KATA PENERBIT

Terlebih dahulu bagi pihak penerbit buku ini menuntut maaf kepada sidang pembaca kiranya berlaku sebarang kekhilafan diminta bersama-sama memperbaikinya.

Oleh kerana lembaran cerita ini bukan sahaja merapatkan rasa cinta kepada alam tarikh dan kebudayaan kegemilangan Melayu zaman purba, tetapi tarikan memuja semangat kebangsaan sedia terkembang lantang. Semangat mengasihi Bangsa, Nusa, dan Agama supaya mengambil keinsafan bagi menyuburi kebudayaan dalam Silat Seni Gayong, bagi menjaga dan mempertahankan diri pusaka datuk nenek moyang kita.

Sejarah ini adalah dengan ihsan Mahaguru Silat Seni Gayong Tuan Meor Abdul Rahman, Yang Dipertua Agung Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia, untuk diterbitkan.

Terima kasih

Yang tulus ikhlas

Abd. Ghani bin Abdullah
K. Pilah N. S.
30 November 1964

 

PENDAHULUAN

Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan kesenian dan kebudayaan. Sungguhpun begitu kesenian untuk mempertahankan diri adalah kebanyakan datangnya dari negara luar yang disalurkan kepada rakyat negara kita dan mereka sangatlah membangga-banggakan keseniannya. Saya rasa tibalah saatnya bagi saya untuk memperkenalkan kepada dunia iaitu Silat Seni Gayong satu kesenian mempertahankan diri digunakan oleh panglima negara di zaman purba. Silat Seni Gayong adalah satu-satunya kesenian asli hak tulen bagi bangsa kita. Saya berdoa semoga Silat Seni Gayong akan terkenal di seluruh dunia amnya. Ini terpulanglah kepada seluruh rakyat bangsa di negara kita sediri.

Inilah buku pertama berkenaan Silat Seni Gayong. Buku keluaran akan datang akan terbit setelah berjayanya buku pertama ini, mengikut sambutan orang ramai. Buku seluruhnya akan meliputi gaya dan cara-cara mempertahankan diri, menyerang dan seterusnya balas serang.

Buku keluaran akan datang mengandungi cara-cara mempertahankan diri menggunakan tangan (Freehand Combat).Diharap buku keluaran akan datang seterusnya mengandungi cara-cara mempertahankan diri menggunakan senjata biasa (Armed Combat).

Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kapada Yang Mulia Mahaguru Meor Abdul Rahman pemimpin Silat Seni Gayong dengan murah hati memberi teguran dan tunjuk ajar yang sangat-sangat berharga dan membolehkan saya menulis buku ini.

Ucapan terima kasih saya kepada Encik Hamid Alwi dan juga kepada Encik Rahman bin Kadir kerana memberi penerangan dan cadangannya yang berharga kepada saya.

Ucapan terima kasih istimewa kepada penduduk Pulau Sudong dengan baik hati memberi kenyataan sejarah yang membolehkan saya menulis buku ini.

Akhirnya saya tidak lupa mengucapkan ribuan terima kasih kepada isteri saya yang telah mendorongkan dan memberi semangat kepada saya menulis buku ini.

 

FAKTOR SEJARAH

Kesenian mempertahankan diri ini sudah lahir sejak dari masa orang asli atau orang gua(caveman) lagi. Sesuatu puak orang asli atau orang gua, ada mempunyai cara dan taktik untuk mempertahankan diri mengikut adat resam, kepercayaan dan keadaan alam sekeliling mereka. Orang gua zaman dahulu terpaksa menghadapi serangan daripada binatang buas dan dengan ini mereka sentiasa mencari jalan untuk melawan binatang buas yang lebih besar dan gagah daripada mereka dengan menggunakan cara-cara dan taktik mempertahankan diri yang lebih memberi kesan.

Selepas itu tibalah zamannya di masa manusia menggunakan kekuatan dan kegagahan untuk melawan sesama manusia. Dengan ini manusia sentiasalah berikhtiar dalam beberapa masalah bagi mencapai kemenangan.

