Mata Pelajaran Silat Seni Gayong

Berdasarkan kepada nama silat ini, iaitu Silat Seni Gayong, maka sistem pelajarannya adalah berasaskan kepada nama ini. Secara amnya, seseorang pesilat akan diajar pergerakan tangan dan kaki secara sistematik. Peringkat ini digolongkan sebagai pelajaran bersilat. Manakala peringkat kedua ialah bahagian seni. Peringkat seni ini ialah peringkat pengenalan kehalusan dan ketepatan pergerakan bagi tujuan membuat serang balas yang berkesan ke atas sasaran yang boleh melemahkan lawan.

Latihan Silat Seni Gayong biasanya dijalankan di tempat yang tidak berbumbung - hanya dipagari dinding yang tinggi untuk menghalang sesiapa yang tidak berkenaan daripada memasuki gelanggang. Biasanya pesilat dalam sesuatu gelanggang boleh mencapai ke angka 50 orang atau lebih. Latihan Silat Seni Gayong dimulakan dengan upacara Membuka Gelanggang, iaitu dengan membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan diikuti dengan memanjatkan doa ke hadrat Allah S.W.T. meminta agar dijauhkan segala mara bahaya semasa latihan sedang dijalankan. Selepas melakukan aktiviti pemanasan badan dan senaman gerakan asas(jurus), pesilat akan berpasangan untuk berlatih suatu siri pergerakan atau gerakan yang direka untuk menghindarkan serangan mengejut dan menyekat lawan daripada terus bertindak agresif(asas elakan/elak pukul). Biasanya terdapat beberapa orang pembantu jurulatih yang hadir untuk mengawal pasangan yang bergelut dan membetulkan mana-mana gerakan yang silap, jika perlu, tangkapan yang berbahaya serta gerakan serang balas yang dilakukan tanpa disedari.

Ahli-ahli baru melakukan latihan kekuatan fizikal selama sebulan untuk melonggarkan otot-otot dan tendon. Kemudian mereka berlatih untuk memperbaiki teknik menumbuk dan teknik asas menendang dan menangkis. Pergerakan menyerang hanya diajar dari peringkat bengkung Pelangi Hijau.Pemegang bengkung Pelangi Hijau juga diajar cara-cara mengunci pergerakan lawan, melepaskan tangkapan, jatuhan dan gulingan. Pesilat juga didedahkan kepada kawasan-kawasan berbahaya pada tubuh.

Kesemua gerakan yang dipelajari adalah bertujuan untuk membentuk kemahiran membuat serang balas. Walaupun pesilat dimahirkan dengan teknik menyerang menggunakan tangan dan kaki, tetapi ia hanyalah untuk membiasakan rakan sepelatih untuk bertindak balas ke atas serangan yang berasaskan kepada teknik tersebut. Serangan yang dibuat tanpa menggunakan kaedah yang betul amat mudah untuk dipatahkan, sebaliknya serangan yang terkawal dari segi sasaran, imbangan badan, dan penumpuan tenaga perlulah dipatahkan dengan kemas dan tepat. Maka untuk membuat serang balas yang berkesan, seseorang pesilat haruslah dimahirkan dengan serangan-serangan yang betul kaedahnya.

Kemahiran yang perlu diperoleh oleh pesilat dalam latihan silatnya ialah:

  1. Gerakan membuka tapak dan serangan kaki dan tangan.
  2. Gerakan serang balas jenis tangkapan - buah tapak kunci mati.
  3. Gerakan serang balas ke atas kuncian - buah tapak kunci hidup.
  4. Gerakan serang balas jenis pukulan - serangan harimau.
  5. Gerakan jatuh pulih - senaman anak harimau.
  6. Gerakan serangan bersenjata dan serang balas ke atas serangan bersenjata.

Latihan Silat Seni Gayong diakhiri dengan upacara Menutup Gelanggang, dan pesilat dikehendaki membaca ayat-ayat suci Al-Quran sebagaimana pada upacara Membuka Gelanggang.

Kebanyakan mata pelajaran yang diperturunkan oleh Mahaguru Dato' Meor Abd.Rahman adalah berupa tangkapan kunci mati. Tangkapan kunci mati ini boleh dikategorikan seperti berikut: melalui tangan kosong, serangan bersenjata ataupun gerak daripada kaki yang diserang oleh pihak musuh.

Silat Seni Gayong mempunyai 349 "seni", yang berupa seni tangkapan kunci mati(tangan kosong/bersenjata), serangan maut, buah pukulan, dan ulasan serangan balas(tapak hidup).Ini bermakna walau bagaimana sekali pun keadaan serangan pihak lawan, pesilat Seni Gayong masih mampu bertindak untuk menyelamatkan diri di samping dapat mematahkan serangan lawan.

Pelajaran dalam Silat Seni Gayong pada asalnya mempunyai tujuh buah tangkapan sahaja untuk setiap peringkat. Dari tujuh buah tangkapan ini kemudian dipecah-pecahkan sehingga menjadi 49 pecahan untuk setiap peringkat, baik dari peringkat tangkapan tangan kosong hinggalah ke peringkat Seni Gayong(permainan yang menggunakan senjata tradisi Melayu).

