SEKAPUR SIRIH

 

Seni Silat adalah satu seni yang terhasil daripada budi dan budaya bangsa yang bertujuan untuk menjamin keamanan dan kesejahteraan bersama. Ia adalah budaya dan peradaban bangsa Melayu.

Pada zaman ini dasar aktivis silat adalah memerangi semua anasir buruk. Islam sebagai inspirasi. Membangkitkan kesedaran bahawa silat adalah warisan dari leluhur bangsa Melayu yang kurang diminati oleh anak bangsanya sendiri. Ini mungkin disebabkan tiada kesedaran dan kurang galakan daripada pelbagai pihak.

Silat tidak lagi menjadi unsur utama mempertahan negara. Kita berada dalam dunia berteknologi canggih yang menuntut pelaksanaan tugas dalam bentuk yang berbeza. Namun itu tidak bermakna segala warisan bangsa terus pupus tanpa dipelihara. Ertinya dalam senario peradaban hari ini, hanya orang Melayu yang memartabatkan bangsa dan budayanya sendiri sebagai pewaris yang sah.

Telah pun menjadi hasrat kerajaan dalam menyediakan program untuk belia dan generasi muda supaya mempunyai nilai moral yang tinggi dan dalam mengisi masa yang terluang. Antaranya melalui Program Rakan Muda - Wajadiri yang telah dilancarkan oleh Y.A.B Perdana Menteri Malaysia pada 29 Oktober 1994 yang akan berperanan terus sebagai pemangkin Gerakan Pembangunan Belia Cergas dan Bermakna.

Dari itu Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia, sebuah badan silat terbesar dan tertua di negara ini, memperkemaskan langkahnya dalam memainkan peranan yang lebih aktif.

 

DATO' ISMAIL BIN JANTAN, DMHL

Yang Dipertua/Gurulatih Tertinggi,

Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia,

Bahagian Negeri Melaka.

 

SENARAI PENGERUSI DAN AJK

PSSGM NEGERI MELAKA 2000/2002

 

PENAUNG : YB. DATUK IBRAHIM BIN DURUM

PENGERUSI: DATO' ISMAIL BIN HJ.JANTAN

NAIB PENGERUSI I: MD SHAARI BIN TAHIR

NAIB PENGERUSI II:MOHAMAD BIN HUSIN

SETIAUSAHA : PN. MARIAM BTE BUJANG

BENDAHARI : UST. MOHD RIZALMAN BIN SYED

AHLI JAWATANKUASA:

  1. UST. MOHD AMIN BIN NORDIN
  2. HAIROL NIZAM BIN JOHAR
  3. NAN BIN OSNEE
  4. JAAFAR BIN MAMAT
  5. NAWAWI BIN MUSTAFA
  6. HASHIM BIN MD SHAH
  7. NORDIN BIN DENGKER

 

PEMERIKSA KIRA-KIRA :

  1. ANUAR BIN SABTU
  2. ALI SAIFULIZAN BIN ISMAIL

 

PENGERUSI GELANGGANG AWAM :

  1. Gelanggang Kampung Gangsa (Yusuf Bin Jaalam)
  2. Gelanggang Kuala Sungai Baru (Atan Bin Mohamad)
  3. Gelanggang Kampung Lendu (Mohamad Bin Bujal)
  4. Gelanggang Taman Sri Kandang (Mohamad Bin Husin)
  5. Gelanggang Paya Lebar (Ramli Bin Abu Bakar)
  6. Gelanggang Masjid Tanah (Mohd Amin Bin Nordin)
  7. Gelanggang Bukit Darat(Mustafa Bin Maarof)
  8. Gelanggang Serkam Darat(Raffe Bin Madon)

 

SEJARAH 1

(RINGKAS)

Datuk Daeng Meor Abdul Rahman bin Daeng Uda Mat Hashim adalah Mahaguru (Pengasas) Silat Seni Gayong. Berdasarkan daripada latar belakang keturunan beliau adalah cicit kepada hulubalang Bugis yang terkenal iaitu Daeng Kuning atau terkenal dengan gelaran Panglima Hitam. Daeng Kuning adalah titisan zuriat daripada Daeng Marewa. Silat yang dipusakai dari keturunannya dituntut dari datuk sebelah ibunya yang bernama Sheikh Syed Zainal bin Sheikh Syed Idris Al-Attas juga dikenali sebagai Tok Janai, seorang hulubalang Pahang dan dalang dalam menentang penjajahan British bersama-sama dengan Tok Gajah dan Mat Kilau.

