Make your own free website on Tripod.com

Dato'Meor Abdul Rahman dari Kaca Mata Cikgu Mohd.Amin bin Hamzah, Gurulatih Kanan PSSGM Perak Darul Ridzuan

Cikgu Amin in actions!

Cikgu Mohd.Amin bin Hamzah dilahirkan pada 13 Mei 1947, di Sungai Siput, Perak Darul Ridzuan. Beliau merupakan salah seorang Gurulatih Kanan Gayong Malaysia yang dianugerahkan bengkung Harimau Pelangi Cula Sakti Hitam Tingkatan Tiga oleh Allahyarham Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman bin Daeng Uda Mohd.Hashim. Beliau juga memegang sandang Apit Jinjang, iaitu sandang ketua gurulatih PSSGM.

Cikgu Amin mula memasuki Gayong pada bulan tiga, iaitu 22 Mac 1967. Beliau memasuki Gayong ini atas inisiatif beliau sendiri. Sebelum itu, beliau pernah mempelajari taekwondo di YMCA. Pada waktu itu cuma terdapat tiga orang Melayu sahaja yang turut mempelajari taekwondo di YMCA. Apabila tidak ramai orang Melayu menyertai taekwondo, maka beliau berpeluang melihat dengan jelas perbezaan corak latihan taekwondo antara kaum Melayu dengan kaum lain. Beliau berasa kehairanan mengapa anak Melayu agak terkebelakang pencapaiannya dalam taekwondo. Pada waktu itu, menurut beliau, seorang instructor taekwondo yang berasal dari Korea telah datang mengajar di YMCA. Tiga bulan kemudian jurulatih tersebut telah berhenti mengajar. Sepeninggalan jurulatih dari Korea tersebut, beliau melihat latihan yang dijalankan sudah agak berlainan. Kemudian beliau tergerak ingin mempelajari seni silat pula. Beliau telah terdengar satu berita bahawa suatu persembahan Silat Seni Gayong akan diadakan di Lumut pada sekitar tahun 1967. Oleh kerana perasaan ingin menyaksikan Silat Seni Gayong dari dekat begitu membuak-buak, beliau akhirnya terpaksa mengambil keputusan mengorbankan masa dan tenaga menaiki bas untuk pergi ke Lumut. Sehari suntuk beliau berada di sana. Beliau sampai semula ke rumahnya pada jam 12.00 tengah malam. Itu pun beliau terpaksa mengambil teksi untuk pulang ke rumah kerana ketiadaan bas. Ketika di Lumut, beliau melihat Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj turut menyertai Gayong dan Mahaguru menurutnya telah menyampaikan sandang kepada Tunku. Waktu itu, tubuh Mahaguru sangat tegap dan sasa.

Selepas pertunjukan di Lumut, Gayong telah dibuka di Pantai Remis. Oleh kerana Pantai Remis jauh dari kediaman Cikgu Amin, maka beliau terpaksa menangguhkan niat beliau untuk memasuki Gayong. Selepas Pantai Remis, dalam tahun yang sama Gayong telah dibuka di Setiawan. Malangnya, gelanggang di Setiawan pula dilanda masalah. Kemudian, terdengar khabar bahawa Gayong akan dibuka di Manjoi. Pada waktu itu Cikgu Amin tinggal di Sungai Rokam, tidak jauh dari Manjoi. Suatu mesyuarat penaja telah diadakan di Dewan UMNO untuk membincangkan hal penubuhan gelanggang Gayong di Manjoi.

"Saya pun lepas kerja, masa tu saya kerja di Hong Kong Bank, lepas kerja pukul 5.00 saya pun berkejar ke Dewan UMNO. Saya ni ketika itu macam melukut di tepi gantanglah, duduk di tepi tengok orang bermesyuarat. Macam-macam pandangan dikemukakan."

Apabila Gayong dibuka di Manjoi, maka ramailah anak-anak muda menyertainya, termasuklah Cikgu Amin. Beliau merupakan batch yang kedua. Menurut Cikgu Amin, beliau berasa agak terkilan kerana kawan rapatnya sendiri telah senyap-senyap memasuki Gayong dengan tidak memaklumkan kepada beliau dan kawan-kawan yang lain.

"Saya pergi berjumpa dengan gurulatih gelanggang. Saya kata kepadanya saya nak belajar silat. Gurulatih tu tanya betul ke saya nak belajar? Saya jawab betul. Lepas tu gurulatih itu minta saya bawa beberapa perkara sebelum saya diperlimaukan. Saya pun bawa benda-benda yang diminta. Macam orang nak pergi meminanglah. Lepas itu saya dimandikan. Waktu dimandikan tu saya orang terakhir, nombor enam."

