Make your own free website on Tripod.com

Peristiwa Bersejarah di Pulau Sudong

Pada tahun 1942 Singapura telah jatuh ke tangan tentera Jepun. Meor Abdul Rahman telah mendapat arahan daripada Lt.Kol. Pope supaya menyelamatkan diri dari pulau Singapura. Meor Abdul Rahman meninggalkan pulau Singapura hanya setelah diarahkan berbuat demikian oleh pihak atasannya. Kerana keberaniannya itulah beliau dianugerahkan pingat King George VI daripada kerajaan British pada tahun 1947.

Dalam suasana huru-hara, Meor Abdul Rahman telah berpindah ke Pasir Panjang. Di situ terdapat subuah jeti yang digunakan oleh nelayan untuk memunggah hasil tangkapan mereka ke darat. Meor Abdul Rahman berjaya mendapatkan sebuah perahu yang ditinggalkan di jeti tersebut. Walaupun tidak pandai berperahu, Meor Abdul Rahman atas daya usahanya sendiri telah mengemudi perahu tersebut. Beliau sekeluarga terpaksa mengharungi lautan luas di perairan Singapura yang bergelombang besar dan berapi-api kerana terbakar akibat tumpahan minyak. Dalam suasana yang sangat mencemaskan itu, mereka terpaksa pula berhadapan dengan ancaman bom yang digugurkan daripada kapal terbang Jepun.

Selepas sehari berkayuh akhirnya beliau dan keluarga beliau mendarat di sebuah pulau yang kelihatannya agak selamat daripada hujan peluru musuh. Di Pulau Sudong, Meor Abdul Rahman telah disambut oleh seorang penduduk pulau yang bernama Naning. Naning telah memaklumkan syarat untuk orang luar yang ingin menumpang di pulau tersebut, iaitu bertarung dengan seorang jaguh Pulau Sudong, yang bernama Wak Kusang. Wak Kusang berkulit gelap,bertubuh pendek tetapi tegap. Beliau mempunyai lengan sebesar paha orang dewasa. Penduduk Pulau Sudong mula keluar beramai-ramai untuk menyaksikan pertarungan tersebut. Mereka telah memukul gendang sambil bersorak-sorai seolah-olah menyaksikan suatu pesta pula. Dalam keadaan diri yang sangat keletihan setelah sehari suntuk mengharungi lautan, Meor Abdul Rahman terpaksa pula berlawan dengan pendekar Pulau Sudong bagi memenuhi tuntutan syarat jika ingin menumpang di pulau tersebut. Sebelum pertarungan bermula, beliau terlebih dahulu meminta pandangan ahli keluarga beliau. Nampaknya beliau sudah tidak ada pilihan lain melainkan terpaksa menghadapi Wak Kusang. Pertarungan antara Wak Kusang dengan Meor Abdul Rahman berlangsung di kawasan tanah perkuburan, kerana penduduk pulau membina rumah bertiang tinggi di tepi pantai, manakala bahagian tengah pulau dikhaskan sebagai tanah perkuburan. Pertarungan tersebut berlangsung dalam suasana yang sangat tegang dan hebat. Dengan berkat ilmu Silat Seni Gayongnya, maka di akhir pertarungan, Wak Kusang telah dihempas oleh Meor Abdul Rahman. Darah mula mengalir daripada kepala Wak Kusang kerana kepala beliau telah terhempas ke batu nesan kubur di situ. Kemenangan Meor Abdul Rahman telah disambut dengan perasaan gembira oleh ahli keluarga beliau. Penduduk pulau pula telah bersorak gembira seolah-olah menyaksikan suatu perlawanan sabung haiwan.

Pada suatu malam, lebih kurang satu minggu beliau berada di Pulau Sudong, Meor Abdul Rahman telah bermimpi didatangi satu lembaga yang memberi amaran kepadanya iaitu suatu bahaya akan menimpa penduduk Pulau Sudong. Lembaga tersebut menyuruh Meor Abdul Rahman berusaha menghalang bahaya itu dan ia(lembaga itu) berjanji akan membantu beliau. Pada keesokan harinya iaitu pagi tanggal 17 Februari 1942, penduduk Pulau Sudong telah mendapat khabar bahawa tentera Jepun akan mendarat. Orang-orang yang berada di Pulau sudong menjadi gempar. Berita tentang pendaratan tentera Jepun telah membimbangkan penduduk pulau kerana mereka banyak mendengar berita tentang kekejaman tentera Jepun. Seorang nelayan dari pulau berdekatan datang ke Pulau Sudong memberitahu anak dan isterinya telah dirampas oleh tentera Jepun dan dibawa naik ke atas kapal perang mereka. Terdapat beratus-ratus kapal perang Jepun yang berlabuh di hadapan Pulau Bukum. Berita ini telah menggemparkan penduduk Pulau Sudong. Masing-masing menjadi begitu khuatir dan bimbang, lebih-lebih lagi kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak gadis. Penghulu dan penduduk pulau telah berkumpul dan mula membincangkan soal keselamatan anak-anak gadis mereka yang berada dalam keadaan bahaya. Berbagai-bagai pandangan dikemukakan. Penghulu Pulau Sudong mencadangkan supaya dipindahkan sahaja semua perempuan-perempuan muda ke Pulau Senang atau ke Pulau Pawai sementara yang lain mencadangkan supaya perempuan-perempuan muda disorokkan ke dalam hutan. Yang lebih berani pula menyuruh supaya menentang sahaja orang-orang Jepun yang ingin merosakkan anak-anak gadis pulau itu, serta bermacam-macam lagi cadangan. Setelah keadaan menjadi semakin buntu, Meor Abdul Rahman pun memberikan pandangan beliau. Orang-orang pulau memang menaruh harapan kepada beliau kerana mereka mengetahui Meor Abdul Rahman pernah menewaskan jaguh Pulau Sudong, iaitu Wak Kusang.

"Saya ada satu ilmu yang guru saya bagi. Ilmu ini belum pernah dicuba, tetapi kita boleh cuba...syaratnya kena masuk Gayong dahulu..."kata Meor Abdul Rahman. Penduduk Pulau Sudong kemudian diarah untuk mengisikan air ke dalam tempayan. Mereka bertanyakan Meor Abdul Rahman di mana mereka boleh mendapatkan air tawar kerana pada kebiasaannya air tawar diperoleh dari Pulau Senang. Meor Abdul Rahman lalu berdoa memohon supaya diturunkan hujan. Dengan izin Allah, tidak berapa lama kemudian langit pun mendung dan hujan mulai turun. Orang-orang kampung lalu mengisikan tempayan dengan air hujan. Setelah air tempayan itu dibacakan doa dan ayat-ayat Al-Quran, Meor Abdul Rahman pun menjiruskan/memperlimaukan tujuh orang pemuda yang sanggup menentang kemasukan tentera Jepun.Tujuh pemuda tersebut terdiri daripada Naning, Mat Resad, Ahmad Puah, Kekeh, Mustapa, Bendol dan Wak Kusang.

Pada waktu itu laut kelihatan dipenuhi api yang menjulang. Pulau Bukum kelihatan telah terbakar. Penduduk Pulau Sudong kemudian diminta mengumpulkan periuk belanga dari tiap-tiap rumah. Buntut periuk tersebut kemudian dikikis untuk diambil arangnya. Ada periuk yang pecah akibat terlalu kuat dikikis. Selepas itu arang tersebut dicampurkan dengan minyak kelapa dan dibancuh seperti membancuh simen. Meor Abdul Rahman kemudiannya mengumpulkan semua perempuan yang berada di Pulau Sudong. Campuran arang dan minyak kelapa itu pun disuruh sapu ke muka dan bahagian-bahagian yang terdedah kaum perempuan. Tepung gandum pula diletak dicelah-celah rambut supaya rambut kelihatan seperti telah beruban. Perempuan-perempuan muda kemudian disuruh masuk ke dalam rumah Meor Abdul Rahman. Meor Abdul Rahman kemudian meminta beras kunyit. Setelah dibacakan doa tertentu, beras kunyit tersebut diserahkan kepada Naning. Naning kemudian mengetuai enam lagi rakannya pun mula bergerak mengikut gerak hati yang dipimpin oleh semangat beras kunyit tersebut. Apabila sampai di tepi pantai, Meor Abdul Rahman menyuruh Naning dan rakan-rakannya meraba-raba di dalam air. Sebanyak tujuh bilah keris tanpa hulu dan tanpa sarung diperoleh dari dalam air laut di gigi pantai tersebut. Meor Abdul Rahman mengarahkan Naning dan rakan-rakannya membalut bahagian hulu keris dengan kain layar buruk serta sedikit kain kuning. Keris-keris tersebut lalu disorokkan dicelah dinding atap rumah Meor Abdul Rahman. Meor Abdul Rahman lalu bertanya kepada ketujuh-tujuh pemuda tadi apakah yang akan mereka lakukan sekiranya anak isteri mereka dirampas oleh tentera Jepun. Mereka menjawab, "Jika Cikgu suruh bunuh, kami bunuh..." Seorang daripada penghulu pulau telah menyuarakan rasa kebimbangannya, takut-takut nanti jika dibunuh tentera Jepun tersebut, Pulau Sudong akan menjadi padang jarak, padang terkukur akibat serangan balas daripada tentera Jepun yang lain. Ketujuh-tujuh mereka lalu menjawab,"Kami lebih rela mati syahid daripada hidup dayus..." Keadaan ini telah membuktikan bahawa ketujuh-tujuh lelaki tersebut telah naik semangat keberanian. Perempuan-perempuan tua pula disuruh mengusutmasaikan rambut dan ditempatkan di bawah pokok kelapa yang terdapat di pesisiran pantai Pulau Sudong.

Tidak berapa lama kemudian, tentera Jepun pun tibalah dengan kapal pendarat tenteranya. Seperti kebiasaan, mereka melepaskan beberapa das tembakan pistol ke udara untuk memanggil orang-orang kampung agar mengangkat mereka ke darat. Sebaik sahaja mereka mendarat, mereka melihat hanya perempuan-perempuan tua sahaja yang kelihatan. Mulut mereka becok merungut-rungut kerana belum berjumpa wanita muda di pulau tersebut. Tentera Jepun tersebut terus mencari di sekitar pulau. Tidak lama kemudian,tentera Jepun itu sampailah ke rumah Meor Abdul Rahman. Tindakan pemuda-pemuda kampung yang asyik memandang ke arah rumah Meor Abdul Rahman telah mencurigakan pihak tentera Jepun. Mereka pun terus naik ke atas rumah Meor Abdul Rahman. Meor Abdul Rahman yang berdiri di muka pintu pun terus membaca beberapa potong ayat Al-Quran sambil terus berdoa. Sebaik sahaja daun pintu ditolak, tentera Jepun menjadi begitu terkejut dan ketakutan melihat betapa hodohnya perempuan-perempuan yang berada di dalam rumah Meor Abdul Rahman.Sentuh pun mereka tidak mahu.Askar-askar Jepun tersebut menjadi gempar sambil merungut-rungut di dalam bahasa Jepun, "Krahh...krahh...krahh..." Tentera Jepun pun berlalu dari rumah Meor Abdul Rahman.

Selepas tentera Jepun hilang daripada pandangan, maka terselamatlah perempuan-perempuan di Pulau Sudong. Selepas peristiwa tersebut, Meor Abdul Rahman lalu mengarahkan ketujuh-tujuh bilah keris tanpa hulu tersebut dicampak kembali ke laut.

Pada awalnya mereka agak keberatan untuk membuangnya, kerana mereka berhasrat untuk menyimpannya kerana percaya keris-keris tersebut membawa tuah. Setelah didesak oleh Meor Abdul Rahman, mereka pun mencampakkan keris-keris tersebut ke dalam laut, di tempat di mana keris tersebut ditemui. Menurut Meor Abdul Rahman, jika keris tersebut tidak dikembalikan semula ke laut, dikhuatiri suatu perkara buruk akan berlaku, seperti kedatangan ribut dan sebagainya. Dengan takdir Allah, maka pada hari ketiga daripada berlakunya peristiwa itu, timbullah seekor buaya putih di tempat di mana keris-keris tersebut dicampakkan.

