Nasrul Haq - Bukan Ajaran Islam

oleh:Asyraf Wajdi(majalah DAKWAH, Mei 1978)

PERSIDANGAN Ketua-ketua Jabatan Agama Islam Negeri-negeri yang bersidang pada 11hb.April, 1978 bersamaan 2hb. Jamadil Awal 1398 di Jabatan Perdana Menteri, Bahagian Agama telah menerima dan mengkaji laporan Jawatankuasa Khas berkenaan Nasrul Haq. Persidangan pada hari itu telah mendapati bahawa ajaran Nasrul Haq adalah bukan daripada ajaran Islam. Bagi tindakan selanjutnya adalah diserahkan kepada Majlis Agama Islam Negeri-negeri, kerana tugas agama adalah di bawah kuasa kerajaan negeri masing-masing.

Memandangkan beberapa kekeliruan yang timbul akibat penyalahgunaan perkataan seperti Khalifah, Naib Khalifah, Mahaguru dan sebagainya,maka Persidangan mengesyorkan supaya perkataan-perkataan tersebut tidak digunakan lagi sebagai gelaran kepada peminpin, ketua atau guru bagi apa-apa pertubuhan jua pun.

Saudara Subki Latif dalam ruangan fokas akhbar harian Watan pada 14hb. April 1978 menimbulkan persoalan tentang tidak adanya keterangan lanjut tentang mengapa pertubuhan itu dikatakan bukan ajaran Islam:

Untuk mengelakkan keliru dan untuk tidak menimbulkan perasaan curiga kepada Ketua-ketua Jabatan Agama Islam Negeri yang mengadakan mesyuarat pada hari itu khusus kepada jawatankuasa yang diberi tugas mengkaji berkenaan dengan Nasrul Haq itu maka perlulah lebih dahulu diketahui bahawa jawatankuasa khas itu bukanlah mengkaji pertubuhan Persaudaraan Nasrul Haq, tetapi apa yang dikajinya ialah amalan-amalan dan dorongan yang menyebabkan orang ramai menumpu perhatian kepada pertubuhan itu.

Untuk menjadi anggota pertubuhan itu tidak menjadi masalah. Kerana ia adalah merupakan pertubuhan belia atau pertubuhan kebajikan yang lain juga, tetapi yang menjadi masalahnya ialah amalannya di mana kononnya boleh memberi perkara luar biasa telah menimbulkan reaksi di kalangan masyarakat.

Jawatankuasa ini memberi perhatian yang utama kepada pertubuhan Nasrul Haq kerana ia bukanlah merupakan seni mempertahankan diri. Tidak ada nilai-nilai seni seperti silat-silat yang lain. Apa yang ada hanya gerak-gerak tubuh, tangan , kaki, kepala dan mata menurut cara-cara tertentu dengan bacaan-bacaan tertentu untuk melahirkan perkara-perkara luar biasa.

Tidak ada cara menepis, tumbuk atau mengelak tendangan musuh. Tidak juga diajar bagaimana hendak merebahkan musuh atau mematahkan lawan atau bagaimana cara menghantar tumbukan yang padu atau sepak yang padat dan sebagainya untuk merebahkan lawan.

Bacaan-bacaan yang tertentu itu pula ialah bacaan Al-Fatihah dan zikir-zikir yang dipergunakan bukan pada tempatnya dan bukan untuk ibadat, tetapi untuk mewujudkan perkara luar biasa yang berkenaan.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa perkara luar biasa itu berlaku di gelanggang-gelanggang utamanya di hadapan khalifahnya. Hinggakan ia boleh berlaku kepada orang-orang 'a-si yang sering melakukan maksiat, bahkan boleh berlaku kepada benda-benda yang tidak bernyawa juga.

Kerana hebatnya perkembangan amalan Nasrul Haq ini maka ramailah orang-orang Islam menyertainya. Tetapi apabila perkara luar biasa itu tidak berlaku berpanjangan selain daripada di gelanggang dan di hadapan khalifah sahaja, maka timbullah desakan kepada Majlis-majlis Agama dan badan agama untuk menentukan amalan ini sama ada ia dari ajaran Islam atau tidak dan adakah ia boleh dijadikan alat untuk berdakwah atau sebagainya.

Pihak Jabatan Agama di negeri-negeri merasai bertanggungjawab untuk menyelesaikan keraguan orang ramai yang mendesak itu. Lalu ditubuhkan jawatankuasa khas untuk mengkaji masalah yang berkenaan supaya hasil kajian itu boleh dibawa kepada jawatankuasa syariah atau jawatankuasa fatwa di negeri masing-masing menurut hemat jawatankuasa yang berkenaan di negeri-negeri.

Jawatankuasa Khas telah mengkaji beberapa aspek setelah mengadakan dua kali perbincangan dengan pihak penganjur Nasrul Haq pada 14hb. Januari dan 16hb. Februari, 1978. Sekali perbincangan dengan mufti-mufti seluruh Malaysia pada 7hb. Februari, 1978. Wawancara-wawancara juga telah diadakan dengan Jurulatih Kanan Nasrul Haq, Penasihat Nasrul Haq dan beberapa orang jawatankuasanya dan beberapa orang pegawai belia di Kementerian Belia sendiri.

