Dato' Meor Abdul Rahman dari kaca mata Mustapa Kamal Hj.Shariff, Setiausaha Agung PSSGM

Mustapa Kamal Hj.Shariff merupakan salah seorang gurulatih awal Gayong bagi negeri Selangor. Beliau mula memasuki Gayong pada bulan April 1963. Pada awal tahun 1967, beliau bersama-sama dengan empat orang rakan sepelatihnya telah ditauliahkan oleh Dato' Mahaguru sebagai Gurulatih Muda bagi negeri Selangor.

Menceritakan detik-detik awal penglibatan beliau dalam Silat Seni Gayong, beliau mula mendengar tentang Silat Seni Gayong semasa beliau bersekolah di Seremban. Seorang samseng telah memegang tangan Mustapa Kamal dan mengugut akan menikam beliau kerana tidak mahu menjelaskan wang perlindungan setiap bulan. Mustapa Kamal telah mengadukan hal tersebut kepada rakannya, Mat Padang semasa mereka sama-sama menunggu bas di perhentian bas. Mat Padang telah meminta Mustapa Kamal menunjukkannya mana satu samseng yang telah mengugut beliau. Mat Padang berkata,"Mana orangnya? Ni pisau ni biar aku radak perut dia. Ni anak Gayong tau!" Itulah pertama kali Mustapa Kamal mendengar nama Silat Seni Gayong. Beliau juga tidak mengetahui, pada masa yang sama adiknya Kamarul Baharin telah pun menyertai Silat Seni Gayong ketika mereka tinggal di Juaseh. Mustapa Kamal sering memerhatikan bahawa pada setiap hari Sabtu Kamarul Baharin akan "hilang" dari rumahnya. Sehinggalah suatu ketika semasa Kamarul Baharin pulang untuk mengambil pakaian silatnya, beliau telah disapa oleh Mustapa Kamal. "Kau nak pergi mana?"tegur Mustapa Kamal. "Pergi bersilat," jawab Kamarul Baharin. "Silat apa?"tanya Mustapa Kamal lagi. "Silat Gayong!" jawab Kamarul Baharin. Mustapa Kamal lalu meminta Kamarul Baharin membawanya berjumpa dengan guru silat tempat Kamarul Baharin belajar silat. Sejak itu Mustapa Kamal mulalah berlatih silat bersama-sama rakan-rakan segelanggangnya. Pengalaman beliau melibatkan diri dalam aktiviti akrobatik ketika di sekolah telah mengejutkan rakan-rakan silatnya yang lain. Mereka kehairanan kerana Mustapa Kamal berkebolehan melakukan senaman anak harimau dengan baik walaupun beliau baharu sahaja memasuki Silat Seni Gayong. Guru yang mula-mula mengajar beliau ialah Cikgu Sabri, yang berasal dari Melaka.

Selain Cikgu Sabri, beliau juga pernah mendapat didikan daripada Cikgu Ibrahim, Cikgu Ahmad Ismail, Cikgu Ahmad Lazim, Cikgu Abd.Majid Md.Isa, Cikgu Awang Daud dan Cikgu Haji Harun Salleh.

Menurut Mustapa Kamal, buah kombat pertama kali diturunkan oleh Dato' Mahaguru di negeri Selangor, iaitu di Pusat Sukan Kampung Pandan pada tahun 1965-66. Dato' Meor Abdul Rahman mengajar buah kombat dalam pakaian yang lengkap, iaitu dengan bertali leher dan memakai kasut but. Dato' Meor Abdul Rahman akan menunjukkan cara-cara melakukan buah kombat, biasanya cuma sekali sahaja(kerana tiada siapa yang berani menawarkan diri untuk menjadi model demonstrasi disebabkan kerasnya pukulan Dato' Mahaguru). Selepas itu, murid-muridnya diminta mengulang semula aksi yang telah beliau tunjukkan sambil beliau memberi komen dan memperbetulkan mana-mana gerakan yang salah. Bilangan buah yang diperturunkan pada satu-satu masa adalah tidak tetap."Tetapi apabila buah diperturunkan, dengan kasut-kasut but sekali naik ke dada…", ujar Mustapa Kamal yang pernah merasai penangan kasut but Dato' Mahaguru. Murid-murid yang telah diturunkan pelajaran diminta menulisnya, dan kemudian menyusunnya kembali.