ANAK RAJA BUGIS

  1. Daeng Celak
  2. Daeng Marewa
  3. Daeng Kemboja
  4. Daeng Pelangi
  5. Daeng Menambun

Daeng Kuning (Panglima Hitam) salah seorang daripada tujuh adik-beradik anak Raja Bugis yang mencari penempatan baru. Mereka bertujuh telah mendarat di Tanah Melayu setelah merantau di serata gugusan kepulauan Melayu bagi mencari tempat yang dirasakan sesuai. Tempat pendaratan mereka tersebut dikenal sebagai Pengkalan Aur ketika itu yang kini diberi nama Air Kuning, Taiping, Perak Darul Ridhuan. Daeng Kuning terus menetap manakala yang lain meneruskan pelayarannya. Daeng Kuning telah mangkat di Taiping pada 17 Ogos 1875. Daeng Uda Mat Hashim cucunya telah memperolehi 2 orang anak lelaki iaitu Meor Abdul Aziz dan Meor Abdul Rahman.

MEOR ABDUL RAHMAN dilahirkan di Taiping pada 17 Ogos 1915. Ilmu persilatannya telah dituntut ketika beliau berumur 12 tahun dari datuknya Sheikh Syed Zainal Al-Attas. Setelah dikhatamkan Meor Abdul Rahman mula dikenali ramai. Ketika berumur 19 tahun beliau telah menunjukkan kebolehannya di hadapan DYMM Baginda Sultan Alang Iskandar - Perak, baginda telah berkenan memberi gelaran "Panglima Sendo Perak" (The Invincible Warrior of Perak). Beliau telah menetap di istana atas kehendak baginda sehingga baginda mangkat pada tahun 1938.

2. Pada penghujung tahun 1938 Allahyarham Meor Abdul Rahman telah berhijrah ke Singapura dan beliau adalah anak Melayu yang pertama menjadi jurulatih seni mempertahan diri (Combat Instructor) di Kem Signal Corp, Guillman Barrack, Ayer Rajah Rd (Unit Semboyan) di bawah pentadbiran Lt. Colonel Pope. Semasa pendudukan Jepun pada tahun 1942 beliau telah berpindah ke Pulau Sudong sebagai intelligent contact dan berjaya menyelamatkan penduduk di pulau itu dengan kemampuan yang ada. Seterusnya beliau menetap di sana sehingga Jepun kalah perang pada tahun 1945.

Pada tahun 1947 atas jasa beliau dalam usaha menentang pendudukan Jepun, beliau telah dianugerahkan pingat ‘King George VI’ oleh Kerajaan British. Semasa itu beliau telah pun bertugas sebagai polis di Jabatan Siasatan Jenayah (C.I.D).

Bermula dari 1948 Silat Seni Gayong telah pun sampai ke tanah besar Singapura. Dengan usaha gigih, beliau telah mengembangkannya pula ke seluruh pelosok Tanah Melayu. Setelah bersara dari perkhidmatan polis pada 3 Disember 1960, beliau telah menubuhkan Silat Gayong School di Woodlands,Singapura yang dianggap sebagai pusat latihan Silat Seni Gayong pada masa itu.

 

Pengalaman Dato' Meor dalam mendedahkan ilmu ini secara terbuka bertitik mula dari Pulau Sudong, Singapura (agg.15KM) pada 17 Februari 1942 apabila tersebar berita mengatakan bahawa tentera Jepun akan mengganggu penduduk pulau itu. Setelah diadakan sesi perbincangan maka bermulalah buat pertama kali majlis yang dinamakan Perlimau Tapak Gelanggang dengan dimulai oleh 7 orang pemuda diketuai oleh Penghulu pulau tersebut En. Naning bin Ahmad. Setelah mereka terselamat dari bencana gangguan tentera Jepun maka kesemua penduduk pulau tersebut diperlimaukan dan diterima menjadi murid Silat Seni Gayong.

Selepas Perang Dunia II, Silat Seni Gayong telah merebak ke seluruh pelosok Tanah Melayu dan Kepulauan Riau, Indonesia.

