-citanya tinggi, memperluas Silat Seni Gayong ke seluruh Asia. Pernah melawat ke luar negeri seperti Australia dan Hong Kong untuk tujuan ini. Semasa di Jepun memperkenalkan silat dalam Expo 1970, di Osaka. Kerana jasa-jasanya beliau dianugerahkan pingat Datuk Cura Si Manjakini oleh Sultan Perak pada tahun 1971. Pada tahun 1947 sebelumnya, beliau menerima anugerah King George ke-VI. Wakil DM ABDUL AHMAD, menemui beliau di rumahnya di Taiping 20 September lalu.

SOAL: Seni silat di negara ini telah melalui zaman pasang surutnya. Beberapa tahun dulu ia hampir lenyap, tetapi sekarang berkembang begitu pesat dan mengkagumkan. Kenapa Dato'?

JAWAB: Silat kita ibaratkan sebagai perahu. Kalau perahu boleh belayar dengan baik dan berjaya, maka yang lain pun akan ikut; kemudiannya akan berlumba. Begitu juga dengan silat. Tambahan sekarang terdapat banyak ancaman pengganas yang menjahanamkan harta benda dan membunuh manusia tanpa perikemanusiaan. Inilah menimbulkan semangat kepahlawanan Melayu. Orang Melayu ibarat kucing, takut tapi sambil lari berpaling ke belakang. Kalau sudah tersepit, dia menerkam dan menggigit. Saya rasa inilah yang menimbulkan kembali semangat silat orang Melayu, setidak-tidaknya sebagai persediaan dalam masa-masa kecemasan.

SOAL: Bagaimana kalau saya kata bahawa Peristiwa 13 Mei 1969 juga turut menyemarakkan lagi semangat silat ini?

JAWAB: Sebenarnya peristiwa berdarah itu berada di peringkat ketiga perkembangan silat sekarang. Peringkat pertama ialah semasa pendudukan Jepun di Malaya dan kedua semasa Darurat.

SOAL: Apakah peranan sebenar silat sekarang kerana kita lihat ia sudah dibawa di semua jenis upacara bukan setakat di majlis kenduri saja. Dan juga apakah kita harus mengekalkan pertunjukan silat di majlis kenduri seumpamanya?

JAWAB: Kepada setiap murid baru saya berpesan: Silat Seni Gayong tidak dibenarkan langsung dipertunjukkan di majlis perkahwinan atau seumpamanya kecualilah di waktu-waktu kecemasan. Tentang silat-silat lain saya tak tahu. Kewajipan kami ialah menunggu titah perintah dari DYMM Yang Dipertuan Agong, Raja-raja Melayu dan Pemerintah. Kalau negeri ini mendapat bencana dan khidmat Silat Gayung diperlukan, kami sedia berkhidmat. Dan di samping itu memanglah menjadi cita-cita saya untuk menjadikan Silat Seni Gayong sebagai pasukan simpanan negara.

SOAL: Silat dikatakan untuk mempertahankan diri. Tapi di zaman serba maju ini orang menggunakan senjata moden untuk tujuan tersebut. Saya tak fikir silat boleh menangkis peluru pistol atau senapang.

JAWAB: Kita ambil saja contoh peperangan di Indochina, bagaimana rakyat(Vietnam) berjuang menentang tentera Amerika. Mereka mempergunakan ilmu mempertahankan diri dengan menyusun barisan perjuangan yang hebat. Tubuh mereka kecil-kecil, berjuang menentang tentera Amerika yang tinggi besar yang menggunakan berbagai senjata moden. Untuk menentang senjata jarak jauh, kita boleh mengadakan susunan barisan peperangan, seperti mengadakan barisan gerila dan latihan komando. Silat sangat berguna dalam barisan perjuangan serupa ini. Sebelum saya bertolak ke England dahulu, Perdana Menteri Tun Razak telah menjemput saya ke pejabatnya. Tun meminta saya menjalankan tugas selama enam bulan melatih taktik mempertahankan diri kepada anggota-anggota tentera. Dengan kata lain, jelas bahawa silat sangat berguna di samping senjata.

SOAL: Saya masih memikirkan bagaimana kalau peluru datang macam hujan.

JAWAB: Buktinya ialah bagaimana saya terselamat dalam Perang Dunia Kedua, terselamat dari peluru yang datang macam ikan belanak. Pendek kata kalau Allah memperkenankan permintaan kita, tiada siapa yang boleh menghalang.

SOAL: Silat adalah satu seni yang melambangkan keperibadian bangsa Melayu yang lemah lembut dan bersopan santun. Tapi saya pernah melihat ada di antara bermacam jenis silat ini gerak-geri dan sepak terajangnya kasar. Tentunya begini, sudah hilang nilai seninya, terutama sebagai hak orang Melayu.