Menurut Mustapa Kamal lagi, pada zamannya, Dato' Meor Abdul Rahman menurunkan buah sebiji-sebiji pada sesuatu masa, yang terdiri daripada buah kunci mati dan buah kombat. Buah-buah yang diperturunkan tidak begitu tersusun sebagaimana yang didapati pada hari ini.

Dato' Meor Abdul Rahman menurut beliau adalah seorang yang "ganjil/luar biasa". Dato' Mahaguru adalah seorang yang terdidik keperibadiannya dan orang yang tidak pernah mengalah dan juga seorang yang berani. Dato' Mahaguru berbadan sasa(sendo), tidak berapa tinggi, berkulit gelap, rambut lurus tetapi tidak pernah kusut. Rambutnya sentiasa berminyak dan mukanya sentiasa bersih dan licin.

Jika bersilat, tubuh Dato' Meor Abdul Rahman sedikit pun tidak berganjak. Semasa Mustapa Kamal mengikuti kursus bengkung hitam di Taiping pada tahun 1970-an dahulu, beliau pernah terlewat sampai ke gelanggang latihan. Dato' Meor Abdul Rahman tanpa bertanya lagi telah menyuruh Mustapa Kamal menyerangnya. Sebaik sahaja Mustapa melepaskan penumbuknya, Dato' Mahaguru dengan sepantas kilat telah menangkap tangan Mustapa, lalu dihumbannya Mustapa Kamal ke satu sisi gelanggang. Tubuh Mustapa telah terhempas ke dinding gelanggang menyebabkan dinding gelanggang yang diperbuat daripada buluh tersebut roboh. Dato' Meor Abdul Rahman sedikit pun tidak berganjak dari tempat di mana beliau berdiri.

Menurut Mustapa Kamal, Dato' Meor Abdul Rahman jika dipandang wajahnya, seseorang itu akan terasa gerun tetapi beliau adalah manusia yang paling baik dan boleh dibawa bergurau. Mustapa Kamal mendapat tahu mengenai peribadi Dato' Mahaguru semasa beliau bersama-sama Dato' Mahaguru berada di Jepun. Pada awalnya, Mustapa Kamal memang takut dan segan dengan Dato' Mahaguru kerana pernah suatu ketika beliau menyaksikan Dato' Mahaguru menghentak meja sehingga menyebabkan kaca meja bertaburan. Ketika itu Dato' Meor Abdul Rahman telah tidak bersetuju dengan langkah penubuhan silat olahraga. Dalam mesyuarat yang diadakan di Dewan Belia Kampung Pandan, beliau telah menjadi berang dengan ura-ura Gayong hendak memasukkan silat olahraga dalam mata pelajaran silatnya. Dato' Meor Abdul Rahman telah bangkit berdiri lalu terus menghentak meja kaca di hadapannya. Serpihan kaca meja telah berterbangan namun beliau tidak berganjak langsung dari tempat beliau berdiri. Semua yang berada di dalam pejabat Gayong bertempiaran lari menyelamatkan diri. Mustapa Kamal pada ketika itu baru sahaja sampai ke situ.

Walaupun begitu Dato' Meor Abdul Rahman tidak pernah naik angin tanpa sebab. Orangnya sebenarnya boleh berlembut dan tidak pernah memukul orang secara tidak menentu. Sewaktu mengikuti kursus bengkung hitam selama dua minggu di Taiping dahulu, Dato' Meor Abdul Rahman sentiasa mengambil berat tentang kebajikan murid-muridnya. Rumah beliau ketika di Taiping adalah rumah dua tingkat dan tingkat bawah dijadikan asrama. Semasa berada di Taiping, murid-muridnya disuruh bertatatertib dan tidak dibenarkan sama sekali merokok di asrama dan di gelanggang. Pada waktu subuh, sebelum katil sempat dikemaskan Dato' Meor Abdul Rahman telah terlebih dahulu melihat dari tingkat atas siapa-siapa yang telah bangun pagi. Sewaktu di Taiping, peserta-peserta kursus diminta berlari naik ke atas bukit yang berbatu kerikil. Mereka kemudian diarahkan oleh Dato' Mahaguru supaya berlari sekuat tenaga menuruni bukit dan diminta berhenti apabila terdengar tiupan wisel daripada Dato' Mahaguru. Mereka tidak dibenarkan berhenti selagi belum mendengar bunyi tiupan wisel.Ketika hampir sampai ke bawah, Dato' Mahaguru akan membunyikan wisel. Mana-mana peserta yang tidak berjaya memberhentikan lariannya(terlajak),mereka akan diminta mengulangi semula larian mereka dari atas bukit.

