Adat Istiadat Silat Seni Gayong Malaysia

Adat Istiadat Penerimaan Sebagai Murid Gayong

Silat Seni Gayong adalah bersendikan adat. Jadi setiap orang yang menjadi ahli harus pula menjalani upacara mandi perlimau adat sebagai memenuhi syarat penerimaan sebagai murid Gayong. Di samping itu setiap bakal murid yang akan menjalani upacara mandi adat ini perlu menyediakan pengkeras yang berupa wang tunai. Walaupun pengkeras ini adalah hak Mahaguru/warisnya sebagai satu ikrar halal-menghalal di antara Mahaguru dangan muridnya, namun ia tidak diberatkan kepada mereka yang tidak mampu.

Adat-istiadat yang perlu ditempuhi oleh setiap pelatih ialah Perlimau Sintuk Tapak bagi pelatih lelaki dan Perlimau Sintuk Seni bagi pelatih wanita. Pengkeras yang dikenakan adalah seperti berikut:

Peralatan Mandi Perlimau Sintuk Tapak/Batu Putih/Buyung
  1. Sesisir pisang emas
  2. Sebiji limau nipis
  3. Akar sintuk
  4. Asam jawa
  5. Garam halus
  6. Kemenyan
  7. Bertih beras
  8. Tujuh pucuk jarum
  9. Pengkeras sebanyak RM11.50

Dalam upacara ini, pelatih dikehendaki bersih daripada hadas kecil dan besar(berwuduk).

Peralatan Mandi Perlimau Sintuk Seni
  1. Sesisir pisang emas
  2. Sebiji limau nipis
  3. Akar sintuk
  4. Asam jawa
  5. Garam halus
  6. Kemenyan
  7. Bertih beras
  8. 21 pucuk jarum
  9. Tujuh jenis kuntuman bunga
  10. Sebatang lilin putih
  11. Pengkeras sebanyak RM21.00
Bagi wanita, peralatannya adalah sama dari angka 1-9. Sebagai tambahan untuk wanita:

Peringkat Perlimau Sintuk Seni merupakan peringkat penuntutan ilmu ke peringkat yang lebih tinggi lagi. Pelatih akan memperoleh perbezaan dalam penuntutan ilmu (dibenarkan mempelajari ilmu Silat Seni Gayong setinggi mana yang mampu, termasuklah bermain apa jua senjata dan ilmu kebatinan - tertakluk kepada syarat-syarat tertentu), kedudukan, dan mulai memegang tanggungjawab.

Pada peringkat Perlimau Sintuk Tapak, pelatih hanya dibenarkan mempelajari ilmu Silat Seni Gayong setakat pelajaran Tapak Gayong sahaja.
 

Khatam/Tamat Pelajaran Permainan Seni Keris

Upacara perkhataman seni keris diadakan di laut (di tepi pantai). Perkhataman di laut merupakan salah satu adat-istiadat Seni Gayong dan juga merupakan cubaan atau dugaan terakhir kepada murid-murid Gayong setelah mereka tamat latihan menggunakan senjata tikam seperti keris. Keris mempunyai keistimewaan dalam sejarah Melayu kerana ia lambang kekuatan dan kependekaran pahlawan-pahlawan Melayu zaman silam, misalnya Hang Tuah lima bersaudara. Permainan keris mempunyai rahsia dan nilai seni yang halus lagi tersendiri serta tidak sama dengan senjata-senjata lain.

Bahan-bahan yang diperlukan untuk upacara Khatam Keris:


 

Perkhataman Lembing di Air Terjun

Perkhataman di air terjun juga merupakan satu lagi adat-istiadat Seni Gayong khususnya diadakan bagi murid-murid yang telah tamat mempelajari pelajaran Seni Lembing. Seperti permainan keris, permainan lembing juga mempunyai rahsia dan nilai seni yang berbeza daripada senjata-senjata lain. Permainan lembing dikaitkan dengan Megat Terawis, seorang pendekar negeri Perak kerana kepakarannya bermain lembing.
 

Mandi Minyak

Mandi minyak adalah upacara tahunan Silat Seni Gayong ataupun upacara khas yang pelaksanaannya tertakluk kepada keizinan Mahaguru/Pemegang Amanah Silat Seni Gayong Malaysia dan Serantau. Upacara mandi minyak ini mesti diadakan di hadapan Mahaguru sendiri atau wakil mutlaknya.
 

Adat Menghadap Bertapak

Menghadap bertapak dilakukan semasa:
  1. Penerimaan penabalan
  2. Memohon izin bergelanggang
  3. Memberi hormat kepada majlis

Caranya:
Langkah maju/undur mestilah didahului dengan gerakan kaki kanan disertai angka kiraan (mengikut darjat). Di akhir kiraan mestilah berhenti dengan kaki kanan juga, lalu disusuli dengan duduk berlutut. Ini diikuti dengan kedua tapak tangan dirapatkan dan diacukan ke hadapan kepada yang berkenaan (mengikut darjat) dengan sembah(hormat).

(a)Mengikut darjat bermaksud di antara:

  1. yang memberi hormat
  2. yang dihormatkan
(b)Duduk berlutut pada ahli silat:
Peringkat Tapak
Pada akhir angka 3 atau 7 langkah maju, duduk berlutut mestilah dalam keadaan lutut kanan dipacakkan dan lutut kiri ditanamkan ke bumi. Begitu juga pada langkah akhir apabila mengundur.
Peringkat Seni
Pada akhir angka 3 atau 7 langkah maju, duduk berlutut dalam keadaan kedua-dua lutut ditanamkan ke bumi dan begitu juga pada langkah akhir apabila mengundur.