Make your own free website on Tripod.com

Silat Seni Gayong Malaysia

Silat Seni Gayong dicipta dan diasaskan oleh Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman bin Uda Mohd.Hashim. Beliau dilahirkan pada tahun 1915, dan berketurunan Bugis(cicit kepada Daeng Kuning/Panglima Hitam). Meor Abdul Rahman mula mempelajari ilmu persilatan ketika berusia 12 tahun daripada nenda sebelah bondanya, iaitu Tuan Syed Zainal bin Syed Idris Al-Attas. Syed Zainal merupakan salah seorang hulubalang Pahang yang turut sama berjuang menentang campur tangan Inggeris di negeri Pahang. Syed Zainal mewarisi ilmu Silat Seni Gayong daripada Daeng Ambok Solok, seorang pahlawan Bugis yang tinggal di Jambi, Sumatera.

Selama tiga tahun Meor Abdul Rahman berlatih bersama-sama dengan murid-murid Syed Zainal yang lain. Ketika berusia 19 tahun, Meor Abdul Rahman telah berjaya menguasai selok-belok ilmu Silat Seni Gayong, termasuklah adat-istiadatnya. Walaupun demikian, nenda beliau tidak dapat mengkhatamkannya kerana menurut firasat Syed Zainal, cucunya Meor Abdul Rahman akan dikhatamkan oleh " orang ghaib " di suatu tempat yang terletak di sempadan negeri Siam-Tanah Melayu.

Pada tahun 1936, beliau telah dikhatamkan oleh " Laksamana Hang Tuah " di dalam mimpinya ketika beliau tertidur di atas sebuah batu hampar hitam di tebing sungai dalam kawasan hutan Menam, Thailand. Beliau telah dicurahkan segala rahsia ilmu kepahlawanan dan mempertahankan diri, seterusnya diamanahkan untuk mengembangkan Silat Seni Gayong ini seluas-luasnya, dengan mengikut syarat-syarat tertentu, pada masa-masa tertentu.

Meor Abdul Rahman telah digelar " Rahman Sendo " oleh baginda Sultan Alang Iskandar setelah menunjukkan kegagahan dan kependekarannya di hadapan sultan dan pembesar-pembesar istana. Baginda Sultan juga telah berkenan untuk mengambil beliau sebagai anak angkat dan Meor Abdul Rahman telah tinggal di istana sehinggalah baginda Sultan mangkat pada tahun 1938.

Pada tahun 1938, Meor Abdul Rahman telah merantau ke Singapura untuk mencari pekerjaan. Beliau telah memperoleh pekerjaan di kem tentera British, iaitu di Royal Signal Corp, Gillman Barrack. Di tempat kerjanya, Meor Abdul Rahman turut mengajar tentera British seni tempur tanpa senjata.

Apabila tentera Jepun menyerang Singapura pada tahun 1942, Meor Abdul Rahman bersama-sama keluarganya telah menyelamatkan diri ke Pulau Sudong, iaitu sebuah pulau di selatan Singapura. Setelah melalui pelbagai dugaan dan cabaran, beliau dan keluarganya akhirnya dibenarkan menumpang di pulau tersebut. Di Pulau Sudong inilah Silat Seni Gayong mula diperkenalkan semula, iaitu kepada penduduk-penduduk Pulau Sudong, kerana pada zaman yang tiada undang-undang ketika itu, seni silat amat-amat diperlukan untuk mempertahankan maruah diri dan kaum keluarga.Setelah Meor Abdul Rahman berjaya menyelamatkan penduduk Pulau Sudong daripada ancaman tentera Jepun, barulah Silat Seni Gayong diterima dan diajar kepada seluruh penduduk Pulau Sudong.Setelah beberapa ketika berada di Pulau Sudong, Meor Abdul Rahman dan keluarganya pun pulang semula ke Taiping, Perak.

Pada tahun 1943, Meor Abdul Rahman telah ditangkap dan dipenjarakan di penjara Taiping oleh pemerintah Jepun. Beliau telah dituduh mahu menentang pemerintahan Jepun (kerana bertindak melawan askar Jepun yang cuba mengganggu isterinya). Beliau telah dijatuhi hukuman gantung. Sewaktu dibawa ke tempat penggantungan, beliau dengan gagahnya telah melawan dan berjaya menumpaskan askar-askar Jepun(lengkap bersenjata) yang mengawalnya. Akibat daripada peristiwa itu, pihak Jepun telah membebaskan Meor Abdul Rahman kerana tidak mahu menanggung kerugian yang lebih besar lagi. Tidak lama kemudian, Meor Abdul Rahman telah dipaksa menjadi tentera Jepun.

