Make your own free website on Tripod.com

FAQ I

Assalammualaikum w.b.t,

Saya adalah bekas penuntut Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia semasa belajar di ITM Cawangan Perlis pada tahun 1990 - 1994 dan kini ingin menyambung semula pembelajaran silat gayong ini di Universiti Malaya kerana ianya lebih dekat dengan tempat saya bekerja iaitu di Seksyen 13, Petaling Jaya.

Jadi, dapat kiranya pihak tuan memberikan maklumat lanjut bagaimana saya boleh menyertai sama sessi latihan di Universiti Malaya ini dari segi bayaran yang dikenakan atau terdapat syarat-syarat lain memandang saya bukan warga Universiti.

Sekian terima kasih.

Assalamualaikum, Saudara Dwan.

Terima kasih kerana sudi melawat laman web PSSGM Universiti Malaya. Saudara di Perlis dahulu di bawah pengawasan Cikgu Nordin Abdul Rahman kan? Saya sudahpun bertemu dengannya. Untuk pengetahuan Saudara, turut berlatih di gelanggang Universiti Malaya ialah dua orang pesilat PSSGM Perlis, iaitu Saudara Mohd.Isham Ibrahim(bekerja di Hospital Universiti) dan Saudara Shahsuzanni(bekerja di Bank Rakyat, sekarang pindah ke cawangan Perlis).Kedua-dua mereka adalah murid kepada Cikgu Nordin Abdul Rahman.

Saudara boleh sahaja terus mengikuti latihan silat yang dijalankan pada setiap hari Selasa dan Khamis. Masanya ialah 5.30 petang - 7.00 malam, bertempat di belakang bangunan Baktisiswa(boleh tanya pengawal keselamatan UM di mana tempat tersebut). Sila bawa pakaian yang lengkap serta bengkung sendiri(jika ada). Yuran latihan yang dikenakan ialah RM10 sebulan(terutama bagi yang telah bekerja). Saudara boleh berjumpa dengan gurulatih gelanggang, En.Fadzil Ibrahim pada masa latihan, ambil borang keahlian PSSGM(jika belum menjelaskan yuran tahunan) dan selepas itu bolehlah meneruskan latihan bersama-sama pelatih yang lain.

Saya harap saudara berpuas hati dengan penerangan saya. Jika masih terdapat kemusykilan, bolehlah menelefon saya di nombor:03-7574361(u.p. En.Onn bin Mohd.Jadi).

Sekian, terima kasih

 

A'kum..

Saya masih baru dalam PSSGM dan menyandang Bengkung Pelangi Hijau.. Saya ingin bertanya..apakah boleh utk mengambil Ujian merah..dan berlatih di UM..kerana tempat disini kurang aktif.

TQ

-- Zaid --

Waalaikumussalam Zaid...

Untuk pengetahuan Zaid, di gelanggang UM Zaid dialu-alukan untuk berlatih bersama-sama pelatih yang lain. Latihan diadakan pada setiap hari Selasa dan Khamis(5.30 petang - 7.00 malam) dan Ahad(8.00-10.00 malam). Pada waktu sekarang, latihan ditangguhkan buat sementara waktu disebabkan bulan Ramadan.Zaid bolehlah menghadirkan diri untuk latihan pada minggu kedua selepas Hari Raya Puasa. Tempatnya, di padang belakang Setor Sukan UM/belakang Baktisiswa. Sila bawa pakaian silat sekali.

Tentang ujian bengkung Pelangi Merah tu, tak dapatlah saya jelaskan di sini kerana ia bergantung kepada sejauh mana jam latihan yang telah diikuti oleh Zaid serta pencapaian Zaid dalam silibus kenaikan ke Pelangi Merah.Untuk mengambil Pelangi Merah, Zaid sepatutnya telah mahir dalam "sekurang-kurangnya" 14 buah tapak kunci mati seni dan dua pentas tapak kunci hidup. Diharap Zaid tidak menguzurkan diri dari latihan jika ingin mengambil ujian kenaikan bengkung dengan sempurna.

Sekian dulu buat masa ini dan diharap Zaid berpuas hati dengan penerangan yang telah saya berikan. Sekian, terima kasih.

 

A'kum..

Saya ingin mengucapkan terima kasih kerana UM sudi untuk memberi peluang kepada anak gayong untuk berlatih di sana..Saya baru berusia 17 thn..apakah UM terbuka untuk semua golongan...?? Okaylah..terima kasih diatas kerjasama pihak tuan..

Bye..

Waalaikumussalam Zaid,

Untuk pengetahuan Zaid, gelanggang UM walaupun ditubuhkan untuk kegunaan kakitangan dan pelajar UM tetapi dalam soal latihan silat, kami menerima siapa sahaja yang ingin berlatih bersama-sama kami. Untuk pengetahuan Zaid, di UM ini sebahagian besar ahli aktifnya terdiri daripada penuntut sekolah menengah seperti Zaid. Malah kelas yang dijalankan pada hari Ahad malam dikhaskan untuk pelajar sekolah yang tidak berkesempatan mengikuti latihan pada petang Selasa dan Khamis. Jika Zaid mengikuti latihan silat di UM, Zaid akan didaftarkan untuk menjadi ahli Gayong bagi cawangan Taman Bukit Angkasa kerana keahlian UM hanya terbuka kepada pelajar dan kakitangan UM. Semua pelatih yang mengikuti latihan silat di UM tetapi bukan pelajar atau kakitangan UM telah didaftarkan dengan cawangan Taman Bukit Angkasa, kerana kedua-dua gelanggang dikendalikan oleh gurulatih yang sama. Oleh itu tidak perlulah Zaid risaukan tentang masalah berlatih di UM.

OKlah Zaid. Sekian dulu untuk kali ini. Selamat berpuasa dan menyambut ketibaan Syawal.

 

Saya ingin mengucapkan terima kasih diatas kerjasama pihak UM. Saya juga mempunyai satu soalan..: Apakah perbezaan diantara Gayong Pusaka dan Gayong Malaysia..?? Terima kasih & Selamat berhari Raya..buat saudara yang sudi melayan e-mail anak gayong..sekian..