Beliau dimandikan oleh Cikgu Ahmad bin Lazim. Beliau masih mengingati lagi saat tersebut. Menurut beliau, Cikgu Ahmad Lazim pada ketika itu berpakaian baju putih dan berseluar hitam serta bersongkok.

"Cikgu Mat naik kereta Clubman bernombor TA 8885, bahagian atas hitam dan bahagian bawah kuning." tambah beliau lagi.

Setelah berlatih selama tiga bulan, beliau telah menduduki ujian Awan Putih. Bersama-sama beliau ialah pelatih-pelatih daripada gelanggang seluruh negeri Perak seperti dari Selama, Bagan Serai, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Sungai Siput dan sehinggalah cukup 10 cawangan keseluruhannya.

"Pada peringkat bengkung putih, asasnyalah banyak. Yang saya tengok gerakan satu dan dua tidak dipecahkan, lepas tu elakan tujuh biji, kunci mati tujuh biji..."

Menurut Cikgu Amin, susunan mata pelajaran Gayong pada ketika itu dilihat cukup sistematik.

Sepak terajang orang bersilat bak "alah bisa tegal biasa" baginya. Menurut Cikgu Amin, pernah tiga bulan sebelum menduduki ujian kenaikan bengkung Pelangi Hijau, beliau telah mengikuti latihan intensif, dari pagi sampai ke petang. Suatu ketika gurulatih telah menendang rusuk kiri Cikgu Amin sehingga beliau jatuh terduduk. Selepas kejadian tersebut, beliau telah mengalami masalah ketika membuang air besar. Beliau telah dimasukkan ke hospital dan terpaksa menjalani pembedahan kerana berak darah. Seminggu kemudian, apabila telah agak sihat, beliau pun pergi melawat ke gelanggang.

"Saya tak beritahu sesiapa bahawa saya masuk hospital. Saya tanya kawan-kawan apa yang mereka belajar dalam masa seminggu? Mereka kata dah belajar buah tapak kunci mati sampai 14 biji. Saya pada ketika itu tidak mengetahui apa itu buah tapak kunci mati. Dulu tidak dipanggil buah tapak. Dulu gunakan nama. Misalnya, kunci mati satu dipanggil Kilas Sawa Berendam, kunci mati dua dipanggil Kilas Dayung, kunci mati tiga Kilas Dayung Palang Maut, dan begitulah seterusnya. Lepas tu, saya pun cepat-cepat operate bawasir, dan masuk balik ke gelanggang."

Di gelanggang, Cikgu Ahmad Lazim telah bertanya ke mana beliau menghilang selama seminggu. Beliau menjawab bahawa beliau kurang sihat sedikit. Begitulah menurut Cikgu Amin bagaimana beliau begitu merahsiakan keadaan diri beliau yang sebenar daripada pengetahuan guru demi untuk terus mempelajari seni silat. Tidak lama kemudian beliau pun menduduki ujian kenaikan bengkung Pelangi Hijau. Dalam ujian tersebut beliau mendapat markah kedua tertinggi bagi seluruh negeri Perak.

"Saya dikecewakan sebab tangkapan buah tapak 12 hingga 18 tu. Cikgu Majid Mat Isa waktu tu datang menjalankan ujian. Waktu grading, dia datang dekat saya. Dia kata silakan no.13. Nombor saya 13, sama seperti tarikh lahir saya. Tangkapan buah tapak tu serupa. Buah no.18(Patah Dayong Selak Mati Buaya Berendam) saya terbuat no.13(14?)(Selak Dayong Buaya Berendam). Dah silap saya sebab nama dia hampir serupa."

Pada tahun 1969 tercatat sejarah apabila beliau bersama-sama tiga rakan segelanggang iaitu Hamzah, Amir dan Zul, telah ke Kuala Lumpur menaiki kereta yang dipandu oleh Cikgu Ahmad Lazim.

"Kami pergi ke Kg.Baru di rumah MB Selangor. Masa tu kami buat persembahan. Betul-betul satu sejarah bagi saya. Sampai lapan hari baru saya balik."

"Itulah untuk mengenangkan sejarah. Saya kata kalau budak Melayu tak tengok apa yang terjadi pada hari tersebut, sampai sudah memang kita ni leka dan tidur. Saya tak hendak benda tu berulang balik. Masa itulah saya ada semangat."

Pulang dari Kuala Lumpur, Cikgu Amin telah bertemu Dato' Mahaguru di Taiping. Di Taiping, Cikgu Amin telah dimandikan di perigi kuning yang terletak di belakang rumah Mahaguru. Air yang dipam keluar dari perigi tersebut memang berwarna kuning! Beliau dimandikan dengan berpakaian serba kuning.