 

PERKEMBANGAN DI TANAH MELAYU

Atas usaha Dato' Meor dan kegigihan para khalifahnya, ilmu ini telah mula merebak ke Negeri Johor dengan penubuhan gelanggang silat. Identitinya bertambah teguh dan dikenali ramai setelah mendapat undangan persembahan secara besar-besaran di Kelab Sukan Abdul Hamid, Alor Setar, Kedah oleh YM Tengku Kasim (kekanda Tunku Abdul Rahman Putra) pada tahun 1958. Atas undangan En. Yaaman satu persembahan besar-besaran telah diadakan di Bukit Lintang,Melaka pada tahun 1959. Seterusnya rombongan itu telah singgah di Pulau Besar. Di sinilah bermulanya susunan Lembaga Adat kali pertama dengan pelantikan Orang 4, Orang 8, Orang 16 dan Orang 32.

Penglibatan Dato' Onn bin Jaafar Pengasas UMNO telah menyemarakkan lagi perkembangan Silat Seni Gayong di seluruh tanah air. Beliau telah berjasa dalam menyusun buku perlembagaan. Pada 22 Oktober 1963 aktiviti Silat Seni Gayong telah didaftarkan secara rasmi sebagai Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia. Inilah persatuan silat yang pertama didaftarkan di Malaysia dengan nombor pendaftaran 361 di Johor. Dengan Dato' Onn sendiri sebagai Setiausaha Agung pertama. Berikutan dari itu tanpa apa-apa halangan perkembangan Silat Seni Gayong tersebar dengan meluas dan diterima kehadirannya pada Jabatan Polis dan Tentera. Tanpa mengira lapisan masyarakat dari Sultan, Menteri, orang-orang kenamaan dan rakyat biasa.

Pada tahun 1966 Dato' Meor Abdul Rahman telah pulang menetap di kampung asalnya iaitu No. 71, Kg. Air Kuning, 34000 Taiping, Perak dan menjadikan tempat itu sebagai PUSAT LATIHAN TERTINGGI, SILAT SENI GAYONG MALAYSIA DAN SERANTAU.

Pada tahun 1971 Mahaguru telah diperkenankan dan dianugerahkan darjah kebesaran Dato' Paduka Cura Simanjakini ( D.P.C.M) yang membawa gelaran Dato'. Beliau telah meninggal dunia pada 23 Jun 1991 dan dikebumikan di perkarangan Masjid Lama Taiping.

 

SEJARAH 2

(RINGKAS)

 

PERKEMBANGAN DIMELAKA

Pada tahun 1958 Gelanggang Padang Temu ditubuhkan. Pada tahun 1959 atas undangan En. Yaaman, Dato' Meor dan rombongannya dari Lorong Fatimah, Singapura telah mengadakan demonstrasi secara besar-besaran di Bukit Lintang, Melaka. Rombongan ini telah singgah di Pulau Besar. Pada tahun inilah sejarah Lembaga Adat ditubuhkan.

Pada tahun 1964 gelanggang Kg. Padang Temu didaftarkan. Inilah cawangan Silat Seni Gayong yang pertama didaftarkan di dalam Negeri Melaka. Beralamat Bt. 2½, Kg. Padang Temu, Banda Hilir, Melaka dengan nombor pendaftarannya PPP/MEL-1/62-C1. Dipimpin oleh En. Baharudin bin Omar.

Di bawah kepimpinan Dato’ Mohd Shah bin Mohd Said Al-Haj, O.K.S.R.M.,D.U.S.M., (Dato’ Undang Naning) Silat Seni Gayong telah aktif semula pada awal 70-an dengan penubuhan beberapa cawangan seperti Machap, Hutan Percha dan Tabuh Naning. Dalam keadaan jurulatih yang terhad, terdiri daripada Cik Bibah binti Ismail dan bapanya sahaja sebagai tenaga pengajar. Pada 1 Disember 1976, Gurulatih En. Ismail bin Jantan telah mengambil alih tugas tugas mengajar. Usaha ini gagal setelah jurulatih meletak jawatan 1½ tahun kemudian.

 

Pada tahun 1984 gelanggang Kg. Lendu ditubuhkan , diikuti dengan pendaftaran Cawangan Kg. Lubok Redan didaftarkan dan menjadi sebagai penaja PSSGM Negeri Melaka. Pada tahun yang sama Kampung Gangsa dan Kampung Baru , Kuala Sungai Baru didaftarkan diikuti dengan Cawangan Kampung Lendu, Cawangan Kampung Rantau Panjang dan Cawangan Taman Seri Kandang.

Ahli dan pentadbir silih berganti, usaha memartabatkan silat tetap diteruskan juga. Pada hari ini Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia - Bahagian Negeri Melaka dengan kepimpinan sekarang mempunyai 37 buah gelanggang termasuk IPT dan Jabatan Pendidikan.

