Make your own free website on Tripod.com

Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman dari kaca mata
Cikgu Mohd Razali Haji Mohd Salleh, Pemegang Amanah II

Cikgu Mohd Razali Haji Mohd Salleh ialah Pemegang Amanah II Perguruan Silat Seni Gayong Malaysia dan juga Presiden Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM).

Menurut Cikgu Razali, ketika hayatnya, Allahyarham Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman Daeng Uda Mohd.Hashim ada memberi beberapa kata-kata amanah untuk disimpan dan disampaikan kepada anak Gayong. Antaranya, jangan bersikap tamak kerana ia akan binasakan diri sendiri, amanah guru harus dijaga dan beliau tidak boleh derhaka kepada murid.

"Yang masih saya ingat beberapa nasihat dan amanah yang disampaikan kepada saya. Hanya amanah ketiga iaitu saya tidak boleh derhaka kepada murid perlu dimengerti sedalamnya oleh anak Gayong," kata beliau. Bagaimanapun, Cikgu Razali menganggap dirinya bertuah kerana selain menerima amanah dan menyimpan sejarah awal perkembangan Gayong di Selangor, beliau telah diberi kepercayaan untuk menyimpan senjata dan pingat milik Mahaguru.

Pedang Bugis, keris berhulu gading, pedang dan pakaian 'perang' Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman adalah antara barang peninggalan Mahaguru yang ada dalam simpanan Cikgu Razali. Menurut Cikgu Razali, Dato' Meor juga berpesan supaya anak Gayong berkunjung ke empat tempat - Pulau Sudong (Singapura), Padang Sanai (Kedah), Padang Antah Berantah (Perak) dan Kuala Sedili (Johor).

"Beliau(Mahaguru) tidak memberitahu sebabnya kenapa perlu pergi empat tempat itu. Saya hanya memenuhi hajatnya supaya dilakukan syufaat wujud di Pengkalan Balak, Melaka tiga tahun lalu," katanya lagi.

Kenangan yang tidak dapat dilupakan ketika 'bersama' Dato' Meor Abdul Rahman adalah peristiwa 'selisih faham'. Mahaguru pernah enggan menemui beliau ketika Mahaguru datang ke Kuala Lumpur.

"Saya dengan Dato' Meor sering selisih pendapat. Kami sering bergaduh dan selalu saya dengar, Dato' Meor marah-marah saya belakang-belakang.

"Saya bukan menentang Mahaguru, hanya ada ilmu yang dianggap kena ketepikan kerana akidah... terpaksa saya beritahu. Akhirnya beliau tidak jadi marah.

"Satu cerita menarik, mengenai beliau sangat marah hingga hendak pukul saya dengan kasutnya tetapi bila dah jumpa dipeluk-peluknya saya. Orang lain yang kena kasutnya," senyum Cikgu Razali.

Mengimbas kembali sejarah awal penglibatan beliau dalam Silat Seni Gayong, menurut Cikgu Razali kegagalan niat beliau untuk menyertai Maktab Tentera di Port Dickson membuatkan diri beliau terus 'memberontak' kerana minat dalam dunia lasak tidak kesampaian.

Tiada restu ibu bapa bagai sukar diterima kerana jiwa yang mengidam gaya hidup lasak terhalang. Namun keputusan ibu bapa wajar dihormati walaupun berat untuk diterima dan ditelan.

"Akhirnya saya sertai silat dan Silat Dipowojo menjadi gelanggang pertama saya. Gelanggang pula di rumah dan saya menjemput guru Mat Jadi," mula cerita Cikgu Razali, 61.

Langkah kaki ke gelanggang pada awal 60-an itu bagai detik awal antara beliau dengan Silat Seni Gayong. Menurut Cikgu Razali, ketika itu ada 10 rakan turut berlatih tetapi hanya tinggal dua orang sahaja yang dapat bertahan iaitu beliau dengan Manaf Sidin.

Semasa bertugas di Kementerian Pertanian di Kuala Lumpur (1962), beliau berkenalan dengan seorang pemandu Kementerian bernama Kadir Busu.

"Waktu makan tengahari, beliau akan tunjuk silat di satu sudut... saya cukup tertarik dengan permainannya terutama kuncian.

"Ketika itu saya sudah berhenti belajar silat Jawa itu dan dibawa berkenalan dengan Mahaguru silat (Dato' Meor Abdul Rahman) yang ketika itu tinggal di flat Kuala Lumpur, kini tapak flat itu (telah didirikan) bangunan Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman," imbas beliau.

Bagaimanapun langkah awal Cikgu Razali tidak terus ke gelanggang, sebaliknya beliau banyak membantu Dato' Meor Abdul Rahman dalam pentadbiran. Sejarah awal Gayong di Kuala Lumpur, berdepan dengan sedikit masalah kerana kebanyakan penuntut ilmu terdiri daripada bangsa Melayu yang menjadi 'kepala kawasan' tertentu seperti di Chow Kit dan Kampung Baru.

Ketika itu, gelanggang aktif ialah di Kampung Periuk (Kampung Baru) dan di Keramat (berhampiran sungai).

"Sering berlaku pergaduhan antara kepala-kepala kawasan... bila bertembung, rupa-rupanya satu perguruan. Walaupun tak jadi bergaduh tetapi ramai ahli tidak kenal antara satu sama lain... dan pergaduhan ada berlaku.

"Apabila sudah sukar untuk dikawal... Dato' Meor cari ketenangan di Singapura," cerita beliau.