Cikgu Amin turut dihadiahkan sebilah pedang oleh Dato' Harun Idris, sebagai mengenang jasanya sewaktu Peristiwa 13 Mei.

"Pedang ni untuk asah badan. Tak ada silibus..."

Selepas berlatih beberapa lama, beliau kemudian bersama-sama enam orang rakan segelanggangnya telah dipilih oleh Cikgu Ahmad Lazim untuk menjalani latihan intensif sebelum menduduki ujian kenaikan bengkung Pelangi Merah selama tiga hari tiga malam di Pusat Latihan Tertinggi di Taiping iaitu di rumah Mahaguru. Menurut beliau, pada ketika itu tidur dan makan pun tidak menentu.

"Kita nak training untuk mengenali silat sebenarnya. Dan ketika itulah saya mula mengenali Dato' Meor. Dato' Meor ketika itu belum dapat title Dato' lagi. Dato' kata dalam sebulan dua lagi, beliau akan dikurniakan darjah kebesaran Dato' Paduka Cura Simanja Kini oleh Sultan Perak, Sultan Idris. Saya pun mengucapkan tahniah dan saya bersama kawan-kawan yang lain berjanji akan membuat persembahan pada hari tersebut iaitu Hari Sang Sapurba. Pada Hari Sang Sapurba, saya menerima bengkung merah selepas digradingkan. Disampaikan oleh Sultan Perak. Waktu itu baginda bertitah, siapa di antara kamu boleh memecahkan genting 100 keping? Cikgu Ahmad Lazim menyuruh saya menyahut cabaran. Oleh kerana tiada orang yang sanggup, maka saya pun buat pemecahan genting. Dalam bengkung merah, saya dapat tempat kedua seluruh negeri Perak."

Walaupun begitu, beliau turut menyuarakan rasa kekesalan kerana hanya beliau sahaja yang masih memperjuangkan Gayong sehingga ke hari ini sedangkan rakan-rakan yang turut sama mengambil ujian bengkung dari seluruh Perak telah lama meninggalkan gelanggang.

"Tinggal dua orang sahaja daripada satu batch. Masa tu Hari Sang Sapurba. Istiadat pertabalan Silat Seni Gayong Negeri Perak - Waris Lembaga Beradat, Ahli Lembaga Beradat, Khalifah Muda, Khalifah Besar, Khalifah Belanda dsb. Diikuti oleh Sultan Perak sekali sebagai Sang Sapurba."

Beliau mula berguru dengan Dato' Mahaguru sejak 1975. Sebelumnya, beliau hanya mempelajari Gayong daripada Cikgu Ahmad Lazim. Selepas habis waktu kerja di Hong Kong Bank, beliau dengan bermotosikal telah bergegas ke Air Kuning, iaitu di rumah Mahaguru. Ketika itu Mahaguru mengajar Seni Cindai dan pelajaran senjata yang lain. Jam 12.00 tengah malam barulah beliau pulang ke rumah. Ketika itu beliau masih belum berumah tangga lagi. Latihan di rumah Mahaguru diadakan tiga kali seminggu dan berlanjutan sehingga enam bulan. Menurut Cikgu Amin, Mahaguru memang serius ketika mengajar, selain bersikap kasar. Tetapi itu jika di dalam gelanggang. Sewaktu mengajar silat, Mahaguru biasanya memakai baju-T hitam yang bertulis kalimah Allah dan berseluar jean biru berjalur hitam.

"Waktu tu dia mengajar cindai. Tangkapannya memang tangkapan mati. Memang tepat. Kalau tangkap buah gergasi tu memang tepat betul. Beliau juga mengajar seni tali."

Senjata tali menurut Cikgu Amin amat berguna kepada kita, terutamanya apabila musuh menggunakan senjata tajam seperti parang dan keris.

"Kita boleh tangkap musuh tu, ikat kaki tangan, masukkan kayu dan bawa ke balai polis", ujar Cikgu Amin lagi.

Tahun 1977, beliau telah menjalani ujian kenaikan bengkung Pelangi Kuning. Ketika itu beliau cuma berdua sahaja, iaitu bersama-sama seorang rakan dari Kuala Kangsar.

Pada tahun 1980, beliau mula diuji untuk mengambil ujian bengkung hitam. Sebelum itu, beliau telah diajar tentang istiadat perlimau adat tapak, mengambil tapak dan sebagainya, seterusnya dilantik sebagai wakil mandi. Antara ujian untuk mendapatkan bengkung hitam yang beliau jalani ialah mengangkat besi seberat 500 paun, digantung dengan tali hitam pada pokok manggis(depan balai adat), Mahaguru mengikat sundangnya dengan tali dan Cikgu Amin disuruh bergayut pada sundang dan tali kemudian ditarik ke atas.