Silat Seni Gayong telah dihalusi sesuai mengikut peredaran masa moden ini. Mempelajari sesuatu kesenian tanpa mengetahui usul-asalnya adalah pelajaran yang tidak cukup. Dengan itu moleklah saya bawa sidang pembaca sekalian untuk mengetahui sejarah Silat Seni Gayong.

Silat Seni Gayong adalah satu-satunya silat asli Malaysia yang telah digunakan oleh pahlawan-pahlawan termasyhur di zaman dahulu. Di masa ini Silat Seni Gayong telah diatur sesuai untuk digunakan mengikut aliran zaman moden.

Silat Seni Gayong bertujuan menewaskan musuh dan mengelakkan serta serang balas yang menggunakan tumbuk, dan menyepak atau tendang.

Murid-murid Silat Seni Gayong akan diajar ilmu-ilmu pergerakan timbangan badan dan juga kecekapan. Ini bermakna seseorang murid Silat Seni Gayong itu akan menggunakan kecekapan gerak badan dan juga kecergasan berfikir, guna untuk menentang musuh yang lebih gagah dan berani.

Untuk mengetahui sejarah Silat Seni Gayong ini, terlebih dahulu kita mengetahui riwayat pencipta Silat Seni Gayong sekarang iaitu Mahaguru Meor Abdul Rahman.

 

SIAPA DIA MEOR ABDUL RAHMAN?

Ada riwayat masyhur berkenaan tujuh orang Bugis adik-beradik yang sangat ditakuti dan dihormati di seluruh pulau Mengkasar, Riau, Siak dan juga pulau-pulau yang berhampiran, kerana kegagahan dan perkasa mereka yang tidak ada bandingan di masa itu.

Setelah tujuh beradik itu menjelajah di seluruh kepulauan Melayu mereka mendarat membawa bersama-sama mereka sebuah 'dacing', 'gantang' dan 'cupak', tujuannya mengetahui di manakah tempat perhentian yang baik sekali mengikut perhitungan mereka. Kuala Larut inilah tempat perhentian yang sangat sesuai dinamakan Pengkalan Aur; sekarang terkenal dengan nama Ayer Kuning.

Di antara tujuh beradik itu hanya seorang daripada mereka tinggal iaitu Daeng Kuning atau lebeh terkenal dengan gelaran "Panglima Hitam". Daeng Kuning kahwin dengan seorang Puteri Raja Petani. Hasil daripada perkahwinan mereka seorang anak laki-laki telah lahir. Anak laki-laki ini kemudiannya terkenal dengan nama Penghulu Che' Ngah Tambak. Daeng Kuning meninggal dunia pada tahun 1875 di suatu kawasan di Taiping, Perak.

Penghulu Che' Ngah Tambak mempunyai seorang anak laki-laki bernama Uda Md. Hashim yang kemudiannya telah berkahwin dengan Sharifah Aluyah anak perempuan kepada Syed Zainal Al-Attas seorang penghulu terkenal kerana keperwiraannya melawan orang Inggeris di Pahang.

Hasil perkahwinan Uda Md. Hashim dengan Sharifah Aluyah lahirlah MEOR ABDUL RAHMAN yang mana memimpin Silat Seni Gayong, pada 17. 8. 1915 di Taiping Perak. Semasa Meor Abdul Rahman berumur 12 tahun datuknya Syed Zainal Al-Attas telah mengetahui bahawa cucunya itu adalah bakal seorang pahlawan.

Syed Zainal ketika itu berusia 100 tahun lebih, memandangkan pergerakan cucunya itu, ia telah meneliti bahawa cucunya itu akan menjadi seorang perwira sebagaimana moyangnya daripada keturunan Bugis dahulu. Syed Zainal telah mencurahkan dan mengajarkan cucunya Meor Abdul Rahman segala petua dan ilmu Silat Seni Gayong mempertahankan diri dan semua ilmu kegagahan dan kepahlawanan.

Sebagai seorang pemuda yang julung-julung naik Meor Abdul Rahman sangatlah cekap pantas serta tekun akan ajaran datuknya. Semasa umurnya meningkat ke-19 tahun, namanya telah dikenal kerana kegagahannya dan kecekapannya dalam ilmu Silat Seni Gayong.