JAWAB: Sebenarnya unsur-unsur seni dalam silat terletak pada tapak sembahnya. Misalnya, di zaman dahulu apabila dua pendekar membuat persembahan silat di hadapan Raja atau Sultan, mereka akan memulakannya dengan tapak sembah. Tapak sembah ini sangat baik sebagai suatu adat tatatertib kita orang-orang Melayu. Apabila sudah habis, tutup tapak sembah, lalu berundur. Kemudian barulah membuka tapak hulubalang. Ertinya kita terus menyerang atau mempertahankan diri.

SOAL: Apa perlunya silat diajar kepada anak-anak gadis, kerana peranan mereka hari ini jauh berbeza dari zaman dahulu?

JAWAB: Di zaman moden ini, sekali imbas silat nampak tak perlu. Tapi di zaman inilah makin meluas kejadian-kejadian antisosial seperti merompak, merogol, peras ugut dan sebagainya. Anak-anak gadis kerap menjadi mangsa. Kita terbaca dalam akhbar baru-baru ini bagaimana seorang gadis didapati hilang dalam perjalanan balik dari mengaji Al-Quran. Tiga empat hari kemudian mayat gadis itu dijumpai, sudah busuk. Tetapi kalau gadis itu tahu serba sedikit ilmu mempertahankan diri, mungkin dia terselamat. Jadi, kalau seseorang gadis tahu silat boleh juga dia menjaga diri dalam masa-masa kecemasan. Pendek kata silat perlu dipelajari, tak kira lelaki atau perempuan.

SOAL: Sekarang silat menular pula di kalangan pelajar sebagai suatu aktiviti luar sekolah. Tapi Dato', suatu hari nanti mungkin pelajar itu menjadi doktor atau jurutera. Jadi, apa perlunya mereka belajar silat? Lainlah kalau mereka masuk tentera atau polis?

JAWAB: Baru-baru ini pistol saya dicuri orang, maklumlah rumah saya bebas orang keluar masuk, tapi ilmu mempertahankan diri yang diberi oleh guru saya tak dapat dicuri. Walau tak berpistol, tak senang orang nak dekat dengan saya. Tapi apa pula yang terjadi kepada seorang Inspektor Polis di Singapura semasa saya dalam Cawangan Khas dulu. Inspektor yang sedang bersiar-siar dengan tunangnya tak dapat berbuat apa-apa apabila gangster mengacukan pistol kepadanya - pistol, duit dan jam tangannya dirampas, sementara tunangnya dirogol. Jadi kalaulah dia mempunyai ilmu mempertahankan diri mungkin juga dia boleh berikhtiar, sekurang-kurangnya untuk menyelamatkan tunangnya. Jadi apa salahnya belajar ilmu silat walaupun suatu masa nanti pelajar itu akan menjadi seorang doktor atau jurutera. Mungkin orang yang menyerang kita menggunakan pisau saja, ketika inilah ilmu mempertahankan diri itu sangat berguna.

SOAL: Tapi Dato', sekiranya berlaku pergaduhan, silat mungkin digunakan. Masing-masing pihak tidak takut lagi kerana sudah ada ilmu. Bukankah ini memberikan semangat angkuh dan tak mahu mengaku kalah kepada mereka?

JAWAB: Bila seseorang menjadi murid atau ahli silat, seperti Silat Seni Gayong, dia kena baca Al-Quran, baca Al-Fatihah sekali, Qulhuwallah tujuh kali, Tabbat yada sekali dan mengaku:"Bahawasanya aku mengaku taat setia menjadi murid dan ahli Silat Gayung, aku mengaku taat setia kepada Allah, aku mengaku taat setia kepada Rasul, aku mengaku taat setia kepada Raja, aku mengaku taat setia kepada guruku dan aku mengaku taat setia kepada ibu bapa. Ya Allah ya Tuhanku, jauhkanlah aku daripada jalan yang salah, panjangkanlah umurku, murahkanlah rezekiku, lindungilah aku dari segala malapetaka jin dan iblis, inilah ikrar taat setiaku kepada negaraku, kepada rajaku, kepada agamaku. Amin, amin ya rabbul 'alamin". Seseorang yang membuat ikrar ini tidak boleh menggunakan ilmu silat untuk kepentingan diri sendiri atau membuat kacau-bilau atau menonjol-nonjolkan ilmu ini kepada kawan-kawan, walaupun bangsa asing. Kalau didapati ada antaranya yang tidak mematuhi atau menyalahgunakan Silat Seni Gayong ini kami akan lucutkan mereka dari menjadi ahli silat kami. Dan Allah akan memberi balasan yang setimpal terhadapnya.

