Make your own free website on Tripod.com

Mahaguru Silat Seni Gayong Malaysia dan Serantau

Allahyarham Dato' Meor Abdul Rahman bin Uda Mohd.Hashim ialah pencipta dan pengasas Silat Seni Gayong. Darah yang mengalir di dalam batang tubuh Dato' Meor Abdul Rahman adalah darah Bugis yang diwarisi dari Daing Kuning, seorang pendekar terbilang.Daing Kuning atau lebih dikenali dengan gelaran Panglima Hitam adalah salah seorang daripada tujuh beradik berasal dari Makasar yang mendarat di Tanah Melayu bagi mencari tapak penghidupan baru.

Hasil perkongsian hidup Daing Kuning dengan seorang puteri Raja Patani, beliau telah dikurniakan seorang putera dan kemudiannya dikenali dengan nama Penghulu Che' Ngah Tambah.Daing Kuning meninggal dunia pada tahun 1875 di Taiping, Perak. Penghulu Che' Ngah Tambah pula telah mendapat seorang anak lelaki yang diberi nama Uda Mohd. Hashim.

Uda Mohd.Hashim(bapa) dan Sharifah Aluyah(ibu)

Uda Mohd.Hashim kemudiannya mendirikan rumahtangga dengan Sharifah Aluyah binti Syed Zainal Al-Attas dan dikurniakan dua orang anak lelaki, salah seorang daripadanya dinamakan Meor Abdul Rahman.Meor Abdul Rahman dilahirkan di Taiping, Perak pada 17 Ogos 1915 dan mula mempelajari persilatan ketika berusia 12 tahun, daripada datuk sebelah ibunya, iaitu Tuan Syed Zainal Al-Attas. Syed Zainal adalah seorang penghulu di Pekan, Pahang, dan ikut sama berjuang menentang campur tangan Inggeris di Pahang bersama-sama dengan Dato' Bahaman, Mat Kilau serta pembesar-pembesar Pahang yang lain.

Pada tahun 1936, Allahyarham telah digelar "Rahman Sendo" oleh almarhum Sultan Alang Iskandar, setelah menunjukkan keistimewaan dan kependekarannya di istana Bukit Chandan, Kuala Kangsar,Perak. Dengan kehendak almarhum Sultan, Allahyarham telah diambil sebagai anak angkat oleh baginda sehinggalah baginda mangkat pada tahun 1938.

Pada tahun 1938, Allahyarham telah berhijrah ke Singapura dan bekerja di Royal Signal Corp, Gillman Barrack. Di sini Allahyarham turut mengajar seni tempur tangan kosong kepada tentera British.

Apabila tentera Jepun menyerang Singapura pada tahun 1941, Allahyarham bersama-sama dengan keluarganya telah menyelamatkan diri ke Pulau Sudong, sebuah pulau di selatan Singapura. Setelah melalui pelbagai dugaan, barulah beliau dan keluarganya dibenarkan menumpang di pulau tersebut.Di Pulau Sudong inilah Silat Seni Gayong mula dikembangkan, iaitu pada 17 Februari,1942. Di Pulau Sudong ini beliau telah menunjukkan kebolehannya memperdaya tentera Jepun dan seterusnya menyelamatkan penduduk Pulau Sudong daripada kekejaman tentera Jepun. Silat Seni Gayong kemudiannya diajar kepada semua penduduk Pulau Sudong.Tidak lama kemudian, beliau bersama-sama keluarganya telah pulang ke Taiping, Perak.

Pada tahun 1943, beliau telah ditangkap oleh tentera Jepun kerana menentang tentera Jepun yang cuba mengganggu isterinya. Beliau telah dipenjarakan di penjara Taiping dan setelah dibicarakan, beliau telah dijatuhi hukuman gantung. Sewaktu dibawa ke tempat penggantungan, beliau telah menunjukkan kependekarannya dengan menumpaskan tentera-tentera Jepun yang mengawalnya. Akibat daripada peristiwa ini, beliau telah dibebaskan. Tidak lama kemudian beliau telah dipaksa menyertai pasukan tentera Jepun.

Apabila Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, beliau sekali lagi telah berhijrah ke Pulau Sudong dan telah ditawarkan menjawat jawatan penghulu di situ. Setelah beliau menetap di Pulau Sudong, Silat Seni Gayong telah tersebar ke pulau-pulau sekitar termasuklah pulau-pulau di dalam wilayah Indonesia.

Pada tahun 1947, beliau telah berpindah ke pulau besar Singapura kerana ditawarkan bekerja sebagai mata-mata gelap di Jabatan Siasatan Jenayah, Singapura. Pada tahun tersebut juga beliau telah dianugerahkan pingat King George VI oleh kerajaan British kerana jasa-jasanya menentang pendudukan Jepun di Singapura. Bermula dari tahun 1948, beliau telah gigih mengembangkan Silat Seni Gayong di Singapura, dan seterusnya ke Tanah Melayu. Setelah bersara dari pasukan polis, beliau telah menubuhkan Sekolah Pusat Latihan Silat Seni Gayong di Woodlands,Singapura pada tahun 1960. Di pusat latihan inilah, gurulatih-gurulatih awal Gayong dari Semenanjung Tanah Melayu mendapatkan pelajaran silat mereka.

Pada tahun 1959, Allahyarham Dato'Meor Abdul Rahman telah bertemu dengan Dato' Onn Jaafar, pengasas UMNO dan penentang Malayan Union. Dato' Onn telah mengusulkan Silat Seni Gayong didaftarkan supaya menjadi suatu pertubuhan yang sah di sisi undang-undang. Akhirnya, dengan jasa-jasa Dato' Onn, Silat Seni Gayong telah diluluskan pendaftarannya pada 22 Oktober 1963 dengan nombor pendaftaran 361(Johor Bahru). Ia adalah pertubuhan silat yang pertama didaftarkan di Malaysia. Dato' Onn telah dilantik sebagai penasihat dan setiausaha agung yang pertama. Pendita Za'ba pula telah diminta melukis lambang Gayong dan mereka bentuk sijil Gayong.

Kegigihan dan pengorbanan Allahyarham Dato' Meor Abdul Rahman dalam usaha mengembangkan Silat Seni Gayong telah dirakamkan dengan pengurniaan pingat Dato' Paduka Cura Simanja Kini (DPCM) oleh Sultan Idris Shah, Sultan Perak pada tahun 1971.

Dato' Meor Abdul Rahman telah kembali ke rahmatullah pada 23 Jun 1991 dalam usia 76 tahun dan telah dikebumikan di perkuburan Masjid Lama, Taiping.

Al-Fatihah...

Dato' Mahaguru ketika mengajar Seni Cindai
di Pusat Latihan Tertinggi PSSGM di Air Kuning, Taiping, Perak.

Dato' Mahaguru sedang beraksi dengan Sundang Lipas dan
keris pusaka Daing Kuning.

Panglima Sendo Perak