"Sundang tu punyalah tajam, kalau sehelai rambut ditiup padanya akan putus."

Beliau juga telah diarahkan supaya menyelam di dalam air, di dalam kolam yang terdapat di rumah Mahaguru.

Setelah menempuh pelbagai dugaan, akhirnya beliau telah dianugerahkan bengkung Harimau Pelangi Cula Sakti Hitam(Tingkatan 3) oleh Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman bin Daeng Uda Hashim, bersama-sama sandang Apit Jinjang bagi mengambil alih tugas Cikgu Ahmad Lazim, yang ketika itu mula menumpukan perhatian pada perniagaannya.

Tahun 1980 merupakan tahun terakhir murid Gayong Perak menerima bengkung mengikut adat istiadat dan disampaikan secara besar-besaran oleh Sultan Perak.

"...itulah last murid Gayong Perak menerima bengkung. Lepas itu barulah saya diamanahkan oleh guru saya istiadat dan perlembagaan adat untuk menjalankan istiadat dan persembahan sehinggalah sekarang."

"Dato' suruh tiap-tiap kali persembahan silat, kena baca sajak Gayong dulu sebelum persembahan."

Sewaktu mengadakan persembahan secara besar-besaran, Cikgu Amin kerap dipanggil sama ada untuk melakukan pemecahan batu di atas dada gurulatih Gayong ataupun dirinya sendiri menjadi model.

"Dalam pertunjukan, kena baring atas kaca. Lepas tu batu diletakkan di atas dada. Caranya, pecahkan kaca botol, kemudian ayak sebalum baring. Adalah bacaannya..."

Beliau juga biasa membuat persembahan membengkokkan besi dan menggigit besi panas.

"Letak besi di badan, bertapak kuda-kuda, dan mula bengkokkan besi. Ataupun pegang besi dan lilit tiga kali pada lengan."

Menurut Cikgu Amin, pemecahan genting hanya dilakukan oleh gurulatih sewaktu membuat pertunjukan silat. Cikgu Amin biasa menumbuk genting simen sebanyak 14 keping sewaktu persembahan Gayong.

Dalam tahun 1970-an, Cikgu Amin pernah dibawa oleh Dato'Mahaguru ke Bukit Larut untuk menimba pelajaran. Di sana beliau telah ditunjukkan lubang gua tempat Daing Kuning bertapa. Sehari di Bukit Larut, beliau telah diturunkan pelajaran istimewa seperti kipas senandung, selayang pandang dan pelajaran-pelajaran lain lagi.

"Kami pergi bertujuh. Budak Tandop dengan budak Simpang Empat, Alor Setar, selain Badek Ruzaman."

Waktu berangkat pulang, Mahaguru meminta dicarikan dua biji botol untuk diisikan dengan air mata air yang bertakung di atas Bukit Larut. Air itu kemudian dijadikan air Gayong untuk tujuan mandi perlimau adat. Menurut Cikgu Amin, beliau hanya mengambil ijazah sebagai wakil mandi daripada Mahaguru sahaja manakala pelajaran silat daripada banyak guru selain Mahaguru.

Cikgu Amin juga turut dianugerahkan sebilah keris adat.

"Keris ni Dato' Meor bagi untuk istiadat. Ia bersaing dengan keris Dato' yang hilang. Kalau saya hendak mandikan orang, saya gunakan keris ini. Itu istiadat dia."

Sebagai gurulatih, Cikgu Amin telah terlebih dahulu dibekalkan dengan isyarat guru.

"Ayat sembilan, ayat Kursi... Kalau murid pengsan atau terkejut-kejut masa berlatih, pegang ibu jari kaki kanan, kita boleh tahu sama ada yes or no..."

Pada awal tahun 1980-an iaitu sekitar 1981-1982, satu rombongan Gayong PASAK Singapura telah berkunjung ke Taiping untuk mengikuti kursus bengkung hitam. Rombongan ini diketuai Cikgu Rahim Hussain(anakanda Tuan Hj.Hussain Kaslan) dan Cikgu Misratin Tokiman(juara dunia silat olahraga). Mahaguru telah mengarahkan Cikgu Amin mengikuti sekali kursus tersebut. Cikgu Amin membawa bersama-samanya empat orang muridnya yang berbengkung merah(dari Politeknik Ungku Omar).

"Bengkung merah depa ni satu batch dengan bengkung kuning Singapura. Depa hairan lihat budak saya(Balia dan Rani) boleh main pisau dua dengan cukup cekap. Bukan main ligat lagi..."