SOAL: Sekarang kita dapati bermacam jenis kumpulan silat di Malaysia. Masing-masingnya cuba menunjukkan identiti ataupun keistimewaan sendiri. Apa pandangan Datuk?

JAWAB: Bagus. Masing-masing patut mempertahankan identitinya. Tapi janganlah kumpulan-kumpulan silat ini menyerang satu sama lain. Saya sendiri tak ada niat hendak menjatuhkan silat-silat lain. Yang saya berasa tidak senang hati ialah Silat Seni Gayong saya sendiri yang saya tahu bentuk-bentuk dan keasliannya, orang pecahubahkan dan beri nama-nama lain. Ini yang saya rasa musykil dan kesal. Kalau ada persatuan silat lain hendak memperkembangkan silatnya kembangkanlah, tapi janganlah mencuri hak orang lain dan diakui itu haknya. SAYA TIDAK MAHU SILAT SENI GAYONG DICEDOK.

Sekarang saya mahu semuanya berpakat. Kita mesti susun balik, buat satu perundingan meja bulat, satu perundingan antara pakar-pakar silat. Apa yang kita mahu ialah mencantumkan kumpulan-kumpulan silat ini untuk mempertahankan maruah bangsa dan negara.

SOAL: Mungkin Dato' pernah terbaca kenyataan setiausaha Parlimen Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Encik Rais Yatim yang bercadang untuk mengawasi segala kegiatan seni mempertahankan diri di negara ini. Apa pendapat Dato'?

JAWAB: Saya rasa perkara ini memakan masa untuk dilakukan. Kalau untuk mengawasi kegiatan kumpulan-kumpulan seni mempertahankan diri boleh, tapi kalu hendak melucutkan susunan yang telah disusun oleh kumpulan-kumpulan ini agak payah.

Di Singapura telah pun dicadangkan supaya diadakan undang-undang untuk memastikan guru-guru silat didaftar, mendapatkan permit dan membayar cukai. Ini bertujuan untuk mengelakkan penyalahgunaan ilmu silat. Sesetengah guru silat menerima siapa saja untuk belajar silat tanpa mengetahui apakah seseorang itu perompak atau gangster. Akhirnya mereka menggunakan silat untuk melakukan kekejaman. Sebab itulah diadakan undang-undang. Barangkali di Malaysia ada baiknya dilakukan cara ini.

SOAL: Bagaimana pula dengan perlantikan orang-orang kenamaan untuk menjadi panglima setengah-setengah kumpulan silat. Saya rasa tentu ada sesuatu tujuan di sebaliknya?

JAWAB: Sesetengahnya bertujuan hendak memperkembangkan pengaruh. Tapi bagi Silat Seni Gayong, kalau hendak memberi gelaran kepada seseorang bukan mudah. Sesiapa yang hendak diberi gelaran bukan saja terpaksa dimandi dan disiramkan, malah kena berikrar dengan membaca ayat-ayat suci Al-Quran di hadapan beberapa orang saksi, seperti yang dilakukan kepada DYMM Sultan Perak.Demikian juga gelaran yang diberikan kepada menteri-menteri, dalam ikrar mereka mengakui akan taat setia menjalankan tanggungjawab terhadap rakyat. Tujuan perlantikan ini ialah untuk mempertahan dan menghidupkan kebudayaan kita dan memperkuat adat istiadat Melayu serta menunjukkan kepada mereka yang kami bersedia mengikut titah perintah mengikut undang-undang dan perlembagaan. Kami bukan hendak mencari pengaruh. Yang perlu ialah kepada murid-murid saya yang boleh memperkembangkan silat.

SOAL: Tak mungkinkah tokoh-tokoh politik menggunakan silat untuk tujuan politik mereka?

JAWAB: Ada. sesetengahnya untuk pancing undi dalam pilihanraya. Sesetengahnya melihatkan ahli kumpulan silat itu ramai, mereka menggunakan kita sebagai alat. Tapi kalau diketahui, di masa-masa akan datang tak ada peluang lagi. Di masa akan datang saya tak mahu lagi orang menggunakan silat untuk tujuan politik.

SOAL: Bolehkah berbagai jenis silat dari berbagai kumpulan ini disatukan bagi membentuk satu rupa silat yang boleh melambangkan hak orang Melayu yang tunggal?

JAWAB: Saya ingat perkara ini boleh, tapi terlebih dulu saya buat satu perjumpaan atau perundingan meja bulat dengan menjemput pakar-pakar pendekar yang mustahak dan popular seperti dari Silat Lincah, Silat Cekak, Silat Selak, Silat Kalimah dan lain-lain. Tapi ini memakan masa. Bagaimanapun, saya puji cita-cita mereka untuk mengembangkan seni silat. Apa yang kita mahu ialah untuk mencapai persefahaman dan kemudian bercantum.

SOAL: Dato', setengah silat menggunakan kalimah Al-Quran dan ada pula menggunakan jampi dan serapah, berlangir, bersiram dan sebagainya. Ini menimbulkan persoalan dari segi agama dan adat istiadat orang Melayu. Boleh Datuk terangkan hubungan silat dengan kepercayaan agama dan adat istiadat Melayu?

JAWAB: Lunas pertama sekali dalam Silat Seni Gayong yang diajar oleh guru-guru silat ialah membaca Al-Quran. Jadi, dalam silat ada mempunyai unsur-unsur dakwah dan menguatkan kepercayaan orang kita mempercayai Allah, Rasul dan mempercayai pemimpin-pemimpin terdahulu daripada Rasulullah seperti Ibrahim, Musa, Isa dan lain-lain.

Sementara hubungan dengan adat istiadat pula ialah untuk mengukuhkan tatatertib dan disiplin. Kalau sesuatu pertubuhan tidak ada disiplin dan tatatertib tak ada maknanya. Dalam Silat Seni Gayong kita ada waris-waris beradat, ketua-ketua beradat, Imam Khalifah, Khalifah Besar, Khalifah Muda sehingga kepada Imam Gelanggang sepertimana dalam angkatan tentera. Tatatertib dan disiplin penting. Kalau tidak ada disiplin susahlah, sebab murid-murid yang sudah pandai itu nanti mungkin melawan kita balik.

SOAL: Bagaimana pula dengan ilmu kebatinan seperti ditikam tak makan ditembak tak jejas? Atau kata orang ilmu kebal. Apakah ini sihir?

JAWAB: Bukan sihir. Perkara begini tidak mustahil di sisi Tuhan. Tuhan boleh melakukan sesuatu mengikut kehendak-Nya dan boleh melindungi seseorang yang ingin dilindungi-Nya.

SOAL: Bagaimana dengan mandi berlimau?

JAWAB: Mandi berlimau itu mengikut adat. Sekurang-kurangnya untuk menguatkan kepercayaan kepada seorang murid baru yang dia sudah dibersihkan. Selepas berlimau barulah boleh dimulakan tapak (tapak silat).

SOAL: Tak bolehkah ilmu silat diajar tanpa menggunakan ayat-ayat Al-Quran supaya bangsa asing pun boleh belajar?

JAWAB: Kalau hendakkan berkat hendaklah membaca ayat-ayat suci Al-Quran, tapi kalau tak hendak berkat bolehlah diajar begitu saja. Jadi fikirlah, kalau hendak yang baik buatlah apa yang diajar.

SOAL: Apakah tak mungkin satu hari nanti silat diperkembangkan di peringkat antarabangsa seperti judo, karate, sambo?

JAWAB: Boleh kita perkenalkan kepada dunia dan lain-lain bangsa, tapi kalau lain-lain bangsa hendak belajar mestilah memeluk agama Islam. Dan saya memang bercita-cita hendak berjumpa dengan Yasser Arafat dan Idi Amin untuk mengajar tentera mereka mempertahankan diri cara silat.

SOAL: Apa sudah ada usaha-usaha ke arah itu yang Dato' sudah buat. Juga untuk memperkenalkan silat di negara-negara Arab.

JAWAB: Melalui duta mereka di sini. Sekarang saya serahkan perkara ini kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia, memintanya mencari jalan membuatkan perhubungan supaya dapat dihantar satu rombongan mengadakan pertunjukan Silat Seni Gayong di sana.

SOAL: Bagaimana dengan masa depan silat? Apakah di satu masa nanti orang akan merasakan silat tidak perlu lagi?

JAWAB: Kita tengok sajalah fesyen seluar umpamanya. Dulu orang pakai seluar sempit di bawah besar di atas, lama-lama tukar besar di bawah kecil di atas, lepas tu berbalik pula kecil di atas besar di bawah. Silat pun begitu juga, selagi mengalir darah Melayu, jiwa melayu, Insya-Allah silat akan terus subur. Saya ucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada ahli dan pendekar silat kerana perjuangan mereka memperkembangkan silat. Apa yang saya harap sekarang ialah agar tercapai persefahaman dan muafakat dengan mereka untuk menyusun semula kegiatan silat di negara ini untuk terus mengekalkan semangat kepahlawanan Melayu. Tak moleklah sesama kita hentam-menghentam.