Hari ini Silat Seni Gayong diiktiraf sebagai badan sukan. PSSGM - Melaka terlibat dengan perkembangan ini dan didaftarkan di bawah pendaftaran Akta Pembangunan Sukan 0669/99.

(Illustrasi terperinci disampaikan di dalam Kursus Gurulatih)

Masihku ingat:

Pesanan daripada Allahyarham Dato' Mahaguru semasa hayatnya: Lokasi : Mesyuarat Majlis Guru-Gurulatih PSSGM-Malaysia di Taiping,Perak - 1988.

"Di Malaysia hanya ini yang Datuk iktiraf." (sambil berdiri dan menuding jarinya diatas meja mesyuarat).

(Bermaksud: Beliau hanya mengiktiraf Silat Seni Gayong Malaysia tajaan beliau sendiri, bukan mana-mana Silat Gayong serpihan).

 

MAJLIS GURU-GURULATIH
PSSGM - MELAKA

 

Gurulatih Tertinggi : Dato' Ismail bin Hj Jantan (HPCS - 6) (Pengerusi MGG)

Gurulatih Kanan :

  1. Mohamad bin Husin (HPCS - 4)
  2. Mohamad bin Md Nor (HPCS - 4)

Gurulatih :

  1. Mohamad bin Bujal (HPCS - 3)
  2. Hashim bin Md Shah (HPCS - 2)
  3. Abd Ghafar bin Rafil Ahmad (HPCS - 1)
  4. Hairolnizam bin Johar (Kuning II)
  5. Nordin bin Dengker (Kuning II)

 

Senarai Jurulatih Negeri Melaka - 2000

  1. Mohd Rizalman bin Syed - Kuning I
  2. Ali Saifullizan bin Ismail - Kuning
  3. Muhammad Redzuan bin Ismail - Kuning
  4. Zubir bin Said - Merah III
  5. Nan bin Osnee - Merah III
  6. Khalid bin Abu Bakar - Merah III
  7. Rizal bin Hussin - Kuning
  8. Zuraini bte Hussin - Merah III
  9. Mohd Fadly bin Ismail - Kuning
  10. Zulkeffly bin Md Yasin - Merah III
  11. Dodi bin Alimar - Merah III

 

MAJLIS LEMBAGA ADAT
PSSGM - MELAKA

 

IMAM KHALIFAH : Dato' Mohd Shah bin Said, OKSRM, DUSM

TIM. IMAM KHALIFAH :Dato' Ismail bin Hj Jantan, DMHL

KHALIFAH BESAR : Mohamad bin Husin

WARIS BERADAT : Hj. Mohamad bin Mad Nor

 

SEJARAH 3

BIODATA

Yang Dipertua/Gurulatih Tertinggi PSSGM-Melaka

Dato' Ismail bin Hj Jantan, DMHL.

NAMA PENUH : Ismail bin Jantan

GELARAN : Dato' Maulana Hakim Luak (DMHL.)

Wilayah Undang Naning, Melaka

NO. KAD PENGENALAN : 520603-04-5291

KELULUSAN AKADEMIK : Mechanical Engineering - Singapura

PEKERJAAN SEKARANG : Usahawan Kecil

PEKERJAAN TERAKHIR : Pengurus Pengeluaran

KELUARGA : Beristeri dan 10 orang anak

( 8 anak sendiri dan 2 anak jagaan)

 

Beliau dilahirkan pada 3 Jun 1952 di Kampung Solok Limau Nipis, 78200 Lubok China, Melaka. Kemudiannya beliau dibesarkan di Singapura kerana mengikuti bapanya yang merupakan seorang anggota tentera (British R.A.S.C) di Pulau Berani. Kemudian berpindah pula ke Ayer Rajah pada tahun 1958 apabila bapanya bekerja dengan Syarikat Caltex (S) Pte Ltd.

Menerima pendidikan awal di Sekolah Umum Ramuan China Kechil, Lubok China, Melaka. Kemudiannya berpindah ke Singapura ketika beliau menduduki darjah 2 belajar di Sekolah Melayu Pasir Panjang, Singapura. Menduduki peperiksaan MCE pada tahun 1968. Kemudian menuntut di Singapore Technical Institute (Annex to Singapore Polytechnic) dalam jurusan Mechanical Engineering dan mula bekerja di Texas Instruments (S) Ltd. hingga tahun 1974 kerana pulang ke Melaka bekerja di Siemens Advance Technology pada tahun 1975.