Dato' Mahaguru memang garang ketika berada di dalam gelanggang. Pernah suatu ketika Dato' Mahaguru telah bertempik memarahi Mustapa Kamal kerana menyangkakan Mustapa Kamal tidak serius dalam latihan dan bergurau senda ketika latihan. Selepas latihan, ketika berada di dalam surau, Mustapa Kamal telah menyuarakan rasa tidak puas hatinya kepada Dato' Mahaguru kerana bukan beliau yang tidak serius berlatih, tetapi rakannya yang lain. Dato' Mahaguru hanya mendiamkan diri sahaja. Seketika kemudian, Dato' Mahaguru telah keluar dan memarahi murid beliau yang sepatutnya dipersalahkan. Murid beliau tersebut telah diminta mengadakan upacara istiadat memohon ampun kepada beliau.

Dato' Meor Abdul Rahman juga pantang mendengar jika ada orang yang mengaku dirinya sebagai mahaguru silat. Beliau akan segera mencari orang tersebut dan akan mencuba setinggi mana ilmu silat orang berkenaan. Pernah suatu ketika, Mustapa Kamal telah membawa rombongan pesilat olahraga ke Port Dickson. Kebetulan Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman turut hadir di sana. Ada seorang lelaki yang mengaku dirinya sebagai mahaguru sebuah pertubuhan silat. Dato' Meor Abdul Rahman telah menarik orang berkenaan ke belakang bilik air dan orang berkenaan telah dikunci oleh beliau sehingga tidak bergerak.

Dato' Meor Abdul Rahman juga tidak suka Silat Seni Gayongnya diolah-olah. Beliau pernah menyerang muridnya secara sepantas kilat sehingga menyebabkan muridnya tersembam mencium tanah, disebabkan muridnya itu telah mengembangkan Silat Seni Gayong kepada bangsa asing di luar negara tanpa pengetahuannya. Menurut Mustapa Kamal, tindakan Dato' Meor Abdul Rahman adalah sangat pantas sehinggakan tahu-tahu lawannya sudah jatuh ke tanah. Dato' Meor Abdul Rahman biasanya membuat buah silatnya ketika beliau dalam pakaian harian yang lengkap, kerana beliau sentiasa segak dan kemas sepanjang masa.

Dato' Meor Abdul Rahman mengutamakan seni, kuda-kuda dan jatuhan semasa beliau mengajar murid-muridnya. Jatuh adalah pakaian manusia kerana setiap yang berdiri pasti akan jatuh. Buah-buah silat perlu diseimbangkan dengan gerakan lompatan harimau. Kamarul Baharin, adik Mustapa Kamal pernah melompat sehingga melepasi halangan seramai 16 orang yang sedang sujud.

Menurut Mustapa Kamal, ketika Peristiwa 13 Mei 1969 dahulu, Gayong telah menjadi benteng pertahanan negara. Ketika itu wakil-wakil Gayong telah menghadap Tun Abdul Razak untuk meminta izin mengepalai perang untuk membela orang-orang Melayu di Kuala Lumpur dan Selangor yang teraniaya. Walau bagaimanapun, Tun Abdul Razak telah tidak mengizinkan perkara ini dari berlaku. Ketika itu, ahli-ahli Gayong dari seluruh Selangor telah diminta berkumpul di Kampung Baru sebagai langkah persediaan.