Secara umumnya, pelajaran di dalam Silat Seni Gayong dibahagikan kepada tujuh peringkat, iaitu:

  1. Tapak Gayong
  2. Seni Tapak Gayong
  3. Seni Keris
  4. Seni Simbat
  5. Seni Yoi
  6. Seni Belian
  7. Seni Cindai

Tapak Gayong terdiri daripada segala pelajaran asas gerak tangan dan kaki, termasuk juga latihan senaman anak harimau dan tangkapan kunci mati(21 buah tapak kunci mati).

Seni Tapak Gayong merupakan lanjutan daripada pelajaran Tapak Gayong. Pada peringkat ini pesilat diajar menghalusi lagi pelajaran bahagian Tapak supaya pesilat berkemampuan untuk membuat serang balas yang berkesan. Pelajaran pada peringkat ini termasuklah buah tapak kunci hidup(teknik membuka kuncian - 49 buah) di samping berkemampuan untuk mengunci semula lawan.Juga pelajaran Pecahan Buah Tapak sebanyak (7x21) buah dan Serangan Maut/Buah Pukulan(21 buah).

Seni Keris merupakan pelajaran menggunakan senjata tikam seperti keris dan pisau.Mengandungi pelajaran Seni Keris(Keris Satu dan Keris Dua - 49 tikaman), Seni Pisau(Serangan Maut dan Pentas - Pisau Satu dan Pisau Dua)

Seni Simbat merupakan pelajaran menggunakan senjata belantan dan merupakan asas kepada permainan parang panjang, kapak, tekpi, pedang, sundang lipas, dan lembing.Mengandungi pelajaran Seni Simbat/Tongkat(kunci dan permainan), Seni Simbat Suk/Cota(kunci dan permainan), Seni Tongkat Panjang/Tembung(kunci dan permainan), Seni Parang Panjang(kunci dan permainan - Parang Satu dan Parang Dua), permainan Parang Panjang dan Perisai, permainan Parang Panjang - Rantai, permainan Pisau-Simbat, Seni Tombak/Lembing(kunci dan permainan), Seni Anak Tombak(kunci dan permainan), Seni Parang-Tekpi, Seni Tombak-Tekpi.

Seni Tapak Yoi merupakan pelajaran tangan kosong yang dipenuhi dengan buah pukulan bagi menentang serangan ramai(21 buah pukulan).

Seni Belian merupakan permainan tapak harimau yang dihiasi dengan amalan kebatinan.Juga dikenali sebagai Serangan Bapak Harimau.

Seni Cindai merupakan pelajaran yang menggunakan kain sarung dan merupakan pelajaran tertua dalam Silat Seni Gayong. Seni Cindai terbahagi kepada dua jenis permainan iaitu Cindai Jantan(pukul-memukul) dan Cindai Betina(jerut-menjerut).Tujuh pecahan yang terdapat dalam permainan cindai ialah: Sauk-sauk(21 buah), Tebar(21 buah), Serkap(21 buah), Kain Tudung(21 buah), Awang Bodoh(21 buah), Pukat(21 buah), dan Kalung Puteri(21 buah).

Selain daripada mata pelajaran yang disenaraikan di atas, terdapat juga mata pelajaran Seni Gerak Bayang,Gada-gada(rantai sepanjang 20 hasta dengan disambung besi pemberat di hujung), Seni Seligi, Seni Selayang pandang, Seni Serangan Rajawali, Seni Sundang Lipas, Mayang Gesit(senjata baling yang disorok bersama cucuk sanggul), Serbuk Beracun, Senjata Api(jarak dekat) seperti untuk menghadapi musuh bersenjata pistol dan senapang banet dan permainan-permainan lain lagi.

Pendek kata, di dalam Silat Seni Gayong terhimpun semua pelajaran silat yang terdapat di alam Melayu ini. Bak kata serangkap pantun Gayong:

Seni Gayong Payung Pusaka
Naungan Aneka Hikmat Mulia
Rahsia Tersimpan Di Purbakala
Ilham Menyusun Zahir Semula

Tahap pencapaian pelatih diperlihatkan daripada bengkung yang diperoleh. Setiap bengkung yang diperoleh merupakan petunjuk kepada pencapaian jenis-jenis kemahiran. Terdapat lima jenis peringkat bengkung iaitu: Awan Putih, Pelangi Hijau, Pelangi Merah, Pelangi Merah Tinggi(Tiga Cula), Pelangi Kuning, Pelangi Kuning Tinggi(Lima Cula), Pelangi Hitam(Mulus), dan Harimau Pelangi Cula Sakti Hitam(Tujuh Cula). Murid Gayong hanya boleh sampai hingga ke peringkat Cula Keenam sahaja. Cula Ketujuh adalah hak Mahaguru.

Soalan:"Dengan langkahan persilatan yang manakah Datuk gunakan bagi menikam Tamingsari?"

Hang Tuah:"Datuk gunakan langkahan ibu gayong sendi gedang tunggal, semar alam tunggal, belah bumi kipas nandung, raja kipas nandung."

 

Melihat Silibus PSSGM