Bagaimanapun gelanggang tetap aktif dan kepala kawasan seperti Harun Yop adalah di antara yang dikenali dan bertanggungjawab mengembangkan Gayong di Kuala Lumpur. Seorang jurulatih bernama Yusuf dari Kedah diberikan amanah di kota itu.

"Saya masuk secara rasmi Gayong di gelanggang CB flat pada tahun 1964 dan Cikgu Awang Daud jadi jurulatih pertama.

"Bila masuk gelanggang, saya dapat lihat persilatan ini boleh dibawa ke tengah memandangkan silat yang sedia ada lebih kepada seni tari," kata beliau yang bergerak aktif dalam persatuan belia.

Cadangan untuk silat diserapkan dalam persatuan belia sebagai antara aktivitinya mendapat sambutan di luar dugaan. Tanpa berlengah lagi, pendaftaran pertubuhan dilakukan walaupun peringkat awal ia agak payah kerana syarat peraturan kerajaan terhadap aktiviti sebegini. Namun kerana minat, komitmen untuk memastikan ia tercapai membuat semangat semakin menjuak-juak demi ahli-ahli yang menjangkau 200 orang.

Menurut Cikgu Razali, gelanggang awal bermula dengan 21 pesilat dan antara mereka yang masih diingatinya-Yaakob Hassan, Manaf Sidin, Rosli Nazir, Mohamad Osman, Mohd Tain, Wahid Abdul, Hisham Sham, Kadir Busu, Said Daud dan Yusof.

Ada juga pesilat lain termasuk seorang guru kanan Sendeng belajar. Pergerakan mereka cukup aktif hingga setiap minggu ada penambahan ahli baru.

"Kami juga dapat banyak pertunjukan hingga Dato' Meor datang bersama Mat Padang dari Kedah untuk mengetahui, siapa 'payung' Gayong di Selangor.

"Kami memberitahu ia tetap Dato' Meor dan setelah berbincang, kami bersetuju dalam berkeras - syarat bahawa Gayong Selangor dibatalkan dan semua ahli diserap ke dalam Gayong Malaysia yang mana pejabatnya di Jalan Pegawai di Alor Setar, Kedah," senyum beliau mengingati hari itu.

Pada akhir tahun 60-an, ibu pejabat Gayong Malaysia berpindah ke Kuala Lumpur dan Cikgu Razali dilantik sebagai Setiausaha Agung.

Nama gayong terus meniti di bibir pencinta silat, dengan kekemasan pentadbiran gandingan bersama Ibrahim Abdullah, sayap pertubuhan berlambang naga terus berkembang. Gerak tangan kosong dan bersenjata memikat.

Menurut Cikgu Razali, gelanggang Gayong Selangor telah dimantapkan dengan ajaran selain Cikgu Awang, turut dijemput Cikgu Abdul Majid Mat Isa (kini guru utama Pusaka Gayong) sebelum memperoleh Cikgu Osman dan Haji Harun Salleh dari Kota Sarang Semut.

Bagai adat, bila organisasi sudah mantap, ramai menunjukkan minat untuk menduduki kerusi-kerusi tertentu.

"Ketika itu (tahun 70-an), Gayong Malaysia cukup hebat dan popular... Tan Sri Hamzah Abu Samah (yang) ketika menjadi menteri penuh telah turun untuk merasmikan gelanggang di Kompleks Sukan Kampung Pandan.

"Anak-anak Gayong pula bukan saja terdiri daripada golongan buruh tetapi orang kenamaan... lagi pun mana ada organisasi (yang) tiada masalah (apa)bila sudah berkembang besar," katanya.

Tidak dapat dinafikan Cikgu Razali sudah kenal erti cinta, sudah kenal permata dan sudah memahami 'hidup'nya di dunia ini.

"Saya puas dengan peranan dan tanggungjawab di dunia ini... saya terima apa yang saya lakukan adalah satu pilihan atas diri saya di dunia ini.

"Gayong ada pengertiannya dan silat Melayu juga antara yang unik kerana dapat dan masih memelihara adat-istiadat Melayu yang tertib hingga kepada gerak kombat atau tentera," tekan beliau.

Menurut Cikgu Razali, satu ketika dalam tahun 60-an dan 70-an, beladiri luar bergerak bebas dan meluas dalam jabatan berpakaian seragam seperti polis dan tentera selain universiti hingga 'mencabar ' dan 'mengugat' kedudukan silat yang bersikap dan mengamal 'timba mencari perigi'.

Apabila adat itu sedikit dilanggar dengan melakukan promosi, pendekatan kepada umum dan terbuka, sambutan memberangsangkan.

"Pada tahun 70-an, Sultan Perak sering berangkat ke kem tentera di Taiping untuk menyaksikan sendiri latihan Gayong.

"Pengalaman membuka gelanggang di kampung banyak. Maklumlah, di kampung ramai orang handal... Dato' Meor pun mereka cabar dan cuba, tetapi akhirnya menjadi sahabat.

"Semasa di Singapura (Pulau Sudong) seorang guru, Wak Kusang hendak bermain dengan Dato' Meor dan beliau dijatuhkan dan dikunci... mereka jadi saudara rapat selepas itu," tambahnya lagi.

Tekan Cikgu Razali, Dato' Meor Abdul Rahman membuktikan bahawa bekliau merupakan seorang mahaguru yang tiada berkepentingan.

"Dato' Meor seorang penjihad dan beliau tiada harta atau kaya. Mahaguru hanya tinggalkan ilmu persilatan yang bernama Gayong.

"Waktu muda... saya dan rakan-rakan sanggup ambil cuti untuk berilmu dengan tangan Dato' Meor sendiri. Walaupun dapat selangkah-dua... hati akan puas." katanya mengakhiri perbualan.