Waalaikumussalam...

Maaflah Zaid sebab baru hari ni saya berkesempatan membalas e-mail Zaid sebab saya pulang bercuti raya ke kampung halaman di Johor dari 15 Januari hingga 1 Februari 1999.

Tentang pertanyaan Zaid iaitu perbezaan di antara Gayong Malaysia dengan Pusaka Gayong, di sini biarlah saya ceritakan apa yang saya ketahuilah sebab peristiwa penubuhan Pusaka Gayong berlaku pada tahun 1978 iaitu lebih 20 tahun lalu(saya belum masuk Gayong lagi pada waktu itu...). Menurut cerita yang saya perolehi, iaitu daripada majalah Pendekar(dah tak diterbitkan lagi sekarang), juga berdasarkan pertanyaan saya kepada guru-guru lama, Pusaka Gayong ni diasaskan oleh Cikgu Majid bin Md.Isa pada tahun 1978, iaitu selepas beliau dipecat dari jawatan Gurulatih Tertinggi Silat Seni Gayong Malaysia, juga pada tahun 1978. Beliau telah menjadi Gurulatih Tertinggi sejak tahun 1963 lagi. Pemecatan beliau oleh Dato' Meor Abdul Rahman dikatakan berpunca daripada krisis fitnah yang melanda PSSGM ketika itu. Maklumlah, bila berada di atas, tentulah ramai yang tidak menyenanginya(macam kes Datuk Seri Anwar Ibrahimlah kira-kiranya...). Selepas dipecat daripada jawatan Gurulatih Tertinggi, Cikgu Majid dengan mendapat sokongan sebahagian besar daripada anak Gayong Kedah telah mendaftarkan satu pertubuhan Silat Gayong yang baru di Pulau Pinang. Pertubuhan silat yang baru ini diberi nama Pertubuhan Silat Seni Gayong Pusaka Purba yang kemudian ditukarkan kepada Pertubuhan Silat Seni Pusaka Gayong Malaysia. Pertubuhan ini menggunakan Silat Seni Gayong sebagai mata pelajarannya. Apa yang berbeza adalah dari segi pentadbiran sahaja. Dahulu Silat Pusaka Gayong ini menggunakan lambang naga satu semasa PSSGM masih lagi menggunakan lambang naga dua. Lambang naga satu adalah lambang asal Gayong. Sekarang PSSGM telah menggunakan lambang naga satu kembali dan Pusaka Gayong telah menggunakan lambang baru(tiada naga lagi). Dari segi mata pelajarannya, pada pengamatan saya, tidaklah terdapat banyak perbezaannya jika dibandingkan dengan Gayong Malaysia. Cuma yang berbeza mungkin pada sistem bengkungnya kerana pada setiap peringkat bengkung(dari Putih sampai ke Hitam) ada cula masing-masing. Cula-cula selain daripada cula bengkung hitam, bukanlah menunjukkan tingkat mata pelajaran tetapi kebolehan seseorang pesilat tersebut. Lagi banyak cula melambangkan lagi tinggi markah yang diperoleh semasa ujian kenaikan bengkung dijalankan. Sebab itulah bengkung Merah Pusaka Gayong ada tujuh cula sedangkan bengkung Pelangi Merah PSSGM cuma ada tiga cula sahaja. Dalam Silat Pusaka Gayong, terdapat pelajaran Buah Pukulan sedangkan dalam Silat Seni Gayong terdapat pelajaran Serangan Harimau(Kombat). Buah pukulan dan Serangan Harimau ini tidak banyak perbezaannya, cuma buah pukulan adalah lebih ringkas dan tidak melibatkan tangkapan. Maksudnya, sebaik sahaja musuh menyerang, musuh akan terus diserang balas tanpa perlu menangkis serangan musuh terlebih dahulu.Dalam Serangan Harimau ada juga buah yang serupa ini. Buah Tapak Kunci Mati adalah serupa(cuma namanya sahaja yang ada sedikit kelainan). Buah pentas juga terdapat sedikit perbezaan tetapi buah pentas ini adalah hasil kreativiti seseorang guru. Adat-istiadat juga serupa iaitu ada Perlimau Tapak dan Perlimau Seni, juga Mandi Minyak dsb. Sebagai kesimpulannya, antara Pusaka Gayong dan Gayong Malaysia tiada perbezaan yang ketara baik dari segi mata pelajarannya ataupun adat istiadatnya. Apa yang berbeza adalah dari segi matlamat perjuangan. Seni Gayong Malaysia memperjuangkan warisan yang ditinggalkan oleh Allahyarham Dato' Meor Abdul Rahman bin Uda Mohd.Hashim. Pusaka Gayong pula walaupun meneruskan warisan Dato' Meor Abdul Rahman, tetapi mereka lebih menekankan kepada Seni Warisan Pahlawan Gayong. Pusaka Gayong berpendapat Seni Gayong adalah pusaka peninggalan pahlawan Melayu zaman silam yang bernama GAYONG. Pahlawan Gayong ini menurut Pusaka Gayong adalah nenek-moyang Dato' Meor Abdul Rahman yang hidup dalam abad ke-15 dahulu(wallahu'alam). Ilmu Gayong ini telah diwarisi oleh Daing Kuning sehinggalah sampai kepada Uda Mohd.Hashim, Meor Abdul Aziz dan Meor Abdul Rahman. Saya tidak dapatlah hendak mengulas tentang hal ini kerana tiada bahan sejarah yang boleh dijadikan sandaran. Apa yang kita ketahui, Silat Seni Gayong adalah "dicipta" oleh Dato' Meor Abdul Rahman. Dato' Meor ini mempelajari Silat Seni Gayong daripada datuknya, Syed Zainal. Syed Zainal ini khabarnya mempelajari ilmu Gayong daripada Daeng Ambok Solok, yang mempunyai tali persaudaraan dengan Daing Kuning. Meor Abdul Rahman sebenarnya tidak belajar ilmu silat dari bapanya tetapi dari datuknya. Syed Zainal pula bukanlah orang Bugis tetapi berdarah Arab. Cuma ilmu Gayong itu diperoleh dari orang Bugis dan dipercayai ilmu warisan bangsa Bugis. Maksud "dicipta' di sini ialah Meor Abdul Rahman telah menggunakan segala kepintaran dan kepandaiannya mengolah semula pelajaran silat yang telah beliau ikuti(termasuk ilmu yang diajar olah Hang Tuah di dalam mimpinya)agar menjadi buah-buah silat yang dapat dipakai pada zaman ini. Dato' Meor juga banyak mendapat ilham mencipta buah silat hasil amalan Ibu Gayongnya, iaitu sejenis amalan silat peringkat tinggi. Jadi, beliau adalah Mahaguru Silat Seni Gayong yang tulen, dan bukannya Uda Mohd.Hashim ataupun Meor Abdul Aziz.