Semasa itu negeri Perak telah diperintah oleh Sultan Alang Iskandar dan apabila baginda mendengar berita kegagahan dan pendekarnya Meor Abdul Rahman, baginda terus mengutus beliau ke istananya. Di hadapan Baginda Sultan Perak serta orang besar istana, telah membuktikan kegagahan beliau ialah sebagai, membengkokkan paku 9 inci dan berlawan tarik tali dengan tiga puluh orang yang lain serta berbagai-bagai perkara aneh dan luar biasa.

Dengan kebolehannya yang luar biasa itu maka beliau pun telah digelar "RAHMAN SENDO" atau "RAHMAN ORANG KUAT". Dengan kehendak Sultan Alang Iskandar maka beliau tinggal di istana Sultan Perak.

Setelah Sultan Alang Iskandar mangkat beliau pun baliklah ke kampungnya, mengikut nasihat salah seorang datuknya Ngah Majid. Ayahanda saudara kepada beliau yang pada masa itu bergelar "Panglima Perang Kiri Perak" telah berasa curiga di atas keselamatan anak buahnya itu.

Sekembali dari istana beliau menyambung semula pelajarannya daripada datuknya. Datuknya sendiri telah menerangkan kepadanya iaitu pelajarannya di dalam ilmu Silat Seni Gayong itu tiada akan dapat ditamatkan oleh datuknya sendiri. Tegasnya pelajaran dalam ilmu silat itu akan ditamatkan oleh perwira negara zaman dahulu. Hal ini memeranjatkan beliau, tetapi datuknya tidaklah dapat menghuraikan hal itu lebih panjang lagi, hanya menunggukan saat akan belakunya peristiwa itu.

Pada tahun 1936 Meor Abd Rahman telah mengikut abang iparnya, Zainal Abidin yang pada masa itu menjadi O.C.P.D. Kuala Nerang, Kedah. Di sini beliau telah diduga oleh beberapa orang pendekar tetapi beliau telah berjaya mengalahkan kesemuanya. Setelah itu mereka yang dikalahkan telah menjadi sahabat kepada beliau.

Di Kuala Nerang, kegemaran yang digemarinya sekali ialah memburu binatang liar. Di antara kawan memburunya termasuklah Tengku Nong cucunda kepada Sultan Abdul Hamid Halim Shah sahabat akrabnya. Pada waktu itu menjadi pegawai daerah Kuala Nerang.

Satu hari semasa Meor Abdul Rahman serta temannya pergi memburu beliau telah tersesat di dalam hutan dan akhirnya tembus di Padang Senai. Di Padang Senai beliau telah berkenalan dengan seorang tua bernama Pak Choh. Akhirnya beliau telah menjadi anak angkat Pak Choh.

Pak Choh telah mengenalkan anak angkatnya kepada seorang ketua orang Siam. Ketua orang Siam itu bernama Lim Choon di Kuak iaitu di sempadan Siam. Di Kuak pada masa itu memang terkenal sebagai tempat orang beradu kekuatan. Setelah tinggal seminggu di Kuak maka beliau pun mengembara lagi terus ke Mee Nam. Di sana telah tinggal bersama dengan seorang perempuan tua berbangsa Melayu Tok Mek Jah namanya. Semasa tinggal di Mee Nam, di sinilah berlakunya peristiwa yang telah diramalkan oleh datuknya dahulu. Sedang beliau berbaring di atas batu berhampiran sebatang sungai Mee Nam melepaskan penat berburu beliau tertidur bermimpi. Di dalam mimpinya itu beliau telah bertemu dengan saorang tua yang berpakaian sebagai seorang hulubalang Melayu zaman dahulu. Orang tua itu memperkenal dirinya bahawa dia ialah "Hang Tuah" pahlawan yang teragung di dalam Kerajaan Melayu Melaka. Hang Tuah telah mencurahkan segala rahsia ilmu Silat Seni Gayong dan mempertahankan diri kepada beliau.