Pada penghujung tahun 1962, beliau mula berjinak-jinak dengan gelanggang Silat Seni Gayong. Jurulatih beliau yang pertama ialah Cikgu Alias bin Mohd Ali yang berasal dari Kg Ayer Kuning, Taiping, Perak (kemanakan allahyarham Dato' Mahaguru). Diikuti oleh Cikgu Nordin bin Abd. Rahman (berasal dari Perlis Indera Kayangan). Mereka semua adalah staf tentera British.

Perlimau Tapak dan Seni di Silat Gayong School, Lorong Fatimah, Woodlands, Singapura. Beliau berulang-alik dari Ayer Rajah ke Lorong Fatimah, Silat Gayong School (juga dikenali sebagai Pusat Latihan Silat Seni Gayong pada masa itu) bersama-sama abang-abang silat dari unit tentera sehinggalah Dato' Mahaguru pulang ke Taiping, Perak pada 1966 dan tentera British berundur pada awal tahun 1971.

Pada awal tahun 1971, beliau diiktiraf dengan Bengkung Pelangi Merah dan Sandang Imam Gelanggang (Khalifah Muda). Pada awal tahun 1972 beliau diterima berlatih di Gelanggang Tanjung Rhu, Singapura (sebagai Pusat Latihan Silat Seni Gayong Singapura) di bawah pengelolaan dan tunjuk ajar daripada Tuan Haji Husain bin Kaslan (Gurulatih Tertinggi dan Imam Khalifah Silat Seni Gayong Singapura). Pada tahun 1972 beliau telah mula memegang Bengkung Kuning sehinggalah tahun 1975 beliau menjalani ujian Bengkung Hitam. Pada tahun 1976, beliau disahkan sebagai pemegang bengkung Hitam Harimau Pelangi Cula Sakti di Taiping, Perak (pemegang Bengkung Hitam ke-9 di Malaysia), dan menyandang Sandang Khalifah Kanan. Ini semasa beliau aktif di Gelanggang Solok Wan Moh, Batu Pahat, Johor.

Pada tahun ini juga (1976) beliau pulang ke kampung halaman beliau di Negeri Melaka dan mengambil alih tugas mengajar di gelanggang sebagai jurulatih (bukan pentadbir) di mana perkembangan gelanggang kurang berkesan. Semua gelanggang (Melaka) yang ditaja ditutup setelah beliau meletak jawatan. Kemudiannya beliau sentiasa berulang-alik ke rumah allahyarham Dato' Mahaguru di Taiping untuk menuntut ilmu dan pentadbiran sehinggalah Dato' Mahaguru pulang ke rahmatullah pada 23 Jun 1991.

Semasa beliau berada di Pusat Latihan Tertinggi Silat Seni Gayong Singapura, beliau sentiasa diuji kemampuan dan kredibiliti beliau terhadap pertubuhan. Pada tahun 1973 ketika beliau berusia 21 tahun, beliau telah diberi kepercayaan sebagai Setiausaha Majlis Gurulatih Silat Seni Gayong, Singapura sehinggalah beliau pulang ke Melaka.

 

URUTAN PERISTIWA

 

Pada tahun 1984 atas usaha beliau, gelanggang Kg. Lendu telah ditubuhkan sebagai usaha untuk membaiki imej PSSGM di Melaka. Beliau dipilih sebagai AJK Kebangsaan pada tahun 1986. Beliau bertindak sebagai Gurulatih (Harimau Pelangi Cula Sakti II), Khalifah Besar dan Pengerusi PSSGM Kg. Lendu (tahun 1987). Pada tahun 1989 beliau diberi mandat sebagai Timbalan Imam Khalifah Negeri Melaka. Beliau dipilih sebagai YDP PSSGM Negeri Melaka pada tahun 1990. Semenjak dari itu, beliau telah membentuk barisan jurulatih dan pentadbir dan telah mengadakan berbagai-bagai kursus kejurulatihan dan pentadbiran. Pihak pertubuhan telah mengiktiraf beliau dengan Bengkung Hitam IV pada tahun 1993 dan seterusnya Bengkung Hitam VI pada tahun 1998.

 

1952 - Lahir di Melaka.

1958 - Mastautin di Ayer Rajah, Singapura.

1959 - Memasuki Sek. Umum Ramuan China Kechil, Melaka.

1960 - Pindah ke Ayer Rajah, Singapura.

1961 - Mula meminati silat (gelanggang Ayer Rajah-di bawah Jurulatih Cikgu Nordin Abd. Rahman)

1963 - PSSGM didaftarkan di Johor Bahru.

