Make your own free website on Tripod.com

Dato' Meor Abdul Rahman dari Kaca Mata Dato' Ismail Jantan, Gurulatih Tertinggi PSSGM Melaka

Dato' Ismail bin Hj.Jantan ialah Yang Dipertua dan Gurulatih Tertinggi PSSGM Bahagian Negeri Melaka. Beliau juga merupakan Dato' Maulana Hakim Luak, Wilayah Undang Naning dan merupakan anak angkat kepada Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman.

Cikgu Ismail dilahirkan pada 3 Jun 1952 di Kampung Solok Limau Nipis, Lubok China Melaka. Beliau dibesarkan di Singapura kerana mengikuti bapanya, yang ketika itu merupakan seorang anggota tentera British(British R.A.S.C.) yang berpangkalan di Pulau Berani. Beliau kemudian berpindah ke Ayer Rajah pada tahun 1958 apabila bapanya bekerja dengan Syarikat Caltex(S) Pte.Ltd.

Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Umum Ramuan China Kechil, Lubok China, Melaka. Pada tahun 1960, iaitu ketika beliau berada dalam darjah dua, beliau berpindah ke Ayer Rajah, Singapura dan bersekolah di Sekolah Melayu Pasir Panjang, Singapura. Selepas menduduki peperiksaan MCE pada tahun 1968, beliau kemudian telah melanjutkan pelajaran di Singapore Technical Institute dalam jurusan Mechanical Engineering. Beliau kemudian bekerja di Texas Instruments (S) Ltd. sehingga tahun 1974. Pada tahun 1975, Cikgu Ismail telah pulang ke Melaka kerana mendapat tawaran pekerjaan di Siemens Advance Technology.

Cikgu Ismail mula berjinak-jinak dengan Silat Seni Gayong bermula pada tahun 1961 di gelanggang Ayer Rajah, yang ketika itu di bawah Jurulatih Cikgu Nordin Abd. Rahman. Pada penghujung tahun 1962, beliau dengan rasminya telah menjadi murid Gayong apabila beliau menjalani Perlimau Tapak di Silat Gayong School, Lorong Fatimah, Woodlands, Singapura. Jurulatih pertama beliau ialah Cikgu Alias bin Mohd.Ali yang berasal dari Kg.Ayer Kuning, Taiping, Perak. Kemudian diikuti oleh Cikgu Nordin bin Abd.Rahman yang berasal dari Perlis Indera Kayangan. Kedua-dua jurulatih beliau adalah staf tentera British yang berpangkalan di Singapura.

Di gelanggang Gayong Lorong Fatimah(rumah Mahaguru), beliau berlatih bersama-sama ahli senior yang terdiri kebanyakannya daripada anggota tentera British sehinggalah Mahaguru pulang ke Taiping, Perak pada tahun 1966. Cikgu Ismail berulang-alik dari rumahnya di Ayer Rajah ke Lorong Fatimah, iaitu di Silat Gayong School(juga dikenali sebagai Pusat Latihan Silat Seni Gayong pada masa itu). Walaupun usia beliau agak muda ketika itu, namun beliau dapat melihat bentuk-bentuk pelajaran Gayong yang diperturunkan pada masa itu. Pada tahun 1964, beliau telah bergelanggang di berek Clementi, Ayer Rajah di bawah asuhan Jurulatih Allahyarham Cikgu Alias Mohd.Ali. Pada tahun 1968, beliau telah dilantik sebagai Penolong Jurulatih.

