Dato' Meor Abdul Rahman dari kaca mata Cikgu Nordin Abdul Rahman, Gurulatih Tertinggi PSSGM Perlis Indera Kayangan

Nordin Abdul Rahman ialah Gurulatih Tertinggi PSSGM Negeri Perlis Indera Kayangan dan juga bertindak sebagai Kipas Emas(hakim) Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia dan Serantau. Beliau juga memegang sandang Timbalan Imam Khalifah bagi negeri Perlis Indera Kayangan. Beliau mula memasuki Gayong pada penghujung tahun 1957 di Woodlands, Singapura. Ketika itu beliau berkhidmat dengan Rejimen Askar British, Bahagian Melayu.

Mengimbas kembali detik beliau mula mengenali Seni Gayong, dalam tahun 1953, beliau telah terbaca artikel berkenaan persembahan Silat Seni Gayong di dalam majalah Bintang keluaran syarikat penerbitan P.Ramlee. Di dalam majalah tersebut, terdapat gambar pelakon Kasma Booty sedang bersilat dengan seorang pesilat lelaki. Gambar kegagahan Kasma Booty membanting pesilat lelaki menarik minat beliau untuk mengenali Gayong dengan lebih dekat. Walau bagaimanapun, pada ketika itu, Silat Seni Gayong hanya boleh didapati di Singapura sahaja. Beliau lalu berikhtiar bagaimana untuk pergi ke Singapura bagi mempelajari Silat Seni Gayong. Hajat beliau untuk ke Singapura telah ditolak oleh kedua-dua orang tuanya. Selepas tamat sekolah, beliau telah memasuki sekolah yang mengajar kursus bahasa Inggeris, dengan tujuan untuk memperbaiki penguasaan bahasa Inggerisnya supaya beliau mudah mendapat pekerjaan jika berjaya ke Singapura kelak. Pada tahun 1957, beliau telah ternampak iklan pengambilan baru rekrut tentera British yang mana temuduganya dijalankan di Pulau Pinang. Beliau telah berjaya dalam temuduga tersebut. Walaupun kedua-dua ibu-bapa beliau keberatan untuk melepaskan beliau pergi ke rantauan, namun demi masa depan anakanda yang tercinta, Nordin Abdul Rahman, yang ketika itu berusia belasan tahun akhirnya dilepaskan dengan berat hati untuk mencuba nasibnya di Singapura.

Di Singapura, Nordin Abdul Rahman sering bertanyakan rakan-rakan tenteranya kalau-kalau mereka mengetahui tentang Silat Seni Gayong. Nasib beliau sangat baik. Terdapat beberapa orang rakan tenteranya yang telah memasuki Gayong di Singapura. Dengan ditemani dua orang rakannya yang telah memasuki Gayong iaitu Sidek(Taiping) dan Jalil(Johor), beliau telah diperkenalkan dengan Mahaguru Meor Abdul Rahman. Sepatutnya, menurut Nordin, pada ketika itu, sesiapa sahaja yang ingin mempelajari Silat Seni Gayong perlu menemui Hj.Joned, pembantu Mahaguru terlebih dahulu. Hj. Joned akan menapis dahulu mana-mana orang yang hendak mempelajari Gayong. Sebelum diterima menjadi murid Gayong, Mahaguru Meor Abdul Rahman telah bertanya kepada beliau,"Kamu ingin belajar silat mempertahankan diri atau silat pulut? Kalau silat pulut bukan di sini tempatnya..." Akhirnya, beliau telah diterima menjadi murid Silat Seni Gayong dan dimandikan oleh Mahaguru Meor Abdul Rahman sendiri. Pada ketika itu, gelanggang latihan adalah sangat jauh dari kem tentera tempat beliau ditempatkan. Menurut Nordin, gelanggang Gayong terawal di Singapura terletak di Geylang Serai kerana ramai komuniti Melayu di situ. Apabila Mahaguru Meor Abdul Rahman berpindah ke Woodlands pada tahun itu juga,Nordin bersama-sama dengan rakan-rakan tenteranya yang lain telah mencadangkan kepada Mahaguru Meor Abdul Rahman supaya didirikan sebuah gelanggang latihan di kawasan belakang rumah Mahaguru. Rumah Mahaguru ketika itu terletak berdekatan dengan kem tentera British dan pantai. Nordin bersama-sama rakan-rakan Gayongnya(seramai 15 orang) yang lain telah bergotong-royong menambak tanah dan berpakat membeli bahan-bahan binaan seperti zink, kayu, simen manakala pasir diangkut daripada tepi laut dan membina sendiri gelanggang simen yang berpagarkan dinding zink. Murid-murid Gayong juga turut mendirikan sebuah bangunan kedai secara gotong-royong. Kedai ini kemudiannya diserahkan kepada Datin Kalsom, isteri pertama Mahaguru untuk diuruskan.


Murid Gayong awal Gelanggang Woodlands yang terdiri daripada tentera British di Singapura.


Cikgu Nordin (tengah) dan Sarjan Majid Omar (kanan), antara pengajar Gayong di Sekolah Gayong, Singapura.