Setelah sedar dari mimpinya beliau merasai perubahan pada dirinya. Selepas daripada peristiwa itulah beliau memperolehi kegagahan dan kepandaian yang sangat luar biasa.

Pada tahun 1938 beliau telah pergi ke Singapura dan beliaulah seorang anak Melayu yang julung-julung sekali menjadi jurulatih mempertahankan diri atau (Combat Instructor) di Gillman Barrack; beliau telah mengajar ahli Signal Corps yang pada masa itu di bawah ketua Lt Col Pope.

Di masa pemerintahan Jepun beliau dengan keluarganya telah melarikan diri ke Pulau Sudong. Di Pulau Sudonglah mulanya, permulaan sejarah perkembangan Silat Seni Gayong. Ilmu ini diajar kepada penduduk Pulau Sudong. Faktor yang akan saya tuliskan berikut ini ialah terbitnya dari mulut penduduk Pulau Sudong sendiri di atas penyiasatan saya ka pulau tersebut.

Pada satu malam, lebih kurang satu minggu beliau di pulau itu ia bermimpi iaitu satu lembaga datang memberi amaran kepadanya iaitu satu bahaya. Lembaga itu menyuruh beliau berusaha menghalang bahaya itu dan ia (lembaga itu) berjanji berada di samping beliau. Pada hari esoknya anak pulau itu mendapat khabar yang tentera Jepun akan mendarat ke pulau itu dan memeriksa segala perempuan muda. Berita askar-askar Jepun hendak mendarat itu segera dihebahkan. Penghulu Pulau Sudong mencadangkan segala perempuan muda dipindahkan ke Pulau Senang atau ke Pulau Pawai sementara yang lain mencadangkan menyuruh ke di dalam hutan. Setelah mereka memberi cadangan, beliau terus mengemukakan cara untuk mematahkan serangan Jepun itu. Sekiranya gagal beberapa nyawa akan terkorban. Cadangannya dipersetujui tapi hanya empat orang sahaja yang mahu. Kepada mereka diberi sebilah keris dan dimandikan iaitu "Mandi Gayong" untuk membela badan dan membangkitkan semangat. Setelah itu beliau pun mengumpulkan segala perempuan muda dan menconteng arang ke muka mereka yang bercampur dengan minyak kelapa sehingga muka mereka menjadi hitam. Perempuan itu dikumpulkan di rumahnya dan dijaga oleh keempat-empat pengawal ini yang telah diatur dengan telitinya supaya senang memberi bantuan apabila perempuan itu menjerit; beliau sendiri berdiri di muka pintu bilik di mana perempuan itu ditempatkan. Akhirnya sampailah askar Jepun ke pulau itu terus mereka mendarat seperti harimau lapar lepas dari kandang untuk melepaskan kehausan nafsunya. Tetapi mereka hairan apabila diketemuinya perempuan hanya tua-tua belaka. Akhirnya sampailah mereka ke rumah Meor Abdul Rahman melihat askar-askar Jepun tiba pengawal-pengawal pun membaca ayat suci. Askar-askar itu pun naik ke rumah, tetapi dengan takdir Allah pada penglihatan mereka perempuan-perempuan yang bermuka hitam itu hodoh-hodoh belaka. Mereka turun dari rumah itu. Dengan semangat kepahlawanan ini, selamatlah perempuan di Pulau Sudong dari Jepun. Lima bilah keris, empat daripadanya digunakan oleh empat orang pengawal dan sebilah oleh beliau itu pun dibuangkan ke laut. Dengan takdir Allah Subhanahuwataala maka itu pada hari ketiga daripada peristiwa itu berlaku, timbullah seekor "buaya putih" di tempat keris itu dijatuhkan. Dua minggu kemudiannya beliau dan keluarganya meninggalkan Pulau Sudong balik ke kampungnya di Perak. Penduduk pulau itu dengan sedihnya keluar beramai-ramai mengucapkan selamat jalan pada beliau dan keluarga. Ketika perahu yang dinaiki oleh beliau perlahan-lahan meluncur maka anak-anak pulau itu pun berpantun demikian bunyinya:

Pulau Sudong tanahnya lembah,
Tanam senduduk bercabang dua;
Pulau Sudong tanahnya bertuah,
Dagang menumpang sehari dua.