Apabila sistem bengkung mulai dikuatkuasakan pada tahun 1969, beliau telah dianugerahkan bengkung Pelangi Hijau pada tahun 1970. Sewaktu bengkung mula diperkenalkan, setiap jurulatih Gayong secara automatik akan diberikan bengkung merah, manakala jurulatih kanan diberikan bengkung kuning.(Menurut Cikgu Siti Kalsom, beliau terus diberikan bengkung Harimau Pelangi Cula Sakti Hitam Tingkatan Tiga, sewaktu sistem bengkung mula diperkenalkan).Menurut Cikgu Ismail, dahulu sebelum ada sistem bengkung, mana-mana murid Gayong yang telah memasuki peringkat seni(diperlimau seni), akan mengikat pinggang mereka dengan lilitan kain hitam yang di hujungnya ada tujuh jalur(sama seperti jalur sandang). Bengkung yang diperkenalkan pula, panjangnya enam hasta(dua kali lilit) dengan hujung bengkung masih lagi potongan lurus. Potongan serong hanya dilakukan kemudian.(Menurut Cikgu Jaafar Kg.Medan, bengkung pada masa dahulu tidak mempunyai cula tetapi di hujung bengkung terdapat tujuh jalur yang berwarna, misalnya bengkung hijau akan mempunyai tujuh jalur merah di hujung bengkung.) Walaupun silibus tetap Gayong dan sistem bengkung mula diperkenalkan pada tahun 1968-69, tetapi Peristiwa 13 Mei telah membantutkan sekejap proses penyelarasan pelajaran dan bengkung. Hanya pada tahun 1970 silibus tetap dan sistem bengkung boleh diimplemenkan. Menurut Cikgu Ismail, walaupun telah wujud silibus tetap Gayong, namun pelajaran Gayong masih berbeza mengikut negeri-negeri kerana terlalu banyak pelajaran yang diperturunkan oleh Mahaguru, yang sentiasa sahaja berbeza mengikut tempat dan zaman. Menyentuh tentang pakaian silat pula, Cikgu Ismail pernah melihat Mahaguru memakai pakaian hitam yang berlambangkan "Allah-Muhammad" di dadanya ketika beliau turun mengajar silat. Biasanya, Mahaguru akan turun ke gelanggang dengan pakaian hitam siap bersetanjak dan berbengkung.

Pada awal tahun 1971, beliau telah diiktiraf dengan bengkung Pelangi Merah dan sandang Imam Gelanggang(Khalifah Muda). Pada awal tahun 1972, beliau diterima berlatih di gelanggang Tanjung Rhu, Singapura yang ketika itu menjadi Pusat Latihan Tertinggi Silat Seni Gayong Singapura. Di Tanjung Rhu, beliau telah dibimbing oleh Tuan Hj.Hussain bin Kaslan, Gurulatih Tertinggi dan Imam Khalifah Silat Seni Gayong Singapura. Sejak tahun 1972, beliau telah mula memegang bengkung Pelangi Kuning.

Semasa beliau berada di Pusat Latihan Tertinggi Silat Seni Gayong Singapura, beliau senantiasa diuji kemampuan dan kebolehan beliau mentadbir pertubuhan. Pada tahun 1973, iaitu ketika berusia 21 tahun, beliau telah diberi kepercayaan sebagai Setiausaha, Majlis Guru-gurulatih Silat Seni Gayong Singapura sehinggalah beliau pulang ke Melaka(1976).

Pada tahun 1975, beliau telah menjalani ujian Bengkung Hitam dan lulus di Singapura. Menurut Cikgu Ismail, pada zamannya, sebelum seseorang murid Gayong layak memakai bengkung hitam, murid Gayong akan diuji terlebih dahulu kebolehannya. Di Singapura, Cikgu Ismail dikehendaki menikam dengan hujung jejari tangan sebuah pintu kayu(rumah awam kerajaan) sehingga tembus, sebelum beliau boleh diiktiraf lulus ujian bengkung hitam. Menurut Cikgu Ismail, sebelum boleh menduduki ujian bengkung hitam, murid Gayong dikehendaki menggoreng biji-biji kopi(tanpa minyak) dan biji-biji kopi ini akan dikacau menggunakan tangan tanpa sebarang lapik. Sambil mengacau biji-biji kopi panas tersebut, murid Gayong dikehendaki mewiridkan wirid tertentu yang telah diperturunkan. Selama 100 hari(sejam setiap hari) murid Gayong dikehendaki menggoreng kopi tersebut, sehinggalah biji-biji kopi tersebut boleh ditumbuk dan dijadikan serbuk kopi. Serbuk kopi ini pula akan dibancuh dengan air dan dijadikan air kopi minuman murid Gayong tadi. Selain menguji kekuatan tangan, murid Gayong juga dikehendaki bertarung dengan 10 orang murid Gayong lain(biasanya dengan tingkatan bengkung yang lebih rendah). Pada tahun 1976, beliau telah disahkan sebagai pemegang bengkung Hitam Harimau Pelangi Cula Sakti di Taiping, Perak. Sebelum disahkan boleh memakai bengkung hitam, Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman, ujar Cikgu Ismail telah menguji beliau sekali lagi. Ujian adalah mengikut selera Mahaguru. Di Taiping, Cikgu Ismail telah diminta bertarung dengan dua orang murid Gayong yang bersenjatakan lembing. Setelah benar-benar berpuas hati dengan ujian-ujian yang dilakukan, barulah Mahaguru menyerahkan bengkung hitam kepada Cikgu Ismail. Penyerahan bengkung dilakukan dengan penuh adat-istiadat(diiringi Nobat).Beliau merupakan penerima bengkung hitam kesembilan di Malaysia, seterusnya menyandang sandang Khalifah Kanan. Ketika itu beliau aktif mengajar di gelanggang Solok Wan Moh, Batu Pahat, Johor.

