IMBAS KEMBALI ZAMAN KEGEMILANGAN
PENDEKAR GAYONG

BERITA MINGGU, Oktober 1973

 


Gambar kenang-kenangan Dato' Meor(berkot) bersama Almarhum Sultan Badli Shah(tengah)
dan kanan sekali Tengku Kassim dalam tahun 1957

 

Tidak seorang pun menduga seorang pemuda yang menghadapi hukuman bunuh 30 tahun lalu, muncul menjadi Raja Silat Melayu yang ulung di tanah air sekarang.

'Raja' Silat Melayu itu ialah Dato' Meor Abdul Rahman bin Daing Uda Hashim, Mahaguru Silat Seni Gayong Malaysia.

"Saya sendiri pun tidak menduga dapat memimpin silat seperti sekarang," katanya ketika ditemui di Pusat Latihan Polis di sini baru-baru ini.

Beliau sedang melatih kira-kira 46 orang pelatih Silat Gayong dari seluruh cawangan polis tersebut.

"Siapa menyangka saya boleh hidup," katanya memulakan cerita,"saya telah dihukum penjara dan kemudian dijatuhkan hukum gantung oleh pemerintah Jepun pada waktu itu."

 

PEPATAH

Tetapi, pepatah Melayu: Pantang mati sebelum ajal, benar-benar menjadi kenyataan.

"Tarikh hukuman hanya dua hari sahaja lagi, tiba-tiba saya dibebaskan,"katanya sambil mengerut dahinya mengingatkan peristiwa menyayat hati itu.

Dato' Meor percaya, selain dari ajalnya belum tiba, uasaha keras keluarganya terutama datuknya Allahyarham Syed zainal Syed Idris Al-Attas menyebabkan beliau dibebaskan.

"Peristiwa itu berlaku dalam tahun 1943, dan ia paling sukar dilupakan," kata Mahaguru kepada 100,000 orang murid Silat Gayong di seluruh Malaysia itu.

Menurutnya ia ditangkap kerana disyaki menderhaka. Selain dari itu, kegiatannya mengembangkan silat di Singapura mencurigakan pemerintah Jepun waktu itu.

"Saya mula mengembangkan Silat Gayong di Pulau Sudong, Singapura, kira-kira dalam tahun 1942,"ujarnya.

"Kerana kegiatan saya itulah, Jepun meradang dan menangkap saya," katanya seraya menjelaskan,"saya ditangkap serta dipenjarakan di Taiping."

Pendeknya, putera jati Perak yang sekarang berusia 58 tahun ini sudah mengalami berbagai bentuk cara hidup.

"Saya pernah jadi mata-mata gelap, dan pernah pula menjadi penghulu, di Pulau Sudong," katanya.

 

PENGALAMAN

Dari pengalamannya yang bertali-tali itu, ditambah pula oleh pengetahuan silatnya yang cukup mendalam itulah, Dato' Meor yang bersahabat karib dengan Tan Sri Sardon Jubir tahun 1942 itu, kini menjadi orang yang disegani.

Beliau bukan sahaja disegani di Perak, malah di seluruh Malaysia.

"Ramai pembesar negeri belajar dengan saya, antaranya termasuklah Tengku Laksamana Kedah, Tengku Kassim," terangnya.

Menurutnya, Tengku Kassim dengan diperkenankan oleh Sultan Kedah, Tengku Badli Shah telah menjemput beliau di Singapura dan kemudiannya (mengadakan) pertunjukan di Kelab Sukan Sultan Abdul Hamid Kedah dalam tahun 1957.

"Saya dan rombongan seramai 43 orang yang terdiri dari pakar-pakar Silat Gayong telah menunjukkan kecekapan masing-masing di hadapan Sultan Kedah sendiri" katanya.

Selepas itu, katanya lagi baginda Sultan menitahkan supaya beliau mengajar di Kedah.

Dari Kedah, Silat Gayong menjalar ke Selangor, Perak hinggalah ke seluruh pelosok tanah air.

"Sekarang Silat Gayong sudah menjadi teras silat kebangsaan,"terang Dato' Meor bersungguh-sungguh.

Silat tersebut juga menjadi salah satu cara mempertahankan diri dalam Angkatan Tentera dan Polis.

"Cita-cita saya ingin meluaskan silat tersebut hingga ke seluruh Asia dan kalau dapat ke Indonesia dulu," tegas Dato' Meor.

Dato' Meor telah melawat Jepun, Australia, Hong Kong dan beberapa buah negara lain untuk memperkenalkan silatnya.

"Kami telah mengadakan pertunjukan khas di Expo 1970 di Osaka, Jepun," jelasnya,"sambutan orang Jepun amat menggalakkan."

Kerana jasanya itu, Dato' Meor telah dianugerahkan pingat Datuk Cura Si Manjakini oleh Sultan Perak dalam tahun 1971.

Sultan Perak ialah penaung Silat Seni Gayong Malaysia yang bergelar Sang (Sa)purba Negara.

Sebelum pingat tersebut, Dato' Meor pernah menerima anugerah King George ke VI, bersama Dr. Munsi dari Singapura dalam tahun 1947.

Ketika diminta menerangkan asal-usulnya, Dato' Meor berkata,"Silat ini ialah silat Melayu Jati, berkembang sejak zaman kerajaan Melayu Melaka."

 

BELAJAR

"Saya belajar silat dari datuk saya, Syed zainal Syed Idris,"katanya. Silat ini menurutnya mempunyai adat-istiadat yang terpelihara rapi sejak turun-temurun, dari kerajaan Perak sekarang.

Beliau menafikan adanya cedokan dari berbagai ilmu mempertahankan diri seperti Judo dan Karate.

"Sekali lagi saya tegaskan, Silat Gayong ialah Silat Melayu asli, saya jamin," katanya.

Sekarang, Mahaguru untuk 100,000 orang murid ini bangga kerana cita-citanya ingin berbakti kepada negara sudah tercapai.

"Kami sedang membentuk Barisan Sabil pula untuk mempertahankan negara dari segala rupa ancaman," katanya sambil menambah,"barisan ini sedia berkhidmat bila-bila masa sahaja (apa)bila dikehendaki."

Mengenai silat-silat lain, Dato' Meor menjelaskan, perkembangannya amat pesat dan ini membayangkan masa depan silat Melayu tidak akan pudar.

"Sebagai Mahaguru Gayong, saya tidak sedikit pun berasa dengki," jelasnya.

Beliau berharap di satu masa beliau dapat mengadakan pertemuan 'meja bundar' dengan mahaguru-mahaguru silat yang lain untuk mencari titik mewujudkan satu silat kebangsaan yang tulen.