Berikut adalah antara pelajaran yang pernah diikuti oleh Cikgu Amin sepanjang bergiat dalam Gayong:

"Bagi bengkung putih(Awan Putih), seseorang mesti memahami cara latihan asas, warming up. Kedua, kena tahu cara pergerakan tangan kosong seperti elakan, dan kuncian 1-7 biji. Bayaran untuk ujian pada zaman saya ialah RM8."

"Buah tapak ada 21, sebab cantuman nama Hang Tuah lima bersaudara. Jadi permainan mereka. Kalau tangkap, biasa tak lepas. Pecahan tapak berupa tempur silat. Kita tumbuk, lawan elak. Lawan kunci, kita kunci lawan balik. Dan begitulah seterusnya. Ada 49 permainan pecahan tapak. Semua tangkapan ada pembukanya kecuali menggunakan pukulan dan kipas senandung, sebab tiada kunci-mengunci..."

"Bagi bengkung hijau(Pelangi Hijau), seseorang mesti mengetahui gerakan pertama, gerakan kedua, golongan, buah tapak kunci mati 1-14 biji. Lepas tu tempur berpasangan (7 biji), pentas 1-2. Kena tahu buah pukulan(kombat), sekurang-kurangnya 7 biji. Lepas tu kena tahu senaman anak harimau, tenggiling kanan kiri, lenting pacat, tenggiling buyung, melompat pagar, harimau mengambur dahan tujuh macam. Lulus ujian baru diberi bengkung hijau. Pada masa ini, jika murid silat betul-betul ada inisiatif hendak mempelajari silat, dia berpeluang menjalani istiadat mandi seni. Selepas mandi seni baru boleh mempelajari senjata. Bayarannya lebih RM10."

Cikgu Amin pernah menjadi Juara Kombat negeri Perak dengan mendapat 99 markah. Ramai kawan-kawannya yang terkejut - bagaimana beliau dapat membuat buah pukulan kombat dengan baik.

"Mereka hairan macamana buah kombat yang saya buat boleh bertapak macam tu. Saya jawab,'Aku belajarlah, dengan Dato' Meor. Masa aku belajar, kamu tak ada...' Semua pukulan saya main - buah seligi, buah siku, hentak adam, kilas, cekak, tolak, sambut, kilas dayung..."

"Bukan kita modified sendiri. saya tak reti. Memang ada Dato' Meor turunkan..."

Antara senjata yang dipelajari ketika bengkung hijau ialah Simbat, Pisau dan Parang.

"Senjata yang pertama saya belajar ialah Simbat iaitu (tongkat) rotan. Simbat mempunyai 14 dan 21 pergerakan, 7 elakan, 21 kunci, 7 x 7 tempur(pentas)."

"Pisau pula mempunyai 14 dan 21 pergerakan, elakan 7, kuncian 21, tempur 21 (pentas). Pentas ke-4 adalah permainan Pisau Dua. Untuk tamat, kata Dato' Meor, kita kena main dua pisau lawan satu tongkat."

"Seni Parang pula mempunyai 14 pergerakan, 14 serangan, 7 elakan, 7 kunci mati dan 21 tempur(3 pentas)"

Setelah tamat mempelajari tiga jenis senjata, barulah seseorang murid itu diuji untuk kenaikan ke bengkung Pelangi Merah. Waktu itu bengkung Pelangi Merah tidak mempunyai cula lagi.

"Bila nak ambil bengkung kuning (Pelangi Kuning), murid kena hafal betul-betul pelajaran parang (parang satu atau parang dua) bersama dengan pelajaran keris."

"Terdapat dua jenis permainan keris - keris pendek dan keris panjang. Untuk mempelajari keris panjang, gelanggang perlu diikat dengan tali kuning dan setiap bucu diletakkan lilin."

Cikgu Amin mempelajari keris panjang daripada Cikgu Abd.Majid Mat Isa manakala keris pendek daripada Cikgu Ahmad Lazim. Selain keris panjang, Cikgu Amin turut mempelajari Seni Lembing daripada Cikgu Abd.Majid. Beliau telah menjalani khatam lembing di Gunung Jerai, manakala menjalani khatam keris di Teluk Batik, Perak.

"Lembing tu pelajaran bengkung kuning. Kena mahir betul-betul. Keris juga kena dimahirkan pada peringkat bengkung kuning. Lepas tu kena dikhatamkan sama ada di pulau atau di laut. Saya telah dikhatamkan oleh Dato' Meor sebanyak dua kali dan saya telah bawa murid saya untuk dikhatam sebanyak tiga kali. Saya dikhatamkan di Teluk Batik, dan saya bawa murid saya juga ke Teluk Batik."

"Lembing ni seruannya orang Perak iaitu daripada Megat Terawis. Itu kata Dato' Meor. Memang handal dia. Kalau baling lembing, dari tebing sungai boleh sampai ke seberang sungai."