Mmmm...panjangnya saya bercerita. Apa-apa hal pun, Zaid janganlah menjadi keliru tentang hal ini. Pada saya baik Pusaka Gayong ataupun Seni Gayong semuanya OK. Janji Gayong. Kita hendakkan pelajarannya bukannya sengketa para pemimpinnya. Ya Tak?

OKlah Zaid. Sampai di sini dahulu. Bye.

 

Assalamualaikum Akak Silver...

Terima kasih kerana sudi melawat laman web PSSGMUM yang tak seberapa nih, dan terima kasih sekali lagi kerana sudi "menjengok-jengok" kami di sini.

Untuk pengetahuan akak, kami telah berusaha untuk mencari segala bentuk maklumat tentang PSSGMUM, termasuklah sejarah penubuhannya. Malangnya, sehingga kini tiada rekod rasmi yang dapat kami perolehi kerana persatuan ini telah tidak aktif lagi sejak pertengahan 1980-an. Setelah puas merujuk kepada HEP UM, kami cuma berupaya mengesan satu laporan tentang aktiviti PSSGMUM untuk sesi 1981/82. Tiada sebarang laporan tentang PSSGMUM untuk tahun-tahun sebelum dan selepas tahun tersebut. Apa yang terdaya kami lakukan ialah merujuk kepada Gurulatih kami, En.Fadhil Ibrahim serta ahli-ahli lama yang masih bertugas di UM. Apa yang mendukacitakan ialah mereka lebih mengetahui tentang PSSGM cawangan UM, yang dianggotai oleh kakitangan UM, TETAPI tidak banyak mengetahui berkenaan Persatuan SSGM Universiti Malaya(dianggotai oleh penuntut UM).

Suatu perkara lagi untuk pengetahuan akak, walaupun PSSGMUM telah dihidupkan semula, tetapi aktivitinya tidak mendapat taraf ko-kurikulum universiti, iaitu tidak diberi jam kredit. Jadi, penuntut yang menyertai PSSGMUM cuma mendapat pelajaran silat sahaja sebagai faedah. Oleh kerana itu, tidak ramai penuntut yang berminat hendak menyertai PSSGMUM. Hal ini menyebabkan aktiviti persatuan tidak dapat dirancang dengan baik, kerana kesibukan ahli-ahli yang aktif.

Oleh itu, jika Akak Silver tidak keberatan, sudilah kiranya akak memberikan semua maklumat tentang sejarah penubuhan PSSGMUM serta aktivitinya yang akak ketahui kepada kami. Tanpa maklumat dari Akak, macam ini ajalah maklumat yang ada dalam laman web PSSGMUM. Kalau Akak ada komen membina tentang maklumat yang kami persembahkan, akak juga dialu-alukan untuk menyuarakannya demi kebaikan semua pihak.

Salam hormat dari kami,

 

Assalamualaikum wrt. wbt.

Terima kasih kerana sudi melawat laman web PSSGM dan menghantar e-mail kepada saya.

Di sini saya akan cuba seberapa yang dapat untuk menjawab soalan yang ditanyakan oleh saudara Farid. Tetapi sebelum itu, saya ingin bertanya kepada Farid sama ada Farid pernah mempelajari mana-mana seni mempertahankan diri, sama ada Silat Seni Gayong atau pun apa-apa seni bela diri yang lain? Jika Farid pernah mempelajari sebarang seni mempertahankan diri, mungkin penerangan saya nanti menjadi lebih mudah difahami.

Tentang tempoh masa mempelajari seni silat, hal ini bergantung kepada sejauh mana kemampuan Farid untuk "menyerap" pelajaran yang diperturunkan. Jika kita rajin mengikuti latihan, mungkin dalam waktu yang singkat kita dapat memperoleh manfaat yang besar dalam latihan silat yang kita ikuti. Dalam Silat Seni Gayong, apa yang ditekankan pada peringkat awal latihan ialah bahagian TAPAK GAYONG, iaitu latihan mengasah kekuatan kuda-kuda dan senjata semula jadi yang terdapat pada anggota badan kita seperti kepala,tangan dan kaki. Apabila kita telah berjaya membentuk anggota badan kita sebagai sejenis senjata, barulah kita diajar tentang bagaimana untuk menggunakan senjata tersebut sewaktu menghadapi lawan, sama ada lawan yang tidak bersenjata mahu pun lawan yang bersenjata. Dalam tempoh ini, kita akan diajar cara untuk mengunci pergerakan lawan(buah kuncian) di samping berkemampuan untuk membuat serang balas ke sasaran lawan yang lemah(buah pukulan). Buah kuncian dan buah pukulan digunakan sewaktu menunggu serangan lawan, tetapi buah pukulan adalah lebih fleksibel kerana kita tidak perlu menunggu sehingga lawan menyerang baru kita boleh menggunakan buah pukulan ini. Dengan kata lain, selepas kita mengacah lawan dan lawan bertindak balas terhadap gerakan awal kita, buah pukulan akan digunakan untuk memusnahkan lawan, yang terpedaya dengan rentak serangan yang dipancing oleh kita tadi.