1964 - Bergelanggang di berek Clementi, Ayer Rajah. (di bawah Jurulatih Allahyarham Alias Mohd. Ali)

1968 - MCE.

- Penolong Jurulatih.

1969 - Sistem Bengkung dikuatkuasakan.

1970 - Bengkung Hijau,

1971 - Bengkung Merah & Khalifah Muda.

- (Bergelanggang di Tg. Rhu, Singapura, dilatih khas oleh Tuan Hj. Husain bin Kaslan).

1972 - Bengkung Kuning.

- Bergelanggang di Thrywitt Rd, Singapura.

1975 - Lulus Bengkung Hitam di Singapura.

1976 - Istiadat menerima Bengkung Hitam & Sandang Khalifah Kanan di Taiping, Perak. Penerima Bengkung HPCS ke-9 di Malaysia mewakili Gelanggang Solok Wan Moh, Batu Pahat, Johor.

- Pulang Ke Melaka.

- Ambil alih Gelanggang Taboh Naning.

1978 - Letak jawatan Jurulatih.

1984 - Gelanggang Lendu ditubuhkan.

1985 - Pengerusi Penaja PSSGM Kg. Lendu.

1986 - Dilantik menjadi AJK Kebangsaan.

1987 - Harimau Pelangi Cula Sakti II / Khalifah Besar.

1988 - Timbalan Imam Khalifah.

1989 - YDP PSSGM - Negeri Melaka.

1990 - HPCS IV

1998 - HPCS VI

1999 - 36 gelanggang di Negeri Melaka.

Dengan kepimpinan bersama beliau dan barisan pentadbir yang lain, PSSGM-Melaka disegani dan dihormati oleh semua pihak. Berkat kesungguhan usaha beliau maka pihak Pejabat Tanah Daerah Alor Gajah bagi pihak Kerajaan Negeri Melaka pada Jun 1997 telah memberi pakai ruang kawasan seluas 4 ekar dengan rumah pejabat / asrama 2 tingkat dan dewan bertutup untuk kegunaan PSSGM Melaka. Maka PSSGM Melaka telah menjadikan tempat ini sebagai pejabat dan juga Pusat Latihan Tinggi Silat Seni Gayong, untuk Negeri Melaka.

Pesanan dari Allahyarham Dato' Mahaguru kepada beliau. LOKASI: Kelas 1, Wad Perubatan Hospital Besar Kuala Lumpur, 17 Jun 1991.

Sambil Allahyarham menggenggam tangan saya dan sinaran mata menaruh harapan, "... Ma'ei jaga Gayong". "Insya-Allah Dato'", jawab saya sambil menggoncang dan mencium erat-erat tangannya.

(Inilah kali terakhir bertemu Guru yang juga merupakan Bapa Angkat saya)

 

MAJLIS PERLIMAU (NEGERI MELAKA)

 

Majlis istiadat Perlimau Tapak merupakan majlis penerimaan murid-murid baru. Bayaran adat adalah sebanyak RM 11.50 dengan tambahan sebanyak RM 2.50 sebagai bayaran untuk barang-barang kelengkapan majlis. Kesemuanya berjumlah RM14.

Untuk Majlis Perlimau Seni, ia dijalankan ke atas pesilat yang hendak belajar dan berlatih menggunakan senjata sebenar. Bayaran adalah RM 21 ditambah RM 2.50 untuk barang-barang kelengkapan majlis.

Wakil Perlimau Tapak dan Seni di Melaka :

Cikgu Ismail Jantan

Cikgu Mohamad Husin

Cikgu Mohamad Md Nor

Wang Perlimau tadi disalurkan ke akaun Negeri. Sedikit nilai diambil untuk kegunaan serta keperluan. Pengagihan terperinci disebut di dalam Kursus Pentadbiran dan Gurulatih.

Peringatan:

Setiap bayaran dalam apa bentuk jua sekalipun hendaklah disertakan dengan resit rasmi Pertubuhan.

 

  1. Permulaan Keris/Tombak

    Sebelum pelajaran keris/tombak dimulakan satu adat istiadat/majlis doa selamat perlu diadakan terlebih dahulu sebagai memohon perlindungan dan kesejahteraan dalam menuntut ilmu. Kelengkapan seperti pulut kunyit, kari, telur,pisang, kemenyan,lilin dan sebilah keris kayu (untuk mula keris) atau tombak sebenar untuk latihan hendaklah disediakan. Jikalau keris/tombak ini hilang ataupun patah, pesilat hendaklah menjalani istiadat ini semula (Urusan perbelanjaan dalam lingkungan RM10.00 seorang).