Di kem tentera British, kegiatan Silat Seni Gayong telah mendapat restu daripada Kolonel Stone, yang mencintai budaya Melayu dan aktiviti Gayong dimasukkan sebagai sebahagian daripada aktiviti Kelab Kesenian Angkatan Tentera. Nordin kemudiannya mengajar Gayong di kuarters tentera British. Di gelanggang latihan di rumah Mahaguru, mereka berlatih setiap hari(kecuali malam Jumaat), dari jam 8.00 malam hingga 12.00 malam. Selepas latihan, diadakan sesi teori silat di mana pada ketika ini murid-murid bebas bertanyakan Mahaguru tentang segala aspek Silat Seni Gayong yang ingin diketahui mereka.

Di Woodlands, latihan silat dikendalikan oleh Mahaguru sendiri. Pada waktu itu sukatan pelajaran yang tetap belum ada lagi. Pelajaran diturunkan mengikut selera Mahaguru. Ketika itu, penekanan pembelajaran lebih kepada gerakan senaman.

Menurut Nordin, latihan silat pada zamannya sangat jauh berbeza berbanding latihan silat pada hari ini. Dahulu, latihan silat adalah sangat keras dan murid-murid dikehendaki mengikut apa sahaja kehendak Mahaguru.

"Dato' ni agak kasar semasa turunkan pelajaran. Kalau Dato' ajar pukulan-pukulan yang agak berbahaya seperti close-combat, Dato' akan setkan masanya iaitu tiga saat. Dato' mahu murid-muridnya melaksanakan gerakan close-combat dalam masa tiga saat sahaja."

"Latihan dahulu memang keras. Kita tak tahan satu sahaja - kawan kita. Sarjan Majid dari Perak, dia ni pantang orang deras dekat dia, dia deras lagi. Kita pulas pun deras semua. Saya bila main senjata suka tendang flying kick dua kaki ke dada lawan. Dia(Majid) cukup marah. Saya suka teknik tersebut sebab badan ringan..."

"Dato' suruh main betul-betul sebab kalau jumpa musuh, musuh kalau boleh dekat dia, musuh akan bunuh kita dulu. Sebelum kita jadi mangsa, kita kena mempertahankan diri dahulu."

"Selepas habis senaman, jika Dato' nak tunjukkan pelajaran, Dato' tunjuk satu atau dua(kali) sahaja. Dato' tak suka ulang banyak kali."

Sewaktu Mahaguru sedang menunjukkan pelajaran, murid-murid Gayong diminta memberikan sepenuh perhatian kepada apa yang ditunjukkan. Murid-murid akan cuba menggambarkan pula apa yang ditunjukkan ke dalam kepala. Dato' kemudian akan membetulkan mana-mana gerakan yang salah.

Sewaktu menunjukkan pelajaran pada kali pertama, Mahaguru akan menunjukkan secara gerak perlahan tetapi berseni. Pada kali kedua, Mahaguru akan melakukan gerakan dengan agak keras sedikit. Murid-murid diminta memberikan sepenuh perhatian kepada apa yang diperkatakan oleh Mahaguru.

Jelas Nordin lagi, pada waktu itu latihan senjata kurang ditekankan, iaitu kadang-kadang sahaja diperturunkan. Tumpuan lebih kepada permainan tangan kosong. Sambung Nordin lagi, satu kunci mati biasanya mengambil masa sebulan untuk dimahirkan.

Apa sahaja pelajaran yang telah diperturunkan, murid-murid Gayong dikehendaki melatihkannya sehingga benar-benar mahir dan cekap. Murid Gayong diharap dapat mengingati setiap masa semua pelajaran yang telah diperturunkan.

Pada waktu itu, nama-nama pergerakan, tangkapan dan pukulan telah diberikan oleh Mahaguru. Misalnya, nama-nama seperti emas sepukal, kelek anak, kisar tali dsb.

Mahaguru kerap menekankan tentang pembentukan kuda-kuda. Bagi membentuk kuda-kuda yang betul, kaki yang di hadapan hendaklah dibengkokkan manakala kaki yang di belakang diluruskan dan bertindak sebagai "jermang"(penahan).

Tiada sukatan pelajaran yang tetap untuk pelajaran elakan tapak. Pelajaran elakan diperturunkan mengikut situasi serangan iaitu keadaan dan arah serangan.

"Jika serangan macam ni, begini cara elak dia. Jika serangan macam ini pula, begini pula cara elakan dia."

Menurut Nordin, murid Gayong kena ingat betul-betul pelajaran yang telah diajar kerana Mahaguru tidak ulang banyak kali.

"Satu tunjuk, dua ulang. Kadang-kadang kalau mood baik, Dato' akan tunjuk lagi untuk perbaiki gerakan."

Menurut Nordin lagi, murid Gayong pada zamannya adalah cukup bersatu. Masing-masing akan berpakat untuk mengambil peranan mencerap pelajaran yang diperturunkan. Kemudian, pengetahuan yang didapati akan dikongsi bersama-sama. Apabila Mahaguru telah berpuas hati dengan pencapaian murid-muridnya, barulah ditambah pelajaran baru. Mahaguru mahukan murid Gayong bersungguh-sungguh dalam mempelajari Silat Seni Gayong. Misalnya, sewaktu mengajar seni tempur close-combat, Mahaguru akan meminta gerakannya dilaksanakan sebaik yang boleh.

"Belajar close-combat, sampai gerak-geri kena perfect betul. Dato' ambil kira semua segi."