Selepas kita mahir mengaplikasikan pergerakan anggota badan kita sehingga membentuk senjata yang ampuh, serta berkemampuan mengunci pergerakan lawan, juga memusnahkan gerakan lawan, kita akan memasuki fasa PECAHAN TAPAK GAYONG, iaitu pelajaran yang berupa teknik menyerang balas ke atas serangan lawan yang berjaya menembusi benteng pertahanan kita, dalam hal ini ke atas kuncian yang berjaya dilakukan oleh pihak lawan ke atas diri kita. Latihan pecahan tapak ini lebih tertumpu kepada membuka kuncian silat kita sendiri sebelum kita didedahkan dengan pelbagai bentuk kuncian untuk dilepaskan. Sebaik sahaja kuncian lawan berjaya dirungkai, kita mempunyai dua pilihan iaitu sama ada ingin mengunci lawan semula atau pun memusnahkan terus lawan. Inilah yang dikatakan TEKNIK MENYERANG BALAS di dalam seni silat Melayu. Kita boleh mendapat gambaran secara sepintas lalu tentang teknik menyerang balas jika kita rajin melihat perlawanan gusti seperti WWF ataupun WCW di TV, di mana setiap kuncian yang dikenakan oleh seseorang penggusti akan dibuka oleh penggusti yang dikunci, dan penggusti yang melepaskan kuncian tersebut akan melakukan serangan balas yang lain pula, sama ada mengunci lawannya pula ataupun melakukan gerakan serangan yang lain.

Apabila kita telah mahir dalam segala aspek pelajaran tangan kosong, maka kita dikehendaki menghadapi lawan yang lebih ramai secara serentak. Di sinilah akan dapat dilihat sejauh mana pelajaran silat yang telah kita ikuti boleh dipertanggungjawabkan untuk menjadi benteng pertahanan diri yang ampuh, dan apakah kita sudah cukup dengan ilmu yang kita ada ataupun tidak.

Kemudian, kita akan memasuki peringkat pelajaran menggunakan senjata tajam. Pelajaran ini berguna untuk menghadapi musuh yang menggunakan senjata tajam seperti pisau, parang dan pedang. Kita akan diajar cara-cara mematahkan serangan lawan yang bersenjata dengan menggunakan tangan kosong sahaja, juga sambil kita juga bersenjata. Belaan bentuk yang kedua(kita bersenjata) adalah lebih berbahaya kerana musuh akan dimusnahkan terus tanpa ampun. Bagi belaan bentuk yang pertama, musuh cuma dikunci dan kita masih berpeluang untuk membuat keputusan apa yang perlu dilakukan terhadap musuh tersebut.

OKlah Farid. Sehingga di sini dulu penerangan saya. Diharap Farid berpuas hati dengan penerangan saya.

Sekian, terima kasih.

 

assalamualikum......

saya disini ingin meminta jasa baik saudara untuk menolong saya mendapatkan naskah buku bertajuk Tempur Tanpa Senjata seperti yang tertera gambarnya dalam homepage pssgmum.

Di mana kah saya boleh mendapatkannya di sekitar kuala lumpur ini dan berapakah harganya. atau ia boleh dipinjamkan kepada saya untuk membuat rujukan.

saya mengharapkan jasa baik saudara untuk membantu saya dalam hal ini.

sila hubungi saya secepat mungkin.

terima kasih.

Si Sanggah

Waalaikumussalam Sdr.Sanggah...

Untuk pengetahuan saudara, buku "Tempur Tanpa senjata" diterbitkan pada tahun 1990 oleh Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia. Buku ini tiada lagi di dalam pasaran. Harga senaskah buku ini dahulu ialah RM15. Saudara boleh menghubungi Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia(sila lihat laman web PSSPGM di link PSSGMUM) untuk bertanyakan kalau-kalau mereka masih lagi menyimpan naskahnya. Memandangkan telah 9 tahun berlalu, mungkin mereka cuma ada naskah untuk rujukan sahaja.

Saya ada menyimpan satu naskah(fotostat) buku berkenaan. Jika saudara sanggah berminat untuk membuat fotokopinya, sila hubungi saya di:

Saya bersedia untuk meminjamkannya.

Sehingga berjumpa lagi, sekian, wassalam.

 

Terima kasih diatas penerangan pak cik tadi.Saya sudah faham dengan penerangan tadi.Ya,saya pernah memasuki PSSGM iaitu PSSGM Bahagian Tanah Merah,Kelantan.Saya pemegang bengkung hitam . Pada mulanya saya tak faham macamana ingin mempelajari teknik serang balas.Saya ingin mengucapkan tahniah kepada PSSGMUM kerana membina laman web yang menarik dan lebih praktikal.Adakah Pak Cik Onn sudi menjadi rakan sepersilatan saya?Tentu Pak Cik Onn pernah menjadi ahli PSSGMUM.

Kita boleh berhubung melalui email dan ini dapat memupuk hubungan silaturahim antara para pesilat PSSGM.

Sekian.Harap Pak Cik Onn sudi menjadi teman saya berbual.

Dari,

Muhammad Farid b.Muhammad Mustafa.
Sekolah Menengah Dato'Mahmud Paduka Raja,Tanah Merah,Kelantan.
Gelanggang:Mandi Tapak (padang sekolah saya)

Assalamualaikum wbt...

Mmmm...tak usahlah nak berpakcik-pakcik dengan saya Farid oiiiii...nanti rasa cam tua sangat jekkkk...panggil abang pun buleh laaaaaa...OK?

Sori la pasal lambat balas e-mail Farid sebab ada masalah skit pada komputer abang.

Kalau Farid ada apa-apa masalah tentang silat, tulislah kepada saya. Insya-Allah kita boleh bertukar-tukar fikiran tentangnya.

OK Farid...jumpa lagi...Bye...

 

Assalamualaikum wbt.......

Terima kasih kerana balas email saya nie...tapi,maksud awak,saya kena panggil awak abang ke?kalau begitu tiada masalah.Boleh tak saya panggil awak Abang Wak Onn atau abang Onn sahaja?

Kalau gitu,jawablah cepat,tak sabar je rasanya.....

Assalamualaikum...

Panggillah apa-apa pun Farid oiiiiiii...janji ada nama. Ye tak?

OK Farid. GTG. Bye...

 

Assalamualaikum.

Saya hendak membawa gayong Malaysia ke sebuah sekolah di merlimau, melaka. Boleh beri saya contact number untuk pertubuhan atau gurulatih yang berhampiran?