Pada tahun 1976, beliau telah pulang ke kampung halaman beliau di negeri Melaka dan mula mengambil alih tugas mengajar di gelanggang Taboh Naning. Pada tahun 1978, beliau telah meletakkan jawatan sebagai jurulatih, dan seterusnya beliau kerap berulang-alik ke rumah Mahaguru di Taiping untuk menuntut ilmu dan pentadbiran sehinggalah Mahaguru pulang ke rahmatullah (23 Jun 1991). Cikgu Ismail pergi ke Taiping pada setiap hujung minggu dengan menunggang skuter. Ada ketikanya beliau terpaksa menumpang lori sayur apabila skuternya rosak. Menurut Cikgu Ismail, Mahaguru cukup tidak suka jika murid-murid beliau sampai lewat ke gelanggang. Jika Mahaguru sudah berada di gelanggang, murid-murid dimestikan telah berada di gelanggang dan bersiap sedia untuk memulakan latihan.

"Dato' kalau kita datang lewat, jangan buat pasal. Dato' cukup marah kalau murid datang lewat. Tak boleh nak dibayangkan apa hukuman yang bakal menanti. Tak usahlah nak bayangkan ketuk ketampi atau pumping. Kalau nasib tak baik, Dato' suruh julang tayar kereta api(yang biasa digunakan oleh Mahaguru untuk latihan angkat berat)."

Menurut Cikgu Ismail lagi, jikalau Mahaguru turun ke gelanggang dengan berpakaian silat yang lengkap, murid Gayong akan mengeluh panjang kerana latihan akan berlanjutan sehingga lebih sejam. Hal ini bermakna, murid-murid akan teruk menjadi mangsa kuncian Mahaguru.

"Dato' kalau turun dengan pakaian silat yang lengkap, alamat latihan akan berlanjutan sejam hingga lebih. Kalau Dato' pakai smart(berpakaian kemas), buah yang diperturunkan cuma 1-2 sahaja. Semua orang akan berasa lega."

Menurut Cikgu Ismail lagi, Mahaguru gemar memilih murid-muridnya yang berbadan tegap untuk menjadi sparring-partnernya. Mahaguru biasanya akan membuat kuncian sehingga murid yang dikunci menjadi lembik dan terjelir lidah. Murid Gayong pula, menurut Cikgu Ismail, tidak boleh mengadu kesakitan kerana menjadi kepantangan Mahaguru jika ada kalangan murid yang dikuncinya menjerit kesakitan. Maka, akan lebih teruklah murid berkenaan dikunci. Maka, murid-murid lainlah yang menyedarkan Mahaguru tentang keadaan murid yang dikunci Mahaguru. Misalnya memberitahu Mahaguru bahawa murid yang dikunci tersebut mukanya telah naik biru dan sudah hampir pengsan. Mahaguru, menurut Cikgu Ismail, menunjukkan kuncian sambil bercerita kepada murid-muridnya bagaimana sepatutnya mereka membuat kuncian. Mahaguru tidak melihat keadaan murid yang telah dikuncinya, sama ada "masih bernafas atau tidak".