Maka dibalas oleh beliau,

Pulau Sudong tanah sakti,
Sayang ketapang bercabang dua;
Hikmat Gayong meninggalkan bakti,
Memimpin wanita menempuh bahaya.

Selepas pemerintahan Jepun beliau kembali semula ke Singapura. Setelah beberapa lama di sana maka beliau telah diundang oleh penduduk Pulau Sudong untuk menjadi penghulu kepada mereka. Sejak beliau menjadi penghulu di Pulau Sudong maka pulau itu pun menjadi pusat Silat Seni Gayong. Dari pulau inilah Gayong berkembang, sehinggakan merebak ke pulau-pulau lain seperti Pulau Seking, Pulau Semulon, Pulau Bukum, dan Pulau Semantan. Pulau ini dinamakan "Pulau Sembilan". Apabila berita Silat Seni Gayong merebak maka diketahuilah oleh orang di kepulauan Indonesia. Mereka telah menghantar seorang wakilnya bernama "Wak Simong" menjemput beliau untuk mengembangkan Silat Seni Gayong ke sana, kebetulan pada masa itu penduduk kepulauan tersebut sedang diancam oleh lanun. Beliau pergi ke Pulau Terong dengan empat orang rakannya: Naning, Mersad, Bendol (penghulu bagi Pulau Sudong selepas Meor Rahman) dan seorang lagi tidak diketahui namanya. Maka Silat Seni Gayong pun kembanglah dengan pesatnya di Pulau Geranting, dan seterusnya di beberapa pulau lain. Dalam Tahun 1947 beliau meninggalkan Pulau Sudong dan pergi ke Singapura diundang menjadi mata-mata gelap. Di dalam jawatan tersebut dalam tahun itu juga beliau dikurniakan pingat keberanian King George V, di atas jasanya dalam pemerintahan Jepun. Di dalam tahun 1948 beliau mula mengembangkan Silat Seni Gayong di Singapura. Silat Seni Gayong telah mendapat sambutan yang hangat di sana, telah membuat beberapa bakti kepada bangsa dan negara. Pada masa ini telah diketahui bahawa muridnya lebih daripada 100,000 dan lebih dari 50,000 di kepulauan Indonesia. Sungguhpun begitu di mana murid Gayong berada dan di antara beratus-ratus ribu murid ini mereka adalah bersaudara se-Gayong, mereka putus dari pemandangan sahaja namun mereka tidak putus atas tali persaudaraan dan siratul rahim mereka.

Guru yang ada kebolehan dalam Silat Seni Gayong dalam peringkat terawal pada tahun 1995 tugasnya ialah mengembangkan Silat Seni Gayong. Mereka telah bergelar "Cula yang Tujuh" terdiri daripada

  1. Junid - Seni Tapak(Freehand Fight)
  2. Che Sor - Seni Keris(Kris Fight)
  3. Jumaat - Seni Tapak(Freehand Fight)
  4. Haji Mansor(pegawai penerangan atau Publicity) - Seni Tapak dan Keris (Freehand Fight)
  5. Mansor Fadzal sebagai penasihat kepada Mahaguru Meor Abd. Rahman; dan
  6. seorang lagi tidak diketahui nama dan kelulusannya.

Dalam tahun 1961 beliau bersara daripada mata-mata gelap dan membuat perniagaan. Di samping itu juga beliau berusaha dan bertungkus-lumus dengan beberapa usahanya untuk mengembangkan Silat Seni Gayong. Ia menetap di rumahnya nombor 13-A Lorong Fatimah, Woodlands, Singapura 25.

Inilah sahaja riwayat Mahaguru Silat Seni Gayong Malaysia dengan secara ringkas yang dapat saya huraikan. Terima kasih.

 

Encik Abdul Majid bin Md. Isa
Gurulatih Tertinggi Silat Seni Gayong Malaysia(1964)