TQ

Waalaikumussalam Fairuz...

Untuk pengetahuan Fairuz, untuk membuka gelanggang Gayong di Melaka, Fairuz bolehlah menghubungi:

Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Bahagian Negeri Melaka
Kuarters Penghulu Pengkalan Balak,
78300 Masjid Tanah,
Melaka.
Tel: 06-384 6899
e-mail: pssgm_mel@hotmail.com

Fairuz juga boleh melawat laman web PSSGM bah. Negeri Melaka di:
http://members.xoom.com/pssgmelaka

Sekian, terima kasih.

 

Assalamu'alaikum wbt

saudara Onn.. saya Hairolnizam B Johar dr PSSGM N.Melaka.. di sini saya sertakan sekali URL Gayong melaka utk di link kan dlm web PSSGM U.Malaya

HTTP://MEMBERS.XOOM.COM/PSSGMELAKA

sekian terima kasih

wasalam

Waalaikumussalam Sdr. Hairolnizam...

Untuk pengetahuan saudara, saya telahpun menyenaraikan URL Gayong Melaka di dalam senarai link PSSGMUM.

Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Sdr. Hairulnizam kerana sudi memaklumkan perkembangan terbaharu PSSGM Melaka kepada PSSGMUM. Tahniah di atas kelahiran laman web PSSGM Melaka yang serba canggih, dan sepatutnya menjadi ikutan kepada PSSGM bah. negeri-negeri yang lain. Tahniah sekali lagi.

Untuk pengetahuan saudara Hairulnizam juga, baru-baru ini saya ada menerima e-mel daripada peminat silat di Melaka yang ingin mengetahui bagaimana caranya untuk membuka gelanggang Gayong di sebuah sekolah di Merlimau. Saya telah pun memberitahu alamat/no.telefon/e-mel PSSGM bah. Negeri Melaka untuk dihubungi. Jika sudara ingin menghubungi beliau, di sini saya sertakan e-mailnya:

Fairuz(e-mail:faeirouz@tm.net.my)

Sekian, untuk makluman.

 

saya ....... ??? macam mana kita hendak menepis serangan daripada silat cekak sedangkan dia berdiri tegak berbanding dengan kita berkuda siapa lebih cepat gayong atau cekak boleh kah abang e--mail saya secepat mungkin.. ini bukan untuk bergaduh tapi hanya nak tahu saja macammana kita nak mmenepis serangan cekak????

Rasfan Mohd Nor

Assalamualaikum Sdr.Rasfan...

Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada Rasfan kerana sudi menghubungi saya dan melawat laman web PSSGMUM.

Tentang pertanyaan Rasfan tu, terlebih dahulu sukalah abang nak nyatakan bahawa tujuan kita bersilat adalah untuk mempertahankan diri kita, selain daripada untuk memelihara warisan bangsa peninggalan nenek moyang kita ini. Hal ini bermakna, kita tidak mencari musuh tetapi kita sedia membeli jika ada orang lain yang sengaja menjual. Kebanyakan silat tidak mengajar ahlinya untuk menyerang lawan; hanya menanti serangan lawan. Dalam Silat Seni Gayong, menanti serangan lawan sambil berkuda-kuda adalah untuk latihan sahaja supaya murid lebih bersedia untuk menghadapi serangan lawan yang memang telah dijangkakan(berada di hadapan kita). Tetapi, dalam suasana yang sebenar, berkuda-kuda adalah optional, iaitu tengok keadaan dahulu. Kuda-kuda adalah ibarat tiang rumah. Untuk memastikan rumah tidak mudah tumbang dan runtuh, maka tiangnya perlulah kukuh dan utuh.

Apabila kita berkuda-kuda, kita sebenarnya berada dalam tapak. Tapak Gayong adalah hidup, bukannya mati sebagaimana dakwaan ahli silat lain yang tidak berkuda-kuda. Maksud hidup di sini, kita sebenarnya bebas menukar arah pergerakan tubuh bagi disesuaikan dengan bentuk serangan musuh. Tapak Gayong boleh menghadapi serangan yang datangnya daripada empat penjuru mata angin, juga bersedia untuk permainan bawah atau setengah tiang. Kalau Rasfan berkesempatan, tanyakanlah pada guru-guru lama tentang permainan berkuda-kuda Gayong. Banyak rahsianya yang perlu kita korek. Permainan tapak Gayong juga boleh bertukar menjadi tapak harimau yang jauh lebih berbahaya. Dari kedudukan kuda-kuda setengah tiang(hampir duduk di tanah), ahli Gayong mampu melakukan serangan pantas dan mengejut untuk mematahkan tengkuk lawan, sama halnya dengan pergerakan harimau.

Silat Cekak juga menanti serangan. 99% buah Cekak adalah menanti serangan lawan. Walaupun ada sebiji buah serang, yang dikatakan elak kena, makan pun kena, tetapi pengamal Silat Cekak tidak didedahkan dengan latihan jasmani yang cukup untuk menguatkan senjata asli yang terdapat pada tubuh badan seperti buku lima, siku lutut, kepala dsb. Jadi, apa perlu dikhuatirkan dengan buah serangan yang sebiji tuh. Dalam sesuatu perkelahian, siapa yang cepat dia yang dapat. Serangan kita perlulah tidak boleh dijangka oleh lawan. Apa bentuk serangan dan jenis buah yang akan digunakan janganlah diberitahu pada lawan. Lakukanlah serangan secara mengejut dan dengan sepantas kilat(sudahkan dalam masa 3 saat). Dalam latihan, memanglah kawan yang menjadi lawan kita menyerahkan tubuhnya bulat-bulat untuk "dikerjakan" oleh kita. Tetapi, dalam pergaduhan sebenar, tidak semudah itu! Kita tidak mungkin dapat menangkap tangan lawan langsung, sebagaimana kita saksikan dalam demo-demo silat. Dalam Silat Seni Gayong, ada buah serangan harimau/pukulan/kombat yang boleh digunakan untuk menghadapi serangan ramai dan mengejut. Buah tangkapan kunci hanya digunakan jika berkesempatan sahaja, iaitu jika keadaan mengizinkan dan musuh kelihatan telah lemah. Buah serangan harimau adalah buah maut...buah ini mesti dilatih sehingga mahir dan dapat disempurnakan dalam tempoh kurang daripada 3 saat. Lihat gerak musuh...