Pada tahun 1984, di atas usaha beliau, gelanggang Kg. Lendu telah ditubuhkan, sebagai usaha untuk memperbaiki imej PSSGM di Melaka. Beliau telah dipilih sebagai AJK Kebangsaan pada tahun 1986. Pada tahun 1986 juga, beliau telah lulus ujian bengkung Hitam Harimau Pelangi Cula Sakti II, dan seterusnya diiktiraf sebagai Gurulatih dan Khalifah Besar. Pada tahun 1987, beliau menjawat Pengerusi PSSGM Kg.Lendu. Pada tahun 1989, beliau telah diberi mandat sebagai Timbalan Imam Khalifah PSSGM Negeri Melaka. Beliau dipilih sebagai YDP PSSGM Negeri Melaka pada tahun 1990. Semenjak dari itu, beliau telah membentuk barisan jurulatih dan pentadbir dan telah mengadakan berbagai-bagai kursus kejurulatihan dan pentadbiran. Pihak pertubuhan telah mengiktiraf beliau dengan bengkung Hitam Harimau Pelangi Cula Sakti IV pada tahun 1993 dan seterusnya bengkung Hitam Harimau Pelangi Cula Sakti VI pada tahun 1998(sebagai Guru Tertinggi PSSGM Melaka).

Menurut Cikgu Ismail, Silat Seni Gayong mempunyai banyak permainan lama yang jarang kelihatan sekarang seperti Mayang Gesit, Seni Keris(98 tikaman), Anak Tombak(kunci dan permainan), Tapak Yoi 21, Seni Seligi, Serangan Bapak Harimau(Belian), Cindai(jantan dan betina) dan Senjata Api Jarak Dekat. Inilah bezanya murid Gayong dahulu yang terpaksa melalui semua pelajaran sebelum diiktiraf memakai bengkung Pelangi Hitam Harimau Pelangi Cula Sakti, berbanding mereka yang dianugerahkan bengkung kerana penglibatan.Pelajaran lama seperti Seni Selayang Pandang dan Serangan Rajawali juga kurang dikupas pada hari ini. Hanya dipelajari dalam bentuk permainan tapak hidup dan jurusan rajawali sahaja.

Antara jenis pelajaran Silat Seni Gayong yang pernah dipelajari oleh Cikgu Ismail ialah: Buah Tapak Kunci Mati(21), Pecahan Buah Tapak(7 x 21), Serangan Maut(Kombat), Seni Keris(98 tikaman), Seni Pisau(Serangan Maut, Pisau Satu, Pisau Dua), Simbat/Tongkat, Simbat Suk, Simbat Panjang/Tembong(kunci dan permainan), Parang Panjang(kunci dan permainan, Parang satu dan Parang Dua), Parang panjang dan Perisai(permainan), Pisau dan Simbat, Tombak/Lembing(kunci dan permainan), Anak Tombak(kunci dan permainan), Parang-Tekpi, Tombak-Tekpi, Parang-Rantai, Gada-gada(rantai dengan bebola besi di hujungnya), Tapak Yoi 21, Seni Seligi, Serangan Rajawali, Serangan Bapak Harimau(Belian), Cindai(Jantan/Betina), Sundang Lipas, Senjata Api Jarak Dekat dan Mayang Gesit(senjata baling).

