Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman bin Daing Uda Mohd.Hashim
dari Kaca Mata Murid-murid Tua Beliau

 

Petikan daripada majalah PENDEKAR

Cikgu Dato' Dr. Haji Ahmad bin Lazim, Pemegang Amanah dan Gurulatih Tertinggi PSSGM

"Pada 21 Januari 1960, jam 3 pagi, saya mula memasuki Silat Seni Gayong. Saya telah diterima dan diperlimau oleh Mahaguru sendiri di rumah En. Ali bin Ibrahim di Kepala Bukit, Gurun, Kedah. Selesai upacara itu, beliau(Mahaguru) telah memberi satu ucapan ringkas tetapi ucapan tersebut memberikan saya satu perangsang dengan satu hasrat. Pada malam tersebut, Jam 4.30 pagi dengan dihadiri lebih kurang 25 orang termasuk dalam rombongannya ialah anakanda beliau sendiri, Cik Siti Noraishah, Allahyarham En.Ramli dan beberapa orang gurulatih yang dibawa dari Singapura untuk mengadakan satu pertunjukan di Alor Setar. Beliau telah menyatakan hasratnya, dengan genggaman penumbuk, tangannya diangkat sehingga ke paras melebihi kepala sambil berkata, "Jika aku ada sepuluh orang di dalam negeri Kedah ini yang sanggup bersama-sama untuk memperjuangkan Silat Seni Gayong ini, aku sanggup mengajar mereka siang-malam, pagi-petang untuk menjadikan mereka sebagai pelopor bagi membangunkan, menggegar dan memperkembangkan Silat seni Gayong di Tanah Melayu ini hinggalah ke seluruh dunia.

"Sewaktu bersama-sama dengan Mahaguru saya banyak melihat dengan mata kepala saya sendiri tentang kebolehan beliau yang sangat luar biasa. Kebolehan beliau dari segi ilmu persilatan. Dalam tempoh 20 tahun saya belajar daripada beliau, beliau sentiasa ada perubahan baru atau tambahan pelajaran. Begitu juga dengan ilmu kebatinan seperti kekebalan dan kekuatan; bukan sahaja kebal dan kuat, beliau juga boleh menurunkan kekuatan dan kekebalannya untuk sementara waktu kepada murid-muridnya seperti mengangkat batu yang berat, menarik kereta dengan gigi, menanam manusia hidup-hidup, membawa pergi murid-muridnya tanpa disedari oleh orang lain yang berada di hadapannya dan mematahkan pukau-pukau yang ditujukan kepada murid-murid beliau.

"Selain daripada itu juga, saya telah melihat bagaimana perancangan beliau daripada seorang rakyat biasa menjadi seorang pemimpin yang diperakui. Saya juga amat kagum dengan ceramah-ceramahnya kepada murid-murid biasa, pegawai tinggi kerajaan, orang-orang bergelar dan sampai juga ke peringkat menteri-menteri termasuk juga Perdana Menteri dan Raja-raja.

"Beliau dapat menunjukkan dengan sebenarnya sikap beliau sebagai seorang panglima di zaman lampau dan hero di zaman moden. Ini dapat dilihat dengan kesungguhan beliau bergerak siang-malam, pagi-petang ke merata-rata tempat di Tanah Melayu ini. Sesuatu yang sungguh istimewa mengenai diri beliau ialah boleh menyesuaikan diri dengan sesiapa sahaja sama ada orang kecil, orang besar, berpangkat atau tidak berpangkat termasuk orang cacat.

"Beliau juga amat sensitif apabila terjumpa kubur-kubur orang Islam. Beliau akan berhenti dan membaca surah Al-Fatihah, surah Kulhuallah dan mencium batu nisan sehingga beliau menangis teresak-esak, kadang-kadang lebih daripada 10 minit tanpa disedari.

"Satu lagi yang istimewa, beliau tidak pernah lupa dan sentiasa mengingati sejarah-sejarah yang lepas yang berlaku di Tanah Melayu, keturunan pahlawan-pahlawan Melayu, sebut sahaja nama-nama seperti Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir, Hang Lekiu, Tok Bahaman, Mat Kilau, Panglima Garang, Datuk Maharaja Lela, peperangan antara Jepun dengan Inggeris, Inggeris dengan Cina(Bintang Tiga); yang selalu disebut-sebut ialah semasa Cina(Bintang Tiga) memerintah selama 14 hari. Peristiwa-peristiwa tersebut sentiasa menjadi bualan beliau. Di samping menceritakan sejarah-sejarah yang lepas, secara tidak langsung beliau cuba menunjukkan kegagahan panglima-panglima Melayu di zaman silam. Apabila saya melihat beliau menyebut nama-nama panglima tadi, saya terbayang seolah-olah beliaulah panglima yang diceritakan.

"Pada saat-saat akhir hayatnya, Mahaguru masih lagi tidak berpuas hati dengan perkembangan Silat Seni Gayong pada masa tersebut kerana ada antara murid-murid beliau yang cuba untuk memecah-belahkan Silat Seni Gayong dan menjadikannya sebagai satu silat yang lain. Pada waktu yang sama, ada yang telah menubuhkan pertubuhan sendiri. Dato' Mahaguru sentiasa memanggil saya untuk berbincang agar dapat membawa mereka tadi ke dalam satu pertubuhan dengan slogan hikmat yang dicipta khas oleh Dato' Mahaguru sendiri, iaitu "Genggam, angkat, yang, waras, ngeri."

"Dalam tempoh dua tahun sebelum beliau meninggal dunia, saya dan Dato' Mahaguru sentiasa berusaha untuk memulihkan keadaan ini, hampir setiap minggu kami berbincang dan mencari langkah untuk mengatasi situasi yang semakin meruncing di kala itu. Hinggalah bila tiba saatnya beliau telah jatuh sakit yang serius. Saya selalu pergi melawat beliau di Hospital Taiping. Apabila saya menceritakan perpecahan yang berlaku dalam Silat Seni Gayong, beliau telah mengalirkan air mata. Beliau menangis dan memeluk saya dengan erat. Katanya,"Haji Ahmad, hanya kau sahajalah yang Dato' harapkan untuk menyatupadukan semula pergolakan yang timbul. Dato' tidak rela kita sesama sendiri berpecah-belah". Katanya kalaupun beliau mati, beliau mengharapkan kepada saya meneruskan usaha untuk mengembalikan suasana harmoni dalam Silat Seni Gayong. Sehinggakan dengan keadaan badan yang separuh baring beliau masih mampu mengangkat tangannya yang terketar-ketar sambil berkata,"Gayong mencantum bersatu-padu, mengingatkan junjungan empunya seru, sama sendiri bantu-membantu, hingga Gayong bersatu padu."

"Pada masa dahulu kalau kita lihat, Silat Seni Gayong ini tidaklah begitu teratur dan tersusun seperti pada hari ini. Pada pendapat saya ini disebabkan dahulu ia merupakan "one-man show", tidak ada satu sistem yang dicipta untuk dijadikan panduan sama ada dari segi pertubuhan, adat-istiadat, dan juga kejurulatihan ataupun pembelajaran.

"Pada tahun 60-an dan 70-an merupakan zaman kita menuju ke arah kemodenan dan sehubungan dengan itu, Silat Seni Gayong juga tidak ketinggalan untuk merangka perkembangannya. Maka, pada awal 60-an, menyedari hakikat ini dan kita seterusnya telah menyusun secara rapi semua aspek yang terlibat seperti pentadbiran, pertubuhan dan perkembangannya sehinggalah kita mendapat satu sistem yang teratur..."

 


 

Tuan Haji Buang bin Bahar, Guru Utama Silat Seni Gayong PERWANIT Singapura

"Pernah suatu ketika Dato' Meor bertanyakan kepada saya bagaimanakah caranya untuk menenggelamkan orang. Saya jawab saya tidak tahu. Kemudian Dato' Meor memberitahu saya bahawa untuk menenggelamkan orang ialah dengan cara memotong telinganya. Itulah di antara kehebatan Dato' Meor yang saya kagumi.

"Cuma saya agak kesal kerana ketika pemergian Dato' Meor, saya tidak dapat menziarahi beliau di Air Kuning, Taiping.

"Namun begitu, saya masih ingat buah-buah istimewa yang saya terima sendiri daripada beliau. Antaranya ialah Penangkap Malaikat Maut, Sambar Jerung, Cakar Helang, Tangkapan Harimau dan Timang Puteri."