Mengimbas kembali pemergian beliau bersama-sama Dato' Mahaguru mewakili negara ke Osaka, Jepun pada tahun 1970, beliau yang ketika itu baru berusia 26 tahun telah berpasangan dengan Norsaii Hj. Mohd.Yassin telah diminta untuk mempersembahkan permainan Silat Seni Gayong selama dua minggu. Dalam penerbangan pergi ke Osaka, beliau duduk bersebelahan dengan Norsaii manakala Dato' Mahaguru duduk bersebelahan dengan Razali Salleh, Setiausaha Agung PSSGM ketika itu. Kedudukan mereka dipisahkan oleh laluan yang digunakan oleh peramugari. Suatu ketika, kerana kenakalan Mustapa Kamal ketika itu, beliau telah merancang untuk mengenakan Dato' Meor Abdul Rahman. Beliau ingin melihat sejauh mana Dato' Mahaguru memberikan perhatian terhadap diri beliau ketika itu. Ketika peramugari datang membawa minuman, beliau telah meminta peramugari tersebut menuangkan segelas minuman keras untuknya. Tindakan beliau telah menyebabkan Dato' Meor Abdul Rahman ketika itu bertempik sehingga menyebabkan seisi kapal terbang terperanjat dan memandang ke arah beliau. Dato' Meor Abdul Rahman tanpa segan silu telah bertempik," Anak Dato' minum air setan!!! Haram!!! Keluar daripada anak Gayong!!! Keluar daripada Islam!!!" Setelah peramugari pergi, Dato' Mahaguru telah menepis gelas yang berisi arak tersebut dan memarahi Mustapa Kamal. Mustapa Kamal memberikan alasan bahawa beliau tidak mengetahui mengenai hal tersebut; peramugari yang telah menuang minuman tersebut tanpa pengetahuannya. Peristiwa ini menurut Mustapa Kamal telah menunjukkan bahawa Dato' Mahaguru sentiasa mengawasi dan mengawal anak-anak muridnya dari gejala yang tidak baik.

Sewaktu kapal terbang yang mereka naiki sampai ke lapangan terbang di Osaka, kapal terbang tersebut telah mengalami beberapa masalah teknikal. Hampir setengah jam kapal terbang tersebut tidak dapat mendarat dan hanya berlegar-legar sahaja di ruang udara Jepun. Ketika itu, semua penumpang telah mula panik. Dato' Mahaguru menurut Mustapa Kamal cuma tenang sahaja sambil terus mulutnya terus berzikir. Hal ini menunjukkan bahawa beliau telah bersedia untuk menemui Tuhan Yang Esa dalam keadaan yang sebaik-baiknya.

Di Osaka '70, terdapat lebih 110 buah negara yang menyertainya. Tiap-tiap negara mempunyai astaka mereka sendiri. Pada hari pertama mereka sampai, mereka telah dikehendaki mempersembahkan Silat Seni Gayong, dalam usaha untuk memperkenalkan seni silat Melayu ke mata dunia. Pada hari kedua Mustapa Kamal yang berpasangan dengan Norsaii telah bermain tiga jenis senjata,iaitu Pisau, Keris dan Simbat, satu demi satu. Pada waktu itu ranking negara Malaysia berdasarkan persembahan adalah di kedudukan ke-70 lebih. Sewaktu bermain Seni Pisau, Mustapa Kamal telah menerajang Norsaii sehingga tersandar ke dinding pentas. Dengan sepantas kilat, tanpa memperdulikan keadaan Norsaii ketika itu, beliau telah mencapai pisaunya lalu dibaling ke arah Norsaii yang sedang tersandar di dinding astaka. Dengan kecekapan Norsaii, sepantas kilat balingan pisau tersebut berjaya dielak dan pisau tersebut telah terpacak di dinding pentas, berhampiran kepala Norsaii. Tindakan kedua-dua mereka telah menggemparkan suasana di Ekspo tersebut. Sebaik sahaja persembahan mereka tamat, mereka telah dikerumuni oleh orang-orang Jepun. Orang-orang Jepun telah meminta untuk memeriksa pisau yang mereka gunakan ketika bertarung tersebut. Terbukti pisau tersebut adalah pisau betul! Pada keesokan harinya kedudukan Malaysia telah naik ke tangga ke-10. Sejak itu setiap hari persembahan mereka akan dipenuhi dengan ramai penonton.

Pulang ke Malaysia, Dato' Mahaguru sering bercerita tentang tingkah laku murid-murid beliau ketika berada di Jepun. Tindakan Dato' Mahaguru ini secara tidak langsung telah menaikkan nama Mustapa Kamal.