Menurut Cikgu Ismail, semasa beliau mempelajari Tapak Gayong dahulu, cuma ada tujuh tangkapan kunci mati sahaja. Tujuh buah tangkapan kunci mati ini menjadi asas kepada pecahan tapak 49. Setiap jurulatih kemudian akan memecahkan 49 pecahan tapak ini kepada tujuh pecahan lagi. Pelajaran senjata pula dimulai dengan Seni Keris. Menurut Cikgu Ismail, keris menjadi lambang Melayu. Pada masa dahulu, mempertahankan diri menggunakan keris tidak menjadi suatu kesalahan dari segi kanun pada zaman itu, tetapi membunuh lawan dengan menggunakan senjata lain daripada keris boleh didakwa. Selepas habis pelajaran keris, baru diajar pelajaran Seni Pisau. Kemudian Seni Simbat/Tongkat, sebagai asas Seni Parang. Selepas tamat mempelajari parang, murid Gayong akan diajar permainan simbat panjang/tembong, sebagai asas Seni Lembing. Lembing/tombak dipelajari selepas murid Gayong mahir bermain tembong. Kemudian, anak tombak akan diajar kepada murid Gayong. Anak tombak berupa tombak pendek yang digunakan dua bilah pada satu-satu masa, iaitu dipegang sebilah pada setiap tangan. Kemudian murid Gayong akan diperturunkan pelajaran Parang Dua, Tekpi, Parang-Rantai dsb. Selepas habis mempelajari senjata, murid Gayong akan memasuki pula permainan tangan kosong yang lebih berbahaya seperti Tapak Yoi, Serangan Rajawali(permainan atas), Serangan Bapak Harimau/Belian(permainan bawah), dan akhir sekali Seni Cindai. Seni Cindai terbahagi kepada dua jenis permainan iaitu Cindai Jantan(permainan lebih kepada gerak memukul lawan) dan Cindai Betina(permainan lebih kepada jerut-menjerut leher lawan). Selain pelajaran-pelajaran yang telah dinyatakan, murid Gayong juga akan diajar permainan gada-gada, iaitu permainan menggunakan rantai(panjang 20 hasta) yang disambung dengan besi pemberat di kedua-dua hujung. Besi pemberat ini boleh sekecil bola pingpong, dan sebesar bola lontar peluru. Gada-gada boleh memukul lawan yang berlindung di sebalik pokok atau dinding. Selain gada-gada, mayang gesit juga turut dipelajari oleh murid Gayong. Mayang gesit berupa senjata yang disimpan bersama-sama cucuk sanggul dan berperanan sebagai senjata baling(seakan-akan permainan dart). Mayang gesit, menurut Cikgu Ismail turut dipakai oleh puteri-puteri Jawa pada zaman dahulu, iaitu diletakkan bersama-sama hiasan di pangkal lengan. Mayang gesit ini, menurut Cikgu Ismail lagi, jika kena tekniknya, mampu menembusi cermin kenderaan yang tebal.

Menurut Cikgu Ismail lagi, beliau pernah mempelajari sebanyak 17 jenis senjata tradisional Melayu yang terdapat di dalam Silat Seni Gayong, iaitu keris(keris panjang, pendua, keris sundang), pisau(belati, balasiong), simbat(tongkat), tembong(simbat suk, kandar, pelentung), parang(golok, tapik, bacok, sabit, belitung), pedang(parang panjang, kelewang dsb.), rencong(kerambit, beladau, jambiah, tumbuk lada dsb.), tombak(serampang, tempuling, tiruk dan lembing), anak tombak(kiri dan kanan), rantai, gada-gada(rantai dengan besi pemberat di hujung), kapak(kapak kecil, cipan, cokmar), sumpit(sumpit rajang, sumpit panjang), panah, sundang(sundang lipas, sundang panjang), cindai, mayang(mayang gesit, senjata cucuk sanggul), dan tekpi(raja senjata).

Menurut Cikgu Ismail, peringkat tertinggi dalam Silat Seni Gayong adalah lebih berupa wirid-wirid yang diperturunkan untuk diamalkan oleh gurulatih-gurulatih Gayong. Isim Budu, misalnya adalah di antara pelajaran tertinggi dalam Silat Seni Gayong. Isim jenis ini pernah diamalkan oleh Mat Kilau dan keturunannya. Pengamal isim Budu boleh menumpaskan lawan dari jarak jauh. Misalnya, boleh membunuh lawan hanya dengan meniatkan di dalam hati sambil disertai zikir-zikir tertentu.

Menyentuh tentang peribadi Mahaguru, menurut Cikgu Ismail, Mahaguru cukup tegas dalam soal pelajaran Gayong. Pernah suatu ketika, semasa Mahaguru mempengerusikan mesyuarat Majlis Guru-gurulatih Se-Malaysia, beliau telah membawa bersama-samanya sebilah sundang dan kain cindai. Kedua-dua senjata kegemaran Mahaguru ini telah diletakkan di atas meja mesyuarat. Ketika itu, murid-murid Gayong yang menjadi ahli jawatan kuasa tidak berani untuk bersuara langsung kerana Mahaguru akan mengherdik sambil menghentak meja jika ada mana-mana AJK MGG yang tidak sependapat dengan beliau. Hal ini menunjukkan, dari segi pelajaran Gayong, kata muktamad adalah di tangan Mahaguru. Sebaliknya, sewaktu Mahaguru mempengerusikan mesyuarat Pertubuhan(PSSGM), Mahaguru kelihatan lebih bertolak ansur. Beliau lebih bersifat lembut ketika mesyuarat berlangsung.