  2. Khatam Keris/Tombak

    Setelah selesai penerimaan dan pengujian pelajaran ini, upacara khatam/penutup perlu diadakan sebagai doa kesyukuran ke atas segala urusan. Seekor ayam berbulu hitam keseluruhannya setiap seorang, pulut kunyit, telur ayam merah, sesisir pisang, kain putih (3 warna untuk tombak), benang tujuh warna, rokok daun dan tembakau, kemenyan, bunga 7 jenis, sehelai daun kelapa serta wang fidyah RM 20.00 seorang.

  3. Mandi Minyak.

Ia merupakan majlis tahunan, kadangkala disebut sebagai Majlis Silaturahim. Ia perlu diadakan kerana :

  1. Untuk membaik pulih anggota badan yang telah menjalani latihan secara berhempas pulas. Usaha untuk mengembalikan keupayaan dan kelancaran gerakan jika bermasalah. Minyak yang digunakan sangat baik untuk urut(physiotheraphy) dan mempercepatkan proses membaik pulih daripada patah tulang.
  2. Merupakan majlis silaturahim dan berkumpul serta berkenalan dengan guru-gurulatih dan pemimpin daripada gelanggang yang berlainan.

Cara Membuat Minyak

Proses membuatnya hampir serupa dengan membuat minyak kelapa tradisional yang digunakan untuk memasak. Hanya bezanya ia dipimpin oleh seorang ketua disebut DALANG. Dalang akan mentadbir, mengarah dan membahagikan kerja kepada semua pembantu. Setiap pembantu hendaklah ahli-ahli yang telah di Perlimau Seni. Dalang akan memastikan keselamatan dan aspek peserta supaya selamat dan teratur semasa majlis ini berlangsung.

 

Keperluan:

  1. Wang Fidyah RM7.75 (setiap kali ulangan mandi dikurangkan RM1.00 sehingga jumlahnya tinggal RM3.75).
  2. Kelapa 3 biji seorang(boleh 5 atau 7).
  3. Membaca Surah Al Ikhlas sepanjang proses serta menjaga adab dan pantang larang semasa membuat minyak (sebagaimana yang diaturkan oleh Dalang).

 

Pembahagian:

Wang fidyah hendaklah dibahagikan kepada 3 bahagian sama-rata.

  1. Dalang
  2. Majlis Gurulatih/Pewaris
  3. Pentadbiran

Kebiasaan majlis ini akan disambut dengan cara yang dipelbagaikan supaya ia lebih ceria:

  1. Demonstrasi pesilat dan jurulatih
  2. Majlis perkhataman
  3. Penyampaian sijil dan bengkung
  4. Penyampaian sandang kebesaran
  5. Majlis kesyukuran dan doa selamat
  6. Sebelum menghadapi pertandingan
  7. Kem Motivasi

Beberapa kawasan disambut secara besar-besaran dengan dirasmikan oleh pembesar atau pemimpin masyarakat serta dihadiri oleh penduduk setempat dan dhif-dhif jemputan.

 

PSSGM BAHAGIAN NEGERI MELAKA

PENGENALAN UNTUK KO KURIKULUM DI SEKOLAH / KOLEJ

DALAM NEGERI MELAKA

 

SYARAT MENJADI AHLI

1. Terdiri dari pelajar sekolah / kolej yang berkenaan sahaja.

2. Rakyat Malaysia atau permastautin tetap.

3. Sihat tubuh badan.

4. Mengisi borang permohonan menjadi ahli dan membayar yuran yang telah ditetapkan.

 

Bayaran-Bayaran

Yuran Pendaftaran - RM 2.00

Yuran Tahunan - RM 2.00

Yuran Pentadbiran Negeri - RM 2.00

Kad Ahli - RM 4.00

( Bayaran ini hendaklah dijelaskan pada bulan pertama )

Semester - RM 25.00

Yuran Bulanan - RM 5.00 seorang

( Setiap awal bulan - 1 kali latihan seminggu ) oleh pihak Kolej

Majlis Penerimaan Murid - RM 15.00 seorang *

( sekali seumur hidup )

Ujian Peningkatan Pertama RM 15.00 seorang *

( * tertakluk kepada perubahan )

Pakaian

Bagi ahli PSSGM Negeri Melaka adalah diwajibkan mempunyai pakaian silat sendiri yang mempunyai kolar Perahu Bugis dan seluar kikik Cina.

