PUSAKA GAYONG LAHIR BAGI MENEGAK MARUAH
- Cikgu Abdul Majid Mat Isa

 

Oleh:BASIR GHANI(petikan daripada Majalah PENDEKAR, April, 1991)

Pusaka Gayong bukan hak saya atau Negeri Kedah tapi hak keturunan bangsa Melayu yang dipusakai dari pahlawan Melayu dahulukala terutamanya keturunan Meor Abdul Aziz.

Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia (PSSPGM) lahir daripada kata sepakat anak-anak Gayong Kedah Darulaman yang merasa kewibawaan mereka tercabar oleh krisis fitnah kononnya Guru Kanan(Tertinggi) mereka Cikgu Abdul Majid bin Mat Isa membuat arahan mengutip bayaran sebanyak RM40.00 dari setiap anak-anak Gayong negeri Kedah, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan. Dalang yang menyebar serta menjaja fitnah tersebut terdiri daripada bekas-bekas anak murid Cikgu Abdul Majid sendiri.

Peristiwa hitam yang menyelaputi Silat Seni Gayong Malaysia itu terjadi dalam tahun 1978. Yang benar akan dipelihara Tuhan, yang bersalah lambat laun menerima balasan. Bagi anak-anak Pusaka Gayong, peristiwa itu membangkitkan kesedaran agar tidak berulang buat kali kedua. 13 tahun berlalu, Pusaka Gayong tetap berdiri gagah di atas kaki sendiri.

"Saya tetap menganggap peristiwa pemecatan saya dari Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia sebagai suratan takdir. Tidak perlu saya sebut nama dalang yang sengaja menconteng arang di muka saya. Walaupun begitu hubungan saya dengan Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman tetap mesra. Pusaka Gayong bukan hak saya atau negeri Kedahtapi hak keturunan bangsa Melayu yang dipusakai dari pahlawan Melayu dahulukala terutama(nya) keturunan Meor Abdul Aziz. Jasanya mengembangkan Silat Seni Gayong di negeri-negeri di bahagian Utara tetap dikenang hingga ke akhir hayat. Allahyarham juga membawa anak-anak Gayong Kedah ke Taiping untuk menerima ujian dan ijazah kebatinan daripada ayahandanya Daing Uda Mohd.Hashim sambil dibantu oleh Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman."

Sejarah penglibatan Cikgu Abdul Majid dalam persilatan Seni Gayong bermula pada bulan Mei 1957 ketika berusia 18 tahun. Datuk beliau yang menyandang jawatan Orang Besar Kelantan merajuk diri ke Kedah selepas berlaku krisis di istana Kelantan. Datuk beliau memilih Kampung Belakang Bukit sebagai tempat perlindungan hinggalah ke hari ini ia dihuni oleh keluarga Cikgu Abdul Majid.

Datuknya sering berkata,"ilmu persilatan adalah hak bangsa Melayu yang wajib kau pelihara." Sayang sekali ilmu kependekaran datuknya hanya diwarisi oleh salah seorang cucunya yang fanatik terhadap silat iaitu Hj.Yusuf Salleh, abang saudara Cikgu Abdul Majid.

Hj.Yusuf terbaca sebuah risalah mengenai Mahaguru Meor Abdul Rahman dan Silat Seni Gayong. Keinginan bertemu dan berguru dengan Mahaguru semakin membara. Puas beliau bertanya pada rakan-rakannya tetapi tidak seorang pun tahu bagaimana hendak bertemu Mahaguru.

Suatu hari di dalam majlis kenduri arwah saudaranya di Batu 10, Jeniang, Hj.Yusof diperkenalkan dengan Meor Abdul Aziz, abang kandung Mahaguru Meor Abdul Rahman. Umpama orang mengantuk disorongkan bantal, Hj.Yusuf Salleh menyatakan impiannya untuk berguru dengan Mahaguru Meor Abdul Rahman tapi Meor Abdul Aziz berkata beliau bersedia mengajar Silat Seni Gayong pada Hj.Yusuf salleh kerana beliau membuka banyak gelanggang di negeri bahagian utara Malaysia seperti Perlis, Kedah. Perak dan Pulau Pinang.