Berdiri lurus seperti yang diamalkan oleh Silat Cekak ada kelebihan dan ada juga kekurangan(sedangkan di dalam Silat Seni Gayong kita boleh memilih sama ada ingin berkuda-kuda atau tidak - tengok keadaan). Walaupun berdiri lurus pergerakan kita hidup, tetapi tapak kita tidak kukuh dan stabil kerana keluasan tapak adalah kecil. Jika kaki pesilat dilakukan sepakan sapuan(sweeping kick)seperti sepakan ahli kungfu yang mengelirukan itu, saya jamin pesilat tersebut pasti jatuh ke bumi. Bagaimana untuk mengatasi serangan lawan jika pesilat Cekak sudah terbaring ke bumi? Kaedah elakan apa yang hendak digunakan? Cuba bayangkan, apa akan terjadi jika kaki pesilat tercedera dan pesilat tidak mampu untuk berdiri lagi. Bagaimana pesilat Cekak menghadapi serangan lawan dalam keadaan kaki yang tempang?(Dalam silat Seni gayong, kita ada permainan bawah/ground fighting juga permainan harimau tempang).

Berbalik kepada persoalan asas - siapa lebih cepat? Jawapannya, siapa cepat dia dapat. Kita jangan sesekali merendah-rendahkan kebolehan musuh kita. Kita tidak tahu sama ada kedudukannya itu adalah suatu muslihat. Untuk lebih jelas lagi, cuba acah pesilat yang berdiri lurus dengan menyerang dua tempat sekali gus, misalnya serangan yang ditujukan ke mata(kepala) dan ke kepala lutut atau kemaluan. Bagaimana pesilat ini mengelak? Apabila kaki atau tangan kita ditangkap, bersegeralah menukar strategi lain, misalnya merebahkan diri sambil melambung badan lawan ataupun melakukan serangan kaki yang sebelah lagi secara sepantas kilat ke bahagian kepala lawan. Ini cuma contoh sahaja. Rasfan tentu boleh memikirkan bentuk serangan yang lain kerana di dalam Silat Seni Gayong, terlalu banyak permainan yang boleh diaplikasikan sama ada menggunakan buku lima, siku, kepala, gigi, lutut, tumit dsb.

OKlah Rasfan...di harap Rasfan berpuas hati dengan penerangan saya yang tidak seberapa ini. Jumpa lagi.

 

a'kum bang

saya mengucapkan terimakasih kerana membalas e-mail saya untuk pengetahuan abang saya sudah lama mengikut rentak silat gayong dan cekak melalui internet.mengikut silat cekak yang saya lihat di laman web mereka, buah mereka makan serentak macammana dengan gayong adakah makan serentak juga? disini saya kekeliruan??? macam cekak senjata mereka adalah parang lading macam mana dengan gayong adakah pedang dan keris pusaka yang ditunjukkan didalam gambar di laman web???? sya sekarang sedang membuat analisis untuk memasuki seni beladiri ini macam cekak sistem pelajaran nya ialah 8 bulan macammana dengan gayong ??? bolah tak abang e-mail kan saya tentang soalan saya ini????didalam silat gayong ada menggunakan batin tak kerana saya telah e-mail silat cekak bahawa mereka kata mereka tidak menggunakan batin macamana dengan gayong???? boleh tak abang e-mail kan ???? ok bye..

Waalaikumussalam Rasfan...

Untuk pengetahuan Rasfan, sebenarnya semua perguruan seni mempertahankan diri termasuklah silat adalah baik. Semuanya bergantung kepada pengamal seni beladiri tersebut, iaitu kalau mereka bersungguh-sungguh dalam latihan dan rajin berlatih serta memahirkan diri dengan pelajaran yang diikuti, maka merekalah yang terbaik. Ilmu bela diri tidak salah; yang salah ialah pembawaan pengamalnya. Jika Rasfan memasuki perguruan yang kononnya terbaik sekali pun, tetapi Rasfan malas untuk berlatih serta tidak bersungguh-sungguh berlatih, maka Rasfan mudah sahaja untuk ditewaskan, hatta oleh orang yang tidak belajar seni beladiri sekali pun. Semuanya bergantung kepada nasib dan peluang! Siapa cepat dia dapat, siapa lambat dia kena!

Buah yang makan serentak bermaksud menangkis sambil makan. Contohnya begini, jika musuh menyerang kita, serangan musuh(tangan biasanya) akan ditepis oleh tangan kiri arah ke dalam sambil tangan kanan masuk memukul rusuk lawan dan kaki pula memijak pelipat lutut kaki kanan lawan. Dalam Silat Seni Gayong, sebahagian buah-buahnya adalah makan serentak, terutamanya buah pukulan. Buah-buah untuk menangkis serangan bersenjata tajam tidak sesuai untuk makan serentak kerana akan membahayakan diri kita. Senjata tajam perlu ditangkis terlebih dahulu(dijauhkan sasaran serangannya) sebelum langkah serang balas dilakukan(menyerang ke tempat-tempat berbahaya lawan dan seterusnya mengunci gerakan lawan ataupun memusnahkan terus lawan). Silat Cekak pula gemar menunggu serangan sehingga hampir tiba baru ditangkis dan dimakan. Ini adalah berbahaya untuk serangan bersenjata tajam seperti pisau, parang dsb.

Tentang senjata pula pula, dalam Silat Seni Gayong, kita boleh menggunakan pelbagai jenis senjata yang terdapat di sekeliling kita untuk mempertahankan diri kita. Dalam pelajaran Silat Seni Gayong, kita diajar cara-cara menggunakan senjata dan bagaimana untuk menghadapi lawan yang bersenjatakan senjata seperti senjata tikam (seperti keris, pisau, badik, tekpi dsb.), senjata tetak dan libas(parang, pedang, sundang, tongkat, belantan dsb.), senjata tikam dan libas(lembing, tombak dsb.), senjata kain(kain pakai, tali, rantai dsb.) serta pelbagai jenis senjata lagi, termasuklah cara-cara menumpaskan penyerang bersenjata api jarak dekat(khas untuk anggota tentera dan polis). Dalam keadaan sehari-hari, kita dilarang untuk membawa senjata tajam bersama-sama kita. Jadi, dalam Silat Seni Gayong, kita boleh menggantikan senjata-senjata tajam ini dengan barang-barang kegunaan harian kita seperti payung, batang besi kunci kereta, spanar, pen, kain pelikat/batik dsb. untuk mempertahankan diri kita. Permainannya adalah sama sahaja iaitu pilih sama ada untuk menikam atau menetak atau melilit! PArang lading dalam Silat Cekak tidak boleh dibawa ke mana-mana dan adalah salah di sisi undand-undang membawa senjata tajam bersama-sama kita. Penggunaan parang lading pula adalah mengikut si pemakai dan tidak boleh pinjam meminjam. Ini bermakna satu parang lading adalah untuk satu orang pesilat. Jadi, jika kita jumpa parang lading milik orang lain, kita tidak boleh menggunakannya kerana tidak sesuai dengan ukuran saiz tangan kita(ini falsafah Silat Cekak).

Tentang tempoh masa pula, dalam Silat Seni Gayong, ia bergantung kepada kesungguhan si pelatih silat. Jika dia rajin dan bersungguh-sungguh menghadiri latihan, lagi cepatlah ia memperoleh pelajaran dan kemahiran untuk mempertahankan diri. Biasanya, selepas berlatih selama 36 jam(3 bulan - seminggu dua kali), pelatih silat layak menduduki ujian bengkung Awan Putih(bahagian tangan kosong peringkat pertama - Tapak Gayong). Selepas berlatih 72 jam(6 bulan) lagi, ia layak menduduki ujian Pelangi Hijau(bahagian tangan kosong peringkat kedua - Pecahan Tapak Gayong). Pemegang bengkung hijau sepatutnya sudah boleh mempertahankan dirinya sendiri(dengan kata lain, pesilat bolehlah dikatakan telah TAMAT peringkat tangan kosong!). Samalah seperti Silat Cekak yang lebih berupa pelajaran buah-buah tangan kosong. Pelajaran buah senjata mereka adalah variasi daripada buah tangan kosong ini! Pemegang bengkung hijau pula akan didedahkan kepada permainan senjata tajam seperti pisau. Sebenarnya, tiada penamatnya dalam menuntut ilmu. Ilmu adalah milik Allah SWT dan manusia ini hanya dianugerahi dengan sedikit sahaja ilmu daripada keseluruhan ilmu Allah(ibarat setitis air dari sebuah lautan!). Jadi, jika kita mengaku kita sudah tamat menuntut ilmu, maknanya kita sudah memiliki kesemua ilmu Tuhan! Adakah ini benar? Hal inilah yang hendak kita jaga supaya iman kita tetap terpelihara.

Tentang persoalan ilmu batin pula, di dalam Silat Seni Gayong, memang wujud ilmu semacam itu tetapi bukanlah untuk murid. Ilmu batin di dalam Silat Seni Gayong adalah untuk mereka yang telah menjadi gurulatih khasnya. Ilmu batin ini lebih berupa amalan-amalan ayat-ayat suci untuk diamalkan ketika selepas sembahyang fardu. Jika di dalam keadaan terdesak misalnya, insya-Allah, Allah SWT akan menolong kita untuk menghindarkan kita daripada ancaman musuh(musuh zahir dan musuh batin)yang terpaksa dihadapi tersebut. Ilmu kebatinan juga digunakan untuk tujuan rawatan, misalnya untuk menghentikan pengaliran darah luka dsb.

OKlah Rasfan. Harap Rasfan berpuas hati dengan penerangan saya. Jumpa lagi.

 

Saya Zamri, TNB Bangsar. Boleh tak saya datang melawat tengok gelanggang UM.

Assalamualaikum Sdr.Zamri...

Terima kasih kerana sudi menghantar e-mel kepada saya. Saudara adalah dialu-alukan untuk mengunjungi gelanggang latihan Gayong di UM. Sdr. seelok-eloknya berkunjung ke gelanggang latihan pada masa latihan diadakan, iaitu pada setiap hari Selasa dan Khamis, dari jam 5.30 hingga 7.00 malam. Sdr. juga dialu-alukan untuk berlatih bersama-sama kami. Apa yang perlu dibawa ialah pakaian yang bersesuaian(pakaian silat atau track-suit warna gelap). Selamat berlatih...

 

Assalamualaikum.Saya merupakan pelajar tahun pertama Universiti Malaya dan amat berminat untuk belajar seni Silat Gayong.Oleh itu saya ingin mengetahui bilakah pengambilan pelajar baru akan dibuat.

Mohd Sirhan

Waalaikumussalam Sirhan...

Untuk pengetahuan Sirhan, pengambilan ahli baru PSSGM cawangan UM dijalankan sepanjang sesi. Sila menghadirkan diri pada mana-mana hari Selasa dan Khamis, jam 5.30 - 7.00 ptg di padang belakang bangunan Baktisiswa.

Sila bawa pakaian yang sesuai(tracksuit dsb) dan berjumpalah jurulatih yang mengajar untuk menyatakan niat Sirhan untuk mempelajari Silat Seni Gayong. sirhan kemudian akan diberi borang keahlian dan diminta untuk mengisinya bersama berapa bayaran keahlian yang patut dijelaskan(RM4 untuk menjadi ahli dan RM11.50 untuk menjalani upacara Mandi Perlimau Tapak untuk menjadi murid Gayong).

Jika ada rakan-rakan lain yang berminat untuk mempelajari Silat Seni Gayong, Sirhan bolehlah mengajak mereka bersama-sama.

Diharapkan penerangan yang ringkas ini dapat memberikan penjelasan ke atas masalah Sirhan. Sehingga berjumpa lagi, sekian terima kasih.

 

A'kum w.b.t,

Saya anak gayung dari UTM Skudai ingin berkenalan dengan saudara segayung dengan saya di UM. Diharapkan dengan perkenalan ini kita dapat bertukar-tukar pendapat dan secara tidak langsung dapat merapatkan silaturahim sesama kita. Ambo dalam perancangan untuk membuat homepage Gayung UTM. Boleh tuah hamba bagi pendapat sedikit atau cerita pengalaman tuan hamba membuat homepage tuan hambe. Itu sahaja madah ambo. Jumpa lagi!

GAYUNG BERCANTUM BERSATU-PADU
MENGINGAT JUNJUNGAN EMPUNYA SERU
SAMA SENDIRI BANTU-MEMBANTU
SELAMAT SEJAHTERA HALA DITUJU

Wasalam.

Adzwanwira Idrus

Waalaikumussalam Adzwan...

Pertama sekali saya ucapkan berbanyak terima ksih kepada saudara kerana sudi mengirim e-mail buat PSSGMUM. Insya-Allah saya akan sampaikan salam saudara kepada anak-anak Gayong UM. Sampaikan pula salam anak-anak Gayong UM kepada anak-anak Gayong UTM.

Secara peribadi, saya mengalu-alukan niat saudara untuk membina homepage PSSGM UTM. Syabas diucapkan ke atas niat murni saudara tu. Tentang pengalaman saya pulak, sebelum saya biat homepage Gayong UM dulu, saya ada buat sedikit study tentang bahasa pengaturcaraan HTML. Saya dapatkan sebuah buku tentang HTML iaitu "Learn HTML in 24 Hours". Buku tentang HTML nih boleh didapati di banyak kedai buku yang menjual buku-buku tentang komputer. Bila kita dah tahu sedikit sebanyak pasal bahasa HTML, barulah mudah untuk kita memahami arahan-arahan untuk membina halaman web kita sendiri. Untuk lebih senang, saudara boleh melayari mana-mana laman web yang saudara suka, kemudian SAVE laman tersebut ke dalam disket, bersama-sama fail gambarnya sekali. Kemudian, saudara buka NOTEPAD pada WINDOWS 95, buka fail yang telah di"SAVE" tadi, dan lakukanlah pengubahsuaian(buang teks, dan gantikan dengan teks saudara sendiri). Kerja saudara akan menjadi mudah jika sauda ada pengetahuan tentang bahasa HTML(hypertext marked-up language). Bahasa HTML ini adalah salah satu bahasa pengaturcaraan yang digunakan untuk homepage selain JAVA dsb. Saya rasa saudara lebih berpengetahuan tentangnya daripada saya. Saudara jadikan first page nih sebagai master page. Jika nak buat page baru, COPY page nih, rename, buang teks lama, dan gantikan dengan teks baru. Jika saudara ada kemudahan scanner, saudara bolehlah scan gambar-gambar aktiviti Gayong dan masukkan ke dalam laman web yang dibina.Arahan untuk masukkan gambar boleh diperolehi dalam buku tentang HTML. Untuk memudahkan saudara mempelajari bahasa HTML, saudara bolehlah pergi ke laman web berikut:

http://www.htmlgoodies.com ataupun search tentang HTML dalam internet(guna search engine spt YAHOO).

Satu lagi, kalau saudara boleh dapatkan editor WYSWYG(what you see is what you get) seperti FRONTPAGE 98, PAGEMILL dsb., kerja-kerja saudara akan menjadi mudah sebab saudara tak perlu nak bersusah payah nak belajar bahasa HTML. Perisian editor nih boleh idapati di kedai-kedai yang menjual CD perisian komputer. Cari yang murah punya pun OK, asalkan tak ada virus.

OKlah Adzwan, saya harap penerangan saya nih sedikit sebanyak dapat membantu saudara dalam membina homepage PSSGM UTM. Salam persaudaraan se-Gayong daripada saya dan anak-anak Gayong di sini. Wassalam.

 

Apakhabar? Tujuan saya adalah untuk mendapatkan maklumat yang lebih mendalam tentang asal usul sejarah silat gayung dan mahaguru Dato'Meor Abdul Rahman

Mohd Radzi Hassan

Assalamualaikum dan khabar baik Sdr.Radzi...

Terima kasih kerana mengirim e-mel kepada PSSGMUM. Untuk makluman Sdr. Radzi, maklumat lengkap tentang asal-usul sejarah Silat Seni Gayong dan Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman masih belum dibukukan lagi. Semua maklumat bertabur bersama-sama murid-murid kanan Allahyarham di seluruh negara dan Singapura. Belum ada lagi usaha-usaha yang serius untuk menemubual guru-guru lama ini bagi mendapatkan maklumat tentang Silat Seni Gayong dan Mahagurunya kerana hal tersebut melibatkan perbelanjaan yang besar. Untuk makluman sdr. Radzi, Silat Seni Gayong pertama kali diajarkan oleh Allahyarham Dato' Meor Abdul Rahman pada tahun 1942 di Pulau Sudong, Singapura, seterusnya ke kepulauan Indonesia seperti Riau dsb. Pada tahun 1948, silat ini mula berkembang di pulau besar Singapura. Pada tahun 1957, barulah berkembang ke Semenanjung Tanah Melayu. Oleh kerana penyebaran silat ini terlalu meluas dan melibatkan pelbagai pihak, jadi penyelidikan yang sedikit sukar untuk mendapatkan maklumat dengan tepat.

Jika Sdr. Radzi berminat untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan Silat Seni Gayong dan sejarahnya, saudara bolehlah menghubungi mana-mana guru lama Gayong yang masih hidup seperti Cikgu Siti Kalsom di Perak, Cikgu Nordin di Perlis, Cikgu Majid Mat Isa di Kedah, Pak Cik Hussain Kaslan di Singapura dll. guru lama. Daripada perbualan dengan guru-guru ini barulah maklumat lengkap tentang silat Seni gayong boleh didapati dengan lengkap. Maklumat di dalam laman web PSSGMUM hanya sekadar pengenalan sahaja, dan sekadar untuk menimbulkan minat kepada orang ramai agar mencari lagi maklumat selebihnya.

Sekian dulu. Wassalam.

bersambung...