Falsafah Silat Seni Gayong

Falsafah Silat Seni Gayong adalah falsafah etika yang membicarakan proses dan tujuan bertingkahlaku terpuji. Ia meliputi tingkahlaku yang sentiasa meningkat, dilaksanakan terarah dan terkawal berdasarkan kepada pedoman-pedoman yang diberikan. Oleh itu falsafah etika selalu berkait rapat dengan adat istiadat, tradisi, moral, adab dan ajaran agama. Agama Islam adalah menjadi sumber inspirasi, motivasi dan pengawasan untuk bertingkahlaku yang bernilai luhur dari segi agama serta kepentingan masyarakat.

UJIAN DAN PENILAIAN KO-KURIKULUM

Bermula dari tahun 2001 pelajar-pelajar yang mengikuti Ko-Kurikulum PSSGM Negeri Melaka akan dinilai mengikut tiga kategori seperti berikut:

1. Penglibatan, Kedatangan & Disiplin ( 10% )

i. Kehadiran dan ketepatan masa.

ii. Disiplin dalam gelanggang.

iii. Minat dan kesungguhan.

2. Ujian Teori dan Kefahaman ( 30% )

i. Sejarah dan pengetahuan am tentang PSSGM

ii. Pengetahuan am mengenai PESAKA

iii. Perkembangan Seni Silat semasa.

iv. Kepimpinan & kefahaman tentang konsep silat.

3.Ujian Amali / Praktikal ( 60% )

i. Kepantasan & kecergasan jasmani.

ii. Kebolehan bertindak ketika terdesak.

iii. Daya ingatan terhadap pelajaran.

iv. Kebolehan menggayakan gerak silat.

4.Kehadiran

Kehadiran para pelajar mestilah melebihi 80% daripada masa pertemuan yang telah ditetapkan dalam jadual latihan.

5.Sijil

Setiap pelajar yang berjaya akan diberikan satu sijil penyertaan ko-kurikulum beserta dengan gred yang mereka perolehi. Setiap pesilat berhak untuk menerima sijil penyertaan Ko-Kurikulum PSSGM sekiranya layak.

 

PELAJARAN SILAT SENI GAYONG

 

Mulus - Awan Putih

Asas pergerakan Silat & Mengelak.

- Bunga Tanjung / Jungkir Balik

- Jurus Wajib hingga jurus 5.

- Gulungan 10.

- Pentas 1 / Selayang Pandang.

- Asas Olahraga.

- Kunci Tapak 1 - 7 buah.

 

Awan Putih - Hijau

- Jungkir balik ( pecah empat ).

- Menghambur Rendah 3 / 5 orang.

- Menghambur Halangan Sederhana.

- Gulungan 21.

- Pentas Permainan.

- Pentas 2 / Sepukal

- Kunci Tapak 8 - 14 buah.

- Serangan bebas 1x1

- Pemusnahan

- Jurus Wajib hingga jurus 12.

 

Hijau - Merah

- Mahir tangan kosong.

- Golongan 31.

- Serangan Maut 1 hingga 7.

- Kunci Tapak 21

- Teknik Kaki & serangan bebas 1x3

- Teknik Pemusnahan.

 

Merah, Merah I, II & III

- Pentas Permainan Tangan Kosong.

- Pentas Permainan Bersenjata ( 3 jenis ).

- Gulungan Tambahan hingga 51.

- Asas Gerakan , Serangan Maut 8 - 21.

- Mempelajari permainan senjata :

Pisau , Keris, Simbat , Tembong dan Parang.

 

Kuning , Kuning I - V

Mempelajari Teknik Bersenjata :

Serangan Maut & Kilas Kilat -

Simbat - 21 teknik.

Parang - 21 teknik.

Tembong - 21 teknik.

Tombak - 21 teknik.

Rantai / Gada-gada.

Anak Tombak.

Tekpi.

 

( Atas budibicara PSSGM )

Senjata Tambahan

- Kerambit

- Rencong

- Cipan / Kapak

- Mayang Gesit

- Tumbuk Lada

- Sundang Lipas

- Cindai

 

BENGKUNG HITAM ( MULUS )

( Harimau Pelangi Cula Sakti )

- Teknik Seni Tapak Yoi

- Teknik Seni Tangkapan Belian.

UJIANNYA :

Mengupas kelapa tua dengan tangan.

Memecah kelapa dengan tapak tangan.

Menombak dengan jari.

 

BENGKUNG HITAM I - VI

Pelajarannya masih dirahsiakan kepada umum.

Sekian.