Hj.Yusuf turut menarik sanak-saudara dan rakan-rakannya menyertai Silat Seni Gayong ajaran Meor Abdul Aziz. Antara yang ikut serta ialah Abdul Hamid, Abdul Rahman(abang Cikgu Abdul Majid) dan orang-orang kampung seramai 14 orang. Setelah kumpulan ini belajar selama tiga bulan, Cikgu Abdul Majid ditarik masuk ke gelanggang.

Gelanggang yang dibuka oleh Meor Abdul Aziz diserahkan kepada jurulatihnya Ismail Mansor dari Pulau Pinang. Enam bulan kemudian tempatnya digantikan oleh Kamari Melan yang berasal dari Singapura.


Allahyarham Meor Abdul Aziz, kekanda Mahaguru Meor Abdul Rahman

Untuk mengukur kemajuan anak-anak Gayong pimpinan Meor Abdul Aziz, Mahaguru Meor Abdul Rahman mengiringi Dato'Onn Jaafar melawat Kedah terutama ke gelanggang di mana Cikgu Abdul Majid belajar.

Sebagai menyambut lawatan dua tetamu terhormat tersebut, beberapa pertunjukan silat daripada anak-anak gelanggang tersebut diadakan. Giliran pertunjukan 'lawan tangan kosong' antara Cikgu Abdul Majid dengan dua rakan pelatihnya, Ramli Ibrahim dan Ramli Maarof mengkagumkan dua tetamu dari jauh itu. Bertolak dari lawatan bersejarah tersebut, Dato' Onn Jaafar memanggil Cikgu abdul Majid dan dua rakannya itu mengikuti kursus lanjutan Silat Seni Gayong di Gelanggang Gayong Lorong Fatimah, Woodlands, Singapura selama setahun.

Setelah genap setahun, Cikgu Abdul Majid diarahkan kembali ke Kedah kerana diamanahkan oleh Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia untuk membuka dan mengembangkan silat tersebut ke seluruh ceruk negeri Kedah.

Dari asuhan Cikgu Abdul Majid lahirlah kumpulan jurulatih handalan tanah air seperti Cikgu Awang Daud, Cikgu Ismail Chik, Cikgu Ahmad Lazim, Cikgu Adiwijaya, Cikgu Ahmad Ismail dan beberapa orang lagi jurulatih berpengalaman.

Walaupun sudah bertaraf guru Cikgu Abdul Majid masih dahagakan ilmu. Pada awal tahun 1960, beliau sekali lagi ke Singapura menjalani latihan seni senjata(combat) di bawah bimbingan Cikgu Nordin Abdul Rahman. Turut mengajar ialah Cikgu Siti Aishah Meor Abdul Rahman, anak perempuan Mahaguru yang pakar bermain kain 'cindai'.

Apabila tamat, beliau membawa satu persatu murid-murid kepercayaannya seperti Cikgu Awang Daud dan Cikgu Ahmad Lazim ke Singapura menambah ilmu Gayong di tangan Mahaguru.

Sewaktu mempelajari ilmu kebatinan di sana, Cikgu Ramli Maarof rakan seperjuangan beliau meninggal dunia kerana menguji kehandalan di hadapan kereta api yang bergerak laju. Walaupun peristiwa itu mendukacitakan Cikgu Abdul Majid, namun perjuangan Seni Gayong perlu diteruskan.

Silat Seni Gayong terus berkembang hingga ke Pahang, Selangor, Melaka, Johor, Perak, Kelantan dan juga Terengganu, dikemudikan oleh jurulatih asuhan Cikgu Abdul Majid.

Rupa-rupanya benarlah seperti kata orang tua-tua, "air tenang jangan disangka tiada buaya", berlakulah pergeseran kecil antara Cikgu Abdul Majid dengan sekumpulan jurulatih muda yang inginkan perubahan dalam pelaksanaan sistem pelajaran Seni Gayong dengan menyerapkan teknik-teknik seni beladiri asing seperti karate atau taekwando.

Namun pergeseran itu masih dianggap 'kecil' kerana kurang mendapat sambutan dari anak-anak Gayong yang lain. Tapi dalam diam ada antaranya yang menyimpan rasa tidak puas hati terhadap Cikgu Abdul Majid hingga merancang untuk menyingkirkan beliau dari PSSGM.