"Bagi pemegang bengkung kuning, parang kenalah dimahirkan, keris kenalah dimahirkan, tombak kenalah dimahirkan dan juga tekpi. Dan hujung-hujungnya akan ditunjukkan cindai."

"Cindai tu sejenis permainan kain yang dibawa daripada Bugis. Tamat semua pelajaran baru diuji untuk ambil bengkung hitam."

Cikgu Amin banyak mempelajari senjata sewaktu di Taiping. Beliau telah mempelajari Seni Pisau(pisau satu, dua, tiga, empat); Seni Simbat(Tongkat), Seni Keris(keris pendek dan keris panjang); Seni Kapak; Seni Tekpi;Seni Kerambit; Seni Lembing(Tombak); Cindai; Sundang dan sebagainya.

"Senjata ni bukan makan masa bulan-bulan, tapi bertahun-tahun belajarnya. Main pisau, parang, tekpi...Main parang mesti sampai berapi-api. Parang pula dilawankan dengan tongkat/kayu."

"Ada satu cerita sejarah. Dato'Meor kata Awang Bodoh ni dibawanya kayu. Dalam kayu ni ada parang. Kawan yang seorang lagi ni cari rotan. Sewaktu hendak menyeberang sungai, mereka bertembung. Salah satu tidak mahu mengalah. Lalu yang seorang mencadangkan supaya diadakan permainan - kamu ada parang, aku ada tongkat, sekarang kita bermain. Mereka pun bertarung di atas tiga batang kelapa yang dijadikan titi. Memang cantik permainan mereka. Tidak jatuh ke bawah pun. Yang seorang menyerang, yang satu lagi melompat ke atas. Itulah kehebatan orang Melayu kita."

"Masa di Melaka, kata Dato', masa Belanda datang, kalau dia tengok pahlawan Melayu bersilat, mereka takut. Mereka lari. Suruh orang Melayu main macam silat pulut. Bila Silat Gayong bermain senjata, dinamakan sumpahnya berimba-rimbalah kamu, ke laut sumpah menjadi naga, ke darat, sumpah menjadi harimau. Mengaum..."

"Main keris ni sekurang-kurangnya enam bulan. Skill dia, jurus dia. Jurus dia nak betul. Tikam dia nak tahu. Bunuh dia nak tahu. Dari bawah namanya pasak cula(sula). Kalau dah melutut, pasak bumi. Kalau tikam ke atas, radak cula(sula), macam tikaman Sultan Mahmud mangkat dijulang. Keris ni sampir dia, satu bentuk perahu Bugis, satu bentuk perahu payang. Orang Bugis, keris letak di belakang, kita letak di pinggang."

"Keris panjang hanya diajar kepada gurulatih bengkung kuning ke atas."

"Lepas keris, kapak. Saya ambil dengan Dato' Meor dekat Taiping. Dengan tekpi sekali. Masih lagi saya simpan tekpi dia. Dato' Meor tunjuk skill dia. Lepas tu belajar cindai..."

"Tekpi kena main sepasang..."

"Pisau ni jurusnya ada 14 dan 21. Kuncian ada 21, daripada tiga jenis tikaman(anak sungai-7, pasak jantan-7, radak-7). Dinamakan anak sungai sebab tikaman mengalir menuju hulu hati. Gerakan pisau merangkumi tikam anak sungai, amuk kanan kiri, pasak jantan, balas simbat relang, balas relang pelangi. Tukar radak. Balas simbat keli (dari hujung bahu kiri ke hujung bahu kanan) yang mengikut sondak, kiri dan kanan."

"Parang, gerakannya sebanyak 14 - sedia, serang, balas, melangkah tikam, tetak, rodok, libas, tunggu, elak dan tetak, tikam dan pancung (kanan dan kiri), libas ke belakang (takut musuh di belakang), tunggu, sedia, melangkah...menanti serangan, satu atas, dua kanan, tiga kiri..."

"Lembing pergerakannya ada 21 - menanti, sambut, rejang, langkah kanan tikam, hentak, libas dan tunggu, tatang, pusing, sedia, tunggu, ...Dato' kata jangan sekali-kali kita rejang(rejam) musuh. Musuh elak, dia ambil lembing, apa yang kita ada? ...Rejang, tarik, gayut, tatang (tatang untuk merejang atau menunggu), tengok arah mana musuh pergi. Arah lawan - muncung...sendi, kuis, ditonjolkan dan menahan serangan macam serangan parang tajam...elak kepala, elak di perut, libas ke kaki, musuh melompat, dan kita rejang dia. Habis - lembing di tepi. Mata ke bawah. Habis persembahan balik ke atas...""