Setelah Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, Meor Abdul Rahman dan keluarganya sekali lagi telah berhijrah ke Pulau Sudong. Beliau telah dipelawa menjadi penghulu di situ. Setelah menetap di Pulau Sudong, Silat Seni Gayong telah berkembang ke pulau-pulau berhampiran, termasuklah pulau-pulau yang berada di dalam wilayah Indonesia.

Pada tahun 1947, Meor Abdul Rahman telah berpindah ke pulau besar Singapura kerana ditawarkan menjadi mata-mata gelap di Jabatan Siasatan Jenayah Singapura. Pada tahun ini juga, beliau telah dianugerahkan pingat King George VI oleh kerajaan British di atas jasanya menentang pendudukan Jepun di Singapura. Dari tahun 1948, beliau gigih mengembangkan Silat Seni Gayong di Singapura dan seterusnya ke Semenanjung Tanah Melayu. Setelah bersara dari jabatan kepolisan, beliau telah menubuhkan Sekolah Pusat Latihan Silat Seni Gayong di Lorong Fatimah, Woodlands, Singapura. Di sinilah gurulatih-gurulatih awal Gayong dari Semenanjung Tanah Melayu mendapatkan pelajaran mereka.

Mahaguru Meor Abdul Rahman bersama Dato'Onn Jaafar(1959).

Pada tahun 1959, Meor Abdul Rahman telah bertemu dengan Dato' Onn bin Jaafar, pengasas UMNO dan penentang kuat gagasan Malayan Union. Dato' Onn telah melamar untuk menjadi murid Gayong. Dato' Onn telah mencadangkan agar Silat Seni Gayong ini didaftarkan agar menjadi suatu pertubuhan yang sah di sisi undang-undang. Mulai tahun 1959, usaha-usaha telah dimulakan untuk mendaftarkan silat ini, dan akhirnya pada tahun 1963, Silat Seni Gayong telah didaftarkan dengan nama Pertubohan Silat Seni Gayong Malaya dengan nombor pendaftaran 361. PSSGM merupakan pertubuhan silat yang pertama sekali didaftarkan di Malaysia. Selepas Gayong didaftarkan, perkembangannya menjadi lebih meluas. Dari Singapura, Gayong telah berkembang ke negeri Johor. Pada masa yang sama, Gayong telah dikembangkan di utara tanah air atas daya usaha Meor Abdul Aziz, abang kepada Meor Abdul Rahman,dan jurulatih-jurulatih yang didatangkan khas dari Singapura. Tengku Laksamana Kedah, Tengku Kassim, atas titah Sultan Badlishah Kedah telah mengundang Silat Seni Gayong Singapura agar mengadakan persembahan silat di Kelab Sukan Sultan Abdul Hamid di Alor Setar pada tahun 1957.

Mahaguru Meor Abdul Rahman bersama dengan Sultan Badlishah
dan Tengku Kassim(1957)

Pada tahun 1964, pusat latihan tertinggi Silat Seni Gayong telah berpindah dari Singapura ke Kota Sarang Semut, Kedah kerana Mahaguru Meor Abdul Rahman telah menetap di Kedah. Pada tahun 1971, pusat latihan tertinggi telah berpindah ke Air Kuning, Taiping, Perak apabila Mahaguru Meor Abdul Rahman menetap di sana.

Pada tahun 1970, Silat Seni Gayong telah dipilih oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Malaysia untuk menyertai rombongan negara ke Expo '70 di Osaka, Jepun. Mahaguru Meor Abdul Rahman bersama En.Razali Salleh, Setiausaha Agung PSSGM telah mengiringi dua orang pesilat Seni Gayong, iaitu Cikgu Mustapa Kamal Hj.Shariff dan Cikgu Mohd. Norsaii Hj. Mohd. Yassin untuk mengadakan persembahan Silat Seni Gayong di Expo tersebut selama dua minggu.Persembahan silat dari Malaysia itu telah diberikan sambutan yang amat menggalakkan, sehingga mengkagumkan Maharaja Jepun. Persembahan silat ini telah mendapat liputan luas daripada media di negara matahari terbit tersebut.

Pada tahun 1971, Meor Abdul Rahman telah dianugerahkan bintang kebesaran Dato' Paduka Cura Simanja Kini oleh Sultan Idris Shah, Sultan Perak. Pada tahun 1971 juga, Silat Seni Gayong telah diperkenalkan kepada Angkatan Tentera Malaysia. Seramai 87 orang anggota pelbagai pangkat dari seluruh negara telah berjaya menamatkan kursus intensif Silat Seni Gayong yang berlangsung selama enam bulan di Kem Tiga Meriam, Taiping.Anggota tentera ini seterusnya ditauliahkan sebagai jurulatih dan diarahkan mengembangkan Silat Seni Gayong ini ke merata-rata kem tentera di seluruh negara.

Pada tahun 1973, Silat Seni Gayong telah diperkenalkan kepada Polis Diraja Malaysia. Seramai 48 orang anggota polis pangkat rendah telah berjaya menamatkan latihan intensif Silat Seni Gayong yang berlangsung selama enam bulan juga. Anggota-anggota polis ini telah ditauliahkan sebagai jurulatih dan diarahkan untuk mengembangkan Silat Seni Gayong ini ke semua pusat latihan polis di seluruh negara.

Di Singapura, Silat Seni Gayong dikendalikan di bawah pertubuhan PASAK(Perkumpulan Anak-anak Sandiwara Angkatan Kesenian Singapura) yang dipimpin oleh Tuan Haji Hussein Kaslan, dan PERWANIT(Persatuan Wanita Teruna) yang dipimpin oleh Tuan Haji Buang Bahar.

Pada tahun 1978, seorang warga Tunisia, Mohammed Moncef Abdullah Al-Querghi, telah kembali ke negara asalnya setelah setahun menuntut ilmu Silat Seni Gayong di Malaysia. Beliau bertanggungjawab mengembangkan Silat Seni Gayong di Timur Tengah. Anak-anak murid beliau telah datang ke Malaysia pada awal tahun 1990-an untuk melanjutkan pelajaran Gayong.

Di Australia Barat, Silat Seni Gayong telah dikembangkan oleh Jan de Jong, seorang pakar seni bela diri, terutamanya dari aliran Jepun. Beliau telah mempelajari Seni Gayong daripada Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman sendiri, pada pertengahan tahun 1980-an.

Silat Seni Gayong telah dikembangkan di Amerika Syarikat atas daya usaha Cikgu Sheikh Shamsuddin dan Cikgu Sulaiman Sharif pada awal 1990-an, walaupun sebelum itu Cikgu Shaharuddin Abd.Hamid pernah memperkenalkan Seni Gayong kepada beberapa ahli bela diri di Amerika.

Silat Seni Gayong telah dikembangkan di Eropah atas daya usaha Cikgu Mufti Ansari pada penghujung 1980-an. Di United Kingdom, Silat Seni Gayong telah dikembangkan oleh Cikgu Adlin, yang berasal dari Negeri Sembilan. Mulai pertengahan tahun 2000, Gayong UK dikendalikan oleh Ketua Khalifah Tuan Haji Arifin Mahidin.

Pada pertengahan Julai, 2000, Silat Seni Gayong telah mengembangkan sayapnya di bumi Mauritius atas daya usaha Cikgu Radzwan Abdul Razak, dengan restu Cikgu Siti Kalsom Dato' Meor Abdul Rahman. Sebanyak dua gelanggang Gayong telah dibuka sepanjang pemergian beliau di sana.

Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman telah kembali ke Rahmatullah pada 23 Jun 1991. Menurut wasiat Allahyarham Mahaguru, selepas pemergiannya tiada lagi seseorang pengganti yang bergelar Mahaguru selepasnya.Silat Seni Gayong perlu ditadbir oleh Lembaga Amanah Silat Seni Gayong, yang dianggotai oleh mereka yang bersifat amanah dan berpegang kepada perjuangan Silat Seni Gayong. Sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, Allahyarham Dato' Mahaguru telah melantik anakandanya, Cikgu Siti Kalsom Meor Abdul Rahman sebagai Pemegang Amanah I Silat Seni Gayong Malaysia dan Serantau manakala Cikgu Mohd.Razali Salleh sebagai Pemegang Amanah II.