Sebaik sahaja tentera Jepun berundur dari rumah Meor Abdul Rahman, mereka telah melihat penduduk kampung yang asyik memerhatikan ke arah sebuah tongkang Cina. Mereka nampak seorang lelaki Cina tua sedang menimba air laut dari geladak tongkangnya. Tentera Jepun pun terus pergi mendapatkan tongkang tersebut. Setelah memeriksanya, mereka lalu mengesyaki sesuatu. Tentera Jepun lalu menolak papan besar yang menutup lantai tongkang tersebut. Sebaik sahaja papan penutup tersebut ditolak, kelihatanlah ramai anak-anak gadis Cina di dalamnya. Lelaki Cina tua tersebut telah ditolak ke dalam air laut dan ditembak sehingga mati. Anak-anak gadis Cina tersebut pula telah diangkut ke dalam kapal perang mereka. Di atas kapal tersebut, anak-anak gadis Cina tersebut telah diperkosa beramai-ramai. Jerit pekik mereka dikatakan kedengaran sehingga ke Pulau Sudong.

Dua minggu kemudiannya, Meor Abdul Rahman dan keluarganya pun meninggalkan Pulau sudong untuk pulang ke kampungnya di Taiping, Perak. Penduduk-penduduk pulau itu dengan sedih telah keluar beramai-ramai mengucapkan selamat jalan kepada beliau sekeluarga. Ketika perahu yang dinaiki oleh beliau perlahan-lahan meluncur, penduduk Pulau Sudong pun berpantun, yang berbunyi:

Pulau Sudong tanahnya lembah,
Tanam senduduk bercabang dua;
Pulau Sudong tanahnya bertuah,
Dagang menumpang sehari dua.

Lalu dijawab oleh beliau:

Pulau Sudong tanah sakti,
Sayang ketapang bercabang dua;
Hikmat Gayong meninggalkan bakti,
Memimpin wanita menempuh bahaya.

Selepas pemerintahan Jepun, beliau kembali semula ke Singapura. Setelah beberapa lama di sana, beliau telah diundang untuk menjadi Penghulu Besar di Pulau Sudong. Sejak beliau menjadi Penghulu Besar di Pulau Sudong, maka pulau itu pun menjadi pusat Silat Seni Gayong. Dari Pulau Sudong inilah Gayong berkembang, sehingga merebak ke pulau-pulau lain seperti Pulau Seking, Pulau Bukum dan sebagainya.

Apabila berita tentang kehebatan Silat Seni Gayong sampai ke telinga orang-orang di kepulauan Indonesia, mereka telah menghantar seorang wakil mereka yang bernama Wak Simong, untuk menjemput Meor Abdul Rahman mengembangkan Silat Seni Gayong di sana. Kebetulan pula pada masa itu penduduk di sana sedang diancam oleh lanun. Meor Abdul Rahman pergi ke Pulau Terong dengan empat orang muridnya iaitu Naning, Mersad, Bendol(penghulu Pulau Sudong selepas Meor Abdul Rahman) dan seorang lagi yang tidak dapat dipastikan namanya. Maka Silat Seni Gayong pun berkembanglah dengan pesat di Pulau Geranting, dan seterusnya beberapa pulau yang lain.

Dalam tahun 1947, beliau meninggalkan Pulau Sudong dan pergi ke Singapura kerana diundang menjadi anggota mata-mata gelap(CID). Ketua Polis Singapura telah mendapat tahu rahsia kehebatan Meor Abdul Rahman sewaktu beliau berkhidmat sebagai guru kombat di Gillman Barrack. Meor Abdul Rahman memasuki perkhidmatan polis sehingga beliau bersara pada tahun 1961.