Menurut Nordin, pergerakan Mahaguru adalah cukup cepat. Sebaik sahaja serangan dilepaskan, tahu-tahu sahaja si penyerang sudah tumbang ke lantai. Selepas dipertontonkan pergerakan close-combat secara gerak laju, barulah Mahaguru menunjukkan cara-cara melaksanakan gerakan close-combat tersebut sambil mengingatkan murid Gayong bahawa keseluruhan pergerakan close-combat perlulah disudahkan dalam masa kurang tiga saat. Mahaguru akan menunjukkan pelajaran dengan cukup terperinci supaya murid-murid dapat membuat gerakan dengan sesempurna mungkin sebagaimana yang dikehendaki oleh Mahaguru.

Sewaktu mengajar, Mahaguru turut mengenakan sistem denda kepada anak-anak muridnya yang ingkar, iaitu berbentuk ketuk ketampi. Ketuk ketampi ini dilakukan dengan cara kedua-dua tangan diluruskan ke hadapan badan dan murid Gayong dikehendaki membuat gerakan turun naik sebanyak 30-50 kali.

Mahaguru juga tidak suka murid-muridnya datang lewat ke gelanggang. Bila Mahaguru masuk ke gelanggang, semua murid mestilah telah berada di gelanggang. Biasanya, tepat jam 8 malam latihan akan dimulakan. Mahaguru juga tidak kisah dengan bilangan murid yang hadir. Walaupun cuma dua orang sahaja yang dapat hadir, Mahaguru tetap akan mengajar mereka.

Pada penghujung 1950-an, Mahaguru hanya mengajar di gelanggang Woodlands sahaja. Gelanggang-gelanggang lain diuruskan oleh murid-murid tuanya, misalnya gelanggang di Tanjung Rhu, diuruskan oleh Hussain Kaslan.

Menurut Nordin, pelajaran Gayong yang diperturunkan pada awal 1950-an mungkin tidak serupa dengan pelajaran Gayong pada penghujung 1950-an. Pada awal 1950-an, pelajaran close-combat belum lagi diperturunkan. Apa yang diajar cuma kunci mati dan pukulan.

Mahaguru, menurut Nordin, gemar melakukan senaman angkat berat pada setiap pagi. Kepada murid-muridnya, Mahaguru menggalakkan murid-muridnya melakukan latihan angkat berat, pada waktu tiada latihan(siang hari). Jika seseorang murid Gayong tidak berupaya mengangkat besi, Mahaguru akan menyuruh murid berkenaan memikul kayu dan membuat gerakan turun naik berkali-kali.

Menurut Nordin, Mahaguru sering berlatih kombat dengannya. Hal ini adalah kerana tiada sesiapa yang menjadi sparring-partner Mahaguru. Bila Nordin melakukan serangan dan Mahaguru membuat serang balas menggunakan tendangan kaki, pukulan Mahaguru dikatakan sangat deras dan padat. Kaki Mahaguru sampai bergegar di dada Nordin. Menurut Nordin lagi, murid Gayong perlu bersabar sedikit daripada dikasari dan dimaki hamun, kerana Mahaguru semasa menurunkan pelajaran memang agak bersikap agak bengis. Dalam hal pelajaran, Mahaguru memang cukup serius. Lagipun, Mahaguru pernah bertanya kepada murid-murid Gayong sewaktu mereka mula-mula memasuki Gayong dahulu:

Kamu nak belajar silat ni, kamu nak belajar silat tari ke atau silat mempertahankan diri? Kalau nak silat tari, jangan datang sini. Tapi kalau nak belajar seni mempertahankan diri, belajarlah seni mempertahankan diri - Silat Gayong. Tapi kamu jangan ingat kamu kecil atau besar kamu ingat kamu boleh jatuhkan orang. Lihat gajah dengan kancil. Semangat juang, berani, pemikiran yang waras perlu sentiasa ada di badan. Jangan takut kalau orang tu besar. Kita belajar betul-betul. Dengan pelajaran yang kita pelajari, kebolehan kita, kepintaran kita, kekuatan kita, sikap kita, dan hubungan kita dengan Allah Taala, akan menentukan segala-galanya."

"Dahulu, tidak timbul soal bosan, merajuk dan lain-lain. Lepas maghrib sahaja, murid-murid akan terus ke gelanggang. Sakit badan tu sudah menjadi lumrah orang bersilat."

Nordin juga memiliki sifat "cemburu" iaitu cemburu tidak boleh tengok orang lain lebih sedikit(pelajaran Gayong) daripadanya. Beliau sentiasa berusaha ingin menjadi yang terbaik. Oleh itu, apabila balik ke kem sebaik sahaja habis latihan, biasanya jam 1.00 pagi, Nordin akan menyambung latihannya bersendirian di padang bola di dalam kawasan kem. Lebih kurang setengah jam beliau akan membuat ulang kaji segala pelajaran yang didapati pada hari tersebut.

Menurut Nordin, Silat Seni Gayong ada kaitan dengan pergerakan harimau. Sebab itu nama asal Silat Seni Gayong ialah Silat Seni Sendi Harimau. Pergerakan senaman anak harimau adalah berasaskan pergerakan ibu harimau yang mengajar anaknya bersenam. Harimau adalah binatang yang gagah. Menurut Nordin,Mahaguru Meor Abdul Rahman pernah memberitahunya bahawa semasa Siti Aisyah masih ada lagi, Mahaguru sering berulang alik ke Kedah iaitu ke Kota Sarang Semut. Semasa dalam perjalanan balik, iaitu selepas singgah di Gurun, Mahaguru selalu membawa Siti Aisyah ke kaki Gunung Jerai. Di sana, Mahaguru telah menyeru harimau supaya muncul dan Siti Aisyah disuruh bersilat dengan harimau berkenaan dengan menggunakan senjata keris. Sebab itu, menurut Nordin, dalam seni keris, bila duduk adalah dalam kedudukan tapak harimau. Gerakan anak harimau 10 juga, bila duduk dalam kedudukan tapak harimau(tapak mati).

Dari segi penurunan pelajaran Gayong di Singapura, selepas murid Gayong habis mempelajari pelajaran tangan kosong(Tapak Gayong dan Pecahan Tapak), murid Gayong akan diajar permainan Seni Pisau.

"Sebelum belajar keris, kita belajar pisau. Senaman dia, tikaman dia, elakan dia, kunci mati, kemudian main pentas satu pisau. Habis pentas satu, diajar pentas dua(seorang satu pisau)."

Selepas habis mempelajari Seni Pisau, murid Gayong akan diajar Seni Keris. Pelajaran keris sama seperti pisau iaitu senjata tikam tetapi lebih berseni. Selepas habis mempelajari keris, murid Gayong akan menjalani khatam keris. Selepas Seni Keris, akan diajar pula permainan Simbat(rotan sepanjang 3 1/2 kaki). Selepas habis mempelajari simbat, pelajaran Parang Panjang akan diajar.

"Selepas mempelajari parang panjang, simbat panjang(rotan sepanjang enam kaki) akan diajar, sebelum permainan lembing boleh diperturunkan."

Menurut Nordin, di Perlis pelajaran simbat panjang belum lagi diperturunkan. Di Kedah, Nordin pernah mengajar simbat panjang selama setahun, iaitu di Kodiang. Pelajaran simbat suk(cota) pula hanyalah berupa pelajaran selingan, iaitu selepas habis mempelajari simbat dan parang panjang. Setelah tamat mempelajari lembing, upacara khatam lembing akan diadakan, iaitu biasanya di kawasan air lalu, misalnya di air terjun. Akhir sekali adalah pelajaran Cindai.

Menurut Nordin, Seni Yoi diajar bersekali dengan Seni Keris. Buah yoi adalah buah keris.

"Bila kita main keris, sebelah kaki mesti berkedudukan jinjit(tumit diangkat). Guna hujung kaki sebagai spring. Kalau tidak, pergerakan menjadi lambat dan mati tapak."

Nordin juga selalu mengikuti rombongan Mahaguru pergi ke Perak dan Kedah dari Singapura. Menurut Nordin, Mahaguru biasanya mengajar silat selama seminggu di Perak, sebelum bertolak ke Kedah. Nordin juga diarahkan mengajar sekali di mana-mana gelanggang yang dilawati oleh Mahaguru. Menurut Nordin lagi, pelajaran baru biasanya diperturunkan sewaktu rombongan berada di Perak atau Kedah. Bagaimanapun, kadang-kadang pelajaran baru hanya diturunkan selepas rombongan kembali ke Singapura.

Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman menurut Nordin adalah seorang yang istimewa. Apabila Mahaguru berkehendakkan sesuatu, pasti beliau boleh memperolehinya. Misalnya, sewaktu Mahaguru ingin memperturunkan pelajaran baru, telah sedia ada pelajaran baru yang hendak diajar.

"Mungkin ada perbezaan penurunan ilmu mengikut zaman.Ilham Dato' sentiasa aja ada. Bila Dato' bagi, Dato' tunjukkan pelajaran. Dato' kata,"Ini dia..." Dato' tunjuk ini, buat seperti ini; tunjuk itu, buat seperti itu..."

Mengikut Nordin, Mahaguru memiliki 349 seni. Daripada 349 seni ini, 49 seni menjadi haknya sendiri. Baki 300 seni ini, seterusnya, menurut Nordin, boleh dipecahkan menjadi 3000 buah pecahan, suatu jumlah yang tidak mungkin mampu dipelajari oleh seseorang murid Gayong.

"Pecahan Gayong cukup banyak. Sebab itu kalau kita belajar daripada orang lama di Singapura, dulu hanya ada tujuh buah tangkapan. Setiap satu pecah tiga, maka menjadi 21 buah tangkapan kesemuanya."

Menurut Nordin, silibus tetap Gayong hanya diperkenalkan pada tahun 1969, berserta dengan pengenalan sistem bengkung. Dahulu, murid Gayong diuji dari segi senaman, pentas, kunci, kombat dan sparring. Lulus semua ujian permainan tangan kosong, murid Gayong baru boleh dianugerah bengkung hijau. Permainan senjata hanya diajar kepada pemegang bengkung hijau ke atas. Untuk memperoleh bengkung merah, murid Gayong akan diuji permainan pisau, simbat dan parang. Permainan keris adalah untuk mendapat merah tingkatan tinggi(cula). Permainan lembing pula hanya diajar kepada pemegang bengkung kuning ke atas.

Menurut Nordin, pelajaran parang dua adalah hasil daripada kreativiti guru(pecahan) dan tekpi pula merupakan pelajaran pecahan. Dahulu, permainan pisau-simbat dan parang-rantai memang telah diajar. Walau bagaimanapun, permainan keris tidak boleh dicampurkan dengan senjata lain selain keris, kerana permainan keris penuh berseni. Gaya keris adalah gaya seni. Cindai pula menurut Nordin tidak boleh dipertontonkan kepada umum kerana permainannya agak berbahaya dan juga sebagai memegang amanat guru.

Mengimbas kembali detiknya mempelajari Seni Gayong dan seterusnya mengajar Silat Seni Gayong, pada ketika itu Silat Seni Gayong diajar secara tertutup. Hal ini disebabkan Silat Seni Gayong belum lagi didaftarkan pada ketika itu. Sekitar pada tahun 1963, Nordin ketika itu mengajar Gayong di Pasir Panjang. Ketika itu gelanggang latihan merupakan rumah kedai Cina yang disewa oleh murid-murid Gayong. Tawkey kedai kurang menyenangi aktiviti Gayong dijalankan di dalam premis perniagaannya. Sebagai usaha untuk mensabotaj latihan Gayong, tawkey kedai telah bertindak menaburkan serpihan kaca botol minuman yang telah ditumbuk di atas gelanggang latihan. Malam tersebut bulan terang. Jadi cahaya bulan telah menyebabkan serpihan kaca yang ditabur kelihatan berkilauan. Walau bagaimanapun, latihan silat tetap diteruskan seperti biasa. Pada malam itu juga, 2-3 orang lelaki Cina kelihatan meninjau-ninjau ke kawasan latihan mereka, mungkin ingin melihat kesan tindakan sabotaj tawkey Cina pada siang hari sebelumnya. Menyedari kehadiran beberapa tetamu yang tidak diundang, Nordin mengarahkan latihan pada malam itu hanya ditumpukan kepada pergerakan senaman dan lompatan sahaja. Walaupun gelanggang dipenuhi kaca tetapi hal ini tidak menjadi masalah kepada setiap anak Gayong. Apabila menyedari percubaan pertamanya gagal, tawkey Cina tersebut telah bertindak menaburkan paku payung kecil pula. Biar pun halangan demi halangan terpaksa ditempuh, namun perkembangan Gayong tidak mudah untuk digugat.

Menurut Nordin, walau apapun cabaran yang datang, beliau cuma berpegang kepada satu sahaja, iaitu amanat Mahaguru:

"Bila Dato' mandikan kita, bila dia nak wakilkan kita sebagai seorang wakil mandi, dia kata semasa dia nak bagi air Gayong,"Pergilah mengembangkan Gayong. Tak ada apa-apa." Saya pegang kepada kata-kata Dato'. Di mana-mana pun tidak akan ada apa-apa(halangan)."

Selepas gagal mensabotaj latihan Gayong, tawkey Cina tersebut telah membuat laporan polis tentang kegiatan silat Nordin.Pada suatu malam, sepasukan beberapa orang anggota polis telah datang menyiasat ke gelanggang tempat di mana mereka berlatih. Anggota polis tersebut asyik memerhatikan sahaja latihan silat tersebut. Nordin telah mengarahkan murid-muridnya supaya terus berlatih tanpa mempedulikan kehadiran anggota polis tersebut.Oleh kerana mereka terus bersilat tanpa mempedulikan kehadiran anggota-anggota polis tersebut, anggota-anggota polis tersebut pun akhirnya berlalu pergi. Tetapi tidak berapa lama kemudian,tiba pula satu trak dan satu landrover berisi anggota-anggota polis. Sepasukan daripada anggota polis berkenaan(lebih kurang 10 orang) telah berbaris dan bergerak mara ke arah gelanggang silat. Apa yang menghairankan Nordin ialah anggota polis berkenaan tidak mengepung mereka sebagaimana yang biasa mereka lakukan ketika hendak menangkap penjenayah. Menyedari kehadiran anggota polis adalah dengan niat yang baik, Nordin cuma bersikap tenang sahaja walaupun murid-murid beliau sudah mula berasa cemas. Ketua anggota polis tersebut telah menemui Nordin dan bertanyakan apa yang sedang mereka lakukan.

"Lu silat ka?" tanya ketua pasukan polis tersebut.

"Ya, silat." jawab Nordin tenang.

"Lu soldier semua?" tanya ketua pasukan polis lagi.

"Ya, ini semua soldier. Ini rumah cuma disewa. Tanya sama tawkey." jawab Nordin mempertahankan tindakannya berlatih silat di situ.

Nordin menambah bahawa mereka telah lama berlatih silat di kawasan berkenaan. Nordin seterusnya menyuruh anggota polis berkenaan supaya bertanya kepada penduduk sekitar jika polis tidak mempercayai kata-katanya. Ketika itu Nordin dikenali oleh penduduk setempat sebagai "Soldier Guru Kuntau". Setelah diberitahu bahawa yang berlatih silat adalah tentera British serta berpuas hati dengan penjelasan penduduk sekitar, anggota polis kemudian beredar begitu sahaja meninggalkan kawasan gelanggang latihan silat berkenaan.

Suatu ketika menurut Nordin, ketika malam gelap pekat,beliau bersama-sama dengan beberapa orang rakan-rakannya telah merayau-rayau di sekitar Woodlands untuk mencari kawasan yang sesuai untuk berlatih silat. Beliau telah diberitahu bahawa terdapat sebuah rumah tinggal tidak jauh dari situ. Mereka kemudian bergegas ke rumah kosong berkenaan. Apabila dirasakan rumah tersebut sesuai dijadikan gelanggang latihan, mereka pun mula membuka gelanggang dan berlatih silat di dalam rumah berkenaan. Mereka begitu gembira kerana dapat melakukan aktiviti silat tanpa diganggu oleh pihak yang berkuasa. Segala lompatan harimau telah mereka praktikkan ketika berada di dalam rumah berkenaan.

"Budak-budak terbang...bagus aja. Lembut aja jatuh. Lompat. Hempas..." kenang Nordin sambil tertawa. Apabila tamat latihan mereka pun berpecah dan balik ke rumah masing-masing, sambil mengikat janji untuk berlatih silat pada keesokan harinya di tempat yang sama. Pada keesokan harinya, alangkah terperanjatnya mereka apabila mendapati rumah tinggal berkenaan dipenuhi dengan serpihan kaca tingkap. Rupa-rupanya pada malam semalam mereka telah bersilat di atas serpihan kaca yang bersepah-sepah di lantai rumah. Mereka kemudian membatalkan niat untuk berlatih silat di dalam rumah tinggal berkenaan.

Pada tahun 1967, bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-10, Mahaguru Meor Abdul Rahman telah meminta Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj agar Silat Seni Gayong dibenarkan mengetuai perbarisan Hari Kebangsaan. Perarakan dikatakan sepanjang hampir dua batu. Dengan didahului oleh pasukan pancaragam ATM,diikuti pasukan Silat Seni Gayong dan diakhiri oleh pasukan gendang Cina, sambutan Hari Kebangsaan tersebut adalah sangat meriah kerana disambut selama satu minggu. Pada hari yang keenam, diadakan persembahan seni mempertahankan diri. Kira-kira pada jam 9.00 malam, iaitu selepas selesai pertunjukan daripada pasukan kuntao Cina, pasukan Silat Seni Gayong telah diminta mempersembahkan kehebatan mereka. Permainan Seni Keris menjadi pembuka tirai. Nordin yang dipasangkan dengan Sidek telah diminta mempersembahkan Seni Keris. Apa yang menakjubkan ialah, mereka langsung tidak membuat sebarang persediaan latihan kerana pada ketika itu, menurut Nordin, latihan Gayong adalah kasar,keras dan mengerikan. Jadi, murid Gayong tidak memerlukan raptai untuk memperbaiki persembahan. Apabila tiba waktu persembahan, Mahaguru Meor Abdul Rahman akan memanggil sesiapa sahaja muridnya untuk diarahkan bermain permainan Gayong, tidak kira sama ada Seni Tapak atau Seni Keris. Pasangan untuk persembahan juga ditentukan oleh Mahaguru sendiri, jadi pasangan tidak berkesempatan untuk berpakat-pakat. Sebelum persembahan bermula, Nordin telah bersemuka dengan Sidek dan memberitahu Sidek,"Sidek, kali ini siapa cepat dia dapat..." Selepas enam minit bertarung, dan melakukan tiga kali amukan, mata keris Sidek telah tercabut dari hulunya,terus melayang dan berputar-putar di udara. Menurut Nordin, nasib baik mata keris tersebut jatuh ke perdu pokok yang tiada orang menonton di sekelilingnya. Jika tidak, tentulah akan berlaku kemalangan jiwa. Sidek telah mendapat keris ganti yang diberikan oleh Abdul Majid Md.Isa. Pertarungan menjadi bertambah hangat dengan aksi-aksi yang ganas dan mencemaskan. Nordin akhirnya berjaya menjatuhkan Sidek. Sidek telah berguling-guling di lantai bagi mengelakkan tikaman Nordin. Setelah tiga kali tikaman berjaya dielak, akhirnya pada tikaman yang keempat, mata keris Nordin telah terlekat ke lantai. Melihat keadaan Nordin yang kepayahan, Sidek telah bangkit bangun lalu melancarkan serangan yang bertubi-tubi. Nordin yang tidak berkeris ketika itu akhirnya berjaya menangkap tikaman Sidek. Untuk melepaskan diri, Sidek telah menendang sisi perut Nordin dengan sekuat hatinya. Sambil menahan kesakitan, Nordin akhirnya berjaya mengunci pergerakan Sidek. Sepanjang pertarungannya dengan Sidek, penonton-penonton telah bersorak seolah-olah seperti menyaksikan pertembungan di antara dua jaguh lagenda, iaitu Tuah dan Jebat. Mahaguru Meor Abdul Rahman begitu gembira sekali dengan persembahan anak didiknya pada hari itu. Mahaguru Meor Abdul Rahman telah menggelar Nordin sebagai "Jebat" kerana permainan kerisnya yang pantas, lagak Dato'Panglima Hang Jebat.

Menurut Nordin, Mahaguru Meor Abdul Rahman pernah mengukur tapak tangan murid-muridnya dengan bahagian ganja keris Pendawa Lima, keris pusaka milik Mahaguru. Hanya dua orang sahaja yang serasi dengan keris tersebut, iaitu Siti Nuraisyah, anakanda Mahaguru dan Nordin sendiri. Kedua-dua lebar tapak tangan mereka muat-muat dengan lebar ganja keris tersebut. Menurut Mahaguru Meor Abdul Rahman, hal ini menandakan kedua-dua mereka memiliki kelebihan dalam permainan Seni Keris berbanding murid-murid Gayong yang lain ketika itu.

Nordin juga pernah dibawa oleh Mahaguru Meor Abdul Rahman untuk menemui Daing Uda Mohd. Hashim, ayahanda Mahaguru di Taiping. Daing Uda Mohd. Hashim ini menurut Nordin memiliki ilmu kebatinan yang tinggi. Daing Uda Mohd. Hashim pernah dilihat berupaya menukarkan susu dan pisang menjadi batu akik, iaitu susu yang diminum dan pisang yang dimakan oleh murid Gayong, apabila diluahkan semula telah bertukar menjadi batu akik. Ketika di Taiping, Nordin telah ditunjukkan sebuah buyung yang mengandungi bisa(ghaib). Uda Mohd. Hashim telah meminta apa-apa senjata daripada anggota rombongan untuk direndamkan ke dalam buyung tersebut selama dua malam. Menurut Nordin, selepas dua malam direndam, keris milik Nordin dilihat telah menjadi lembut matanya, boleh dilentur-lentur, iaitu dibengkok dan ditegakkan kembali dengan jari oleh Uda Mohd.Hashim seperti kepingan timah lakunya. Daing Uda Mohd.Hashim berkebolehan menilik senjata seperti keris dan keris tersebut akan diberi nama mengikut keistimewaan senjata berkenaan.

Nordin juga berkesempatan menemui Meor Abdul Aziz, kekanda Mahaguru Meor Abdul Rahman. Meor Abdul Aziz menurut Nordin berkebolehan lebih kepada ilmu kebatinan. Beliau tidak mengajar Silat Seni Gayong, cuma memandikan murid baharu sahaja. Meor Abdul Aziz berkulit putih dan kacak berbanding Meor Abdul Rahman.

Menurut Nordin, seniman agung P.Ramlee juga pernah mempelajari Seni Gayong. Ketika ingin berlakon filem Hang Tuah, P.Ramlee telah bertemu dengan Mahaguru Meor Abdul Rahman dan meminta keizinan beliau untuk belajar bermain Seni Kapak. Turut bersama-sama P.Ramlee ialah Nordin Ahmad, Kasma Booty dan pelakon-pelakon lain. Guru yang ditugaskan mengajar artis ialah Che Sor dan Sinwan.

Sepanjang penglibatan beliau dalam Silat Seni Gayong, beliau berpeluang menyaksikan susah senang Silat Seni Gayong ketika ingin didaftarkan. Menurut Nordin, pada tahun 1959, ketika Gayong ingin didaftarkan oleh Dato' Onn bersama-sama dengan Mahaguru Meor Abdul Rahman dan Meor Abdul Aziz, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah menolak permohonan pendaftaran tersebut kerana menyangkakan Pertubuhan Silat Seni Gayong merupakan suatu parti politik yang baru, dan akan menjadi saingan kepada UMNO. Menurut Tunku Abdul Rahman, perkataan "Pertubuhan" seolah-olah menggambarkan suatu parti siasah yang ingin menakluk negara. Pada waktu itu, Dato' Onn telah pun keluar daripada UMNO dan menubuhkan Parti Negara. Kebetulan pula, sebelumnya Tunku juga pernah terlihat gambar Mahaguru bersama-sama Dato' Onn. Mahaguru ketika itu berpakaian silat dengan di dadanya tertera kalimah Allah-Muhammad. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj berpandangan demikian kerana sebelumnya terdapat ura-ura bahawa ahli-ahli Gayong terlibat dalam pakatan dengan orang-orang Melayu Pattani untuk menentang kerajaan Siam. Dato' Onn telah menjelaskan kepada Tunku Abdul Rahman bahawa hal tersebut adalah tidak benar. Menurut Dato' Onn, seorang rakyat Pattani yang kaya bernama Hj.Mansor telah menjual semua hartanya di Pattani dan membeli pula berelung-relung tanah di Kedah. Haji Mansor telah bertemu dengan Dato' Onn dan meminta supaya Silat Seni Gayong diajar kepada rakyat Pattani supaya rakyat Pattani boleh bangkit menentang kekuasaan Kerajaan Siam. Mahaguru Meor Abdul Rahman dan Dato' Onn telah menolak cadangan Hj. Mansor tersebut kerana tidak mahu Gayong terlibat dalam kancah politik/parti siasah. Setelah berpuas hati dengan penjelasan Dato' Onn iaitu Silat Seni Gayong tiada kena-mengena dengan pemberontakan rakyat Pattani, dan hal tersebut cuma cadangan Hj.Mansor sahaja, barulah pendaftaran Silat Seni Gayong diluluskan. Dato' Onnlah yang merangka perlembagaan dan mencadangkan supaya Silat Seni Gayong didaftarkan.

Menurut Nordin lagi, Mahaguru Meor Abdul Rahman pernah memberitahu beliau berkenaan murid Gayong yang bernama Ismail Mansor, yang telah mengajar Silat Seni Gayong kepada sekumpulan penduduk di Kuala Lumpur pada tahun 1960-an, yang mana mereka kemudian telah mendaftarkan kumpulan silat mereka dengan nama silat yang baru. Pertubuhan silat berkenaan kemudian menjadi terkenal di seluruh tanah air. Sebelum daripada peristiwa ini, seorang murid Gayong yang bernama Hosni telah menubuhkan Silat Harimau di Singapura. Menurut Nordin, beliau pernah bersama-sama Mahaguru Meor Abdul Rahman dan Bidin berkereta mencari Hosni di gelanggang silatnya. Malangnya niat mereka telah dihidu terlebih dahulu oleh Hosni. Ketika mereka sampai di gelanggang silat tempat Hosni mengajar, iaitu kira-kira pada jam 11.00 malam, gelanggang berkenaan telah dikosongkan. Nordin berasa lega kerana Mahaguru Meor Abdul Rahman tidak menemui Hosni ketika itu kerana ketika di dalam kereta, Mahaguru Meor Abdul Rahman telah naik berang dan berkata bahawa beliau akan mengoyakkan kangkang Hosni jika Hosni ditemui kelak. Walaupun begitu, menurut Nordin, Hosni adalah seorang yang bijak. Pada keesokan harinya, apabila diketahui mood Mahaguru Meor Abdul Rahman sudah agak baik, beliau telah menemui Mahaguru Meor Abdul Rahman dan menceritakan bahawa beliau tidak mengajar silat yang baru, cuma sekadar suka-suka sahaja.


Nordin telah menjalani khatam keris pada tahun 1961 dan menjalani khatam lembing pada tahun 1962. Beliau menjalani khatam lembing di air terjun Kota Tinggi bersama-sama dengan enam orang rakannya yang lain. Dalam upacara tersebut, Nordin dan rakan-rakannya dikehendaki meranduk air terjun dan cuba mendapatkan Mahaguru Meor Abdul Rahman yang menunggu di seberang sambil memegang lembing dengan mata lembing diarahkan ke dalam air. Mereka dikehendaki menyelam selama mana yang boleh sebanyak beberapa kali sepanjang proses meranduk air tersebut. Menurut Nordin, Seni Lembing berasal daripada Megat Terawis. Megat Terawis ini dikatakan bertubuh sasa. Jika beliau duduk bersila, lembingnya akan diselitkan di celah kakinya.

Satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan oleh Nordin ialah ketika beliau menerima penangan di perut daripada Mahaguru Meor Abdul Rahman. Pada ketika itu beliau sedang mengajar Gayong di dalam sebuah rumah di Singapura. Anak saudara Dato'Onn yang bernama Zainal Abidin yang turut melihat latihan Gayong telah menunjukkan rasa curiganya dengan penangkap Gayong, yang dirasakan tidak lekat. Kenyataan Zainal Abidin telah menaikkan darah Mahaguru Meor Abdul Rahman. Mahaguru Meor Abdul Rahman telah memanggil Nordin lalu menyuruh Nordin menyerang beliau. Sebaik sahaja serangan dilepaskan, Mahaguru Meor Abdul Rahman telah mencengkam perut Nordin lalu dilambungnya Nordin ke dinding. Nordin yang terjelepuk di tepi dinding cuma mampu menahan bisa daripada cengkaman tangan Mahaguru Meor Abdul Rahman. Sepanjang balik dari latihan, beliau cuba menyembunyikan kesakitan yang dialaminya dari pengetahuan Mahaguru Meor Abdul Rahman. Ketika berhenti makan di warung, bisa pukulan Mahaguru Meor Abdul Rahman telah mula menyelinap ke segenap tubuh badan beliau. Begitupun, beliau berjaya mengawal dirinya daripada diketahui masalahnya oleh Mahaguru Meor Abdul Rahman. Beberapa hari kemudian, apabila beliau telah pulih sedikit daripada bisa pukulan Mahaguru Meor Abdul Rahman, didapatinya suatu kesan terbakar berbentuk tapak tangan di tempat pukulan Mahaguru Meor Abdul Rahman. Untuk mengelakkan hal ini daripada diketahui oleh rakan-rakannya, beliau telah membalut perutnya dengan belitan kain. Menurut Nordin, kesan pukulan Mahaguru Meor Abdul Rahman saling tak tumpah seperti pukulan yang beliau saksikan dalam filem "Kutukan Dewata", kecuali pukulan Mahaguru Meor Abdul Rahman tidak mengeluarkan asap sahaja.

Menyentuh tentang upacara membuka dan menutup gelanggang di dalam Silat Seni Gayong, menurut Nordin, pada awalnya, semasa duduk berlutut, surah Al-Fatihah dibaca sebanyak tiga kali dan surah Al-Ikhlas sebanyak tujuh kali, mengikut sebagaimana Mahaguru diajar oleh gurunya. Kemudian, suatu ketika, sewaktu di Johor Bahru, Penyelia Agama bagi seluruh negeri Johor, bernama Hajjah Rahmah telah memaklumkan kepada Mahaguru, bahawa seelok-eloknya surah Al-Fatihah hendaklah dibaca sebanyak sekali manakala surah Al-Ikhlas sebanyak 11 kali. Menurut Hajjah Rahmah lagi, jumlah pahala daripada bacaan sekali surah Al-Fatihah dan sebelas kali surah Al-Ikhlas adalah bersamaan dengan pahala membaca sekali surah Yasin. Sejak daripada hari itu, setiap kali upacara membuka/menutup gelanggang, bacaan surah Al-Fatihah dan surah Al-Ikhlas telah ditetapkan sebanyak sekali(Al-Fatihah) dan 11 kali(Al-Ikhlas). Surah Al-Lahab hanya dibaca semasa upacara Perlimau Tapak/Seni.

Apabila ditanya tentang Sekolah Gayong di Singapura, menurut Nordin tiada sekolah Gayong rasmi di Singapura. Sekolah Gayong pada asalnya hanya menumpang sekolah jahitan(embroidery school). Sekolah jahitan ini telah didaftarkan dengan nombor pendaftaran 4003, dan diuruskan oleh Datin Paridah, isteri kedua Mahaguru. Setelah Mahaguru berpindah ke Taiping, Sekolah Gayong di Singapura telah ditutup. Lagipun, menurut Nordin, bukan senang untuk murid Gayong daripada Malaysia untuk memasuki Sekolah Gayong. Ketika itu masih timbul prejudis antara Malaysia dan Singapura.