"Tombak bermata tajam, berbeza dengan lembing. Tombak mainnya macam keris. Lembing diguna untuk merejam sahaja. Permainan tombak tidak sama dengan permainan lembing. Permainan tombak tak ada rejam, hanya mempertahankan diri sahaja."

"Sundang pula dimainkan dengan dua tangan. Sundang ni besar daripada pedang. Pergerakan ada tujuh - hayun, libas, tikam, libas lagi...tapak dia memang sedap. Sundang biasanya diikat sekali dengan kain cindai. Pemisah antara hulu dengan mata dahulunya diperbuat daripada tanduk kambing. Hujung mata sundang macam mata lembing. Sundang biasanya digunakan untuk menghadapi serangan ramai. Dato' Meor demonstrasikan sundang - buah tembikai dengan sekali tetak dah putus dua. Kalau kepala macamana? Dahulu latihannya, ikut apa yang Dato' buat. Jangan pandai-pandai sendiri..."

"Orang Bugis panggil kerambit ni krewok. Kita panggil lawi ayam. Kerambit tu khas untuk wanita,"

"Lawi ayam ni diajar sebagai selingan."

"Kipas senandung ni ada 39 pergerakan - tumbuk, pancung, siku, pukul, lutut, tendang, juring, pancung, siku, elak, pukul, tumbuk, siku, buka, selak..."

Cikgu Amin mengikuti Cikgu Ahmad Lazim sejak 1967, iaitu di gelanggang Manjoi. Beliau hanya "berenggang" dengan gurunya itu apabila Cikgu Ahmad Lazim ditugaskan mengajar polis dan tentera selama tiga bulan. Ketika itu latihan di gelanggang tidak berapa terurus. Kemudian pada tahun 1976-77, Cikgu Ahmad Lazim sekali lagi ditugaskan mengajar anggota polis di Depoh selama enam bulan.

"Lepas dia(Cikgu Ahmad Lazim) balik dari Depoh, barulah dia mengajar terus."ujar Cikgu Amin.

"Saya lambat belajar dengan Dato' Meor sebab saya belajar dengan Cikgu Ahmad Lazim. Saya banyak dengan dia. Ikut mana dia pergi - Kedah, Perlis, Terengganu, Kelantan, Singapura. Saya ikut dia."

Kira-kira dalam tahun 1981, Cikgu Ahmad Lazim telah berhenti daripada mengajar silat kerana menumpukan perhatian kepada bidang perniagaan. Ketika itu Cikgu Amin mula mengambil alih tugas mengajar daripada Cikgu Ahmad Lazim.

"Sepanjang ketiadaan Cikgu Ahmad Lazim, sayalah yang mengajar di Ipoh. Tapi tak ada nama pun. Tak ada siapa yang kenal..."

Sepanjang Mahaguru sakit kerana menderita penyakit darah tinggi dan kencing manis, beliau kerap mengunjungi Mahaguru, sama ada di Kuala Lumpur(HKL) atau di Taiping.

"Waktu saya menziarahi beliau tu, saya rasa hanya dua tiga kerat murid Gayong sahaja yang melawat. Tapi Dato' Meor pernah berkata 100,000 murid dia. Saya nak bertanya, di mana semuanya tu? Saya tak nampak. Waktu dia sakit, dia uzur, dan ada sekali tu dia duduk di K.L., di rumah Cikgu Razali Salleh. Saya juga pergi melawat. Lawat Dato' yang diserang heart-attack. Tahun 1989, Dato' sakit teruk. Bawa ke Specialist Centre."

Sepeninggalan Mahaguru ke rahmatullah, Cikgu Amin bersendirian mengendalikan Gayong.

"Banyak pendaftaran setiap tahun saya bawa ke KL dan saya dapat buat lima cawangan dan 14 gelanggang sekolah dan IPT."

Pada 1996-97, beliau telah diundang menghadiri mesyuarat agung Gayong di Kuala Lumpur dan beliau telah dilantik sebagai ahli jawatan kuasa negeri bersama Tuan Haji Ahmad Lazim. Mereka berdua mula merancang untuk menguruskan hal ehwal Gayong di negeri Perak.

Ketika mengajar, Cikgu Amin biasanya serius ketika menurunkan pelajaran.

"Saya tangkap lock betul-betul, sampai merah muka. Di USM, seorang Arab Lubnan dan mempunyai blackbelt dalam karate telah masuk Gayong. Dia tumbuk, saya elak. Bila saya elak, dia pun melayang. Masa tu saya tangkap(kunci mati). Tangkap buah sebelas atau buah sembilan. Gantung dia macam wrestling. Tendang pelipat dia sampai lunsur. Sampai dia menjerit, "Allah! Ya Allah!" Sampai dia tak tahan. Dia masuk Gayong adalah kira-kira setahun."

Sepanjang mempelajari dan kemudian mengajar Gayong, Cikgu Amin belum pernah lagi dicabar secara terang-terang, tetapi pengalaman mempertahankan diri ada juga sedikit sebanyak.

"Alhamdulillah setakat ni belum ada lagi orang nak cabar saya tetapi kalau berhajat juga, dia kenalah buat hitam putih dulu. You sign this, I sign there. Lepas tu jangan claim apa-apa."

"Masa kerja bodyguard Kementerian tu ada la seorang Cina bawa parang potong babi. Saya dengan rotan pendek aja. Pukul kepala dia, meletup situ aja. Dia buat kacau, pegang botol. Saya buka tali pinggang. Dia acah. Saya tangkap kepala, tekan pelipat. Kalau susah sangat, kita buka baju aja. Rendam baju tu, selawat tiga kali. Pukul telur. Meletup! Tiga tahun saya ikut Datuk Fadzil Che Wan. Jadi bodyguard."

"Arwah Dato', bukan orang cabar dia. Dato' yang cari orang. Kucing tu dia jegil, kucing cabut lari. Kucing tengok dia macam bapak harimau. Penumbuk Dato' macam tujuh orang datang!"

Sepanjang bersama Dato' Meor, beliau pernah menyaksikan peristiwa Dato' Mahaguru bertemu mahaguru sebuah persilatan yang agak popular di Taiping. Ketika itu mahaguru silat tersebut bersama-sama orang-orang kanannya datang melawat Cikgu Siti Kalsom yang sedang sakit(paralyse) di Taiping.

"Mahaguru silat tu datang ke rumah Dato'. Konon nak lawat Cikgu Kalsom sakit (paralyse). Dia datang dengan dua buah kereta. Dato' challenge Mahaguru tu. Dato' try murid kanan Mahaguru tu. Tangkap buah 17..."

Cikgu Amin turut berasa terkilan dengan apa yang menimpa Gayong pada hari ini.

"Dato' buka mana-mana gelanggang, dia bawa saya sekali. Tetapi saya rasa agak kesal kerana Gayong ni daripada dulu alhamdulillah. Tetapi sampai sekarang saya tengok berbagai-bagai tohmahan, perpecahan. Di mana katanya "Gayong pecah di dalam dulang, dulang hanyut lautan tujuh;pecah Gayong pecah sayang, suatu masa kembali bercantum". Di mana letaknya kata-kata tu? Di mana salah dan silapnya?"

"Saya sebagai murid tua...saya tak tahulah...bila saya dengar dia ni dah pecah belah, buka Silat Gayong lain, buka silat lain, apakah waktu diistiadatkan dulu - Wallahi watallahi wabillahi, bahawasanya aku mengaku taat setia menjadi murid Silat Seni Gayong, aku mengaku taat setia kepada Allah dan Rasulullah, aku mengaku taat setia kepada ibu dan ayahku, aku mengaku taat setia kepada guru-guruku, aku mengaku taat setia kepada saudara segayong denganku...di mana letaknya kata-kata tersebut? Di situlah saya rasa sedih sangat...kerana Gayong kita ni berpecah..."kata Cikgu Amin dengan nada sebak.

"Bila masuk Gayong, kita ikrar sama - Segayong, Sekendi, Seperigi, Seminum, Sedarah, Sedaging, Sepadu, Sejadi, Sejalan. Jadi, kenapa kita bawa jalan lain? Pak Hosni di Singapura tu, mengapa buat Silat Harimau? Silat Harimau yang tumbuk tak kena tu, Dato' Meor ada. Gayong ada belian. Kita bersilat kena tunjukkan silat kita. Pamerkan permainan senjata hulubalang Melayu. Belajar ni dulu baru pergi peringkat atas. Ibarat terjun kepala dulu. Tak tahu apa di bawah. Kalau belajar asas, bolehlah tenggiling..."

"Kalau saya dapat duduk di KL, tentu banyak benda saya nak buat. Tapi jadual saya ketat. Hari-hari mengajar silat. Sekarang ni saya gurulatih sepenuh masa. Saya ada 14 gelanggang."

"Dato' dia dikhatamkan. Bengkung dia kain tebal. Diiringi kain kuning. Dipakai masa ada persembahan besar-besaran. Bengkung dia tu cindai - besar, tebal. Tarik sekali boleh tegak. Cara dia la..."

"Mana ada guru silat yang boleh main semua benda ni. Dari tangan kosong, lompat-melompat. Lompat atas kereta. Main parang. Parang original pulak tu. Bukan nak banggalah. Nasib baiklah semasa arwah Dato' meninggal, saya dapat banyak belajar...",kata Cikgu Amin mengakhiri perbualan.