Tahun 1978 menjadi saksi tercatatnya sejarah hitam dalam PSSGM apabila Mahaguru Dato'Meor Abdul Rahman menarik balik jawatan Guru Kanan Tertinggi dari Cikgu Abdul Majid.

"Kini yang menjadi kenangan pahit untuk dikenang oleh cucu cicit kita. Perjuangan Seni Silat Pusaka Gayong adalah sama. Saya masih menganggap kami sebahagian anak-anak Gayong asli, cuma yang dikesalkan sikap mementingkan diri sesetengah manusia ini yang merasa lebih taat daripada orang lain.Tapi manusia bersifat 'baru', hari ini sesiapa pun boleh mengubah keputusan."

"Anak-anak Melayu perlu diasuh dengan ilmu silat untuk membela diri daripada sebarang mara bahaya. Bagaimana hendak mempertahankan keluarga, bangsa, agama dan negara jika tak berdaya membela diri. Perjuangan Gayong berlandaskan ikrar menentang penjajah zaman lampau dan akan datang, memberi didikan akhlak, hormat-menghormati dan hidup berdisiplin."

Menceritakan pengalaman sewaktu mula-mula mempelajari Silat Gayong, Cikgu Abdul Majid dan rakan-rakan segelanggang diberi enam syarat untuk ditaati. syaratnya seperti berikut:

  1. Islam
  2. Mengambil wuduk
  3. Membaca Fatihah, Qulhu dan Tabbat
  4. Memberi salam
  5. Menjunjung kitab Al-Quran berikrar akan taat perintah Allah
  6. Menjaga amanah, jangan mungkin janji.

"Dalam Silat Seni Gayong tiada ilmu kuat dan kebal untuk dibanggakan melainkan anak-anak Gayong diberi amalan Fatihah, membaca ayat Qulhuallah sebanyak 70,000 kali, selawat 100,000 kali dan ratib 100,000 kali. Setiap kali disyaratkan menghafalkan amalan itu sebagai bekalan menentang musuh."

Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia yang berpusat di Kampung Kepala Bukit, Gurun, Kedah Darulaman mempunyai 20 gelanggang yang masih aktif.

Di Kedah sahaja terdapat ahli-ahli berdaftar seramai 10,000 orang, Perlis seramai 2,000 orang, Pulau Pinang, Kelantan dan Pahang masing-masing mempunyai ahli seramai 5,000 orang lebih, serta Selangor baru mempunyai 200 ahli.

Selain bergerak ke kampung-kampung, Pusaka Gayong kini menyusup masuk ke sekolah-sekolah dan pusat pengajian tinggi seperti Universiti Utara Malaysia(UUM).

Menyentuh mengenai mutu silat olahraga, Cikgu Abdul Majid melahirkan rasa tidak puas hati dengan corak pertandingan yang disifatkan tiada melambangkan imej pendekar Melayu.

Cikgu Abdul Majid juga kesal terhadap peraturan yang menyekat keaslian silat. Pertandingan tangan kosong dalam silat tidak memerlukan alat-alat pelindung badan. Silat banyak menggunakan tangan untuk teknik tangkapan, kuncian dan pukulan sepak terajang. Maka dua mata patutlah diberikan pada kegunaan tangan.

"Seseorang yang digelar pesilat tidak memerlukan sebarang peralatan melindunginya dari kecederaan kerana mereka telah dilatih mempertahankan diri daripada apa juga serangan. Saya harap PESAKA dapat mengkaji kelemahan Silat Olahraga kerana kita tidak mahu silat diperkecilkan oleh bangsa asing." Anak lelaki Cikgu Abdul Majid, Abdul Ghafar (bergelar Jebat) yang sering berpasangan dengan Zulkarnain Awang (anak Cikgu Awang Daud) menampakkan minat mewarisi segala ilmu kependekaran orang tua mereka. Pasangan juara seni silat dalam Kejuaraan Silat Terbuka akhir tahun lepas ini telah banyak menaikkan nama Pusaka Gayong di arena persilatan tanah air.

Bagi mengisi kekosongan buku-buku mengenai silat, Cikgu Abdul Majid, Cikgu Awang Daud dan rakan mereka(Kol.(B) Zam Zam Abd. Hamid) telah menulis dan menerbitkan buku Tempur Tanpa Senjata berpandukan latihan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia.