Apakah Ilmu Budi Suci berlawanan dengan Islam?

Soalan: Ketika muda dahulu saya pernah mempelajari ilmu mempertahankan diri yang dikenali sebagai "Budi Suci". Saya masih ingat bacaan-bacaan yang diamalkan, tetapi tidak mengamalkannya lagi selepas setiap kali sembahyang. Kemusykilan saya, apakah sebenarnya ilmu Budi Suci itu? Adakah ia bertentangan dengan ajaran Islam atau tidak? Saya amat mengharap penjelasan daripada ustaz untuk menghilangkan keraguan saya. Terima kasih. --JAMALIAH ABDUL SAMAD, Sentul, Kuala Lumpur

JAWAPAN: Ilmu Budi Suci adalah merupakan salah satu ilmu kebatinan yang dipelajari untuk mempertahankan diri. Menurut sejarahnya, ia dilakukan oleh seorang yang mengasingkan diri (bertapa), di satu tempat dengan mengosongkan seluruh jiwa dan fikiran. Hanya Allah S.W.T. sahaja yang ada pada ingatannya. Dilakukan demikian adalah dengan niat dan harapan untuk memahami rahsia-rahsia hidup, manakala hal-hal kebatinan akan tersingkap di hadapannya, membolehkannya mempunyai kekuatan batin.

Ketika bertapa, latihan jiwa dilakukan. Di antaranya, ialah duduk bersila dengan mengosongkan ingatan dalam keadaan menghadap matahari naik dengan memejamkan kedua belah mata, meletakkan tapak tangan kanan di atas lutut kanan dan tapak tangan kiri di atas riba. Turun-naik nafas juga dijaga, bagaikan mendengar degupan jantung. Perlakuan dan kedudukan zahir yang menyerupai pertapaan Buddha, menyebabkan ilmu itu dinamakan ilmu Buddha Suci yang akhirnya bertukar menjadi ilmu Budi Suci. Ilmu ini, iaitu yang diperolehi melalui pengasingan diri (tapa) itu dikembangkan di Indonesia dan kemudiannya di Malaysia di tahun enam puluhan.

Dalam amalan Budi Suci, kekuatan batin atau kerohanian, iman kepada Allah S.W.T. dikatakan paling penting. Ia merupakan asas bagi ilmu tersebut. Andainya iman itu tidak wujud, ilmu yang diamalkan tidak akan menjadi, atau tidak memberi kesan yang kuat.

Untuk mendapatkan keberkesanan yang maksimum, juga untuk menggabungkan latihan fizikal dan spiritual, ilmu Budi Suci mempunyai kaedah-kaedah tertentu yang perlu dipatuhi. Untuk mempelajari ilmu tersebut, seseorang murid itu perlu menyediakan bahan-bahan tertentu, di antaranya ialah:

Ayam jantan disembelih. Dagingnya dimasak, manakala isinya, iaitu mempedal, hati, jantung dan lain-lainnya dijadikan sate. Kesemua bahan tersebut diletakkan di hadapan guru dalam satu majlis yang telah ditetapkan masanya. Setelah itu guru berkenaan akan memberi ijazah kepada murid berkenaan setelah membaca ayat-ayat tertentu. Dengan itu, maka rasmilah ilmu Budi Suci itu diturunkan. Hidangan yang ada dimakan bersama. Sate dimakan oleh murid yang menuntut. Penerimaan ijazah dilakukan di mana seseorang murid itu duduk di atas kain putih yang dibawa, sambil menghadap guru dalam keadaan berwuduk. Dan bersalaman dengan guru berkenaan. Sesetengah guru menurunkan ilmu tersebut dengan melakukan bai'ah (janji taat setia), manakala sesetengahnya tidak melakukan bai'ah.

Sate yang terdiri daripada bahan yang dijelaskan dicucuk dengan buluh tajam yang dipanggang tanpa garam ataupun rempah. Murid mesti memakan sate ini sehingga habis, yang bertujuan untuk menguatkan semangat dan keberanian, tangkas seperti ayam jantan. Kain putih melambangkan keikhlasan dan bersih hati. Patuh serta taat setia. Kain putih juga mengingatkan mati, menjadikan seseorang itu insafkan hakikat diri. Daun kelur juga mempunyai hubungan secara langsung dengan semangat yang dimiliki oleh murid berkenaan. Pemberian ijazah lazimnya dilakukan selepas melakukan sembahyang maghrib, iaitu pada malam Jumaat atau Isnin. Ketika sebelum menurunkan ijazah, guru akan membaca ungkapan-ungkapan di bawah ini yang akan diikuti oleh murid berkenaan. Hal sedemikian dilakukan dalam keadaan bersalaman seperti yang dijelaskan.

Dengan ini maka tamatlah pengurniaan ijazah. Murid berkenaan dibenarkan mengamalkannya, serta mengadakan latihan di padang, atau di tempat-tempat tertentu yang disediakan selepas majlis tersebut.

Seseorang murid yang ingin mengadakan latihan hendaklah membaca ungkapan-ungkapan yang dijelaskan di atas, dari mula sehingga tamat. Ketika membaca perkataan Ya Hayyu, seseorang murid hendaklah meletakkan jari telunjuknya pada bahagian atas dada sebelah kanan sambil menarik ke bawah, iaitu ke bahagian pusat. Kemudian membaca Ya Qayyumu lalu membuat bulatan di atas pusat, kemudian membaca La Yamutu dengan meletakkan jari telunjuk tadi di atas dada sebelah kiri, dan menariknya ke bahagian bawah, iaitu di atas pusat. Kemudian tarik nafas seberapa dalam yang boleh dan telan nafas.

Terdapat perbezaan kecil mengenai kaedah-kaedah dan ungkapan-ungkapan bacaan yang diajarkan dalam upacara menurunkan ijazah, yang dilakukan oleh guru-guru tertentu. Walaupun demikian, asasnya adalah sama.

Seperti yang dijelaskan, bacaan-bacaan dan kaedah yang disebutkan di atas perlu diamalkan semuanya, tetapi dalam keadaan terdesak di mana seseorang itu tidak sempat hendak membaca kesemua bacaan tadi, memadai baginya membaca ungkapan "Ya Hayyu, Ya Qayyumu, La Yamutu" dengan kaedah yang dijelaskan.

Dalam amalan ilmu Budi Suci, terdapat jurus-jurus tertentu yang perlu dipelajari dan difahami oleh seseorang murid. Jurus bererti gerakan jasmani yang disertakan dengan zikir, yang boleh dilakukan untuk mengatasi musuh, biarpun musuh berada di tempat yang jauh. Ia dikenali sebagai "pukulan jarak jauh".

Dalam Sejarah Melayu diceritakan tentang kisah Cau Pandan anak Bubunya yang telah diperintahkan menyerang Melaka. Ada seorang hamba Allah bernama Sidi Arab dari keturunan Arab, yang selalu berlatih memanah panah lasykar seperti hal keadaan orang berzikir. Ia akan membawa bersamanya panah tersebut ke mana ia pergi.

Ketika perintah menyerang Melaka itu dikeluarkan, Sidi Arab ketika itu berada di hadapan Sultan Muzaffar Syah. Apabila ia mendengar tentang kisah tersebut, maka iapun berdiri di hadapan sultan sambil menghalakan panahnya ke benua Siam. Ketika menarik panahnya ia berkata, "Mati engkau Cau Pandan."

Melihatkan demikian Sultan Muzaffar Syah tersenyum lalu ia berkata kepadanya:"Jika sungguh mati Cau Pandan sungguhlah tuan keramat."

Cau Pandan yang ketika itu masih berada di benua Siam merasa dadanya seperti terkena panah. Ia merasa amat sakit dan muntahkan darah lalu mati.

Dalam Hikayat Raja-raja Pasai juga disebutkan tentang kegagahan Tun Berahim Bapa, yang dikatakan semasa Tun Berahim mengejar Tun Fatimah Lempan, bahunya telah tersinggul pintu istana Sultan Pasai yang mempunyai sembilan belas ruang dan tiangnya setiap satu berukuran sepemeluk orang dewasa. Istana itu telah bergoncang bagaikan terkena gempa bumi kerana kegagahan Tun Berahim Bapa.

Dua contoh ini , juga banyak contoh lain menunjukkan ilmu-ilmu batin itu sebenarnya telahpun diamalkan oleh orang Melayu sejak dahulu kala lagi, termasuk ilmu yang menyerupai "ilmu pukulan jauh" seperti yang dijelaskan.

Terdapat sebanyak 13 jurus atau langkah dalam amalan ilmu Budi Suci, iaitu jurus tumbuk, jurus siku ke belakang, jurus tolak dan tekan, jurus tolak, lambung musuh, jurus tarik buang dan jurus untuk membuang senjata dari tangan musuh. Jurus-jurus ini adalah jurus biasa , manakala jurus berikut dinamakan jurus bahaya atau jurus maut. Jurus-jurus tersebut dinamakan jurus tusuk jantung, jurus kerat leher, jurus potong perut, jurus senjata memakan diri dan jurus garis keselamatan diri.

Setiap jurus yang dilakukan hendaklah dalam keadaan berdiri dengan memasang kekuda dan dalam keadaan siap sedia. Setiap pergerakan hendaklah disertai dengan hembusan nafas sambil mengingati zikir tertentu. Selain daripada jurus-jurus yang dijelaskan, terdapat satu jenis jurus yang dinamakan dengan jurus pengunci. Jurus dilakukan dengan bacaan tertentu dengan mengisyaratkan kedua belah tapak tangan kepada musuh, seumpama kelakuan menikam sesuatu yang dilakukan serentak dengan hentakan tumit kanan ke tanah, yang disertai dengan menahan nafas. Dengan berbuat demikian musuh akan terkaku, tidak boleh bergerak, sama ada ke hadapan, kanan atau kiri, yang diistilahkan sebagai "terkunci".

Ketika melakukan latihan, seorang murid itu boleh sama ada berdiri tegak ataupun dalam keadaan memasang kuda-kuda ketika ia diserang oleh "musuh". Untuk mengelakkan diri daripada menerima serangan "musuh" tadi, ia hendaklah mengumpulkan tenaga dan melepaskannya melalui hembusan nafas, yang disalurkan melalui hidung. Hembusan itu hendaklah dilepaskan sebelum serangan, sama ada tumbukan, sepakan atau pukulan yang menggunakan senjata tiba. Musuh akan jatuh atau terpelanting seolah-olah adanya satu kuasa yang menolaknya, sama ada jatuh ke belakang, kanan atau kiri, atau jatuh melambung dan jatuh ke bumi, bergantung kepada hembusan yang dilakukan. Semakin kuat tenaga terkumpul dan berupaya menyalurkannya keluar, maka semakin kuatlah "kuasa" yang keluar, lalu mengenai orang yang menyerang tadi. Kerana itu hembusan hendaklah dilakukan pada setiap kali serangan. Tanpa hembusan seseorang itu mungkin terkena serangan yang mendatang. Hal yang dijelaskan ini tidak semestinya berlaku pada serangan yang dilakukan dari bahagian hadapan, kanan atau kiri yang dapat dilihat oleh mata zahir, tetapi juga daripada serangan yang dilakukan daripada belakang, oleh seorang penyerang atau lebih.

Untuk mepelajari ilmu Budi Suci ini, seseorang itu hendaklah berupaya melakukan sesuatu yang disuruh oleh agama Islam, dan jangan meninggalkan sesuatu yang disuruh, terutamanya sembahyang lima waktu, puasa dan sebagainya. Selain daripada syarat-syarat asas ini, syarat-syarat lain ialah jangan menzalimi orang lain. Ilmu yang dipelajari bukan untuk menunjuk-nunjuk, takbur atau dilakukan untuk sesuatu yang salah. Jangan bongkak, jangan mudah marah dan dapat mengawal diri.

Selain daripada tujuan mempertahankan diri, ilmu Budi Suci juga dikatakan boleh digunakan sebagai salah satu cara pengubatan, termasuk juga merawat sakit akibat gangguan makhluk-makhluk halus.

Analisis Hukum

  1. Amalan ilmu Budi Suci mempunyai persamaan dengan perlakuan Buddha, malah nama asalnya "Buda Suci" itu adalah diambil daripada sempena nama Buddha, kemudian ditukar kepada nama yang lebih dapat diterima oleh orang Melayu, lalu menjadi "Budi Suci". Ada pendapat menyatakan bahawa amalan bertapa sebelum memperolehi ilmu Budi Suci itu dilakukan tidak ubah seperti teknik yoga. Dalam yoga bertujuan mistik, seseorang itu perlu menjauhkan diri daripada bersifat materialistik , dan melepaskan diri daripada cintakan dunia. Di antara syarat-syarat lain ialah berdisiplin, melibatkan cara bernafas, konsentrasi (darana), meditasi (dhyara) dan mengelakkan diri daripada melakukan larangan-larangan tertentu. Ilmu batin ini menjadi lebih bercorak Islam dengan adanya penampilan unsur-unsur Islam yang dianggap sebagai syarat untuk mempelajari ilmu ini, seperti sentiasa mengingati Allah, melakukan ibadah yang disuruh dan berupaya mengelakkan diri daripada bersifat takbur, tidak menggunakan ilmu tersebut untuk kezaliman dan sebagainya.
  2. Ilmu ini sebenarnya bukan merupakan amalan atau sunnah Rasulullah S.A.W., sunnah Khulafaur-Rasyidin, para tabi'in atau ulama salaf.
  3. Syarat-syarat untuk mematuhi ajaran Islam dan menjauhi segala larangan yang dijelaskan sebenarnya tidak perlu dimasukkan dalam syarat mempelajari ilmu seperti ini. Ia sebenarnya merupakan sesuatu yang wajib bagi setiap orang Islam bukan hanya setelah hendak belajar ilmu ini. Orang yang tidak pernah melakukan sembahyang, lalu bersembahyang kerana mempelajari ilmu tersebut, bererti ia sembahyang bukan kerana Allah tetapi kerana mempelajari ilmu tersebut. Syarat seperti ini hanya merupakan salah satu daripada pengaruh Islam yang terterap dalam kaedah mempelajari ilmu kebatinan. Terbukti juga bahawa orang yang mempelajari ilmu tersebut, tetapi tidak patuh kepada syarat-syarat yang dikenakan seperti tidak sembahyang, tetapi ia masih tetap memperolehi sesuatu yang diperolehi oleh orang lain yang patuh kepada syarat yang dikenakan.
  4. Seperti yang dijelaskan, tujuan utama ilmu ini ialah untuk mempertahankan diri daripada serangan musuh, iaitu dengan syarat bahawa musuh berkenaan dalam keadaan marah. Kemungkinan besar ilmu itu memberi kesan seperti yang dijelaskan ketika berada di hadapan guru, atau ketika melakukan pertunjukan semata-mata, tetapi tidak boleh digunakan ketika seseorang itu benar-benar terdesak, atau ketika berhadapan dengan musuh.
  5. Tidak tersebut dengan jelas tentang penglibatan jin-jin dalam amalan ilmu tersebut. Sama ada dalam bentuk seruan, iaitu ketika hendak memulakan gelanggang ataupun ketika beramal. Manakala orang yang berbuat demikian berada dalam keadaan sedar sepenuhnya, tidak seperti orang yang sedang menurun.

Persoalan yang ketara, bagaimana seseorang yang berdiri dalam keadaan berpeluk tubuh, melepaskan kedua belah tangannya ke bawah, atau berkuda-kuda sambil melakukan jurus dan menghembuskan nafas kepada penyerang yang datang, menyebabkan musuh berkenaan jatuh, terpelanting ke kanan atau kiri, ataupun seumpama tertolak ke belakang, seolah-olah adanya satu kekuatan terjadinya demikian. Pukulan-pukulan yang dilakukan oleh musuh tidak mengenai tubuh. Hanya suara ataupun himbasan angin sahaja yang dapat dirasai melalui pendengaran telinga. Satu konsekuen yang sukar hendak ditafsirkan logiknya melalui akal manusia.

Perkara ganjil, yang tidak dapat difikir sebab musabab oleh akal manusia, boleh terjadi dengan salah satu daripada dua perkara. Pertamanya, ia dianggap ganjil oleh orang tertentu kerana kejahilannya. Orang berkenaan tidak mengetahui rahsia bagaimana hal demikian boleh terjadi, padahal ia bukan merupakan satu rahsia bagi orang yang arif mengenainya. Terjadi demikian mungkin kerana kemahiran atau keupayaan yang dilakukan oleh seseorang melalui latihan-latihan yang dilakukan. Keduanya, ialah dengan adanya penglibatan makhluk-makhluk halus. Apabila hal demikian terjadi, ia akan melahirkan natijah yang tidak dapat ditafsirkan oleh akal tentang logiknya, mengkhayalkan, seperti permainan silap mata, yang boleh menjadikan manusia bertukar menyerupai keldai dan sebagainya. Demikianlah yang telah terjadi kepada Nabi Musa yang melihat tali dan tongkat ahli sihir merayap berjalan seperti ular (Surah Taha:66).

Penglibatan jin-jin juga menyebabkan natijah yang tidak dapat diterima akal bagaimana ia boleh berlaku, seperti rasa rindu seseorang kepada seseorang tanpa sebab, rasa marah yang terjadi dengan tidak semena-mena, atau rasa sayu yang datang mendadak, tidak minat kerja, benci kepada anak isteri dan sebagainya. Hal demikian,menurut pertimbangan akal normal memang tidak logik boleh berlaku, tetapi ia terjadi kerana sebab-sebab yang tidak dapat ditafsirkan kerana adanya penglibatan makhluk-makhluk halus tadi.

Seperti yang dijelaskan, ilmu ini tidak memperlihatkan adanya seruan-seruan pada jin-jin. Tetapi berdasarkan kepada penerangan yang terakhir ini, natijah daripada amalan ilmu ini ada memperlihat kemungkinan adanya penglibatan makhluk-makhluk halus, yang boleh menyebabkan penyelewengan iktikad. Apatah lagi dengan adanya sajian yang perlu disediakan, termasuk kuih-muih yang perlu disediakan ketika seseorang itu hendak mempelajari ilmu tersebut.

Pada kebiasaannya, amalan-amalan atau adat-istiadat yang melibatkan makhluk-makhluk halus disertai dengan sajian termasuk pulut kuning, kuih-muih dan lain-lain lagi, seperti upacara menyemah pantai, membuang ancak, menyemah pentas dan sebagainya. Kerana itu adalah lebih baik seseorang itu mengelakkan diri daripada amalan ini atas sebab-sebab yang dijelaskan tadi. Sekian, semoga penerangan ini memberi manfaat. Wallahualam.

--DR. AMRAN KASIMIN, UKM.