Jawatankuasa ini juga telah mengkaji buku-buku, majalah, akhbar dan risalah-risalah yang telah diterbitkan berkenaan dengan Nasrul Haq termasuk pendapat ulama-ulama dari seluruh Malaysia.

Aspek yang dikaji di antaranya ialah asal-usul Nasrul Haq yang dikatakan berasal dari Minangkabau, Sumatera. Pengasasnya di Sumatera ialah Syeikh Musa Paradik. Jurusnya ditemui oleh Tuan Haji Johannes Cheoldi S.P. ketika menunaikan fardu haji di Mekah dan dipraktikkan di Gua Hira' dengan seorang teman yang datang dari Indonesia.

Ada pula pendapat yang mengatakan asal-usul Nasrul Haq ini berasal dari Pagaruyong dan dibawa ke Jawa Barat oleh Datuk Shah Bandar kemudian dipelajari oleh empat orang pendekar. Kemudian dipelajari oleh Aki Tasik yang berasal dari Suka Bumi. Tuan Haji Johannes dikatakan belajar ilmu Nasrul Haq ini daripada Haji Elias Sultan Sati, murid dari Aki Tasik.

Bentuk amalan (Nasrul Haq) ini terbahagi kepada dua,iaitu Rohani dan Jasmani. Perpaduan di antara Rohani dan Jasmani inilah melahirkan perkara luar biasa. Cara amalannya ialah setiap murid dikehendaki membaca Al-Fatihah sebanyak tiga kali. Kemudian baru memulakan jurus yang disertai dengan mengingatkan Allah. Tujuannya untuk mendapatkan kekuatan batin dan kekuatan luar biasa yang didakwakan sebagai maunah atau fadilat dari Allah. Jawatankuasa ini juga ytelah mengkaji masalah sumpah, bai'ah dan kesannya terhadap orang yang terlibat dengan amalan ini.

Jawatankuasa khas juga telah mengambil perhatian utama kepada kesan kuasa luar biasa yang menjadikan sebagai penahan dari suatu serangan itu boleh dipindah-pindahkan bukan saja kepada manusia Islam atau bukan Islam, bahkan boleh juga dipindahkan kepada apa-apa saja sekiranya khalifah atau guru menjuruskan atau memasukkan kuasa tersebut.

Hal ini boleh menimbulkan keliru tentang jenis perkara luar biasa itu, lebih-lebih lagi seringkali ia tidak memerlukan zikir atau apa-apa ayat lagi cuma memadai dengan jurus saja.

Di dalam gelanggang Nasrul Haq, khalifah-khalifah sering berusaha untuk memastikan kuasa luar biasa itu berkesan dan diisyaratkan pihak penyerang mesti berada dalam keadaan marah. Katanya, ilmu ini tidak berkesan atau tidak menimbulkan apa-apa jika penyerang tidak mempunyai perasaan marah. Hal ini meragukan kerana penyerang itu tidak semuanya berperasaan marah lebih-lebih lagi ketika menggunakan alat senjata moden.

Beberapa kekeliruan timbul lagi apabila ternyata banyak bukti yang menunjukkan bahawa amalan Nasrul Haq ini hanya dapat dilahirkan perkara-perkara luar biasa di dalam gelanggang, ketika menjalankan sesuatu latihan atau pertunjukan bersama khalifahnya saja. Tetapi apabila dicuba di masa-masa yang lain nampaknya tidak banyak berkesan lagi, bahkan tidak berkesan langsung.

Keputusan Jawatankuasa Khas yang diisytiharkan tempoh hari tidak bertujuan untuk menentukan halal atau haram kerana ia di luar tugas jawatankuasa yang berkenaan. Jawatankuasa itu hanya menggariskan sepuluh pandangan untuk dirumuskan sebagai keputusan atau kesimpulan. Antara rumusan-rumusan tersebut ialah:

Walau bagaimanapun persidangan Ketua-ketua Jabatan Agama Islam Negeri-negeri pada hari itu menjunjung tinggi hasrat dan cita-cita Kementerian Belia dan Sukan terutamanya hasrat Datuk Abdul Samad Idris sendiri selaku menteri yang bertanggungjawab untuk menyerapkan iman dan menambahkan taqwa di kalangan belia-belia kita. Tetapi masalahnya mereka tidak mahu penyerapan itu melalui jalan yang boleh menimbulkan keliru.

Untuk itu mesyuarat mencadangkan kepada Datuk Abdul Samad Idris sendiri supaya Kementerian Belia dapat melantik seorang Koordinator dalam bidang dakwah untuk menggerakkan kegiatan-kegiatan agama di kalangan belia. Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia dan jabatan-jabatan agama di negeri-negeri telah memberi persetujuan untuk bekerjasama.

Untuk pengetahuan pembaca bahawa anggota jawatankuasa khas itu terdiri daripada YB Datuk Sri Haji Kamaruddin Mat Isa, Tim. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Prof. Haji Abdul Jalil Hassan, Datuk Haji Abu Hassan Sail, Datuk Syeikh Abdul Mohsein Haji Salleh, Tuan Haji Ghazali bin Haji Abdullah, Tuan Haji Mohd.Talha bin Haji Abdul Rahman, Ustaz Haji Dusuki bin Haji Ahmad, Ustaz Mahsin bin Haji Mansor dan Ustaz Haji Ahmad bin Awang.